Saturday, February 21, 2009

Hampir 10,000 Pemuda BN Berikrar Sumpah Taat Setia Pertahan Institusi Raja



Kuala Lumpur – Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin bersama hampir 10,000 ahli Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) malam tadi menyatakan ikrar sokongan taat setia kepada instutusi raja dan seterusnya mempertahankan kedaulatan institusi berkenaan dari terus diperlekehkan pihak-pihak tertentu.


Selain bacaan ikrar yang diketuai Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, perhimpunan Menjunjung Setia "Daulat Tuanku!" Di Dewan Tun Razak 1, PWTC Di Sini, Khamis Malam turut menyaksikan penyerahan secara simbolik “Sumpah Menjunjung Setia” seluruh komponen Pemuda BN kepada Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir untuk disampaikan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.


Antara isi kandungan ikrar itu ialah Pemuda BN berjanji dan bersumpah akan menentang sebarang cubaan dan tindakan berbentuk merendah, mencemuh, mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak sama ada menerusi perbuatan atau ucapan.


Ikrar itu turut menyeru seluruh Pemuda untuk memupuk keharmonian dan perpaduan di kalangan kaum yang dinikmati selama ini serta bersama-sama mempertahankan negara dari segala cabaran dalam usaha menjadi negara maju.


Selain bacaan-bacaan sajak, perhimpunan tersebut juga menyaksikan ucapan wakil-wakil Pemuda komponen BN dimulai dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Bumiputera (PBB), Sarawak, MIC dan MCA serta Menteri Besar Perak sendiri, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.


Pada ucapan kemuncak, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Pemuda perlu mempertahankan Perlembagaan dan mematuhi Rukun Negara kerana ia terbukti berjaua menyatupadukan rakyat di negara ini.


Rakyat katanya perlu sedar kemerdekaan negara turut disokong oleh Raja-raja Melayu dan institusi beraja terus menjadi paying kepada kemerdekaan negara sehingga kini.


Beliau seterusnya memberi amaran Pemuda BN akan mempertahankan institusi Raja sehingga ke titisan darah terakhir.


"Pembangkang terbukti menjadi pengkhianat kepada generasi masa depan kerana cuba mengkhianati payung negara.


"Hari ini adalah permulaan gelombang yang akan menjadi gelombang tsunami kita bagi menyatakan sokongan kepada institusi beraja seterusnya memberi amaran kepada pembangkang jangan mencabar sejarah Melayu", katanya.


Ucapan beliau itu turut berselang dengan laungan bergema “Daulat Tuanku” daripada ahli Pemuda yang ternyata cukup bersemangat mengikuti perhimpunan itu dari mula hingga akhir.


Sementara itu, pada sidang media selepas perhimpunan tersebut, Hishammuddin berkata anak-anak muda yang ingin meluahkan kemarahan dan kekecewaan terhadap kemelut politik di Perak patut diberi ruang dan dipantau supaya tidak mencetuskan sebarang kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam.


Katanya api kemarahan begitu mudah untuk dinyalakan sekiranya dilakukan secara tidak bertanggungjawab.


"Cetusan semangat ini jika tidak dikawal, boleh menyebabkan huru-hara dan kekecohan.


"Sekurang-kurangnya kami tidak di jalanan..melontar batu dan sebagainya," kata beliau merujuk semangat yang ditunjukkan ribuan ahli Pemuda yang hadir pada perhimpunan tersebut.


Sumber Laman Web Pemuda UMNO Malaysia


Gambar Oleh Bro Jinggo





Sebahagian dari wakil Pemuda Rembau


Tuesday, February 10, 2009

5,000 pertahan Sultan Azlan Shah


Susulan dari artikel MALAYSIAKINI : MEMBANTAH PENDERHAKA RAJA DAN MENYOKONG RAJA-RAJA MELAYU- KJ di laman blog ProKhairy.com , BJ rasa terkejut apabila ada tetamu (bukan ahli) yang mengunjunggi laman chatrool ProKJ Fan Club, yang mempertikaikan kesahihan jumlah kehadiran di perhimpunan tersebut.

Katannya, DALAM MALAYSIAKINI.COM 1000 ORG YG DTG SIAP ADA GAMBAR ,SURATKABAR SINAR TULIS 1000 ORG GAK TAPI DLM BLOG NI 5000 ORG MANA YG BETUL.....?????MCM NER RAKYAT NAK PERCAYA


Kepada tetamu tersebut sila rujuk dibawah…

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Feb. – Padang Sultan Abdul Jalil di sini bergema dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ apabila lebih 5,000 orang yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berkumpul menyatakan ikrar taat setia akan mempertahankan kedaulatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hingga ke titisan darah terakhir.

Mereka yang menyertai perhimpunan secara aman anjuran Pemuda UMNO Perak itu meluahkan rasa marah terhadap sikap biadap dan kurang ajar pemimpin pembangkang iaitu Karpal Singh, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng terhadap Sultan Perak.

Luahan kemarahan yang meluap-luap itu bukan sahaja dapat didengar melalui kata-kata mereka, malah tertera pada tulisan pada sepanduk yang dibawa.

Antaranya, ‘Jangan Hina Raja Kami,’ ‘Kumpulan Gerakan Melayu Bersedia Menjadi Benteng Utama Mempertahankan Kedaulatan Raja-raja,’ ‘Pakatan Rakyat Jadi Kuda DAP’ dan ‘Usir Nizar dari Perak.’

Malah, di saat-saat akhir perhimpunan, para peserta yang semakin bersemangat hampir berarak menuju ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak untuk menghalau keluar Mohammad Nizar selepas seorang wakil NGO mengajak mereka semua berbuat demikian.

Bagaimanapun, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner, Azisman Alias berjaya menenangkan keadaan dan meminta perhimpunan itu ditamatkan serta merta bagi mengelak kejadian tidak diingini dan provokasi.

Perhimpunan itu berakhir pada pukul 3.30 petang dan peserta kemudiannya bersurai secara beransur-ansur dari padang berkenaan.

Terdahulu, mereka berkumpul di Dataran Bandaraya Ipoh pada pukul 1.30 petang sebelum berarak menuju ke Padang Sultan Abdul Jalil setengah jam kemudian kerana tidak dibenarkan menggunakan lokasi tersebut.

Sementara menunggu majlis bermula, beberapa wakil NGO sempat memberikan ucapan meluahkan kemarahan terhadap perbuatan kumpulan tertentu menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ di setiap akhir ucapan.

Majlis kemudiannya dimulakan pada pukul 2.40 petang selepas ketibaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin, Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum memulakan majlis, semua peserta yang beragama Islam membacakan al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Allahyarham Roslan Shaharum dari Pas yang meninggal dunia hari ini.

Wakil dari Parti Progresif Penduduk (PPP) merupakan orang pertama berucap diikuti wakil dari MIC untuk menyatakan sokongan daripada masyarakat India kepada institusi Raja Berperlembagaan dan menentang mereka yang menderhaka titah sultan.

Abdul Azeez yang mendapat peluang berucap kemudiannya memberi amaran kepada Karpal Singh supaya menghentikan budaya kurang ajar dan biadap atau bersedia menerima sebarang tindakan daripada generasi muda.

‘‘Kita akan pastikan Karpal Singh dihalau dari bumi Malaysia. Karpal Singh kata dia lawyer (peguam) tetapi sebenarnya dia liar (penipu) sebab sebagai peguam dia mesti tahu undang-undang dan apa itu institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Reezal Merican pula berkata, pelajar Melayu di seluruh negara berasa terhiris dengan kebiadapan Karpal terhadap Raja-Raja Melayu.

‘‘Bumi ini ada fitrahnya, fitrah bumi ini dinamakan Tanah Melayu dan yang menjaga hak adalah Sultan dan Raja-Raja Melayu.

‘‘Menderhaka kepada Raja Melayu bermakna mengundang kemarahan rakyat bukan saja di Perak tetapi di seluruh Malaysia,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan semangat juang Melayu turut berucap pada majlis tersebut.

‘‘Kita ingin beritahu kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, kita akan lawan habis-habisan.

‘‘Ini baru langkah permulaan, kita akan gerakkan seluruh jentera di seluruh kampung dan berjuang mempertahankan kedaulatan Sultan Perak hingga ke titisan darah terakhir,” tegasnya sambil disambut laungan gemuruh daripada orang ramai.

Zainol Fadzi Paharuddin yang berucap seterusnya pula memohon Sultan Perak menarik balik darjah kebesaran dan kewarganegaraan penderhaka.

‘‘Kita tidak mahu institusi raja diperkotak-katikkan dan dihina sampai kasut jamban pun boleh dibaling. Inikah manusia yang kita ingin agung-agungkan sebagai pemimpin,” katanya.

Khairy yang merupakan orang terakhir berucap menyatakan bukan sahaja orang Melayu marah dengan sikap biadap pemimpin pembangkang, malah orang Cina dan India juga turut berasa demikian.

Katanya, tindakan beberapa pemimpin pembangkang telah mencabuli empat daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu rukun kedua, ketiga, keempat dan kelima.

‘‘Empat daripada Rukun Negara ini sudah dikoyakkan, apa lagi kita ada? Undang-undang, Perlembagaan dan Raja-raja kita sedang dipijak, apa tindakan kita hari ini?'' katanya yang berjaya menaikkan semangat peserta.

Sebelum menamatkan ucapannya, Khairy turut mengarahkan semua Pemuda UMNO mengambil tindakan yang perlu sekiranya bekas Menteri Besar dan Exco berkeras mahu memasuki pejabat kerajaan negeri esok.

Thursday, February 5, 2009

ProKJ Fan Club

http://chatroll.com/prokj-fan-club

Laman blog rasmi http://prokjfanclub.blogspot.com/

ProKJ Fan Club ditubuhkan secara rasminya pada 01 Feb 2009, bertujuan untuk mencari dan mengenal pasti lebih ramai lagi penyokong yang terdiri dari pada pelayar-pelayar laman maya dan juga bloggers yang menyokong kepimpinan YB Khairy Jamaluddin.

Kami juga mengalu-alukan sebarang komen atau cadangan bagi memperbaiki kelemahan ProKJ Fan Club supaya akan memberi lebih manfaat lagi kepada semua ahli di masa hadapan. Sekiranya ada kekurangan, kami di ProKJ Fan Club, ingin memohon berbanyak maaf dan seharusnya kami akan berusaha untuk buat yang terbaik dimasa hadapan..

Disamping itu juga kita dapat menanam semangat setiakawan diantara bloggers dan juga pelayar-pelayar di laman maya, berpemikiran sihat, hasrat dan cita-cita yang jitu dan kental serta mempunyai sifat-sifat positif untuk setiap ahli serta agar dapat melahirkan lebih banyak lagi bloggers ditanah air kita.

Merancang, melaksanakan dan menilai program dan aktiviti ahli, mengusahakan dan membangunkan aktiviti yang berprestij, global dan menekankan kaedah-kaedah terkini serta kehendak semasa.

Memberikan peluang dan memdedahkan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi kepada ahli serta menganjurkan kursus, seminar yang berkaitan dengan teknologi maklumat.

Akhirkata, semoga Pro KJ Fan Club akan terus berkembang dan harapnya kita dapat berjumpa lebih ramai lagi ahli ProKJ Fan Club akan datang.

Salam Perjuangan

Bro Jinggo Pengerusi ProKJ Fan Club