Monday, November 22, 2010

Muhyiddin : Pertubuhan Silat Harus Main Peranan Penyumbang Modal Insan


Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA (PSSLM). Pertubuhan yang dipimpin oleh DATUK HAJI OMARDIN BIN MAUJU ini yang bergerak aktif sejak dari tahun 1963 dengan 5 anak murid (didaftarkan pada tahun 1969), bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara.


Dengan keunggulan kepimpinan Datuk Mahaguru Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih kurang dari 1 000 000 orang ahli di seluruh dunia dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad (kini Tun) pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai “Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul” . Untuk mencipta sejarah kegemilangan Silat Lincah ini bukannya satu usaha yang mudah.

Pertubuhan-pertubuhan seni silat Melayu harus memainkan peranan sebagai penyumbang pembinaan modal insan bagi generasi akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pertubuhan berkenaan juga perlu berusaha untuk meningkatkan minat generasi muda dalam seni silat di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan di pusat-pusat masyarakat termasuk di masjid-masjid.

"Pada masa sama kita perlu ingat bahawa generasi muda hari ini adalah pewaris agama, bangsa dan tanah air di masa akan datang.

"Mereka perlu disantuni dan diajak menyelusuri kesenian serta disiplin seiring dengan modul pembelajaran silat itu sendiri", katanya pada majlis Perhimpunan dan Penganugerahan Ulul Amri keempat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di sini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang juga Ulul Amri pertama Silat Lincah Malaysia menyampaikan anugerah Ulul Amri keempat itu kepada Muhyiddin.

Muhyiddin berkata masyarakat tidak harus mengalah untuk mendekati generasi muda serta jangan meletakkan tanggungjawab itu di bahu pemimpin kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Menurutnya modul latihan silat yang bersepadu terbukti mampu membentuk keperibadian jati diri individu yang tinggi dan boleh mempengaruhi ramai masyarakat sama ada orang Melayu mahupun bukan Melayu untuk mempelajarinya.

"Kerajaan dari awal lagi sentiasa menyokong pergerakan pertubuhan seni silat dan seiring dengan usaha itu, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan pertubuhan silat agar ia diiktiraf dan dipelajari serta seiring dengan lunas-lunas Islam sebagai agama rasmi negara," katanya.

Muhyiddin berkata pertubuhan seni silat mendidik ahlinya mempunyai semangat kekitaan iaitu jika dikembangkan lagi dalam konteks kepimpinan, ia akan dilihat sebagai perpaduan secara berkumpulan tanpa mengira aspek politik, ekonomi mahupun kemasyarakatan.

Katanya kemampuan ini secara tidak langsung memperlengkapkan generasi muda bagi membela agama, bangsa dan tanah air pada masa depan, katanya.


Ketua Pemuda Umno Malaysia, YB Khairy Jamaluddin menerima penganugerahan Selempang Kehormat Tertinggi Pertubuhan Silat Lincah.

Monday, November 8, 2010

Banjir di Kedah... PAS diminta selesaikan masalah bekalan air.

ALOR SETAR, 4 NOV - Kerajaan PAS Kedah diminta menyelesaikan segera masalah bekalan air kepada penduduk berikutan banjir di negeri itu sekarang.



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata meskipun bekalan makanan dan minuman di pusat-pusat penempatan banjir di negeri itu mencukupi, terdapat kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian.

"Ada mangsa yang mengadu sudah dua tiga hari tidak dapat mandi kerana kekurangan bekalan air bersih. Malah ia menyusahkan mereka termasuk untuk memasak dan membasuh pinggan," katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus di sini Khamis.



Katanya jika kerajaan PAS Kedah tidak mampu menangani masalah berkenaan, maka mereka mesti mengakuinya agar tanggungjawab itu boleh diambil alih segera oleh kerajaan pusat.

"Ini di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, harap mereka dapat buat sesuatu sebab kita tidak tahu berapa lama lagi mangsa akan berada di pusat penempatan.

"Kalau tidak mampu mereka kena bagi tahu supaya Pusat boleh ambil alih kerana ini sudah sampai tahap krisis," katanya.

Masalah bekalan air bersih berlaku berikutan peningkatan keperluan penggunaan oleh mangsa-mangsa banjir yang semakon ramai dan ia diburukkan lagi dengan pemberhentian operasi Loji Bukit Pinang sejak dua hari lepas akibat ditenggelami air.







Khairy berkata Pemuda Umno menggerakkan inisiatif dengan membekalkan bantuan minuman dan roti kepada mangsa banjir di pusat-pusat penempatan termasuk di Kuala Kedah, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Jerlun.

Katanya di kawasan lain yang terputus hubungan, bantuan kewangan akan disalurkan kepada Ketua Pemuda Umno negeri bagi tujuan sama.

Kedah adalah antara negeri yang teruk dilanda banjir kali ini. Sehingga 9 pagi tadi, lebih 28,000 dipindahkan ke pusat penempatan sementara.



(Sumber: Bernama)

Saturday, October 30, 2010

[Video] PRK Dun Galas: Pakatan pembangkang tidak berprinsip seperti BN - Razali

Penduduk Suka Kempen Bersemuka Di Galas


Stesen Kereta Api Gua Musang sentiasa sibuk setiap pagi tatkala keretapi membuat persinggahan dengan penumpang turun-naik mengangkut "produk agro" masing-masing untuk dipasarkan.

Sejurus kereta api berlalu pergi, suasana kembali tenang kecuali kedai kopi di stesen itu yang dipenuhi pengunjung untuk bersarapan pagi.

Pada pagi Khamis, seorang pemuda berkemeja putih kelihatan mendekati, bersalaman sebelum duduk semeja sambil berbual mesra dengan beberapa lelaki termasuk seorang kakitangan stesen yang sedang menikmati nasi lemak dan teh tarik.

Khairy Jamaluddin dilihat menghabiskan dua gelas teh ketika bersembang lebih setengah jam di meja tersebut. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sebenarnya cuba memenangi hati pengundi supaya memilih calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff, 49, pada pilihan raya kecil kerusi negeri Galas 4 Nov depan, menentang calon Pas Dr Zulkefli Mohamed, 44.



Pendekatan Khairy itu adalah cara jentera BN berkempen di bawah kepimpinan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil di Galas.

Berbeza sebelum ini, BN tidak lagi menumpukan kepada program besar-besaran serta penganjuran pelbagai aktiviti dengan menjadikan pemimpin besar sebagai 'umpan' bagi memancing kehadiran penduduk.

Kempen kali ini dirangka secara strategik bagi menghasilkan impak terhadap pengundi iaitu berkempen secara bersemuka, yakni terus kepada kumpulan sasaran iaitu pengundi dan rakyat.



Sebelum ini, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan "Ku Li" membuat tinjauan mesra di pelbagai tempat sekitar bandar Gua Musang termasuk di kalangan peniaga Cina.

Pada Khamis, tokoh veteran UMNO berusia 73 tahun itu meredah laluan berlumpur dengan kenderaan pacuan empat roda menuju ke penempatan Orang Asli paling jauh di pedalaman iaitu Pos Balar yang terletak lebih tiga jam perjalanan dari sini.

"Sangat berbeza daripada strategi BN sebelum ini. Kempen bersemuka mampu meruntun hati siapa sahaja yang ditemui, apatah lagi dengan statusnya sebagai kerabat diraja Kelantan," kata seorang wakil media yang mengikuti gerak kerja kempennya.

Menurutnya strategi sedemikian juga dilihat berjaya meredakan kempen "keji mengeji, memaki hamun" terhadap pemimpin tertentu melalui ceramah sehingga larut malam seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Tengku Razaleigh merupakan tokoh yang dihormati kerana membangunkan jajahan Gua Musang sejak menjadi wakil rakyatnya selama 41 tahun mulai 1969.

Sementara itu, beberapa penduduk Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang yang ditemui menyatakan perasaan lega kerana strategi kempen oleh Tengku Razaleigh berjaya mengelak bandar itu dilanda kesesakan lalu lintas atau "jerit pekik" penceramah pada waktu malam.

"Corak kempen begini lebih baik di Gua Musang...orang di sini lebih suka dengan cara begini.

"Saya sudah lama berkhidmat di sini. Rakyat lebih suka kita mendekati mereka dengan cara ini...tak perlu buat program-program besar, tak ada kesesakan, malah pengundi dan penduduk juga tak terganggu," kata Tengku Razaleigh ketika ditanya kempen BN yang dilihat masih perlahan walaupun selepas empat hari penamaan calon berlalu.

Kawasan Dewan Undangan Negeri Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar termasuk 1,889 pengundi Orang Asli. Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandang Che Hashim Sulaiman dari PAS, 27 Sept lepas.

Oleh: Mohd Yusof Saari