Friday, March 13, 2009

Nizar & Orang Pas Patut Contohi Semangat Rasulullah S.A.W


Datuk Seri Nizar Jamaluddin akhirnya terpaksa keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Beliau akur dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh SUK Negeri Perak dengan meninggalkan kediaman tersebut dan menyerahkan kenderaan-kenderaan rasmi Kerajaan Negeri walaupun Pakatan Rakyat tetap akan menggunakan kediaman rasmi tersebut sehingga 27 Februari ini.

Bersyukur kepada Allah kerana Nizar masih mempunyai sedikit hati dan akal yang waras untuk akur kepada arahan tersebut walaupun umum mengetahui penentangan beliau terhadap keputusan Sultan Perak dan Menteri Besar Perak melebihi segala-galanya. Ini berikutan arahan beliau kepada penyokong-penyokongnya supaya terus berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.

Bila dilihat kepada arahan beliau dan beberapa perkembangan di Negeri Perak pada masakini, seolah-olah dilihat seperti ada dendam kesumat yang perlu dilunaskan oleh pihak pembangkang.

Ini bukan sekadar menggantung kehadiran Menteri Besar Perak dan barisan Exco Barisan Nasional (BN) malahan siri ceramah mereka yang meliputi hampir keseluruhan Perak memperlihatkan bahawa politik dendam seolah-olah sudah menjadi agenda keutamaan mereka.

Nizar dan sekutu perlu sedar akan hakikat bahawa takdir, qada’ dan qadar melebihi segala-galanya. Memang benar juga bahawa Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan diubah melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.

Mungkin ini yang menjadi pedoman puak-puak Pas sehingga sanggup berbaring, melontar batu dan mengadakan rusuhan hanya kerana seorang pemimpin mereka yang tidak maksum dilucutkan jawatan oleh Paduka Seri Sultan Perak.

Sepatutnya, Nizar dan sekutunya perlu belajar daripada kisah peperangan yang cukup terkenal di zaman Rasulullah S.A.W iaitu Perang Uhud yang mana tentera Islam telah kalah dan baginda sendiri mengalami kecederaan dalam peperangan tersebut.

Baginda sangat sedih bukan hanya disebabkan kalah kepada tentera kafir Quraisy malahan bapa saudara baginda, Saidina Hamzah telah dibunuh dengan kejam oleh Hindun.

Akibatnya, sebagai manusia Rasulullah telah menyimpan dendam yang teramat sehinggakan baginda berharap sekiranya berlaku peperangan dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam maka baginda hendak menyiksa kafir Quraisy dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang Arab.

Pada waktu inilah turun firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan kalau kamu mengadakan pembalasan, balaslah seperti yang mereka lakukan terhadap kamu. Tetapi kalau kamu tabah hati, itulah yang paling baik bagi mereka yang berhati tabah (sabar). Dan hendaklah kau tabahkan hatimu, dan ketabahan hatimu itu hanyalah dengan berpegang kepada Allah. Jangan pula engkau bersedih hati terhadap mereka, jangan engkau bersesak dada menghadapi apa yang mereka rencanakan itu." (Surah An-Nahl : 126 - 127)

Maka, apakah pengajaran yang dapat kita semua umat Islam dapat ambil? Sabar itu melebihi segala-galanya.

Kerajaan BN samada di Perak atau Persekutuan, walaupun provokasi oleh Pakatan Pembangkang cukup kuat terutamanya Misi 16 September yang dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin BN tetap sabar dan akhirnya mungkin inilah hikmah dan kejayaan di sebalik kesabaran tersebut.

Berbalik kepada isu Negeri Perak. Nizar secara terang-terangan sudah tidak menghormati sistem Beraja yang telah bertapak kukuh sejak ratusan tahun yang lampau di negara ini. Ingin penulis ambil kesempatan untuk menerangkan bahawa di zaman Rasulullah S.A.W, baginda cukup arif dan memahami sensitiviti sistem pemerintahan beraja.

Apabila agama Islam telah bertapak kukuh di Tanah Arab, maka tibalah masanya utusan-utusan Rasulullah dihantar untuk bertemu raja-raja yang masih kafir. Mana-mana yang menolak tawaran untuk menerima ajaran Islam setelah diadakan rundingan; maka penyelesaian terakhir adalah perang.

Justeru, apa yang ingin disampaikan ialah pertama; Rasulullah S.A.W amat mementingkan diplomasi dalam setiap perkara agar agama Islam kekal sebagai agama terbaik dalam kehidupan manusia.

Sultan Perak telah berdiplomasi dan menggunakan segala ilmu yang baginda ada untuk memberikan perkenan terhadap KerajaanBN. Kedua, Nizar dan sekutunya sanggup untuk ’berperang’ dengan Sultan Perak semata-mata kehendak politik mereka tidak dapat dipenuhi.

Sultan Perak adalah beragama Islam dan dengan jelaslah bahawa syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah telah dilanggar oleh beliau, seorang manusia yang tidak maksum.

Bagi warga Perak, tidak menjadi sebarang persoalan sekiranya Nizar dapat mentadbir dengan baik, berlaku adil kepada semua pihak, memberikan keyakinan dan kesenangan untuk umat Islam beribadah. Tetapi, apabila hak-hak rakyat terjejas, keadilan kepada bangsa-bangsa yang ada dalam negeri Perak terjejas, masjid-masjid menjadi medan untuk membentuk kebencian, maka terimalah padah dan tulah Baginda.

Jangan pula sehingga berlaku musibah Allah kepada mereka akibat kejahilan beliau dan sekutunya barulah pada waktu itu mereka menyesal. Renung-renungkanlah.

Petikan dari laman web Pemuda Umno Malaysia

Thursday, March 12, 2009

Pertemuan bersama Anwar tiada agenda politik - Pak Lah


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan pertemuan tidak dijangka beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bermotifkan politik.

Pak Lah yang akan bersara selepas perhimpunan Agung Umno bulan ini juga menolak spekulasi dari blog sejak kelmarin.

"Tiada perbincangan antara saya dengan Anwar. Kami bertemu secara kebetulan," katanya kepada pemberita selepas melawat pengkalan tentera laut, di Sepanggar, Sabah semalam.

Pak Lah berkata, beliau telah dijemput oleh seorang ulama terkenal, Ustaz Sheikh Mahmud Al-Mazjub untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul.

"Saya sedang makan tengah hari bersama Sheikh Mahmud. Anwar tiba kemudian. Kami hanya berbual dan mendengar cerita daripada beliau (Sheikh Mahmud)," katanya

Ketika ditanya bilakah tarikh rasmi peralihan kuasa beliau kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Pak Lah bekata:

"Sudah tentu ada tarikh. Saya sudah berbincang dengan Najib. Saya akan umumkan secara rasmi nanti."

Tuesday, March 10, 2009

Nizar Penderhaka Songsang


Semalam, bekas Menteri Besar, ir Mohammad Nizar Jamaluddin merasmikan tugu berbentuk plak di bawah pokok hujan di Medan Istana yang menjadi kawasan berlangsungnya persidangan Negeri Pasir Dua Butir pada selasa lepas.

Mohammad Nizar sebelum itu turut menanam lima anak pokok spesies yang sama yang kononnya sebagai simbolik kepada prinsip pakatan pembangkang di sebuah kawasan lapang berhampiran dan majlis itu turut disertai para pemimpin dan wakil rakyat DAP, PAS dan PKR. Diharap selepas ini Nizar jangan menyebah pula pokok tersebut sudahlah.

Secara terang-terangan menunjukkan tindakan penderhakaan pembangkang yang membina tugu berbentuk plak di bawah pokok hujan di Medan Istana, serta menanam lima batang pokok, sebagai tanda dan kemuncak penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan institusi Raja di Perak.

Kalaulah Ir Mohamad Nizar ingat sejarah perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak, mustahil beliau memilih untuk menyebah derhaka kepada Baginda Sultan. Jika bukan kerana kebijaksanaan Baginda Sultan Perak, mustahil Ir Mohamad Nizar berjaya menjadi MB Perak yang ke 10, selepas PRU 12 yang lalu.

Tidak hairanlah, ketika menerima anugerah dari Baginda Sultan, hanya barisan Pas dan DAP sahaja yang dilihat mendahului senarai PKR kerana DAP betul-betul menjadikan Pas sebagai ‘boneka’ mereka dan dalam mentadbirkan Negeri Perak, PKR diperlukan untuk mencukupkan quota sahaja dan bukan sebagai ‘pemain utama’ dalam pasukan mereka.

Penderhakaannya terhadap negara di mana bumi dipijak tidak menjunjung hormat institusi kesultanan Melayu yang sudah jelas termaktup dalam perlembagaan persekutuan tentang hak dan kuasa raja Melayu sepatutnya kerayatannya boleh dipersoalkan dan ia boleh dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Saturday, March 7, 2009

PAS sudah tidak releven lagi - Ibrahim Ali



Pas perlu menghormati tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang memberikan pandangan dalam beberapa isu kerana beliau adalah calon Bebas yang tidak mewakili mana-mana parti.

Sebagai anggota Bebas, Ibrahim tidak terikat kepada mana-mana parti dalam memperkatakan sesuatu isu yang dianggapnya wajar disuarakan.

Datuk Ibrahim Ali yang terus menerima desakan PAS agar menentukan pendirian sama ada mahu kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas ataupun menyertai Umno, hari ini memberi bayangan baru dengan menyatakan "pengundi akan menentukan" kedudukan beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan sama ada menyertai PAS atau Umno ataupun kekal sebagai wakil rakyat Bebas akan ditentukan bila tiba masa yang sesuai.

"Pengundi tentukan ke masa saya harus pergi" , kata beliau hari ini setelah tidak mahu sertai PAS lagi atas alasan perjuangannya sudah bercanggah

"Saya akan ambil kira pendapat penyokong-penyokong saya di Pasir Mas tentang kedudukan saya.

"Mungkin mereka akan mengundi untuk menentukan ke mana saya harus pergi," kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Ibrahim semalam didesak oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan supaya menyatakan pendirian muktamad kepada penyokong PAs yang memilih beliau sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Ibrahim yang bekas pemimpin Umno Kelantan menerima desakan dan gesaan sedemikian sejak tiga minggu yang lalu.

Malah pada 21 Februari lalu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Justeru hari ini Ibrahim menambah, beliau aneh dengan kenyataan terbaru pemimpin PAS yang mahu beliau menyatakan pendirian sama ada mahu sertai PAS ataupun Umno.

Ini kerana kata Ibrahim, beliau merupakan wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.

Kata Ibrahim, adalah sukar bagi beliau menyertai PAS kerana perjuangan parti itu sudah bercanggah dengan prinsip asal sejak bekerjasama dengan Pakatan Rakyat yang didominasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Dasar-dasar yang dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak secocok dengan pendirian saya kerana beberapa isu agama dan bangsa yang dimainkan mereka.

"Isu-isu yang dibawa dalam Pakatan Rakyat ini turut disokong oleh PAS... sebab itulah saya sukar untuk sertai PAS," kata beliau di sini hari ini.

Penyokong himpunan bantah dasar bahasa Inggeris rempuh polis



Beratus-ratus penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), merempuh polis tetapi berjaya disuraikan daripada memasuki kawasan Istana Negara.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis - bermula di Masjid Negara kira-kira pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.

Bagaimanapun mereka ditahan di laluan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang hanya membenarkan tujuh wakil perhimpunan itu bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke Istana Negara.

Difahamkan beliau memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian. Memorandum diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.