Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts
Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts

Tuesday, January 29, 2013

Ketua Menteri Sarawak Letak jawatan?


Desas-desus di Sarawak bertiup kencang mengenai kemungkinan Ketua Menteri negeri itu Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan meletakkan jawatan sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Taib dikatakan telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua minggu lalu untuk membincangkan perkara itu. Beliau menerajui Sarawak hampir tiga dekad.

Menurut sumber, pengganti Taib adalah Timbalan Ketua Menteri Alfred Jabu.

Taib dilantik menjadi Ketua Menteri pada 26 Mac 1981 dan memegang rekod pemimpin negeri paling lama di Malaysia.

Keputusan Taib itu dikatakan akan membolehkan SUPP memulihkan sokongan dikalangan pengundi Cina di Stampin, Bandar Kuching, Sarikei, Lanang, Sibu and Miri serta menawan semula bandar Kuching and Sibu daripada DAP.

Wednesday, September 28, 2011

Taib Mahmud Umum Rombakan Kabinet Sarawak : 7 Muka Baru


Rombakan Kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menyaksikan pembentukan sebuah kementerian baru, lima kementerian ditukar nama dan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda.

Kementerian baru dalam rombakan kabinet, yang akan berkuatkuasa Jumaat ini, ialah Kementerian Pembangunan Kebajikan, Wanita dan Keluarga yang akan diketuai Datuk Fatimah Abdullah dan dibantu dua Menteri Muda yang juga muka baru iaitu Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat Vincent.

"Muka-muka baru Menteri Muda lain ialah Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr. Jerip Susil dan Liwan Lagang,” kata Taib pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Kesemua Menteri Muda baru itu akan mengangkat sumpah jawatan Jumaat ini.

Taib berkata, Julaihi dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar; Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr. Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) manakala Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan).

"Kesemua menteri penuh dikekalkan dan sebahagian kementerian mereka ditukar nama,” kata Abdul Taib.