Saturday, July 3, 2010

PERUTUSAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani; selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin, limpah dan kurnia Nya jua dapat saya sekali lagi menyampaikan sepatah dua kata-kata aluan bagi Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian seluruh negara.

Anak-anak muda merupakan tunjang dan kekuatan di dalam rehlah pembangunan negara dan pembinaan ketamadunan bangsa sebagai dinyatakan oleh Ulama Islam terbilang, Imam Al Ghazali yang menyifatkan jatuh dan bangunnya masa depan sesebuah negara atau bangsa itu dapat dinilai melalui kualiti anak-anak mudanya pada masa kini. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi suatu tanggung jawab kita sebagai ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang bertaat setia bagi berkhidmat untuk rakyat demi agama, bangsa dan tanah air untuk mengisi tuntutan dan menyahut cabaran kepimpinan zaman dengan menunai dan melaksanakan amanah yang dipikul dengan bijaksana, iltizam dan istiqamah.

Di atas landasan ini, saya menyeru seluruh ahli untuk kita semua bersama dan bersatu hati menyokong, menghayati dan menzahirkan kelapan-lapan nilai gagasan 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri dan juga Presiden parti kita, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, ini iaitu berpengetahuan, intergriti, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, dan juga meritokrasi.

Tidak dapat dinafikan bahawa konsep 1Malaysia ini telah mendapat sambutan yang positif daripada rakyat dan ini terbukti dengan meningkatnya tahap sokongan dan kepuasan hati rakyat yang diterima oleh YAB Perdana Menteri, daripada 69 peratus pada April 2010 ke 72 peratus dalam bulan Mei lalu. Namun begitu, dalam pada kita memperakui peningkatan prestasi ini, jangan sesekali kita leka dan berlengah di dalam usaha dan gerak kerja kita bagi memenuhi misi memenangi undi segmen generasi muda pada pilihanraya ke 13 kelak.

Insya Allah, dengan berkat kesungguhan dan kerja keras kita bersama disamping kesinambungan inisiatif-inisiatif penambahbaikan sistem pentadbiran, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita akan dapat terus mempastikan bahawa negara kita akan terus aman dan makmur di bawah kepimpinan Barisan Nasional.

Akhirul kalam, saya memanjatkan tangan mendoakan agar perjalanan semua Mesyuarat Tahunan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian kali ini akan sempurna dan berjaya. Tidak lupa juga, sekalung ucapan syabas dan terima kasih kepada semua di atas segala usaha yang telah disumbangkan bagi menjayakan perjalanan dan urusan mesyuarat kita kali ini.

Salam Perjuangan dan Selamat Bersidang

Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KDN Tidak Pilih Kasih Antara Suara Perkasa Dan Suara Keadilan

Tindakan tegas termasuk menggantung penerbitan Suara Perkasa jika penerangan yang diberi berhubung artikel bertajuk ”Tahan Ka Siong Bawah ISA” yang diberi editornya, didapati tidak memuaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cubamenimbulkan fitnah dan polemik menyentuh isu perkauman dan agama.

"Kita selalu konsisten, kalau salah tetap salah tak kira dari surat khabar mana. Jangan kerana dalam kebebasan bersuara kita tabur fitnah dan polemik kaum dan agama, ini amat berbahaya," kataya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap apa sahaja yang boleh menjejaskan keselamatannegara.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa KDN memberi layanan berbeza kepada Suara Keadilan dan Suara Perkasa.

"Tindakan kita jelas. Memang (editor) Suara Perkasa, bila kita minta datang, mereka datang tepat pada masanya. Masih tak puas hati (dengan menjelasan mereka) kita minta mereka datang hari Isnin ini.

"Tetapi Suara Keadilan angkuh dan susah nak beri keterangan, tetapi akhirnya mereka terpaksa juga berbuat begitu kerana itu undang-undang," katanya.

Menurut beliau, tindakan penggantungan permit seperti diambil terhadap Suara Keadilan turut dikenakan kepada akhbar-akhbar lain yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

KDN sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan, Dzulkarnain Taib berhubung penyiaran artikel bertajuk 'FeldaBankrap'. - BERNAMA

Artikel Menghasut: KJ Minta Suara Perkasa Disiasat


Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa berhubung penyiaran berita muka depan akhbar itu yang mahu Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta

Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Hari ini saya dengar Suara Perkasa keluarkan berita muka depan kata tahan Ka Siong bawah ISA, saya tidak setuju kerana benda macam itu menghasut dan salah.

"Saya lakukan ini bukan sebab saya nak pertahan Ka Siong tetapi kerana artikel ini salah dan harus disiasat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Suara Perkasa, yang merupakan akhbar Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa)dalam edisi sulungnya menyiarkan berita muka depan yang berunsur provokatif menerusi artikel "Tahan Ka Siong di Bawah ISA".

Konflik antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Khairy berkata memperjuangkan hak orang Melayu bukanlah satu masalah, tetapi kepentingan kaum lain tidak diketepikan.

"Bagi saya BN (Barisan Nasional), Umno kita nak melihat inklusif untuk semua, tidak mengapa Perkasa berjuang untuk orang Melayu, tetapi cara dia buat, saya tidak setuju," katanya.

Sementara itu, Wee ketika ditemui berkata beliau akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung penyiaran artikel tersebut.

Katanya, beliau hairan kenapa perkara itu tersebut masih dibangkitkan sedangkan penjelasan berhubung isu biasiswa telah diberikannya. -BERNAMA