Thursday, June 24, 2010

Khairy Pertahan Kenyataan Wee Berhubung Isu Biasiswa




KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaludin berkata kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak berunusr perkauman sebaliknya bertujuan mempertahankan pemberian biasiswa itu.

Beliau berkata dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kononnya Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan adalah tidak berasas.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, beliau mempertahankan kenyataan Wee kerana telah mendengar sendiri rakaman asal kenyataan itu dan daripada penjelasan yang diberikan juga beliau mendapati tiadanya unsur perkauman dalam kenyataan itu.

"Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan perkauman yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, hak serta kedudukan bumiputera.

"Wee buat contoh, biasiswa JPA ini adalah satu-satunya peluang untuk pelajar-pelajar bukan bumiputera dapat biasiswa dari kerajaan. Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara itu ditarik balik," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen yang turut dihadiri Wee.

Khairy berkata Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa tindakan Wee mempertahankan biasiswa JPA itu sebenarnya turut mempertahankan biasiswa untuk kaum Melayu kerana majoriti mereka yang memperoleh biasiswa adalah kalangan orang Melayu.

"Jadi saya tak faham mengapa ini dipersoalkan. Mungkin cara kenyataan itu dilaporkan boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan berunsurkan perkauman," katanya.

Wee pula berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

"Saya kesal kerana pihak berkenaan tidak mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebaliknya cuba mencipta isu perkauman bagi menarik perhatian umum dan menjadi juara hak-hak Melayu," katanya.

Ibrahim yang turut mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, masih berpendirian bahawa kenyataan Wee sememangnya bermaksud mempertikaikan hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, Wee sepatutnya tidak mengheret isu pemberian biasiswa Mara dalam kenyataannya kerana biasiswa Mara adalah hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim juga menafikan bahawa kecaman yang dibuatnya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Perkasa yang bertanggungjawab memantau semua laporan yang dikeluarkan dalam akhbar termasuk yang berbahasa Mandarin dan Tamil serta blog.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan mempertikaikan aktiviti Perkasa. Sebelum ini beliau juga mendakwa resolusi yang dicapai ketika Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu yang turut dianggotai Perkasa pada 29 Mei lalu sebagai primitif," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, June 23, 2010

Tunjukkan Bukti Wahai Si Anwar

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaludin serah kepada rakyat untuk menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menyahut cabarannya supaya membuktikan dalam tempoh 48 jam mengenai dakwaannya bahawa anggota Parlimen Bebas diberi imbuhan RM2 juta untuk meninggalkan PKR.

Katanya Ketua Pembangkang itu jelas telah membohongi rakyat bila bercakap di Dewan Rakyat dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional terbabit dalam kes lompat parti itu.

"Pemuda UMNO akan berbincang dengan peguam untuk langkah selanjutnya tetapi kita mahu rakyat membuat penilaian terhadap Anwar yang gagal muncul menjawab cabaran saya itu," katanya di sidang media di lobi Parlimen, petang Selasa.

Ditanya samada satu tindakan laporan polis akan dibuat kerana kegagalan Anwar menyahut cabaran itu, Khairy berkata, "tidak ada apa tindakan tetapi Anwar kena bertanggungjawab terhadap tuduhannya itu, kata ada bukti tetapi tak nak tunjuk bukti."

"Kita belum memikirkan laporan polis terhadap Anwar kerana menyimpan bukti jenayah kerana kalau ianya rasuah merupakan jenayah," jelasnya.

Menurutnya, sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gagal tunjuk bukti maka tidak perlulah dibuat laporan polis, dengan sendirinya rakyat tahu Anwar bohong."

Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan wartawan di sidang media di lobi Parlimen Khamis lalu berdolak-dalik berhubung dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti beberapa wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibayar RM2 juta.

Katanya beliau tetap akan mendedahkannya kepada umum apabila tiba masanya.

sumber Agendadaily

Dewan Rakyat: Masalah Brain Drain Tidak Akan Selesai Jika Pembangkang Terus Beri Persepsi Buruk

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Masalah "brain drain" (penghijrahan tenaga mahir) di negara ini tidak akan berakhir sekiranya pembangkang berterusan memberikan persepsi buruk terhadap pentadbiran negara, termasuk dakwaan wujudnya diskriminasi dalam sektor pekerjaan.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata dakwaan itu memberikan imej buruk negara di mata pakar-pakar dan golongan profesional Malaysia di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

"Bagi saya antara masalahnya ialah pembangkang sendiri tidak ada kepentingan negara sebab tanggapan yang diberi oleh pembangkang kepada anak-anak muda kita yang di luar negara adalah apabila balik ke sini semuanya buruk belaka.

"Diskriminasi, tiada peluang naik pangkat, tiada peluang naik gaji. Persepsi pembangkang sendiri mencemarkan imej negara," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang sebelum itu mendakwa kerajaan tidak menawarkan insentif menarik untuk membawa pulang tenaga mahir Malaysia di luar negara, bangun mencelah dengan berkata kenyataan Khairy itu tidak bertanggung jawab kerana menyalahkan pembangkang.

Khairy berkata kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam menyelesaikan isu "brain drain" ini dengan mewujudkan Talent Corporation bagi menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan termasuk rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi.

"Perkara ini ditangani dalam RMK-10 dengan penubuhan Talent Corporation. Ini satu usaha yang sangat baik untuk melihat bagaimana kita dapat membawa pulang bakat-bakat di luar negara," katanya sambil menambah bahawa masalah brain drain turut wujud di negara India dan China.

Persidangan dewan disambung esok.



-- BERNAMA