Wednesday, January 6, 2010

KJFC Online Membership Registration ...




Salam
Kami bagi pihak pentadbir dan penggerak KJFC mengucapkan setinggi tinggi terima kasih diatas sokongan dan kunjungan anda semua di laman Facebook KJFC. Pihak Kami telah menerima maklumbalas yang begitu menggalakkan berhubung dengan penubuhan KJFC di platfom Facebook ini… Sehubung dengan itu, untuk memudahkan lagi... pihak kami menyalurkan maklumat tentang program program yang bakal kami adakan, rakan rakan Facebook group KJFC perlulah mendaftar dilaman web rasmi kami http://www.kjfanclub.com atau terus ke link http://www.kjfanclub.com/?page_id=108


Kami juga mengalu-alukan sebarang komen atau cadangan bagi memperbaiki kelemahan KJFC supaya akan memberi lebih manfaat lagi kepada semua ahli di masa hadapan. Sekiranya ada kekurangan, kami di KJFC, ingin memohon berbanyak maaf dan seharusnya kami akan berusaha untuk buat yang terbaik dimasa hadapan..

Terima kasih.

Facebook: Lebih 75,086 rakyat bantah guna kalimah Allah




Satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Menentang Penggunaan Nama Allah Oleh Golongan Bukan Islam' di laman web sosial Facebook berjaya menarik lebih 75,000 orang untuk menjadi rakan kepada kumpulan berkenaan.

Sejak laman tersebut mula dibuka beberapa hari lalu, jumlah mereka yang menyertainya semakin meningkat setiap hari sehingga jumlahnya melebihi angka 75,000 orang malam ini.

Malah dalam tempoh sejam sahaja, jumlah mereka yang menyertai sebagai rakan laman yang ditubuhkan untuk menyatakan bantahan kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam telah meningkat lebih 1,000 orang.

Ini menjadikan angka mereka yang menjadi rakan laman itu meningkat seramai 75,086 orang setakat 12 tengah malam ini sahaja.

Antara yang turut menjadi rakan kepada laman itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Dr. Shahrom Osman.

Laman tersebut melibatkan tujuh orang pengendali termasuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurut pengasas laman itu, yang menggelarkan dirinya sebagai Ali Baba Bujang Lapok, mereka menyasarkan seramai satu juta orang rakan.

Malah laman berkenaan kini sedang mengaturkan untuk membuat petisyen bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Justeru di dalam profil kumpulan itu, mereka menawarkan kepada mana-mana rakan laman itu yang mahir dalam menulis petisyen supaya memaklumkan kepada pihak pengendali.
-Utusan

Isu Kalimah 'Allah' - Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius perdebatan kalimah Allah yang menjurus dari keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah The Herald menggunakan 'Allah' sebagai rujukan kepada Tuhan sembahan mereka. Kalimah 'Allah' sepertimana yang difahami oleh orang Islam adalah satu kalimah suci yang membawa erti Tuhan yang Maha Esa.

Pemuda UMNO juga mengambil maklum sentimen di kalangan akar umbi Melayu dan Islam yang begitu risau dengan perkembangan ini, disamping tidak menolak sensitiviti penganut agama Katolik.

Oleh itu, Pemuda UMNO menyarankan agar satu pertemuan diadakan antara wakil Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak Gereja Katolik yang menerbitkan majalah The Herald. Dialog hasil perjumpaan ini bakal menjadi titik pertemuan bagi kedua-dua pihak disamping menjadi medium menyampaikan kekhuatiran umat Islam di Malaysia kepada pihak penerbit, lantas mencari jalan penyelesaian kepada kemelut ini.

Disamping Pemuda UMNO menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, Pemuda UMNO juga percaya bahawa isu sensitif ini perlu kepada satu penyelesaian yang lebih menyeluruh supaya prinsip saling menghormati dapat dipelihara berdasarkan dialog antara pihak yang terlibat. Pemuda UMNO percaya ini adalah sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang memerlukan pemahaman merentas batasan kaum dan agama.

Harapan Pemuda UMNO adalah dialog yang dicadangkan ini akan dapat memastikan pandangan kedua-dua belah pihak dapat disampaikan tanpa perlu memanjangkan perdebatan isu ini di dalam akhbar, sekaligus mengurangkan ketegangan hubungan antara kaum dan agama. Keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia kekal sebagai satu perkara yang teramat penting untuk kehidupan seluruh rakyat di negara ini.