Friday, July 27, 2012

Azizan Tak Tahu Hubungkait Calon MB Dengan Isu Rakyat


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang terkenal dengan panas baran semalam melenting dengan Majlis Profesor Negara (MPN) apabila hasil kajian mereka yang membabitkan isu Pilihanraya Umum ke-13 tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.

Sebaik dimaklumkan mengenai kajian tersebut, Azizan langsung tidak mengambil walau sesaat dari masanya untuk merenung dan memikirkan kenapa hasil kajian MPN menunjukkan yang sokongan rakyat Kedah sudah kembali kepada BN. Azizan langsung tidak terfikir akan kemungkinan beliau benar-benar ada kelemahan, kesilapan, lemah dan tidak prihatin terhadap tuntutan rakyat sepertimana yang ditunjukkan oleh hasil kajian tersebut.

Sebaliknya beliau pantas berkata isu yang dikaji termasuk memilih calon MB adalah remeh dan tidak sesuai difokuskan oleh golongan cerdik pandai. Beliau juga merendah-rendahkan tahap pemikiran MPN serta secara sinis menuduh mereka diperalatkan oleh pihak BN. Kata beliau, MPN seharusnya mengkaji isu yang lebih serius seperti masalah isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa.

Sememangnya, meremehkan dan memperlekehkan orang lain sudah menjadi kewajiban bagi pemimpin PAS seolah-olah hanya mereka sahaja yang bijak lagi maksum di dunia ini. Dan sudah menjadi kelaziman bagi pembangkang untuk menuduh apa saja yang tidak menyebelahi mereka sebagai alat atau didalangi BN.

Kata beliau, "Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius.”

Tetapi, yang malang di sini ialah rakyat Kedah kerana mendapat Menteri Besar yang sudahlah tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa, sombong dan bongkak serta enggan bertanggungjawab atas apa saja. Mudah sungguh menjadi MB nampaknya. Hanya duduk goyang kaki, pekakkan telinga, butakan mata, tetapi buka mulut menengking sesiapa saja yang mengkritiknya.

MPN bukan mewakili BN, jauh sekali bekerja untuk BN. Kajian tentang calon MB membawa signifikan tersendiri bagi isu-isu serius yang disebut oleh Azizan iaitu isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa. Ini kerana, siapa MB yang dipilih akan menentukan sama ada isu-isu serius tersebut akan dapat ditangani dengan baik. Jika tersilap memilih MB seperti Azizan, maka hasilnya pastilah seperti apa yang berlaku di Kedah hari ini.

Masalah balak, air, pencemaran, madrasah, pelancongan, pelaburan, tanah rizab Melayu, KUIN telah puas diperkatakan sehinggakan rakyat yang terlibat secara langsung dengan isu-isu tersebut hampir putus asa sama sekali. Kata mereka, tidak guna memberitahu MB kerana beliau hanya akan berkata semua sudah selesai.

Secara realiti, apa yang selesainya?

Yang selesainya adalah wang negeri yang semakin hari semakin susut. Tiada satu pun projek yang dicadang dan dicanang di bawah kerajaan PAS Kedah yang menjadi. Cakap-cakap di bawah kedengaran berkata, bagaimana projek boleh menjadi jika diberi kepada puak-puak PAS yang tidak punya pengalaman, mahupun modal untuk melaksanakannya?

Begitulah malang sekali nasib rakyat Kedah kerana mendapat MB yang tidak faham pun akan hubungkait dirinya dengan isu-isu serius di kalangan rakyat.

Hakikatnya, Azizan adalah MB yang buta IT dan beliau pastinya tidak dapat memahami bagaimana maklumat, termasuk perkara sulit boleh tersebar dan merebak dengan mudah. Beliau tidak tahu bahawa rakyat punya akses untuk meneliti sendiri perkara-perkara yang dinyatakan atau dinafikannya. Hanya dengan menepis dan menempelak orang lain tidak menjadikan beliau MB yang bijak.

Dengan pengetahuan yang begitu cetek mengenai perihal negeri dan dunia, siapakah Azizan untuk memperkecilkan bijakpandai dalam MPN?

Populariti Najib, BN Terus Meningkat


Kajiselidik berkenaan populariti pemimpin dan parti politik yang diadakan oleh UKM menunjukkan petanda yang baik buat Barisan Nasional dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Ini berdasarkan hasil kajian yang mendapati bahawa populariti Dato’ Seri Najib meningkat sehingga 76% mengatasi dua pemimpin pembangkang iaitu Anwar Ibrahim dan Nik Aziz.

Melalui pecahan etnik pula, sokongan terhadap Najib di kalangan Melayu berada di tahap 75%, Cina 69.9%, India 71%, Iban 85.5% dan lain-lain etnik Bumi 84.4%.

Kajiselidik yang melibatkan 1,000 warga Lembah Klang pula menunjukkan 69.9% memilih BN akan menang dalam PRU ke-13, 37.5% setuju BN akan menang 2/3 majoriti dan 32.1% lagi merasakan yang BN akan menang mudah.

Dalam pada itu, populariti pemimpin dan parti pembangkang semakin menurun dengan Khalid Ibrahim mendapat tempat tercorot dengan 55% responden di menyatakan tidak yakin dengan PR serta ragu-ragu dengan agenda PR yang banyak merugikan kaum Melayu.

Begitu juga dengan kepimpinan Azizan Razak di Kedah di mana daripada 10,800 responden, 68% daripadanya menyatakan yang beliau tidak cekap dan tidak efisien manakala 72.8% menyatakan yang beliau kurang prihatin dengan isu yang dibangkitkan rakyat.

Selain itu, kajiselidik oleh Free-Test Malaysia Team yang dihantar melalui e.mail mengenai "Undi Anda: Perdana Menteri Malaysia" menunjukkan Najib mendapat 58% sokongan, 25% tidak peduli dan hanya 17% yang memilih Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini menunjukkan populariti Dato’ Seri Najib meningkat dengan konsisten sejak mula memegang tampuk kuasa. Ini berdasarkan kajian oleh UIA dalam tempoh Mac 2008 hingga Julai 2011 di mana pada Oktober 2008, 35% responden Melayu, 33% Cina dan 41% India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59%, 45% dan 62%.

Kajian UIA itu juga mendapati populariti pemimpin-pemimpin pembangkang terus menurun sebelum menjunam terus pada tahun ini sepertimana dapatan dari kajiselidik UKM di atas.

Peningkatan populariti Najib dan BN ini menunjukkan bahawa transformasi yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya dan kesannya dapat dirasakan secara langsung oleh rakyat. Najib ternyata bukan hanya beretorik tetapi langsung tidak membuang masa menyusun dan merangka pelan pentadbiran serta pantas mengambil tindakan untuk membuat perubahan.

Ini menyebabkan, kebanyakan rakyat yang pada mulanya agak ragu-ragu yang beliau akan dapat ‘memulihkan’ semula keadaan BN yang ‘sakit’ ketika mula-mula mengambil-alih kuasa, semakin hari semakin yakin dengan kepimpinannya. Hari ini, nampaknya rakyat telah bersedia untuk meletakkan harapan dan kepercayaan kepada BN dan Najib untuk menerajui nasib dan masa depan negara.

Walaupun kecekapan, kejujuran dan kebijaksanaan mengurus-tadbir merupakan faktor utama yang menyebabkan populariti BN meningkat dengan konsisten, tetapi kita tidak wajar menafikan peranan pembangkang dalam membantu melonjakkan lagi geraf populariti ini.

Ertinya, kelemahan pembangkang dalam mengurus-tadbir negeri-negeri di bawah jajahan mereka juga menjadi punca rakyat terus memberi sokongan kepada BN. Kelemahan pembangkang inilah yang memberikan markah bonus kepada BN dalam ‘pertandingan populariti’ di kalangan rakyat. Lebih malang bagi pembangkang apabila pemimpin-pemimpin mereka juga terlalu sering terlibat dalam skandal serta gagal menangani segala isu dengan baik yang mana menyebabkan geraf populariti mereka terus menurun sekali gus geraf BN terus meningkat.

Di mata rakyat, pembangkang dilihat sebagai pengkhianat kerana begitu berminat untuk menimbulkan huru-hara dengan berdemonstrasi di sana sini atas alasan yang sengaja diada-adakan, kurang matang dan tidak masuk akal. Sikap ‘khianat’ pembangkang ini benar-benar memberi kesan kepada golongan atas pagar yang mewakili majoriti pengundi dalam pilihanraya nanti.

Pendek kata, pembangkang bukan saja tidak bijak mengurus negeri tetapi juga kurang bijak dalam menyusun strategi politik walaupun saban hari kerja mereka hanyalah berpolitik. Dalam ertikata lain, politik keterlaluan pembangkang telah mengakibatkan rakyat semakin muak dengan mereka.

Dengan itu, jika BN meneruskan prestasi cemerlangnya, dan PR juga meneruskan cara politik huru-haranya, maka populariti BN pasti mampu mencapai tahap maksima menjelang pilihanraya nanti.

Pemberian Bonus Resahkan Pembangkang


Belum pun habis pembangkang mempolitikkan segala bantuan yang diberikan kerajaan sebagai haram, rasuah dan sebagainya, kini kerajaan mengumumkan pula pemberian bonus khas Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minima RM500 kepada penjawat awam.

Tentunya, semakin meroyanlah pembangkang menghentam tindakan ini walaupun di masa yang sama penyokong-penyokong mereka tidak mungkin ketinggalan untuk melahap wang bonus tersebut hingga tak sedar diri. Begitulah yang terjadi dengan durian runtuh Felda, BR1M, TR1M, KR1M dan lain-lain pemberian kerajaan. Sudahnya, Tuan Guru, Tok Guru dan Ustaz-ustaz mereka terpaksa menelan kembali fatwa ‘haram mengambil pemberian kerajaan’ dan berhujah bahawa itu semua adalah ‘duit rakyat’.

Daripada duit haram jadi duit rakyat pula.

Tidak tahulah sama ada bonus khas ini akan mengalami nasib yang sama dengan bantuan lain iaitu dari ‘duit haram’ menjadi ‘duit rakyat’ apabila penyokong pembangkang tidak tahan teringin untuk merasainya. Diharap Tok-tok Guru PAS lebih konsisten dalam mengeluarkan fatwa supaya tidak ada penyokong-penyokong mereka yang beraya dengan duit haram.

Tetapi, jika dihujahkan sebagai duit rakyat melalui cukai pendapatan juga belum tentu penyokong-penyokong PAS berhak menerimanya kerana berapa keratlah saja penyokong-penyokong PAS yang membayar cukai? Apalah sangat sumbangan PAS kepada penjanaan ekonomi negara selain dari menjadi pekerja dan pengguna?

Dan jangan lupa, bahawa peluang pekerjaan dan kedai untuk membeli barangan juga mungkin tidak ada jika bukan kerana BN yang memerintah. Lihat saja di Kelantan yang diterajui PAS di mana rakyat terpaksa merantau ke negeri BN untuk mencari rezeki dan membeli belah.

Hakikatnya, sama ada ia duit kerajaan atau duit rakyat, duit itu tidak akan wujud dan tidak akan mampu diagihkan kepada rakyat jika kerajaan BN tidak bijak mengurus-tadbir negara. Oleh itu, berhujah bahawa penyokong PAS berhak ke atas pemberian kerajaan atas alasan ia adalah ‘duit rakyat’ masih boleh dipertikaikan.

Jelas kelihatan di sini bahawa pembangkang sebenarnya tidak berdaya ‘melawan’ isu pemberian dari kerajaan. Mereka cuba menggambarkan yang kerajaan terlalu mewah berbelanja, tidak bijak mengurus kewangan, negara bakal muflis dan sebagainya tetapi bagaimana mereka menjelaskan kemerosotan ekonomi negara jika kerajaan masih mampu memberi berbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat?

Pembangkang berkata lagi bahawa segala kemudahan dan bantuan itulah yang bakal menyebabkan negara muflis.

Namun, realiti yang dapat dilihat dan dinikmati sendiri oleh rakyat ialah negara kekal stabil, makmur dan maju di bawah pengurusan kewangan yang bijaksana.

Hakikatnya, kerajaan cukup maklum dan bersedia bahawa harga barangan semakin meningkat sekali gus kos sara hidup, terutamanya di bandar-bandar. Memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa kawalan langsung dalam menentukan harga pasaran dunia maka kerajaan telah memikirkan cara lain untuk membantu rakyat dalam menghadapi cabaran ini, iaitu dengan memberi lebih banyak bantuan dalam berbagai cara.

Bantuan-bantuan kecil tetapi langsung dan kerap ini tidak mungkin memufliskan negara kerana tidak melibatkan bajet mega ataupun pihak lain.

Ia juga adalah lebih praktikal dan logik berbanding janji-janji pembangkang untuk membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak, menghapuskan tol atau memberikan pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat tetiari, yang mana pasti akan membangkrapkan negara hanya dalam masa 2-3 tahun mengikut kajian pakar.

Lebih buruk lagi, pembangkang hanya mampu berjanji dan belum tentu segala yang mustahil dan tidak masuk akal ini akan ditepati mereka. Sedangkan kerajaan bukan sahaja menunaikan janji tetapi memberikan lebih lagi dari yang dijanjikan, sebagai contoh, Bonus Khas Aidilfitri ini sendiri.

Memandangkan tidak mungkin ada seorang pun penyokong pembangkang yang akan menolak bonus ini, maka kita sarankan agar pemimpin pembangkang mengambil sikap berdiam diri saja. Tidak perlulah mereka keluarkan fatwa atau hujah-hujah merapu terhadap bonus aidilfitri semata-mata kerana politik.

Rezeki jangan dicemuh, nikmat jangan dinafi, kerana ia pasti akan memakan diri sendiri. Apa yang pasti, tangan yang memberi tetap lebih baik dari tangan yang menerima maka terimalah hakikat bahawa BN tetap lebih baik dari PR dalam apa jua keadaan.

Thursday, July 26, 2012

KJ - Turunkan Harga Kereta Janji Manis Pembangkang Untuk Pancing Undi


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan janji pakatan pembangkang untuk menurunkan harga kereta sekiranya mereka mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang adalah janji populis yang dibuat secara spontan untuk memancing undi.

Katanya, janji tersebut adalah sebahagian daripada janji-janji lepas yang gagal ditunaikan oleh pakatan pembangkang.

“Bagaimana pakatan pembangkang mahu membiayai janji-janji tersebut iaitu nak kurangkan harga kereta sedangkan 4.6 bilion ringgit dikorbankan dari segi cukai, tetapi ditambah pula dengan janji untuk penghapusan tol, janjiuntuk beri pendidikan percuma, janji untuk hapuskan PTPTN, janji untuk beri gaji minimum setiap keluarga, yang mana semua janji-janji ini akan bangkrapkan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.



Dilaporkan, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berjanji akan melakukan rombakan terhadap Dasar Automotif Negara dalam usaha untuk menurunkan harga kereta sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya selepas PRU ke-13 akan datang.

“Janji ini adalah sebahagian daripada janji-janji yang lepas sedangkan ia akan memberi kesan kepada kewangan negara kita sebanyak 4.6 bilion setiap tahun dari segi cukai.

“Kita boleh janji tetapi sekiranya kita tidak beri penjelasan bagaimana nak biayai janji-janji tersebut, maka saya risau bahawa janji ini akan membawa kemudaratan kepada ekonomi negara kita,” katanya.

Ujar beliau lagi, sekiranya harga kereta diturunkan, ia juga akan memberi kesan kepada pengangkutan awam dan menambahkan lagi kesesakan di jalan raya.

“Dari segi pengangkutan awam, hari ini dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN) ada satu usaha untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam sama ada dari segi LRT, MRT, komuter dan perkhidmatan bas dan saya ingin melihat ramai lagi yang akan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Perkara ini tidak dikaji oleh pihak pakatan kerana mereka hanya membuat janji populis untuk turunkan harga kereta tetapi tidak fikirkan kepada kesesakan dan juga penggunaan pengangkutan awam yang telah kerajaan buat komitmen melalui pembinaan MRT dan sebagainya.”

Tegasnya, cadangan ini walaupun dari segi beban kepada rakyat mungkin baik tetapi tidak difikirkan implikasinya dari segi kewangan dan pengangkutan awam.

“Ini adalah janji yang dibuat secara spontan untuk pancing undi dan tidak bertanggungjawab.”

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN mengumumkan bahawa pergerakan tersebut akan mengadakan Tadarus dan Khatam Quran Perdana 1Malaysia yang akan berlangsung di Masjid KLCC dengan melibatkan 2,000 peserta terdiri daripada kalangan pemuda, pelajar-pelajar universiti dan tahfiz selain kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Program tersebut akan diadakan pada 11 Ogos depan dan terdahulu pada 10 Ogos akan berlangsung acara yang sama di Negeri Kedah. Turut menyusul dalam program tersebut ialah penyerahan kepada lebih 800 sumbangan untuk golongan fakir miskin.”

Jelasnya lagi, selain itu, bersempena Ramadan, Pergerakan Pemuda UMNO juga akan mengagihkan 30 kotak barang-barang keperluan makanan di setiap bahagian dengan melibatkan sejumlah 5,730 melalui program Ihya Ramadan. – MediaUMNO

Wednesday, July 25, 2012

Wan Azizah Bertanding Di Selangor?


Baru-baru ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengesahkan akan bertanding kerusi DUN dalam PRU-13. Katanya lagi, beliau hanya layak bertanding di kerusi DUN di mana beliau bakal mengundi.

Ini bermakna yang Wan Azizah akan bertanding di Selangor, memandangkan kawasan mengundi beliau adalah di negeri ini. Namun, kawasan mana yang akan ditandinginya masih lagi menjadi tandatanya.

Beliau juga membayangkan kemungkinan terbabit dalam pentadbiran negeri jika menang nanti.

Nampaknya, Wan Azizah kini bukan lagi Wan Azizah yang dahulu. Beliau bukan lagi wanita atau isteri yang hanya mengikut telunjuk suami di mana jika disuruh menipu, menipu, disuruh menangis, menangis, disuruh bertanding, beliau bertanding dan jika disuruh melepaskan kerusi, maka beliau pun melakukannya.

Kali ini Wan Azizah membuat keputusan sendiri dan beliau nampaknya yakin dengan kesetiaan serta kebolehan ‘orang-orangnya’. Tindakan Wan Azizah ini dilihat bertitik-tolak dari permusuhannya dengan Azmin Ali yang tidak lagi dapat dibendung.

Difahamkan, Wan Azizah berjaya mempengaruhi Anwar untuk menyenaraikan orang-orang dari kemnya sebagai calon sekali gus menolak orang-orang dari kem Azmin.

Azmin sudah keterlaluan atau melampau, kata sesetengah pihak dalam PKR. Azmin tidak tahu menghormati sesiapa sama ada Menteri Besar, Presiden parti malah ibunya sendiri. Demi mengekang penguasaan Azmin, Wan Azizah perlu bertindak.

Azmin adalah produk Anwar seratus-peratus. Beliau merupakan anak didik, kekasih, pembantu dan segala-galanya bagi Anwar selama ini. Di satu tahap, Azmin sudah menjadi Anwar seratus peratus juga iaitu gila kuasa, rakus dan degil dan Anwar menyedarinya. Azmin adalah ‘raksaksa’ ciptaan Anwar. Setelah mengesan bahaya Azmin, Anwar pun mula belajar memberi perhatian kepada pendapat isterinya, Wan Azizah.

Dengan perkembangan ini Wan Azizah mendapat keyakinan baru sehingga akhirnya berjaya menimbulkan keraguan terhadap Azmin di mata Anwar. Nampaknya, kesetiaan Wan Azizah kepada suami peliwat dan penzinanya berbaloi juga.

Wan Azizah mendapat sokongan padu dari Khalid Ibrahim, justeru, beliau mempunyai kelebihan kerana mendapat akses kepada maklumat dan bantuan kerajaan negeri secara langsung. Jika Wan Azizah menang, beliau pastinya akan dapat mempengaruhi kerajaan negeri dan memastikan kem Azmin dihapuskan terus.

Dengan begitu ramai di dalam PKR yang semakin ‘cuak’ dengan Azmin kerana dilihat sebagai sudah hilang kawalan, Wan Azizah percaya yang beliau berada dalam keadaan selesa dan bersedia untuk ‘mencabar’ Azmin secara halus.

Sememangnya, parti PKR tidak pernah lekang dari konflik dalaman sejak mula ditubuhkan sehingga memaksa begitu ramai pemimpin dan ahli meninggalkan parti itu saban hari. Konflik dalaman PKR adalah serius dan ‘pelik’ kerana ia bukan sekadar konflik perebutan kerusi politik, tetapi membabitkan skandal seks, masalah keluarga, manipulasi undi dalam pemilihan dan berbagai-bagai lagi.

Namun, kita tidak pasti sejauh mana konflik dalaman PKR ini dapat mempengaruhi penyokong-penyokong mereka.

Bayangkan, bagaimana parti sebegini dapat memerintah negara dengan baik? Bagaimana kita boleh mengharapkan puak-puak yang asyik bergaduh dan saling bersyak-wasangka sesama sendiri untuk menerajui negara mahupun negeri atau kawasan?

Yang pastinya, sama ada Wan Azizah menang atau tidak di kerusi yang ditandinginya ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat di kawasan tersebut dan keseluruhannya. Percayalah, pemimpin PKR bertanding bukan kerana ingin berkhidmat kepada rakyat tetapi hanya sekadar ingin bertanding dan memakai gelaran ‘pemimpin’.

PKR adalah parti yang ditubuhkan kerana Anwar dan untuk Anwar serta keluarganya. Inilah yang rakyat perlu terima jika ingin memangkah mereka dalam pilihanraya.

Khairy: Lagi Dan Lagi...Janji-Janji Populis PR


Inilah yang pernah dibayangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak pembangkang apabila makin dekat dengan pilihanraya akan janjikan apa saja untuk meraih undi. Hatta katanya, "bulan, bintang, cakralawa dan bima sakti boleh jadi modal..."

Hasrat pakatan pembangkang mahu memasukan penurunan harga kereta sebagai sebahagian daripada manifesto PRU13 adalah contoh jelas satu lagi janji-janji populis PR hendak berkuasa.

Janji yang bermodalkan air liur tersebut mahu menghapuskan duti eksais dan duti import kepada kenderaan asing yang masuk ke Malaysia, yang sekaligus membawa kepada penurunan harga kenderaan.

Retorik pembangkang dengar sedaplah, tapi cuba duduk dan fikir sejenak, kereta murah, harga minyak turun, tidak perlu bayar tol, belajar percuma, suri rumah duduk saja dapat elaun, wah ini betul-betul boleh buat orang ramai dibuai mimpi.

Cuma bila kita renung dengan lebih dalam, kita akan sedar, janji-janji PR itu, dibuat dengan cara sama, dalam sidang media, berbekalkan beberapa helai kertas yang diphotocopy untuk dibaca dan diberikan kepada wartawan.

Tidak ada unjuran, tidak ada maklumat detail, dari mana duit hendak dapat tampung semua janji 'bulan bintang itu'.

Dalam kata muda, fikir saja apa yang boleh tarik undi, buat kira-kira sikit, qoute sana-quote sini, buat kenyataan akhbar, panggil sidang media dan selesai.

Orang berjanji, bukan hendak laksana memanglah mudah. Sebab itu jangan terkejut, makin dekat dengan pilihanraya, PR bukan sahaja janjikan harga kereta mudah, silap-silap, mereka boleh janji kereta 'free' sorang sebiji untuk sesiapa yang ada lesen.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, ketika ditanya wartawan di majlis berbuka puasa anjuran Pemuda UMNO Selasa malam turut mempersoalkan janji-janji yang dibuat tanpa menerangkan dari mana hendak dapat duit membiayainya.

Menurut beliau berdasarkan unjuran tahun 2012, jika duti eksais dan duti import kenderaan dimansuhkan, kerajaan akan hilang hasil pendapatan sebanyak RM4.6 bilion.

"Dengan hapus duti bagi kenderaan, ia akan memberi kesan RM4.6 bilion pendapatan kerajaan, (PR) kena jelaskan bagaimana hendak membiayai janji tersebut," katanya di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media pada pagi Selasa berkata janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU-13.

Mengulas lanjut, kata Khairy janji-janji PR perlu dilihat secara keseluruhan, seperti janji mahu menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, royalti tambahan kepada Sabah dan Sarawak, menghapuskan PTPTN, memberian elaun kepada suri rumah dan lain-lain lagi.

"Mereka tidak menerangkan bagaimana hendak membiayainya, perbelanjaan kerajaan perlu ada had, jika tidak negara kita akan menjadi negara bangkap," ujarnya.

Selain itu, menurut Khairy masa depan syarikat pembuat kereta negara, Proton, juga akan menerima kesan dari janji popular PR tersebut.

"Jika kita mansuhkan duti import dan eksais ke atas kereta yang diimport, ia mungkin memberi kesan negatif kepada Proton," Khairy.

Soal Proton, kata Khairy melibatkan puluhan ribu orang kakitangan, vendor dan pengedar yang terlibat dalam industri automotif negara.

"Ia bukan yang kita mahu melindungi Proton selama-lamanya, tetapi apa-apa janji-janji manis ... tanpa perancangan yang sepatutnya boleh akibatkan malapetaka ekonomi." kata Khairy.

Janji hendak turun harga kereta ini baru mukaddimah saja, rasa-rasanya menjelang tarikh pembubaran Parlimen dan hari mengundi pada PRU 13, akan ada puluhan janji manis lagi.

Berjanji bagi orang yang tidak berkuasa macam menahan pukat, kalau kena dan orang percaya nasib baik, kalau tidak pun tak apa, bukannya rugi apapun, modal air liur sahaja...- Helme Hanafi/Agendadaily

Galeri Gambar