Tuesday, March 20, 2012

Kes Saman RM30J Terhadap Guan Eng... Bicara 27, 30 April ini


Kes saman RM30 juta oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan empat yang lain atas dakwaan memfitnah akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 dan 30 April depan.

Peguam Datuk Jahaberdeen Mohd. Yunoos memberitahu pemberita, beliau sebelum itu memohon supaya Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah merekodkan bahawa peguam yang mewakili Guan Eng tidak berhasrat untuk memfailkan permohonan supaya kes saman itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 2 hingga 6 April depan bagi perbicaraan tersebut namun menurut Jahaberdeen tarikh itu tidak bersesuaian dengan peguam Karpal Singh yang mewakili Guan Eng.

Pada 24 Okt. 2011, Zainal Abidin memfailkan saman fitnah terhadap Guan Eng setelah mendakwa beliau mengaitkan UMNO dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang. - UTUSAN

Kerenah Anwar Merosakkan Pas


APABILA ahli-ahli Parlimen pembangkang melatah dengan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, kelmarin bagi mempertahankan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sokongan beliau kepada keselamatan negara Israel ia sudah membuktikan bahawa isu berkenaan benar-benar memberi tekanan kepada mereka.

Apatah lagi sehari sebelum itu Anwar yang selama ini dianggap jaguh bercakap dan berpidato, terkedu dengan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang 'memerangkap' beliau mengenai istilah contingent.

Semua orang tahu bahawa Anwar sudah terperangkap dalam isu ini dan beliau sememangnya mengeluarkan kenyataan menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Kalau Anwar tidak berbuat demikian dan tidak bermaksud demikian kenapakah Majlis Syura Ulama Pas memberi kata dua kepada beliau untuk menarik balik atau menyaman The Wall Street Journal (WSJ).

Berikutan itu pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk Pas tidak ada pilihan, selain terpaksa mempertahankan Anwar.

Pas yang sebelum ini dilihat lantang dalam isu Israel termasuklah mendesak Anwar, ternyata hangat-hangat tahi ayam. Ia sekali gus bermakna kepimpinan Pas juga sudah semakin boleh menerima penjelasan dan pendirian Anwar mengenai Israel.

Sebenarnya, penulis diberitahu oleh penyokong-penyokong Pas dan sumber dalaman parti itu bahawa Pas semakin rimas dengan kerenah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sudah menjadi liabiliti kepada pembangkang dan ia paling banyak menyusahkan Pas.

''Ini kerana tindakan Anwar banyak bertentangan dengan prinsip perjuangan Pas tetapi kepimpinan parti tidak boleh berbuat apa-apa kerana pengaruh Anwarinas di dalam Pas terlalu kuat dan kukuh,'' kata salah satu sumber itu ketika dihubungi.

Bagaimanapun dalam isu Israel kata sumber tersebut tekanan ahli-ahli di peringkat akar umbi begitu ketara, mereka tidak mahu kepimpinan atasan bertolak-ansur lagi dengan Anwar.

Ada antara mereka dalam perjumpaan dan mesyuarat tertutup dengan kepimpinan pusat dan negeri secara lantang bertanya sampai bilakah Pas hendak menjadi 'pencacai' untuk mencuci dosa-dosa Anwar.

''Mereka hairan kenapakah Pas sanggup terus mempertahankan Anwar sedangkan sepatutnya parti itu bertindak menyingkirkan pemimpin PKR tersebut kerana beliau lebih banyak membawa masalah daripada mendatangkan manfaat kepada pembangkang terutamanya Pas.

''Sebahagian ahli Pas berpendapat, pemimpin-pemimpin mereka jauh lebih baik daripada Anwar tetapi malangnya Pas terpaksa menghabiskan masa untuk mempertahankan tingkah laku Anwar,'' kata seorang pemimpin Pas di sebuah negeri ketika dihubungi.

Selain itu penulis diberitahu di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli Pas terutamanya mereka yang menyokong kepimpinan ulama semakin bosan dengan tindak tanduk Anwar yang cuba menggambarkan dirinya sentiasa berada dalam posisi teraniaya, difitnah dan menjadi mangsa konspirasi.

Menurut pemimpin tersebut, walaupun suatu ketika dakwaan Anwar itu dipercayai oleh penyokong pembangkang termasuk Pas tetapi apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada Anwar.

''Dalam banyak kes Anwar dilihat hanya membuat penafian semata-mata begitu juga dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini. Hujah Anwar terlalu rapuh dengan menganggap is konspirasi sedangkan bukti-bukti menunjukkan sebaliknya.

''Seharusnya Anwar melakukan tindakan bagi membersihkan namanya termasuk memanggil pakar-pakar asing membantunya tetapi beliau tidak berbuat demikian.

''Begitu juga dalam isu Israel, kalau betul WSJ salah atau media tempatan salah, kenapa tidak saman? Kenapa Anwar hanya sekadar menafikannya,'' kata beliau.

Selain itu penyokong-penyokong Pas di peringkat akar umbi juga kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin kanan parti itu yang dilihat lebih banyak tunduk kepada Anwar berbanding melihat kepada kepentingan perjuangan Pas.

Seorang pemimpin daripada golongan ulama ketika ditanya mengenai perkara ini berkata, beliau hairan kenapakah Pas terlalu percayakan Anwar sedangkan beliau kini sudah menjadi liabiliti kepada pembangkang.

Katanya, tindak-tanduk Anwar banyak menjejaskan imej Pas sebagai rakan sekutu, apatah lagi Pas berimej perjuangan Islam tetapi bersekongkol dengan Anwar, yang dilihat melakukan banyak tindakan kontroversi berkaitan Islam.

''Dalam beberapa pertemuan, saya pernah secara terbuka membangkitkan perkara ini, saya katakan kalau Pas masih lagi mahu bersama Anwar, saya bimbang orang Melayu terutamanya atas pagar akan menolak Pas dalam pilihan raya akan datang.

''Saya juga telah berikan pandangan bahawa Pas kena hati-hati dalam isu Israel ini kerana kelompok penyelidikan Pas sendiri mendapati bahawa kenyataan Anwar itu tidak diputar-belitkan oleh mana-mana media termasuklah Utusan Malaysia,'' katanya.

Selain itu, menurut beliau, turut memberi kesan kepada Pas ialah 'road show' yang dilakukan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali yang mendedahkan pelbagai kepincangan Pas.

Kata beliau apa yang menimbulkan persoalan di kalangan penyokong-penyokong Pas ialah kegagalan pemimpin-pemimpin parti itu menyanggah pendedahan Dr.Hasan terutamanya berkaitan Anwarinas dan peranan DAP.

''Sebahagian besar penyokong Pas yang menghadiri ceramah Dr.Hasan merasa hairan kerana pemimpin Pas tidak menjawab balik segala pendedahan beliau. Ini menyebabkan mereka cenderung untuk mempercayai bahawa pendedahan Dr.Hasan adalah satu kebenaran,'' kata beliau.

Hakikatnya, banyak lagi yang didedahkan oleh pemimpin berkenaan kepada penulis tetapi mesej yang ingin beliau sampaikan ialah bagaimana perjuangan politik Pas kini berada dalam bahaya kerana kerenah Anwar yang semakin mengancam perjalanan politik parti itu.

Apa pun sama ada pemimpin-pemimpin Pas akan mengakui atau tidak segala yang didedahkan ini terpulang kepada mereka tetapi apa yang pasti selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang, ia bukan sahaja semakin menghakis imej Islam parti itu tetapi juga boleh meranapkan perjuangan politik mereka.-Utusan

Godfather DAP Tunjuk Kuasa


Karpal Singh betul-betul menyinga kali ini apabila Jawantankuasa Disiplin DAP mengambil keputusan membebaskan P. Ramasamy daripada tuduhan melanggar disiplin parti.

Pelik bin ajaib betul sikap Godfather DAP seorang ni, Disember tahun lepas, dia juga yang beria-ia mahu pertelingkahannya dengan Ramasamy diserahkan jawatankuasa tatatertib parti untuk diselesaikan.

Selepas berperang mulut dengan timbalan setiausaha agung DAP, P Ramasamy, pengerusi kebangsaannya, Karpal Singh berkata, beliau lebih suka krisis tersebut diselesaikan melalui saluran dalaman parti.

- Malaysiakini, 29 Disember 2011 -
Namun, bila keputusan tidak mengikut kehendak nafsunya sebaliknya memihak kepada Ramasamy, dia pula yang meloncat tak puas hati.
Sudah tabie agaknya, keadilan hanya di akui oleh Karpal hanya bila ianya memenuhi seleranya saja. Jika sebaliknya, selagi itulah dia akan melompat sambil mendabik dada dialah godfather dan dialah pembawa panji keadilan di seantero dunia.
Perang terbuka antara Karpal dengan Ramasamy sebenarnya hanyalah lanjutan daripada protes kecil kaum India terhadap Karpal SIngh & DAP yang sekian lama dilihat hanya mempergunakan sokongan masyarakat India untuk kepentingan politik saja.
Apabila kuasa sudah berada dalam tangan, pengorbanan kaum India di perkecilkan, tidak ubah umpama habis madu sepah dibuang.
Malah sejak wujudnya pertelingkahan terbuka antaranya dengan Ramasamy, telah ramai pemimpin & ahli DAP keturunan India yang dipecat atau digugurkan jawatan mereka hasil campurtangan Karpal Singh.
Termasuklah kes terbaru pengguguran empat orang ahli DAP yang menganggotai Lembaga Pembiayaan Hindu & Lembaga Rayuan Negeri.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Karpal Singh juga mengesahkan pemimpin tertinggi DAP mengambil keputusan untuk menggugurkan empat anggota parti, yang dilantik oleh Ramasamy yang juga adalah timbalan ketua menteri Pulau Pinang II, daripada Lembaga Pembiayaan Hindu dan Lembaga Rayuan Negeri dalam masa terdekat.

- Malaysiakini, 18 Mac 2012 -
Pantang kena dikritik, terus dikorek hingga ke lubang cacing mencari siapa saja yang bersekongkol menyokong P. Ramasamy, tiada yang akan terselamat.
Dulu pun, waktu wujudnya penentangan terbuka terhadap kepimpinan diktatorship Lim Kit Siang yang digerakkan oleh Wee Cho Keong, ramai pemimpin berkaliber DAP menjadi mangsa kerakusan kuasa Lim Kit Siang.
Segalanya dilakukan demi untuk mempertahankan kedudukan masing-masing dalam DAP.
Lim Kit Siang dengan agendanya meng 'dinasti' kan DAP begitu juga Karpal dengan gerakan untuk meletakkan anak-anaknya dalam kepimpinan pusat parti.
DAP yang gah bercakap soal kebebasan bersuara, hak menyuarakan pendapat akhirnya menjadi parti anak beranak yang hanya sesuai di ikuti oleh pak turut dan pak sanggup.

Monday, March 19, 2012

Isu Air: Khalid Ibrahim Khianati Rakyat Selangor


Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor semalam mengadakan perjumpaan dengan dua operator air antarabangsa - Suez Environment yang berpangkalan di Perancis dan Wessex Water dari United Kingdom. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk mendapatkan pandangan pengurusan air yang cekap sebagai persediaan Kerajaan Negeri mengambilalih industri air.

Jika ini bukan bukti mentaliti dijajah yang masih membelenggu fikiran pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR), maka ia adalah bukti bahawa PR mempunyai agenda tersembunyi dan dengan sengaja menolak mentah-mentah penyelesaian yang boleh dicapai yang ditawarkan oleh kerajaan pusat tetapi meminta ‘nasihat’ pakar asing bagi mengatasi masalah ini.

Pakar asing tersebut dikatakan bersedia berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model kerajaan Negeri bukan saja cekap dan berkesan malah boleh dibekalkan pada tarif yang munasabah.

Logiknya, tidak mungkin mereka tidak ‘bersedia’ untuk apa saja jika ia bermakna membawa keuntungan kepada syarikat mereka.

Tindakan Khalid ini bukan sahaja menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat Selangor tetapi ia juga dilihat sebagai pengkhianatan terhadap negara kerana beliau secara terang-terangan menggambarkan kepada pakar luar tersebut bahawa kerajaan pusat bersikap tidak telus dan syarikat pengurusan air yang ada di negara ini tidak mahir belaka.

Malah beliau dengan ‘khianatnya’ berkata “kes di Selangor bukan soal apa yang anda boleh lakukan tetapi siapa yang anda kenal."

Pakar-pakar tempatan telah membentangkan masalah air yang bakal melanda Selangor jauh lebih awal sebelum ini. Lanjutan dari itu, kerajaan pusat telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani masalah ini.

Untuk tujuan itu, fasa awal projek air bernilai RM8.65 bilion itu telah diluluskan oleh kerajaan Selangor semasa di bawah perintah Barisan Nasional, tetapi fasa berikutnya terhenti selepas Pakatan Rakyat menguasai Selangor dalam pilihan raya umum 2008.

Kerajaan negeri Selangor menawarkan sebanyak RM5.7 bilion untuk membeli kesemua syer-syer bukan milik kerajaan negeri dalam SYABAS, Puncak Niaga, SPLASH dan ABBAS dan berjanji untuk menurunkan tarif air sebanyak 24%. Logiknya bagaimana kerajaan negeri mahu menurunkan tarif sebanyak 24% sedangkan untuk membeli keseluruhan aset ini sahaja kerajaan negeri perlu membuat pinjaman sebanyak RM5.7 bilion?

Kerajaan negeri Selangor juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat dari Timur Tengah sebagai pilihan untuk menguruskan air Selangor dan syarikat tersebut bersedia menawarkan sehingga RM20 bilion bagi mengambil alih pengurusan air di lembah Klang. Tetapi, ini pasti bermakna tariff air akan meningkat dengan drastik sekali. Tidak mungkin kerajaan negeri dapat membekalkan air dengan murah setelah menghabiskan RM20 billion untuk tujuan itu?

Kerajaan Persekutuan telah membayar pampasan bagi pengambilan tanah untuk menampung penyaluran air mentah dari Pahang dan semua syarat permohonan telah dipenuhi. Untuk itu, kerajaan Persekutuan memerlukan kebenaran kerajaan Selangor untuk memulakan kerja-kerja pembinaan melalui empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang.

Kerajaan Pusat juga telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor tetapi masih tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri Selangor.

Khianatnya kerajaan negeri Selangor ini sehingga mereka sanggup mengarahkan semua Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah supaya menghalang sebarang kerja-kerja pembinaan laluan paip penyaluran air dari negeri Pahang dilakukan.

Kerana ingin mengaut keuntungan licik, sama ada melalui perlantikan pakar asing atau apa saja, Khalid sanggup membiarkan rakyat Selangor menderita sedangkan beliau tahu yang bekalan air akan terus susut sehingga 13.4% jika penyelesaian tidak dilakukan dengan segera iaitu menyiapkan projek kerajaan pusat tersebut sebelum Jun 2014.

Justeru, tidak ada cara lain untuk rakyat Selangor menyelamatkan diri dari terus dikhianati oleh Menteri Besar sendiri. Caranya ialah mengembalikan Selangor ini kepada kerajaan pusat melalui pilihanraya nanti.

Mungkin ada yang menganggap artikel ini sebagai bahan kempen pilihanraya namun, sama ada ia bahan kempen atau tidak, ia hanya membawa fakta kebenaran semata-mata. Sesungguhnya nasib rakyat Selangor berada di tangan sendiri.

Thursday, March 15, 2012

Isu Israel: Video KJ Kantoikan Anwar


Anwar Kantoi, Tak Terjawab Bab Israel

Anwar kelihatan begitu emosi bila dipersoalkan begitu hingga kedengaran membebel hal-hal menyentuh peribadi Khairy yang tidak relevan dengan perbahasan mengenai isu itu.

Ramai pemerhati yang melihat perbahasan itu menerusi CCTV di luar dewan tertawa melihat gelagat Anwar seperti orang tenggelam punca.