Showing posts with label Sekupangduas. Show all posts
Showing posts with label Sekupangduas. Show all posts

Wednesday, January 4, 2012

Blogger Sekupangduas Tetap Mempertahankan Dakwaan Walaupun Di Saman RM10 Juta

Biarpun berdepan saman fitnah RM10 juta, penulis blog Otai Sekupangduas tetap mempertahankan dakwaannya berhubung salah laku Nga Kor Ming dalam pemberian tender sut ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 2008.

Penulis blog tersebut, Ahmad Sofian Yahya, 47, menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang telah dibuatnya terhadap Setiausaha DAP Perak berkenaan.

Malah, sebaliknya penulis blog itu mendesak Kor Ming menarik balik tuduhan bahawa beliau telah mengada-adakan bahan bukti dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh portal berita propembangkang pada 19 Disember lalu.

"Saya beri masa selama 48 jam untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu atau saya juga akan menyamannya jutaan ringgit," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.



Ahmad Sofian dalam blognya di http://www.sekupangduas.blogspot.com pada 16 Disember lalu telah memuat naik beberapa salinan dokumen yang mendedahkan Ethan and Elton, syarikat yang mana isteri Kor Ming, Wong Seow Ching sebagai salah seorang pengarahnya, memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Blog itu juga mendakwa, kontrak untuk 24 sut rasmi yang pada asalnya ditawarkan kepada Goodman Tailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan and Elton selepas 'disyorkan' oleh kerajaan negeri pada ketika itu.

Pada sidang akhbar tersebut, Ahmad Sofian mempertahankan dakwaannya bahawa tender itu diberikan kepada Ethan and Elton yang ditubuhkan 20 hari selepas kontrak berkenaan diberikan kepada sebuah firma lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Sofian mengakui sudah menerima surat saman daripada Kor Ming yang dihantar ke rumahnya pada Sabtu lalu menerusi firma guaman Tetuan Leong and Tan.

Menurut Ahmad Sofian, beliau belum melantik peguam dan akan meminta khidmat nasihat Biro Bantuan Guaman bagi meneliti kes tersebut.