Saturday, July 31, 2010

It's ON! KJ vs Ibrahim Ali



Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 Ahad ini.

Mereka akan bertemu dalam majlis tersebut yang berkemungkinan besar bertukar menjadi debat.

Memandangkan pada tajuknya serta sejarah hubungan antara kedua-dua mereka, maka forum ini menjanjikan sesuatu yang menarik - antara Khairy, seorang reformis dan Ibrahim yang lantang bersuara - yang beberapa kali 'bertembung' sebelum ini.

Anda juga dijemput melontarkan pandangan dalam apa pun jua isu di FB Rasmi Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau, Ketua Pemuda UMNO Malaysia & Pengerusi Pemuda Barisan Nasional

[Video] Pemuda Harap Kerajaan Kaji Prosedur Saman Ekor, Sambut Baik Guru Berpolitik



Pemuda UMNO hari berharap kerajaan dapat mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan saman ekor dengan mengambil kira proses sedia ada untuk penambahbaikan dan sebagianya bagi mengelakkan ianya memberi implikasi kepada rakyat. Menurut Khairy Jamaluddin prosedur sedia ada banyak menimbulkan masalah dan kepincangan terutama dari segi mereka yang tidak diberitahu saman tersebut sehingga menyukarkan pengguna kenderaaan untuk meperbaharui cukai jalan. Baca lagi...

Pendakwaan Liong Sik bukti kerajaan telus bukan berat sebelah- TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik membuktikan sistem perundangan dan kehakiman negara tidak berat sebelah sebagaimana yang sering didakwa pihak pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, ia membuktikan sistem perundangan di negara ini adalah saksama dan telus kerana tindakan tetap diambil walaupun terhadap seorang bekas anggota Kabinet BN.

"Ini soal undang-undang dan penyiasatan pihak berkuasa...bila sampai satu peringkat pihak berkenaan berpendapat ada tindakan yang perlu diambil, maka mereka bertindak.

"Biasalah pembangkang akan buat apa sahaja kenyataan apabila keputusan tidak menyokong mereka, mereka katalah tidak adil," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pendakwaan Dr Ling di Mahkamah Sesyen semalam.

Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas majlis meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia ke Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 berkata, beliau bagaimanapun yakin pihak berkuasa dan sistem kehakiman negara akan berlaku adil kepada semua pihak.

"Kita serahkan semuanya kepada pihak berkuasa dan sistem kehakiman kerana sejak dulu kita yakin bahawa seseorang itu adalah "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah," katanya.

Ditanya sama ada perlu diwujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan anggota Kabinet tidak memberi maklumat palsu, Muhyiddin berkata, ia tidak perlu kerana kerajaan yakin sistem sedia ada masih relevan dan boleh diguna pakai.

Bekas Menteri Pengangkutan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Dr Ling, 67, didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah berkenaan.

- Bernama

Friday, July 30, 2010

Kenyataan Akhbar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) pada hari ini, kami telah membuat beberapa ketetapan sepertimana berikut:

1) Pemuda UMNO menyambut baik keputusan Kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk aktif di dalam parti politik. Namun Pemuda UMNO berpendapat janganlah sampai pemahaman politik guru-guru ini di bawa masuk ke bilik darjah. Walaupun mereka kini dibenarkan aktif dalam politik, tahap profesionalisme mesti sentiasa dijaga dan ditingkatkan.

Pada masa yang sama Pemuda UMNO berharap agar keputusan ini diperluaskan bagi merangkumi golongan mahasiswa dan pensyarah di institusi-institusi pengajian tinggi.

Kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya golongan mahasiswa dibenarkan terlibat secara bebas dalam politik dan menggesa Kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kearah ini.

2) Pemuda UMNO memohon agar Kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem saman ekor lanjutan pelbagai masalah yang telah timbul di mana ramai pemilik kenderaan tidak tahu menahu mengenai saman yang telah dikeluarkan terhadap mereka. Antara lain, pemilik kenderaan yang menganggap diri mereka tidak bersalah atas saman tersebut atau langsung tidak menerima apa-apa notis saman terpaksa membayar saman berkenaan semata-mata untuk membolehkan pembaharuan cukai jalan dan mengelakkan dari didakwa. Pemuda UMNO menganggap perkara ini adalah tidak adil bagi para pemilik kenderaan dan berharap agar Kerajaan akan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan sistem saman ekor.

Kami juga menggesa Kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan saman tersebut dikompaun. Keputusan ini juga amat membebankan rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan.

3) Pemuda UMNO memohon penjelasan dari Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, berkenaan arahan beliau kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan dari ahli politik. Arahan KSN memberi gambaran seolah-olah surat sokongan ahli politik adalah suatu tindakan menyalah gunan kuasa. Di sini Pemuda UMNO membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan sebagai tindakan salah guna kuasa oleh ahli politik kerana seringkali wakil rakyat menyokong permohonan rakyat bukan atas pertalian politik tetapi semata-mata mahu membantu rakyat. Kes-kes ini bukan hanya melibatkan kontrak atau perolehan Kerajaan tapi kebanyakkannya adalah permohonan untuk biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan.

Surat sokongan ahli politik juga diperlukan apabila pemohon gagal mendapat layanan yang baik dan adil dari jabatan kerajaan berkenaan. Walaupun Pemuda UMNO berpendapat majoriti kakitangan awam bersikap profesional, ada segelintir Napoleon kecil yang tidak layan pelanggan mereka, yakni rakyat biasa, dengan baik dan adil. Adalah diharapkan KSN dapat memberi penjelasan dalam hal ini.

Sumber: www.rembau.net.my

Kerajaan Proaktif, Berani Cari Kebenaran -Pemuda


Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik langkah proaktif dan tindakan berani Kerajaan menyerahkan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melalui proses pengadilan dan perbicaraan di mahkamah, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Di dalam kenyataan media yang dikeluarkan tengah malam tadi, beliau berkata, rakyat Malaysia harus menyambut baik tindakan proaktif dan berani Kerajaan dalam mencari kebenaran di sebalik kontroversi berhubung projek PKFZ.

“Petang tadi kita dimaklumkan bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik telah didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek “Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan memastikan siasatan berhubung PKFZ dijalankan secara komprehensif dan telus. Pada masa yang sama kita perlu memberi Tun Dr. Ling peluang untuk membela dirinya dan pegang kepada prinsip beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian,” katanya.