Friday, July 27, 2012

Azizan Tak Tahu Hubungkait Calon MB Dengan Isu Rakyat


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang terkenal dengan panas baran semalam melenting dengan Majlis Profesor Negara (MPN) apabila hasil kajian mereka yang membabitkan isu Pilihanraya Umum ke-13 tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.

Sebaik dimaklumkan mengenai kajian tersebut, Azizan langsung tidak mengambil walau sesaat dari masanya untuk merenung dan memikirkan kenapa hasil kajian MPN menunjukkan yang sokongan rakyat Kedah sudah kembali kepada BN. Azizan langsung tidak terfikir akan kemungkinan beliau benar-benar ada kelemahan, kesilapan, lemah dan tidak prihatin terhadap tuntutan rakyat sepertimana yang ditunjukkan oleh hasil kajian tersebut.

Sebaliknya beliau pantas berkata isu yang dikaji termasuk memilih calon MB adalah remeh dan tidak sesuai difokuskan oleh golongan cerdik pandai. Beliau juga merendah-rendahkan tahap pemikiran MPN serta secara sinis menuduh mereka diperalatkan oleh pihak BN. Kata beliau, MPN seharusnya mengkaji isu yang lebih serius seperti masalah isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa.

Sememangnya, meremehkan dan memperlekehkan orang lain sudah menjadi kewajiban bagi pemimpin PAS seolah-olah hanya mereka sahaja yang bijak lagi maksum di dunia ini. Dan sudah menjadi kelaziman bagi pembangkang untuk menuduh apa saja yang tidak menyebelahi mereka sebagai alat atau didalangi BN.

Kata beliau, "Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius.”

Tetapi, yang malang di sini ialah rakyat Kedah kerana mendapat Menteri Besar yang sudahlah tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa, sombong dan bongkak serta enggan bertanggungjawab atas apa saja. Mudah sungguh menjadi MB nampaknya. Hanya duduk goyang kaki, pekakkan telinga, butakan mata, tetapi buka mulut menengking sesiapa saja yang mengkritiknya.

MPN bukan mewakili BN, jauh sekali bekerja untuk BN. Kajian tentang calon MB membawa signifikan tersendiri bagi isu-isu serius yang disebut oleh Azizan iaitu isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa. Ini kerana, siapa MB yang dipilih akan menentukan sama ada isu-isu serius tersebut akan dapat ditangani dengan baik. Jika tersilap memilih MB seperti Azizan, maka hasilnya pastilah seperti apa yang berlaku di Kedah hari ini.

Masalah balak, air, pencemaran, madrasah, pelancongan, pelaburan, tanah rizab Melayu, KUIN telah puas diperkatakan sehinggakan rakyat yang terlibat secara langsung dengan isu-isu tersebut hampir putus asa sama sekali. Kata mereka, tidak guna memberitahu MB kerana beliau hanya akan berkata semua sudah selesai.

Secara realiti, apa yang selesainya?

Yang selesainya adalah wang negeri yang semakin hari semakin susut. Tiada satu pun projek yang dicadang dan dicanang di bawah kerajaan PAS Kedah yang menjadi. Cakap-cakap di bawah kedengaran berkata, bagaimana projek boleh menjadi jika diberi kepada puak-puak PAS yang tidak punya pengalaman, mahupun modal untuk melaksanakannya?

Begitulah malang sekali nasib rakyat Kedah kerana mendapat MB yang tidak faham pun akan hubungkait dirinya dengan isu-isu serius di kalangan rakyat.

Hakikatnya, Azizan adalah MB yang buta IT dan beliau pastinya tidak dapat memahami bagaimana maklumat, termasuk perkara sulit boleh tersebar dan merebak dengan mudah. Beliau tidak tahu bahawa rakyat punya akses untuk meneliti sendiri perkara-perkara yang dinyatakan atau dinafikannya. Hanya dengan menepis dan menempelak orang lain tidak menjadikan beliau MB yang bijak.

Dengan pengetahuan yang begitu cetek mengenai perihal negeri dan dunia, siapakah Azizan untuk memperkecilkan bijakpandai dalam MPN?

Populariti Najib, BN Terus Meningkat


Kajiselidik berkenaan populariti pemimpin dan parti politik yang diadakan oleh UKM menunjukkan petanda yang baik buat Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Ini berdasarkan hasil kajian yang mendapati bahawa populariti Dato’ Seri Najib meningkat sehingga 76% mengatasi dua pemimpin pembangkang iaitu Anwar Ibrahim dan Nik Aziz.

Melalui pecahan etnik pula, sokongan terhadap Najib di kalangan Melayu berada di tahap 75%, Cina 69.9%, India 71%, Iban 85.5% dan lain-lain etnik Bumi 84.4%.

Kajiselidik yang melibatkan 1,000 warga Lembah Klang pula menunjukkan 69.9% memilih BN akan menang dalam PRU ke-13, 37.5% setuju BN akan menang 2/3 majoriti dan 32.1% lagi merasakan yang BN akan menang mudah.

Dalam pada itu, populariti pemimpin dan parti pembangkang semakin menurun dengan Khalid Ibrahim mendapat tempat tercorot dengan 55% responden di menyatakan tidak yakin dengan PR serta ragu-ragu dengan agenda PR yang banyak merugikan kaum Melayu.

Begitu juga dengan kepimpinan Azizan Razak di Kedah di mana daripada 10,800 responden, 68% daripadanya menyatakan yang beliau tidak cekap dan tidak efisien manakala 72.8% menyatakan yang beliau kurang prihatin dengan isu yang dibangkitkan rakyat.

Selain itu, kajiselidik oleh Free-Test Malaysia Team yang dihantar melalui e.mail mengenai "Undi Anda: Perdana Menteri Malaysia" menunjukkan Najib mendapat 58% sokongan, 25% tidak peduli dan hanya 17% yang memilih Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini menunjukkan populariti Dato’ Seri Najib meningkat dengan konsisten sejak mula memegang tampuk kuasa. Ini berdasarkan kajian oleh UIA dalam tempoh Mac 2008 hingga Julai 2011 di mana pada Oktober 2008, 35% responden Melayu, 33% Cina dan 41% India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59%, 45% dan 62%.

Kajian UIA itu juga mendapati populariti pemimpin-pemimpin pembangkang terus menurun sebelum menjunam terus pada tahun ini sepertimana dapatan dari kajiselidik UKM di atas.

Peningkatan populariti Najib dan BN ini menunjukkan bahawa transformasi yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya dan kesannya dapat dirasakan secara langsung oleh rakyat. Najib ternyata bukan hanya beretorik tetapi langsung tidak membuang masa menyusun dan merangka pelan pentadbiran serta pantas mengambil tindakan untuk membuat perubahan.

Ini menyebabkan, kebanyakan rakyat yang pada mulanya agak ragu-ragu yang beliau akan dapat ‘memulihkan’ semula keadaan BN yang ‘sakit’ ketika mula-mula mengambil-alih kuasa, semakin hari semakin yakin dengan kepimpinannya. Hari ini, nampaknya rakyat telah bersedia untuk meletakkan harapan dan kepercayaan kepada BN dan Najib untuk menerajui nasib dan masa depan negara.

Walaupun kecekapan, kejujuran dan kebijaksanaan mengurus-tadbir merupakan faktor utama yang menyebabkan populariti BN meningkat dengan konsisten, tetapi kita tidak wajar menafikan peranan pembangkang dalam membantu melonjakkan lagi geraf populariti ini.

Ertinya, kelemahan pembangkang dalam mengurus-tadbir negeri-negeri di bawah jajahan mereka juga menjadi punca rakyat terus memberi sokongan kepada BN. Kelemahan pembangkang inilah yang memberikan markah bonus kepada BN dalam ‘pertandingan populariti’ di kalangan rakyat. Lebih malang bagi pembangkang apabila pemimpin-pemimpin mereka juga terlalu sering terlibat dalam skandal serta gagal menangani segala isu dengan baik yang mana menyebabkan geraf populariti mereka terus menurun sekali gus geraf BN terus meningkat.

Di mata rakyat, pembangkang dilihat sebagai pengkhianat kerana begitu berminat untuk menimbulkan huru-hara dengan berdemonstrasi di sana sini atas alasan yang sengaja diada-adakan, kurang matang dan tidak masuk akal. Sikap ‘khianat’ pembangkang ini benar-benar memberi kesan kepada golongan atas pagar yang mewakili majoriti pengundi dalam pilihanraya nanti.

Pendek kata, pembangkang bukan saja tidak bijak mengurus negeri tetapi juga kurang bijak dalam menyusun strategi politik walaupun saban hari kerja mereka hanyalah berpolitik. Dalam ertikata lain, politik keterlaluan pembangkang telah mengakibatkan rakyat semakin muak dengan mereka.

Dengan itu, jika BN meneruskan prestasi cemerlangnya, dan PR juga meneruskan cara politik huru-haranya, maka populariti BN pasti mampu mencapai tahap maksima menjelang pilihanraya nanti.

Pemberian Bonus Resahkan Pembangkang


Belum pun habis pembangkang mempolitikkan segala bantuan yang diberikan kerajaan sebagai haram, rasuah dan sebagainya, kini kerajaan mengumumkan pula pemberian bonus khas Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minima RM500 kepada penjawat awam.

Tentunya, semakin meroyanlah pembangkang menghentam tindakan ini walaupun di masa yang sama penyokong-penyokong mereka tidak mungkin ketinggalan untuk melahap wang bonus tersebut hingga tak sedar diri. Begitulah yang terjadi dengan durian runtuh Felda, BR1M, TR1M, KR1M dan lain-lain pemberian kerajaan. Sudahnya, Tuan Guru, Tok Guru dan Ustaz-ustaz mereka terpaksa menelan kembali fatwa ‘haram mengambil pemberian kerajaan’ dan berhujah bahawa itu semua adalah ‘duit rakyat’.

Daripada duit haram jadi duit rakyat pula.

Tidak tahulah sama ada bonus khas ini akan mengalami nasib yang sama dengan bantuan lain iaitu dari ‘duit haram’ menjadi ‘duit rakyat’ apabila penyokong pembangkang tidak tahan teringin untuk merasainya. Diharap Tok-tok Guru PAS lebih konsisten dalam mengeluarkan fatwa supaya tidak ada penyokong-penyokong mereka yang beraya dengan duit haram.

Tetapi, jika dihujahkan sebagai duit rakyat melalui cukai pendapatan juga belum tentu penyokong-penyokong PAS berhak menerimanya kerana berapa keratlah saja penyokong-penyokong PAS yang membayar cukai? Apalah sangat sumbangan PAS kepada penjanaan ekonomi negara selain dari menjadi pekerja dan pengguna?

Dan jangan lupa, bahawa peluang pekerjaan dan kedai untuk membeli barangan juga mungkin tidak ada jika bukan kerana BN yang memerintah. Lihat saja di Kelantan yang diterajui PAS di mana rakyat terpaksa merantau ke negeri BN untuk mencari rezeki dan membeli belah.

Hakikatnya, sama ada ia duit kerajaan atau duit rakyat, duit itu tidak akan wujud dan tidak akan mampu diagihkan kepada rakyat jika kerajaan BN tidak bijak mengurus-tadbir negara. Oleh itu, berhujah bahawa penyokong PAS berhak ke atas pemberian kerajaan atas alasan ia adalah ‘duit rakyat’ masih boleh dipertikaikan.

Jelas kelihatan di sini bahawa pembangkang sebenarnya tidak berdaya ‘melawan’ isu pemberian dari kerajaan. Mereka cuba menggambarkan yang kerajaan terlalu mewah berbelanja, tidak bijak mengurus kewangan, negara bakal muflis dan sebagainya tetapi bagaimana mereka menjelaskan kemerosotan ekonomi negara jika kerajaan masih mampu memberi berbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat?

Pembangkang berkata lagi bahawa segala kemudahan dan bantuan itulah yang bakal menyebabkan negara muflis.

Namun, realiti yang dapat dilihat dan dinikmati sendiri oleh rakyat ialah negara kekal stabil, makmur dan maju di bawah pengurusan kewangan yang bijaksana.

Hakikatnya, kerajaan cukup maklum dan bersedia bahawa harga barangan semakin meningkat sekali gus kos sara hidup, terutamanya di bandar-bandar. Memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa kawalan langsung dalam menentukan harga pasaran dunia maka kerajaan telah memikirkan cara lain untuk membantu rakyat dalam menghadapi cabaran ini, iaitu dengan memberi lebih banyak bantuan dalam berbagai cara.

Bantuan-bantuan kecil tetapi langsung dan kerap ini tidak mungkin memufliskan negara kerana tidak melibatkan bajet mega ataupun pihak lain.

Ia juga adalah lebih praktikal dan logik berbanding janji-janji pembangkang untuk membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak, menghapuskan tol atau memberikan pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat tetiari, yang mana pasti akan membangkrapkan negara hanya dalam masa 2-3 tahun mengikut kajian pakar.

Lebih buruk lagi, pembangkang hanya mampu berjanji dan belum tentu segala yang mustahil dan tidak masuk akal ini akan ditepati mereka. Sedangkan kerajaan bukan sahaja menunaikan janji tetapi memberikan lebih lagi dari yang dijanjikan, sebagai contoh, Bonus Khas Aidilfitri ini sendiri.

Memandangkan tidak mungkin ada seorang pun penyokong pembangkang yang akan menolak bonus ini, maka kita sarankan agar pemimpin pembangkang mengambil sikap berdiam diri saja. Tidak perlulah mereka keluarkan fatwa atau hujah-hujah merapu terhadap bonus aidilfitri semata-mata kerana politik.

Rezeki jangan dicemuh, nikmat jangan dinafi, kerana ia pasti akan memakan diri sendiri. Apa yang pasti, tangan yang memberi tetap lebih baik dari tangan yang menerima maka terimalah hakikat bahawa BN tetap lebih baik dari PR dalam apa jua keadaan.