Sunday, July 4, 2010

Raja Petra dibiayai PKR bukan sebaliknya...

Sudah jelas Raja Petra ditaja pembangkang untuk memfitnah kerajaan, malahan Kerajaan mempunyai bukti mengatakan Raja Petra Kamaruddin dibiayai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bukan seperti apa yang diwar warkan oleh beberapa blogger yang cuba mengaitkan hubungan RPK dengan seorang pemimpin Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, rakyat juga kini tidak perlu lagi menerima bulat-bulat apa saja dakwaan yang dibuat pengendali blog berkenaan dan beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Raja Petra Kamaruddin yang kini melarikan diri ke London.

"Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa adalah berbaur politik...jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam, bahawa kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra dibiayai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata bukti-bukti menunjukkan PKR membiayai pengendali laman web Malaysia Today tersebut kini sedang disiasat selanjutnya.

‘‘Memang betul, saya ada bukti, duit dihantar (kepada Raja Petra). Saya ada bukti tunjuk hantar RM500,000, dia (Raja Petra) terima RM470,000. RM30,000 lagi habis ke mana saya tak tahu,” katanya selepas merasmikan program Kempen Kesihatan Gaya Hidup Sihat sempena ulang tahun ke-10 Kelab Senaman Klinik Kesihatan di sini hari ini.

Ditanya apakah kerajaan akan bertindak terhadap PKR, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata: ‘‘Kita kena tengok dulu (siasat) apa kesalahan dilakukan tetapi kita memang ada bukti menunjukkan dia hantar duit kepada Raja Petra.”

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bersedia memberi jaminan terhadap keselamatan Raja Petra jika pengendali portal itu benar-benar takut untuk pulang ke tanah air bagi memberi keterangan.

Fakta bukan Auta! Jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa oleh blogger yang suka mencarut dan suka menyebarkan fitnah!! Mereka menulis semata-mata untuk menimbulkan keraguan dan menulis mengikut perasaan hasad dengki (PHD) "panas berapi" terhadap individu tertentu. Ianya tidak mendatangkan apa apa keuntungan !!

Hentikan budaya hasut menghasut dalam Umno

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata sikap segelintir pemimpin yang terlalu ghairah untuk menjadi calon pilihan raya sehingga sanggup melakukan apa saja termasuk memperlekehkan rakan di dalam parti juga boleh menyebabkan perpecahan.

Pemimpin Umno harus menghentikan budaya menghasut untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin kerana keadaan itu boleh menjejaskan parti dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau bimbang sekiranya budaya kurang sihat terus belaku ia akan memberi laluan mudah kepada pembangkang untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya lg anggota akar umbi tidak mempunyai apa-apa kepentingan namun mudah terpedaya sekiranya dihasut oleh pemimpin yang mempunyai agenda politik sendiri dan seterusnya menimbulkan budaya berpuak-puak.

Mohamed Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kekalahan BN pada pilihan raya umum lepas berlaku akibat perbuatan orang di dalam parti sendiri dan bukan kerana kekuatan pembangkang.

Justeru katanya, rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila tidak menyokong BN kerana ianya berpunca daripada sikap pemimpin sendiri yang tidak bertanggungjawab.

"Sepatutnya pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat untuk meraih sokongan secara sihat dan telus. Dengan mempunyai kekuatan dalam parti ia akan memberi laluan mudah kepada BN untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Nota : Nasihat kepada rakan rakan bloggers... Jangan terlebih makan kari! Nanti perut buncit, bulu banyak macam mawas!! Hati jadi hitam membusuk hingga ke usus.

MELAYU AKAN TERUS MEWARISI TABIAT HASAD DENGKI



Oleh ZAKARIA BIDIN

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa penyokongnya dalam pergerakan tersebut supaya berhenti mengulas mengenai beliau tidak dilantik menganggotai kabinet dalam rombakan terbaru dan sebaliknya meminta mereka memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

Katanya, "Saya berharap setiap orang menghormati visi perdana menteri berkaitan dengan perubahan kabinet dan saya tidak mahu mendengar sebarang komen dari pemimpin Pemuda Umno (mengenainya)," tambahnya.

Habis! Apa lagi yang beliau mahu kata. Memang sudah jelas Pemuda UMNO sedang menghadapi sindrom penghinaan dari kepimpinan atasan jika dihalusi dari segala sudut. Lainlah kalau timbalannya dan Datuk Mukhriz yang kalah di tangan beliau tidak dilantik timbalan menteri.

Sebelum pemilihan lalu, nama Khairy Jamaluddin dikaitkan dengan pelbagai perkara yang sengaja ditimbulkan di mana-mana. Hinggakan kalau ada kopi tumpah di kedai kopi pun ada orang akan berkata, “ini KJ punya kerja la ni.”

Ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya, ada orang kata, “......menantu Pak Lah punya pasal la ni yang kita terperangkap. “



Begitu buruklah persepsi di kedai kopi, di jalan raya hinggalah ke peringkat tertinggi pemimpin kita walaupun Khairy terus merintis jalan kemenangan menjadi Ahli Parlimen Rembau dan seterusnya menjadi Ketua Pemuda UMNO yang sekali gus menjadi Ketua Pemuda Barisan Nasional hari ini.

Argumennya bukan soal KJ tidak dapat jawatan apa-apa dalam kabinet, tetapi kelakuan pemimpin menyisih seseorang dalam senario politik aliran yang sama melalui agihan tempat duduk kepada yang layak, yang tidak layak mahupun yang dipayungterjunkan melalui lantikan senator misalnya. Kerana itulah saya melihat ia sebagai satu penghinaan.

Bagi Khairy pula, tentulah beliau berkata jangan bising-bising dan beliau menyeru penyokongnya menerima hakikat itu dan bunyi katanya ialah lebih penting pemuda memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada.

Dengan maaf, KJ tiada pilihan untuk kata begitu. Saya boleh terus komen kerana saya bukan pemuda di bawah KJ. Namun perlu ingat bahawa walaupun saya orang tua, tetapi saya pernah muda. Mungkin yang muda hari ini belum pernah tua. Walaupun orang tua lain ada yang tidak pedulikan pemuda, tetapi saya amat pedulikan apa yang berlaku dalam pemuda. Lainlah kalau saya tua tanpa melalui usia muda.

Dari setiap apa yang berlaku pada KJ yang kebetulan ditakdirkan menjadi menantu kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan KJ sekali kalau boleh mahu dimantankan. Begitulah pandangan saya secara peribadi dari apa yang berlaku hari ini.

Kerana dek sangkak-sangkak itulah sebenarnya Pemuda UMNO tidak dilihat bermaya daripada banyak segi. Kalau pergerakan itu diibaratkan harimau, ia hanya harimau tanpa taring lagi seperti zaman Datuk Harun Idris.

Orang-orang yang pernah berada di zaman Datuk Harun jadi Ketua Pemuda, pergerakan itu cukup dihormati, cukup ditakuti oleh sayap parti-parti lain termasuk pembangkang. Kerana itulah di saat-saat akhir arwah Datuk Zakaria Md Deros sempat menyatakan zaman semangat kegemilangan Pemuda UMNO sudah lama berkubur.

Beliau menyatakan itu di hadapan saya di Riverside Cafe PWTC dan kami bersama yang lain membacakan Al-Fatihah untuk arwah Datuk Harun. Esok paginya kami mendapat berita Datuk Zakaria telah meninggal dunia.

Walaupun pada fahaman dan akuan Khairy bahawa perdana menteri mempunyai hak budi bicara untuk memilih anggota kabinetnya, tetapi tentunya perdana menteri juga bukan malaikat yang tidak mempunyai kelemahan seperti manusia biasa. Lagi tinggi pangkatnya, lagi banyaklah kelemahannya terserlah.

Perdana menteri juga insan biasa berdarah Melayu yang tidak semestinya tiada sifat-sifat dendam, , cemburu, rendah diri, ego yang tersendiri, boleh terpengaruh dengan pelbagai unsur negatif. Untuk orang politik, petuanya jangan dengar cakap orang dan jangan tidak dengar cakap orang.

Maksudnya dengan dengar cakap orang di sini ialah pastikan ia sahih, sah, ada bukti dan ikhlas dari penyampai. Kalau tidak dengar cakap orang, jangan jadi orang politik kerana apabila orang cakap, ia adalah kritik. Dari kritikan itulah tuan punya badan kena bina sendiri. Jangan minta orang kritik yang membina kerana pakar tidak pakar semua.

Ramai yang berkata, sesudah pertandingan, mana yang dah habis tu habislah. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih dan bersatu tenaga dan jiwa raga kita semua untuk menentang musuh yang berkeliaran di keliling kita sekarang.

Tetapi sayang seribu kali sayang, yang keruh tidak dibuang, ditambah lagi elemen-elemen keruh lain untuk menjadi keadaan lebih keruh. Dengan gejala-gejala tidak puas hati, tidak berkenan, tidak selari dan tidak sehaluan itulah akan menjadikan UMNO yang mengetuai Barisan Naisonal tidak akan menemui satu jalan mudah untuk bertaut semula seperti zaman-zaman kegemilangannya.

Kalau dalam politik ada pepatah yang berkata ‘tiada musuh yang kekal, tiada kawan yang kekal’, ia sudah lama berubah menjadi ‘dalam politik perlu ada musuh dan bila berkawan, awaslah kerana kawan itu boleh makan kawan.’