Monday, September 5, 2011

Nurul Nuha Anwar Muncul Di Pentas Politik


Percatur politik terbaru Anwar terkini ialah menurunkan anak Perempuannya Nurul Nuha adik kepada Nurul Izzah puteri kedua Anwar Ibrahim turun ke pentas politik bagi menguasai legasi PKR.

Nurul Nuha antara nama yang kuat di canang bertanding bagi kerusi PKR Nibong Tebal. Ini bagi menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal sekarang, YB Tan Tee Beng yang telah bertindak keluar parti menjadi calon bebas.

Adakah Nurul Nuha mampu memenangi kerusi tersebut kita tunggu, kita lawan...

KJ Terima Cabaran Debat vs Mat Sabu Di Kubu PAS


Khairy Jamaluddin menerima cabaran berdebat berhubung kenyataan kontroversi Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong dan desakan bertubi-tubi agar dikaji semula fakta sejarah, dan bersedia untuk bertemu di kubu kuat PAS di Kelantan.

Ketua Pemuda Umno ini berkata beliau telah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

“Saya akan berada di sana,” kata Khairy menerusi mesej Twitter semalam sambil menambah, jemputaan untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PAS itu sudah pun diterima.

Jemputan debat itu akan berlangsung di Balai Islam, Kota Baru akhir bulan ini.

Meskipun surat itu mengatakan bahawa pentadbiran Kelantan masih membuat persiapan untuk membawa Mohamad berdebat dengan Khairy, Ahli Parlimen Rembau mahu berhadapan dengannya.

“Tidak perlu mencari lokasi berkecuali. Sarang singa anda. Jumpa di sana, Mat Sabu,” kata Khairy lagi menerusi Twitter.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada ia debat yang disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan Kelantan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya.

Tambah beliau, atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pertimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, PAS melalui Lujnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah untuk menangani isu “Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?” dalam sejarah tanah air sebelum negara merdeka. -TMI

Pemuda Anjurkan Jelajah Pentas Patriot Kenang Jasa Wirawan Negara

Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan program Pentas Patriot bagi menghargai dan mengenang jasa wira-wira petugas keselamatan yang telah berhempas-pulas mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, program tersebut adalah lanjutan daripada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang telah mengguris perasaan rakyat Malaysia terutama bekas perajurit, anggota polis dan waris mangsa tragedi Bukit Kepong.

"Sudah tiba masanya, suatu program ceramah umum berbentuk jelajah diadakan bagi menghargai dan mengenang kembali sumbangan wira-wira petugas keselamatan yang telah berhempas-pulas menggadai nyawa menentang pengganas komunis," katanya di laman facebook rasminya http://www.facebook.com/khairykj

Tapak Balai Polis Selepas Serangan

Jelasnya, Pentas Patriot akan diadakan di seluruh negara dengan pengisian yang mencakupi tayangan video dan multimedia, ceramah umum daripada Unit Pidato Pemuda UMNO serta bekas-bekas komando, askar, pasukan polis dan pakar-pakar sejarah.

"Program ini diharap bukan sahaja dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan wira-wira negara bahkan meniup semangat patriotik di kalangan rakyat, terutama anak-anak muda.

"Melalui program ini juga, anak-anak muda akan didedahkan dengan peristiwa bersejarah yang menyoroti perjuangan wira-wira negara bagi mendapatkan kemerdekaan," katanya.

Jelas Khairy, Pentas Patriot akan menjadi medium bagi mendedahkan penipuan yang cuba diabadikan oleh Mohammad Sabu melalui teorinya yang secara jelas tidak mahu menerima hakikat bahawa kebebasan dan kemerdekaan negara dicapai tanpa sebarang pertumpahan darah.

"Pemuda UMNO menganggap kenyataan Mohammad Sabu itu bukan sahaja menghina dan mengkhianati perjuangan anak bangsa malah mengagungkan pengganas komunis semasa tragedi Bukit Kepong dan menampakkan belang sebenar Pas yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik mereka.



"Malah sikap Muhammad Sabu serta kepimpinan pembangkang yang langsung tidak menampakkan kekesalan dengan menuding jari kepada UMNO amatlah memualkan," ujar beliau.

Tambahnya, Pentas Patriot yang akan bermula dalam masa terdekat adalah langkah terbaik bagi menangani isu berkenaan.

"Kami menyeru rakyat untuk hadir beramai-ramai bagi menyertai program ceramah umum berkenaan," katanya.