Showing posts with label krisis lahad datu. Show all posts
Showing posts with label krisis lahad datu. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

Lahad Datu : Empat Pertempuran Berlaku Semalam


Lahad Datu - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu di sini semalam.

Tiada kecederaan dilapor dalam empat pertempuran antara 8.05 pagi hingga 5 petang itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, pasukan keselamatan turut menahan tiga lagi individu di Sandakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas, menjadikan jumlah tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini 107 orang.

“Segala laporan siasatan siap dan kesemua mereka akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Hamza berkata, operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kawasan kubu pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini dan pihaknya percaya bilangan pengganas yang tinggal, kurang daripada 50 orang.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, pasukan keselamatan turut menggunakan 12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak dalam pelbagai bentuk muka bumi.

“Kami yakin dengan tahap mobiliti, daya perlindungan dan kemampuan kereta perisai kami dalam melancarkan Operasi Daulat,” katanya.

Krisis pencerobohan pengganas dari Sulu sejak 12 Februari lalu mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan manakala seorang anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.

Seramai 62 pengganas ditembak mati dan 241 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan lain.

-Bernama

Friday, March 8, 2013

Kronologi Selepas Hari Ketiga Pencerobohan Pengganas Sulu

Berikut adalah kronologi selepas hari ketiga Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

Sebuah helikopter Nuri berlepas dari Kolej Integrasi Ilmu berhampiran Kampung Tanduo, lokasi pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Lahad Datu.

5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh bersenjata Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan tentera dan polis di sekitar kampung itu.

5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

Anggota Polis dari Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) membawa dua suspek yang berjaya ditahan ketika "Ops Daulat" di sebuah ladang sawit di sini. Dalam operasi itu polis berjaya menahan empat lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh untuk di soal siasat.

5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu sidang akhbar operasi susulan dan penggeledahan diteruskan kerana percaya masih ada musuh di kawasan itu.

6 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara sahkan kumpulan penceroboh mula menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan gambar anggota pengganas Sulu yang mati dalam "Ops Daulat" pada sidang media di Felda Beach Resort di sini. Turut sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan). Sebanyak tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu.

6 Mac (4 petang) - Hari kedua Op Daulat: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan seorang anggota kumpulan penceroboh ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo.

6 Mac - Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas di dalam sebuah lubang.

6 Mac - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al-Haj Murad Ebrahim mengakui kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah.


6 Mac (6 petang) - Berlaku tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada kira 4.15 petang semasa operasi susulan dan penggeledahan.

7 Mac (7 pagi) - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan mengadakan kepungan di laut dan di darat untuk mengekang bekalan makanan dan persenjataan sampai kepada pihak musuh.

7 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Sabah dan bertemu pemimpin masyarakat kaum Suluk di Tawau; turut menyatakan kerajaaan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik itu berikutan insiden pencerobohan tersebut.

7 Mac (15.50 petang) Perdana Menteri mengumumkan pada sidang media di Felda Sahabat pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di pantai timur negeri ini, yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) dekat sini.

- Najib berkata penceroboh Filipina di Sabah perlu letak senjata tanpa syarat sebelum tawaran gencatan senjata dipertimbangkan.

- Najib umum tambahan lima batalion anggota pasukan keselamatan untuk ditempatkan di kawasan keselamatan khas di timur Sabah.

- Najib berkata Op Daulat akan diteruskan sehingga penceroboh di Sabah meletakkan senjata tanpa syarat.

- Perdana Menteri beri amaran kepada mana-mana pihak jangan pandang ringan iltizam rakyat dan kerajaan mempertahankan bumi Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia selama-lamanya.

7 Mac (5.30 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang musuh terbunuh dalam Op Daulat di Tanjung Batu semalam manakala 31 lagi, termasuk seorang berpangkat jeneral terbunuh hari ini.


7 Mac - Sehingga pukul 7 petang, seramai 52 penceroboh maut sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.
-Mstar

Thursday, March 7, 2013

Pertempuran Lahad Datu: Jet Pejuang Dilihat Berlegar-Legar Di Udara... Manakala Lautan, Darat Telah Dikepung...

Lahad Datu: Beberapa jet pejuang dilihat terbang di sekitar Felda Sahabat kira-kira pukul 8.35 pagi Khamis.

Pesawat dipercayai menuju ke arah Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di mana lelaki bersenjata Sulu telah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.


Lautan, darat dikepung sekat bekalan makanan musuh

Laporan Bernama: Pasukan keselamatan mengadakan kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihak keselamatan turut menangkap penceroboh yang cuba masuk dan keluar daripada Kampung Tanduo serta Tanjung Batu bagi mendapatkan bekalan makanan.

"Kita telah mengadakan kepungan setakat ini, jika mengikut jalan laut, kita telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan seperti ATM (Angkatan Tentera Malaysia dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kita telah mengadakan kepungan di lautan dan di darat.

"Saya rasa bekalan makanan itu tidak dapat masuk, kerana banyak juga cubaan yang kita dapati yang mereka nak masuk dan nak keluar, kita berjaya menangkap mereka," katanya ketika ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, di sini hari ini.

Penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu yang berkubu di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu dikepung pihak keselamatan negara sejak 12 Februari dalam usaha kerajaan menyelesaikannya secara aman. Namun, pada 1 Mac kumpulan terbabit menyerang pihak keselamatan yang mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69 dan sehari selepas itu enam lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap di sebuah perkampungan di Semporna, juga angkara kumpulan penceroboh.

Mengenai kumpulan penceroboh yang dipercayai menyamar sebagai orang awam susulan tindakan ofensif pihak keselamatan kelmarin, Hamza berkata pihaknya mengadakan kepungan di Kampung Tanjung Batu bagi memastikan tiada orang awam di situ sebelum serangan dilakukan.

"Kalau ada jalan keluar pun, 'the only way out' ialah ikut jalan laut. Bagaimanapun, saya tidak menafikan (wujud cabaran) kerana kita berhadapan dengan manusia, jadi masing-masing ada tipu helah," katanya.

Berhubung penahanan empat suspek lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, Hamza berkata polis masih menyiasat sejauh mana penglibatan suspek dengan kumpulan berkenaan.

Wednesday, March 6, 2013

Empat Orang Dipercayai Pengganas Sulu Ditahan


Semporna - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, di sini, Sabtu lepas.

Empat lelaki yang ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis dari jabatan cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.


Menurut polis, operasi yang dijalankan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari Pekan Semporna, bertujuan menangkap penceroboh yang didakwa menyamar sebagai penduduk kampung di beberapa kawasan di Semporna.

"Bertindak hasil maklumat awam dan maklumat risikan yang dikumpul sejak beberapa hari lepas, kami berjaya menahan empat lelaki untuk siasatan," kata pegawai berkenaan.

Beliau berkata operasi itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 1.15 tengah hari.

Tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan.

Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam serang hendap oleh kumpulan pengganas bersenjata. Kejadian pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan enam pengganas terbunuh.

-Bernama

Tembak Menembak Baru Di Lahad Datu Pagi Tadi


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan seorang pengganas Sulu ditembak mati dalam operasi menggeledah di Kampung Tanduo kira-kira pukul 6.45 pagi Rabu.

Ismail turut menasihatkan agar orang awam berhati-hati kerana beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pengganas kini menyamar sebagai penduduk kampung.

Beliau tidak mendedahkan lokasi kejadian itu tetapi memberitahu seorang pengganas Sulu tumpas manakala tidak ada sebarang kecederaan di pihak Malaysia.

Ismail juga mengesahkan bahawa kawasan Ops Daulat yang sebelum ini seluas 4 kilometer, kini diperluaskan lagi berikutan ada di kalangan pengganas dipercayai yang bergerak ke beberapa kawasan lain dengan menyamar sebagai orang awam.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

Pada sidang yang sama, beliau juga berkata, pihaknya belum lagi mahu menyiarkan jumlah pemberontak Sulu yang cedera atau maut dalam operasi yang digerakkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Dalam operasi itu yang bermula sekitar 7 pagi, pengganas digempur dan dilemahkan dalam masa hanya 3 jam oleh pasukan tentera.

Namun, OPS Daulat masih tidak berakhir kerana ia disusuli dengan operasi ‘mopping out’ atau operasi pembersihan dan penggeledahan terpaksa diperluaskan daripada sasaran asal kerana terdapat tanda-tanda kumpulan pengganas bergerak ke satu lokasi lain.

Laporan Terkini: Ketua Pengganas Raja Muda Azzumudie Di Percayai Terbunuh, Manakala 30 Lagi Pengganas Sulu Maut..


Selepas tiga minggu buntu mencari penyelesaian insiden penceroboh pengganas Sulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya melancarkan serangan besar-besaran terhadap musuh yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Utusan online hari ini melaporan sehingga pukul 12 tengah malam tadi, jumlah pengganas Sulu yang maut dalam serangan besar-besaran tersebut ialah 30 orang tetapi status ketua pengganas, Raja Muda Azzumudie sehingga kini masih menjadi tanda tanya walaupun terdapat khabar mengatakan dia terbunuh.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu.



Ops Daulat diteruskan pagi ini, keadaan terkawal

Operasi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, diteruskan hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di Lahad Datu dan Semporna masih terkawal.

Di kawasan Felda Sahabat, kawalan pasukan keselamatan negara di bawah Ops Daulat masih ketat dengan zon penampan dikuat kuasa di kawasan-kawasan sekitar 10 kilometer persegi dari Kampung Tanduo.

Keadaan masyarakat setempat di kawasan terbabit berjalan seperti biasa dengan penduduk keluar melaksanakan rutin harian mereka.

Di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari Kampung Tanduo, keadaan masih terkawal dan tenang.

Pemeriksaan polis di sekatan jalan raya yang menuju ke Felda Sahabat juga diperketatkan. Nama wakil media yang bertugas di kawasan itu juga direkodkan pihak polis bagi tujuan keselamatan.

Pemeriksaan juga dilakukan terhadap van dan kenderaan yang membawa penumpang yang ramai.

Di SEMPORNA keadaan juga dilapor tenang dengan masyarakat meneruskan tugasan harian mereka serta premis perniagaan dibuka seperti biasa pada pagi ini.