Monday, April 26, 2010

BN tawan semula kawasan Hulu Selangor…..


Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya P.Kamalanathan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Walaupun pada peringkat awal pengiraan undi memihak kepada calon parti pembangkang… calon BN mula mendahului selesa pada jam 8.45 malam dengan 1,035 undi di depan setelah 121 daripada 137 peti undi dibuka.

Ketika itu, sudah tidak kedengaran lagi jerit pekik penyokong pembangkang yang berhimpun di Stadium Kuala Kubu Bharu yang mengikuti proses pengiraan melalui skrin besar.

Stadium itu terletak disebelah pusat penjumlah undi di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu.

Pada jam 9.10 malam, angka rasmi skrin SPR menyiarkan Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.

Beliau perolehi 24,997 undi manakala Zaid pula 23,272 undi.

Kamalanathan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin BN berada di pusat berkenaan ketika Pengurus Pilihanraya mengumumkan kemenangan Kamalanathan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan para pemimpin parti.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 10 pilihan raya kecil diadakan, dengan BN memenangi tiga daripadanya, termasuk kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini yang sangat penting bagi mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

Ia merupakan kemenangan bermakna bagi BN, terutamanya kepada Najib yang semasa berkempen menyatakan bahawa pilihan raya kecil itu bukan sahaja untuk memilih seorang Anggota Parlimen tetapi merupakan pungutan suara bagi hala tuju baru negara.

Najib sendiri turut turun berkempen sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas melakukan lawatan luar negara, pergi ke kampung-kampung, bandar, kawasan rancangan Felda, bersama timbalannya Muhyidin yang saban hari berada di Hulu Selangor sejak penamaan calon pada 17 April.


Wednesday, April 21, 2010

Pemimpin muda PKR kecewa diatas pencalonan Zaid – Khairy



Hulu Selangor, 19 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan Zaid dibuat semata-mata untuk menarik sokongan pengundi di kawasan tersebut dengan mengenepikan soal kepentingan parti.

“Ada yang tidak senang dengan pemilihan Zaid antaranya Naib Presiden PKR, Mohd. Azmin Ali dan Ketua Pemudanya, Shamsul Iskandar Akin.

“Mungkin Mohd. Azmin bimbang dengan peranan Zaid yang boleh menggugat kedudukannya apabila dilantik sebagai ahli Parlimen jika beliau menang pilihan raya itu nanti”.

Khairy Jamaluddin meminta parti pembangkang khususnya Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencermin diri dari terus menunding jari mencari kesalahan orang lain bagi menutup kepincangan berterusan parti itu.

Tegasnya selepas satu demi satu pemimpin PKR bertindak keluar parti sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena pada parti tersebut terutama kepimpinan Anwar sendiri.

“Ini sebenarnya krisis kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim…ini bukan kerja UMNO. Kalau ada kelemahan pada kita jangan kita buat tuding jari pada orang lain…kita tak lihat kelemahan diri kita sendiri.

“Saya nak minta pembangkang, Anwar cerminkan diri dulu…tengok apa kelemahan yang ada pada beliau”

Khairy berkata demikian sebagai mengulas tindakan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat yang meninggalkan parti berkenaan dan menyertai UMNO.

Bekas doktor peribadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuat keputusan untuk meninggalkan PKR kerana parti yang diasaskannya bersama-sama Anwar pada pada 1999, sudah hilang arah dan jauh terpesong daripada tujuan asal.

Mengenai dakwaan pemimpin pembangkang kononnya Dr Halili kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon di Hulu Selangor, Khairy berkata ini bukan kali pertama beliau tidak dipilih sebagai calon.

“Dr Halili anak tempatan, dia tinggal di sini, ada pengaruh…terpulang pada beliau untuk minta penyokongnya sokong BN.

“Malah saya turut menerima maklumat ramai lagi ahli PKR khususnya golongan muda yang turut kecewa dengan kepimpinan parti yang akan menyokong BN dalam pilihanraya nanti,” ujarnya.

Tuesday, April 20, 2010

Majlis Penutup Kursus Pemuda Wira Bangsa – 18 April 2010



Majlis penutup Kursus Pemuda Bangsa. Anjuran sekretariat latihan pemuda UMNO Negeri Perak, 18 April 2010 di Kem PLKN Kampung Baharu, Ayer Tawar. Dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri DR. Zambry Bin Abd Kadir Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.