Monday, July 23, 2012

Azmin Layan Wan Azizah Macam Sampah


Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Malaysia seorang presiden parti terpaksa merayu untuk mendapatkan kerusi untuk bertanding kecuali dalam PKR.

Begitulah yang terjadi kepada Presiden PKR, Wan Azizah Ismail apabila hasrat beliau untuk bertanding di peringkat negeri pada pilihan raya umum akan datang disambut dingin oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri.

Bukan sahaja dingin malah ada sesetengah pemimpin PKR seperti Timbalan Presiden menunjukkan sikap antagonis terhadap cadangan presidennya sendiri.

Sepatutnya seorang presiden parti politik mempunyai kuasa besar dalam perjalanan organisasinya.

Lihat daripada apa yang pernah berlaku di dalam kemelut parti-parti politik di negara ini, presiden mempunyai kuasa untuk memecat anggota parti, mengenakan tindakan disiplin, menentukan calon-calon yang sekepalanya dengannya dalam pemilihan parti dan sebagainya.

Bila datang musim pilihan raya, presiden juga punyai kuasai mutlak dan pemutus untuk menentukan siapakah yang bakal menduduki kerusi Yang Berhormat dan senarai calon-calon wajib melalui kelulusan dan tangannya.

Sebagai presiden beliau juga berotoriti untuk memilih mana-mana sahaja kawasan yang difikirkan selamat dan sesuai untuk bertanding samada di negeri atau parlimen.

Selagi tindakannya berlandaskan peraturan parti dan amalan proses demokrasi, tidak siapa boleh menentang kehendak atau kemahuannya kerana ia adalah presiden yang mempunyai kuasa yang luas.

Berlainan pula apa yang berlaku di dalam PKR, sebuah parti yang mendabik dada kononnya membawa 'politik baru' dan 'harapan baru bagi Malaysia' yang berlandaskan nilai-nilai perjuangan 'reformasi jalanan'.

Ini kerana kuasa dalam PKR terletak di tangan Anwar sebagai Ketua Umum, sat jawatan yang dilantik dan tidak boleh ditandingi.

Wan Azizah sebagai presiden hanya atas nama sahaja dan berperanan lebih kepada tunggul dan boneka yang tidak ada kuasa atau mampu membuat sebarang keputusan.

Pengorbanannya selama 14 tahun menerajui PKR seolah-olah tidak dihargai langsung malah peranannya juga dipandang sepi.

Beliau mengorbankan kerusi parlimen Permatang Pauh demi suami tetapi Anwar Ibrahim juga tidak memberi sokongan apabila si isteri meluahkan keinginan untuk bertanding semula.

Apatah lagi seteru politik Wan Azizah, Azmin Ali siang-siang lagi sudah mengenakan pelbagai syarat kepada presidennya sendiri jika ingin menjejak kaki di Selangor sebagai calon.

Malah ada ura-ura dan niat jahat Azmin untuk meletakkan Wan Azizah bertanding di DUN Sementa, sebuah kubu kuat Umno-BN.

Mungkin tujuan Azmin mahu menamatkan karier politik bos politiknya kerana tahu Wan Azizah akan diganyang dan dimalukan di Sementa.

AMK Pulau Pinang pula bersikap hangat-hangat tahi ayam menunjukkan simpati dengan nasib presiden dengan juga menawarkan kerusi.

Ini semuanya adalah permainan silap mata oleh Azmin dan kroni-kroninya.

Isu niat Wan Azizah mahu bertanding sebenarnya membongkar konflik amat serius dalam PKR antara dua puak yang bertelagah berebut kuasa.

Di satu pihak ialah puak presiden yang didokong oleh anaknya Nurul Izzah serta mendapat sokongan kuat Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Setpol MB Faekah Husin, dan lain-lain pemimpin yang tidak sehaluan dengan Azmin seperti Dr Syed Husin, Tian Chua dan Sivarasa.

Puak Azmin pula menjadi golongan majoriti yang memegang kuasa dan jawatan di dalam PKR tetapi mendapat tentangan hebat di Selangor disebabkan halangan oleh Khalid dan Faekah.

Selangor satu-satunya negeri yang dikuasai oleh PKR serta diterajui oleh Azmin sebagai pengerusi negeri namun segala kontrak lumayan dan projek berjuta-juta ringgit dinikmati oleh kumpulan MB dan kroni-kroninya.

Faekah, seorang kroni rapat Wan Azizah dikatakan mendapat bermacam-macam habuan seperti projek-projek infrastruktur, tanah, pasir, stesen minyak, lesen-lesen, termasuk juga memonopoli penyediaan khidmat guaman kepada anak-anak syarikat di bawah MBI.

Azmin yang mengharapkan jawatan sebagai bos PKR di Selangor membolehkan beliau mengaut kekayaan terpaksa berputih mata dan menggigit jari melihat semuanya dibolot oleh kumpulan yang menyokong Wan Azizah.

Inilah punca Azmin melayan presidennya macam sampah apabila beliau mahu bertanding di Selangor.

Wan Azizah di mata Azmin hanyalah penghalang kepada cita-citanya untuk menguasai PKR dan oleh kerana itu harus dikorbankan walaupun yang hendak dimangsakan itu adalah isteri idolnya sendiri.

Jasa Najib di Usia 59 Tahun


YAB Dato’ Seri Najib mungkin baru 3 tahun memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, namun jasa-jasa beliau kepada rakyat dan negara begitu banyak dan sukar untuk disenaraikan.

Bermula dari usia 22 tahun, Najib telah pun menjadi Ahli Parlimen sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dan kemudiannya Timbalan Menteri Pelajaran serta Timbalan Menteri Kewangan. Ini bermakna, di usia yang begitu muda, Dato’ Seri Najib telah pun menabur jasa kepada rakyat melalui portfolio-portfolio yang dipegangnya.

Kewibawaan, kesungguhan dan keikhlasan beliau berkhidmat telah mendapat perhatian Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mencalonkan beliau ke kerusi DUN Pekan yang membawa kepada perlantikannya sebagai Menteri Besar Pahang di usia 29 tahun.

Lanjutan dari itu, Najib sebagai Menteri Besar menjadi antara tokoh perintis Yayasan Pahang bagi mempromosi pendidikan dan sukan di kalangan belia melalui biasiswa dan dana. Beliau juga berjaya menjana pendapatan negeri melalui sumber semulajadi dan kerjasama dengan FELDA, dengan membuka jalan untuk skim pendudukan tanah baru bagi memberi peluang pendapatan kepada golongan miskin dan tidak memiliki tanah.

Selain menyumbang melalui politik, Najib yang dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan, Majuternak, telah menggunakan sepenuh peluangnya di sana untuk mencari idea-idea baru bagi membantu para penternak.

Dan apabila beliau memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kesungguhan beliau meningkatkan mutu sukan negara ternyata membawa hasil apabila Malaysia berjaya menunjukkan pencapaian terbaik di Sukan SEA 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1991, Najib dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan sehingga kini beliau tetap dianggap sebagai Menteri Pertahanan terbaik bagi Malaysia. Beliau memodenkan dan meningkatkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia melalui berbagai latihan dan peralatan terkini.

Setelah kementerian tersebut berada di tahap yang membanggakan beliau diberi pula tanggungjawab untuk menerajui Kementerian Pelajaran. Di sini, beliau mengstruktur semula dan mengswastakan universiti awam serta menggalakkan kerjasama dengan universiti luar negara. Antara jasa beliau di kementerian ini yang dapat dinikmati secara langsung oleh para guru hari ini ialah menaiktaraf sijil pendidikan kepada diploma bagi menaikkan tanggagaji guru-guru.

Khidmat Najib sebagai Menteri Pertahanan sekali lagi diperlukan pada tahun 1995. Beliau pun mengambil peluang ini untuk meningkatkan moral Angkatan Tentera Malaysia yang telah sedia dihormati dunia, dengan memperkenalkan skim perumahan yang lebih baik, pengstukturan semula elaun dan juga pendapatan mereka.

Jelas, jasa-jasa Dato’ Seri Najib sebelum menjadi Perdana Menteri juga sudah tidak terhingga banyaknya.

Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, dan sejak itu, beliau langsung tidak membuang masa untuk bekerja. Dalam masa hanya 3 tahun, idea transformasinya ternyata berjaya dilaksanakan, malah berjaya membuahkan hasil dan bukannya hanya slogan kosong.

Beliau pantas memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan ketelusan dalam sektor perkhidmatan awam dan kerajaan. KPI diperkenalkan bagi mengukur tahap pencapaian pegawai dan juga agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, National Key Result Areas (NKRA) diumumkan sebagai garis perancangan untuk menangani 7 perkara yang melibatkan rakyat dan negara, iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, menaikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, memastikan bekalan air bersih dan dirawat, meningkatkan sistem pengangkutan awam di bandar dan menangani masalah kos sara hidup.

Kesemua ini telah dan sedang berjalan lancar manakala sebahagian besarnya telah pun menunjukkan hasil yang memuaskan. Ternyata, beliau adalah seorang yang mengotakan apa yang dikata dan tanpa membuang masa.

Kempen 1Malaysia yang dilancarkan beliau juga mendapat tempat di hati rakyat yang rata-ratanya menyokong perpaduan di bawah nama satu bangsa.

Dalam masa tiga tahun pemerintahan beliau juga, Najib berjaya mengekalkan kekukuhan ekonomi Malaysia bermula dengan lonjakan paling tinggi dalam GDP sehingga 5.9% pada September 2009 dari rekod yang rendah pada Mac 2009 iaitu -7.6% sebelum beliau pengambil-alihan tampuk pemerintahan

Kestabilan politik dan ekonomi dalam negara hasil dari kepimpinan Najib, telah membolehkan kerajaan mengumumkan bantuan-bantuan bersifat langsung kepada rakyat, antaranya BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia dan berbagai-bagai lagi.

Berdasarkan fakta di atas, pendek kata, sejurus selepas mencapai usia dewasa, iaitu di awal 20-an, Najib telah tidak berhenti-henti menabur jasa kepada rakyat. Namun, di usia 59 tahun hari ini, Najib tidak langsung menganggap kedudukannya sebagai balasan kepada jasa-jasanya tetapi mengambil sikap seolah-olah beliau pula yang terhutang budi dengan rakyat kerana memberi keyakinan kepadanya. Justeru itu, beliau terus tegap bersemangat untuk berkhidmat dan menabur jasa tanpa merasa jemu atau letih.

Sesungguhnya tidak seorang pun dari rakyat Malaysia yang mampu menafikan segala jasa-jasa beliau walaupun mereka mungkin merupakan penyokong pembangkang. Tiada siapa boleh menafikan yang mereka menerima wang tunai serta bantuan langsung dari berbagai-bagai program yang diilhamkan Najib.

Sememangnya, sudah menjadi tuntutan agama dan moral bagi kita semua untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau atas segala jasa yang dicurahkan. Dengan itu, kita mendoakan agar Dato’ Seri Najib dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik agar dapat terus berkhidmat kepada negara dan juga rakyat.

Selamat Ulang Tahun, Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri yang dikasihi lagi dihormati!

PAS Tidak Bersekongkol Tetapi Cuma Bekerjasama Dengan DAP – Nasrudin Tantawi


Akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi berkenaan hubungan PAS dengan DAP yang mana beliau menegaskan bahawa Pas tidak pernah bersekongkol dengan DAP kerana ia adalah tahaluf siasi. Tetapi, beliau mengakui bahawa PAS bekerjasama dengan DAP kerana politik.

Kita faham bahawa Nasrudin bercakap atas kapasiti beliau sebagai ahli politik dan bukannya agamawan dan kerana itu beliau merasa selesa bermain dengan kata-kata tanpa menghiraukan maknanya. Dengan menggunakan perkataan ‘bekerjasama’ dan bukan ‘bersekongkol’, maka Nasrudin menyangka yang PAS akan terlepas dari dikaitkan dengan agenda DAP.

Perkataan-perkataan seperti bersekongkol, berkomplot, berkonspirasi sebenarnya membawa kepada perlaksanaan yang serupa dengan bekerjasama.

Beza kedua-dua perkataan ini hanyalah dari segi ‘niat’ di mana ‘sekongkol’ merujuk kepada satu pakatan yang berniat jahat dan ‘kerjasama’ pula merujuk kepada satu-satu pakatan secara umum.

Oleh itu, kedua-dua perkataan membawa pengertian yang sama iaitu ‘berpakat, berganding-bahu, bertoleransi dan saling bantu-membantu untuk mencapai matlamat masing-masing’.

Dalam konteks politik PAS dan DAP, dan seperti yang diakui oleh Nasrudin, adalah jelas bahawa matlamat masing-masing hanyalah untuk menang pilihanraya. Pastinya kerana PAS dan DAP ingin mencatur semula politik Malaysia mengikut acuan mereka.

Maka di sinilah terletaknya masalah dalam penjelasan atau ‘tafsiran’ Nasrudin mengenai hubungan PAS-DAP. Iaitu, walaupun matlamat kedua-dua parti adalah sama tetapi acuan mereka amat bertentangan. Malah Nasrudin sendiri enggan atau tidak sanggup mengaku yang PAS berkongsi agenda yang sama atau ‘bersekongkol’ dengan DAP.

Kita sedia maklum bahawa acuan DAP adalah Malaysian Malaysia di mana ia menjulang kesamarataan total (ala DAP). Ini bermakna, semua agama adalah sama dan Islam tidak harus menjadi agama rasmi sekali gus persoalan mengenai undang-undang Islam, cara hidup Islam, hudud dan sebagainya adalah tidak relevan sama sekali. Selain itu, DAP juga diketahui mengambil sikap memperlekeh dan menentang Institusi Raja-raja Melayu.

Bagaimanapun, atas dasar kerjasama seperti yang diakui Nasrudin, kedua-dua parti ini tetap saling bantu membantu untuk memenangkan masing-masing dalam pilihanraya walaupun matlamat mereka bertentangan.

Ini bermakna, PAS membantu DAP menang, DAP membantu PAS menang, kemenangan PAS adalah kemenangan DAP dan mengundi PAS adalah sama ertinya dengan mengundi DAP.

Dalam ertikata lain, PAS bertanggungjawab membantu DAP membentuk negara ini mengikut acuan DAP.

Benar, ada kemungkinan DAP tidak mampu membentuk negara ini mengikut acuannya dan sebaliknya PAS yang berjaya memaksa acuan mereka ke atas DAP.

Tetapi, ini hanyalah satu kemungkinan kecil.

Jika dilihat dari segi kebarangkalian matematik, jumlah PAS mengalah kepada DAP dalam isu-isu di mana mereka bertelagah pendapat adalah jauh lebih besar dari jumlah DAP mengalah kepada PAS.

Antaranya, hudud, Negara Islam, isu judi, arak, rumah urut dan murtad, keputusannya ialah DAP-5, PAS-0,. Di kala PAS sanggup menggadaikan Negara Islam, DAP pula sanggup ‘berjihad’ dan mati menentangnya. Hakikatnya, DAP tidak pernah mengalah atau berundur walau se-inci pun dalam ‘semangat’ kerjasamanya dengan PAS.

Justeru, adalah hampir mustahil yang DAP akan akur kepada agenda PAS andainya Pakatan Rakyat berjaya memenangi pilihanraya.

Kesimpulannya, ‘kerjasama’ atau ‘persekongkolan’ atau ‘pakatan’ atau apa saja perkataan yang digunakan oleh Nasrudin untuk menjelaskan hubungan PAS-DAP, hanya akan menguntungkan DAP.

Dengan itu, Nasrudin harus sedar, bahawa PAS tidak akan berjaya menghapuskan imej parti itu sebagai balaci, barua dan anjing suruhan DAP hanya dengan menggunakan perkataan berbeza tetapi mempunyai maksud perlaksanaan yang sama, dalam menerangkan hubungan mereka.