Monday, December 1, 2008

Soi Lek dituntut minta maaf

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) hari ini menuntut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek supaya memohon maaf kepada orang Melayu berhubung ucapannya yang menyentuh tentang ketuanan Melayu minggu lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

Dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya pada 27 November lalu, Dr Chua berkata, konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Dr Chua dilaporkan berkata: "Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu."

Teks ucapannya itu dimuatkan dalam laman blog milik Dr Chua - http://drchua9.blogspot.com.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili GGMM) telah menyerahkan notis tuntutan guaman kepada Dr Chua di ibupejabat MCA petang tadi.

Beliau datang bersama enam wakil GMM. Turut kelihatan enam anggota polis berada di situ.

Dalam notis tersebut, GMM mendakwa kenyataan Dr Chua itu berbaur hasutan untuk membenci orang Melayu.

Notis tersebut diterima oleh wakil Dr Chua yang juga setiausaha kepada ketua pentadbir ibupejabat MCA, Yap Chin Chin.

Dalam notis tersebut, GGMM menuntut Dr Chua memohon maaf melalui laman blognya dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut petang ini.

Bagaimanapun, kata GGMM dalam notis tersebut, draf permohonan maaf itu hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh pihaknya sebelum disiarkan.

GMM juga menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta yang akan didermakan sepenuhnya kepada agensi amanah untuk bangsa Melayu/Islam.

Menurutnya, Dr Chua mengabaikan notis tuntutan tersebut, GGMM akan memfailkan saman terhadap timbalan presiden MCA itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

GGMM juga, tambah notis tersebut, akan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Chua daripada terus menghina orang Melayu.

Sumber Malaysiakini

Zaid wajar dihukum -Subang desak pecat


Rumah terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada 12 Oktober 2008

Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, Selangor semalam. Perbuatan beliau tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Sementara itu Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar pucuk pimpinan UMNO supaya memecat keahlian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti kerana hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor semalam.

Ketuanya, Harrison Hassan berkata, setelah apa yang dilakukan Zaid, UMNO tidak perlu berbincang mahupun memberikan beliau pilihan.

‘‘Ini adalah kerana beliau sendiri telah membuktikan tidak setia kepada parti. Ini bukanlah insiden pertama yang mana beliau membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu.

‘‘Pemuda UMNO Bahagian Subang merasa marah dan kecewa dengan tindakan beliau yang dengan senang bersekongkol bersama parti pembangkang, sedangkan kami di akar umbi telah sekian lama berjuang dalam merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Harrison berkata, Pemuda UMNO Bahagian Subang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zaid yang menyertai program dan majlis anjuran parti pembangkang.

‘‘Selain menghadiri majlis perasmian kongres PKR, beliau turut menghadiri majlis kemenangan rakyat Pulau Pinang anjuran parti DAP sebelum ini.

‘‘Kenyataan Zaid dalam Mingguan Malaysia hari ini yang beliau mengakui masih menjadi ahli UMNO dan tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang pada masa akan datang, harus ditangani oleh pucuk pimpinan dengan serta-merta,’’ katanya.

Sunday, November 30, 2008

Drama tebusan di Mumbai berakhir

SERBUAN TERAKHIR... Sebahagian Hotel Taj Mahal di Mumbai terbakar akibat berbalas tembak dan letupan ketika serbuan oleh anggota komando India bagi membebaskan tebusan yang ditahan oleh pengganas di hotel itu, semalam.

MUMBAI 29 Nov. - Pasukan komando India hari ini berjaya menumpaskan kumpulan militan yang menawan hotel Taj Mahal Palace, di sini, selepas berlaku pertempuran sengit dengan kumpulan berkenaan.

Pertempuran itu berakhir pada kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) selepas baki tiga anggota militan itu terbunuh di dalam hotel itu, kira-kira 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan dan melakukan serangan di sembilan lokasi strategik lain di bandar raya ini sejak hari Rabu.

Pasukan komando berjaya menyelamatkan seramai 610 orang dari dua hotel mewah dan sebuah pusat Yahudi di Mumbai, yang ditawan militan.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, M.L. Kumawat berkata, pasukan elit itu berjaya membawa keluar 300 orang dari Hotel Taj Mahal.

Sementara itu, 250 orang diselamatkan di Hotel Triden Oberoi dan 12 keluarga terdiri daripada 60 orang dibawa keluar dari pusat Yahudi.

Semalam dua anggota kumpulan militan itu terbunuh di dalam hotel itu.

Setakat ini, 12 anggota militan terbunuh dalam misi menyelamat itu, manakala di pihak pasukan keselamatan India, 2 anggota komando terbunuh dalam serbuan yang dimulakan semalam.

Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu sejak petang Rabu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh lagi mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam (hotel) dan penembak tepat kami sedang melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan Keangsaan (NSG), JK Dutt kepada media selepas tamat operasi itu, hari ini.

Beliau berkata, komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir serbuan, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya.

Hotel itu mengalami kerosakan teruk.

Seramai 195 orang terkorban dalam serangan oleh kumpulan militan di Mumbai pada petang Rabu lalu termasuk 22 warga asing, manakala hampir 295 yang lain cedera.

- Agensi