Monday, February 13, 2012

Mahasiswa Perlu Bijak Menilai Jika Mahu Berpolitik


Mahasiswa perlu bijak menilai pandangan dan perjuangan politik di negara ini sekiranya mahu berpolitik bagi memastikan pewaris legasi negara itu tidak dijadikan boneka pihak yang berkepentingan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mahasiswa perlu mendengar dan meneliti pandangan politik pelbagai pihak, sebelum menyatakan sokongan terhadap pihak yang dipilih.

"Jangan dengar satu pandangan daripada satu pihak terus sokong, jangan memihak kepada sesuatu pendapat secara melulu, nilai sedalamnya terlebih dahulu.

"Memang tidak boleh elak ada pihak yang mahu jadikan mahasiswa ini boneka mereka, maka mahasiswa perlu bijak menilai semua ini bagi memilih mana yang baik,” katanya.

Sumber: Bernama

Sunday, February 12, 2012

PAS Mahu Korbankan Salahuddin Di Johor


Pakatan Rakyat (PR) usah terbuaibuai dengan keyakinan bahawa mereka bakal membentuk sebuah kerajaan meskipun membuat keputusan untuk meletakkan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri ini.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, memang sudah tiba masanya anak Johor (Salahuddin) bertanding di negeri ini yang merupakan negeri kelahirannya.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan kedatangan beliau ke negeri ini kerana ia menjadi ujian kepada kubu kuat BN.

“Beliau diuar-uarkan menjadi calon Menteri Besar Johor oleh PR. Kita tengok siapa yang lebih berpengaruh.

PR belum tentu boleh menang,” katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Parlimen Pulai di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan seramai lebih 600 penerima sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Kempas menerima bantuan terbabit yang mana pemberian kelima bagi fasa pertama untuk kawasan Parlimen Pulai.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng dan Pengerusi Jawatankuasa Penyerahan BR1M Parlimen Pulai, Ramlee Bohani.

Sementara itu, Adun Kempas, Datuk Osman Sapian menyifatkan keputusan sedemikian seolah-olah menempah ‘maut’.

“Keputusan ini dibuat seolah-olah mereka menempah maut sahaja. Selama ini kita yang buat kerja. Dia datang sekadar untuk bertanding sahaja. Rakyat sendiri boleh membuka mata dan mengukur sendiri siapa yang membuat kerja.

“Siapa dahulu yang bantu orang miskin, tingkatkan infrastruktur.

Minta maaf ya, siapa yang mengundi Pas adalah orang yang buta hati. Rakyat pun semakin bijak untuk menilai.

“Saya dengar pun antara Pas dan PR sendiri masih ada rebut-rebut kerusi. Mereka juga tiada kesepakatan. Saya sendiri akan ‘all out’ kalau Salahuddin mahu bertanding di Johor,” katanya.

Penyanyi Legenda Whitney Houston Meninggal Dunia


LOS ANGELES 12 Feb. – Penyanyi pop legenda dan pelakon, Whitney Houston, 48, yang pernah menguasai dunia muzik Amerika Syarikat dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, ditemui mati di hotel di Berverly Hills, kata polis.

“Pada pukul 3:55 petang (semalam), Whitney Houston diisytihar meninggal dunia di sebuah hotel di Beverly Hills,” kata jurucakap polis, Mark Rosen.

Beliau berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seseorang di dalam rombongan beliau dan menemui Houston di atas lantai di bilik hotelnya di tingkat empat ketika usaha telah dibuat untuk memulihkan beliau.

“Tiada tanda jelas berlaku sebarang kejadian jenayah pada masa ini dan kes ini sedang disiasat oleh polis Beverly Hills,” kata jurucakap tersebut.

Punca kematian belum dapat diketahui pada masa ini. – AFP