Monday, October 1, 2012

Khairy: Pengundi Muda Menunjukkan Lonjakan Luar Biasa Sokong BN Selepas Bajet


Kajian pergerakan Pemuda Umno 48 selepas pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu lepas menunjukkan 50 peratus pengundi muda menyokong BN, 20 peratus pembangkang dan 30 peratus pengundi muda berkecuali, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Katanya sebelum ini, kajian yang dilakukan secara konsisten dan berskala itu, mendapati 60 peratus pengundi muda adalah berkecuali dan 40 peratus kepada BN dan pembangkang.

"Kajian terbaru ini menunjukkan lonjakan luar biasa...kita nampak kesan belanjawan ini amat baik sekali," katanya sambil memperjelaskan kajian terbaru itu membabitkan 1,000 responden dari seluruh negara.

Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri Umno akan sentiasa turun padang selepas ini bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan dan belanjawan itu kepada generasi muda.

Malah, katanya, peningkatan jumlah kehadiran golongan muda di majlis pelancaran program 'BN Pilihan Orang Muda' peringkat negeri Pulau Pinang semalam adalah kesan secara langsung daripada belanjawan tersebut.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program tersebut, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai insentif untuk golongan belia yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 jelas membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin dan mendengar suara dan isi hati golongan muda.

Beliau berkata sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukan dalam belanjawan untuk golongan muda menunjukkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak ambil peduli suara orang muda terbukti tidak benar.

"Belanjawan yang dbentangkan memperlihatkan keprihatinan dan suara generasi muda diambil kira oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata golongan muda mula menunjukkan dokongan terhadap BN setelah mereka melihat kerajaan berjaya menepati semua yang dijanjikan.

Ini dapat diterjemahkan dengan kehadiran mereka yang menggalakkan pada setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh BN, katanya.

- Bernama

Bajet 2013: Kerajaan Prihatin Rakyat


Pemberian pelbagai insentif terhadap orang muda menerusi Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas menunjukkan kerajaan prihatin terhadap golongan tersebut.

Sehubungan itu, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak hairanlah pola sokongan golongan itu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.

"Dakwaan sesetengah pihak kerajaan BN tidak mempedulikan suara orang muda adalah salah malah, pelbagai program yang memanfaatkan golongan itu diadakan secara berterusan.

"Dalam Bajet 2013 juga, dua buah kementerian yang dekat dengan belia iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mendapat peruntukan besar, berjumlah RM51.7 bilion yang kali pertama diberikan," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam konteks di negeri ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng tidak mendengar suara dan permintaan orang muda menyebabkan mereka berasa terpinggir.

"Sebelum ini, golongan muda di negeri ini tidak memihak kepada BN, namun, suasana itu semakin berubah apabila pakatan pembangkang yang memerintah tidak melakukan apa-apa untuk pembangunan golongan itu.

"Dalam Bajet 2013, golongan muda turut menerima pelbagai faedah seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, pemberian rebat RM200 untuk membeli telefon bimbit pintar dan diskaun pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.

Menurutnya, semua insentif tersebut membantu golongan muda dan jika BN terus berusaha tidak mustahil sokongan diterima semakin meningkat.

Ahmad Zahid berkata, golongan muda yang mewakili 37 peratus atau 307, 000 daripada 826, 000 jumlah pengundi keseluruhan di negeri ini akan terus diberi perhatian.

"Gelombang sokongan semakin meningkat terutamanya bagi yang kali pertama mendaftar menjadi pengundi kerana mereka tahu DAP tidak pedulikan nasib mereka," katanya.

Beliau berkata, jika formula 3331 digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan berjaya, BN mampu membentuk kerajaan di Pulau Pinang.

"Formula itu merujuk kepada pertambahan kemenangan tiga kerusi untuk UMNO, MCA, dan Gerakan manakala satu MIC di samping mengekalkan 11 kerusi dimenangi sebelum ini.

"Saya percaya jika kita bekerja keras, sasaran tersebut mampu dicapai," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, selepas 48 jam bajet diumumkan, tinjauan yang dilakukan pihaknya menerusi media sosial mendapati, sokongan diterima meningkat secara mendadak.-Utusan

Sunday, September 30, 2012

BN Pilihan Orang Muda Bukan Sekadar Slogan.... #BNPilihanOrgMuda


Pelancaran BN Pilihan Orang Muda Negeri Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan meriah, majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekitar lebih kurang 5 ribu anak muda Pulau Pinang hadir ke majlis tersebut.

Terbukti BN pilihan Orang Muda bukan hanya sekadar slogan sebaliknya adalah satu hakikat dan realiti yang menunjukkan sokongan golongan berkenaan terhadap Barisan Nasional.









Ahli Politik, Artis Bersatu Di Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad


Beberapa pemimpin politik, ahli akademik dan artis mendeklamasi puisi sempena Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad SAW di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di sini Sabtu malam.

Mereka ialah bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan personaliti televisyen Wardina Saffiyah.


Masing-Masing menyampaikan puisi, yang antara lain, menyentuh keperibadian dan sejarah perjuangan Nabi Muhammad dalam memartabatkan agama Islam.

Majlis itu diadakan bagi membantah penyiaran filem 'Innocence of Muslims' arahan Sam Bacile, yang jelas menghina Nabi Muhammad serta agama Islam, dan dihadiri kira-kira 500 orang.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib.

Jamil Khir, dalam ucapan ringkasnya, berkata kerjasama masyarakat Islam tanpa mengira fahaman politik adalah bukti keseriusan mereka dalam mengutuk sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad.


Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita berkata majlis tersebut diadakan susulan perhimpunan bantahan di ibu negara terhadap penyiaran filem berkenaan di laman YouTube.

"Ketika masih ramai umat Islam membantah penyiaran video dan karikatur penghinaan itu, masih ada lagi kartun penghinaan yang sama di Eropah," katanya.

Pada 21 September lepas, perhimpunan bagi mengecam filem itu diadakan di depan Kedutaan Amerika Syarikat serta Masjid Jamek Kampung Baru di sini, yang dianjurkan Pergerakan Pemuda Umno dan Dewan Pemuda PAS.

Antara artis yang turut menjayakan program itu ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search.-Bernama

Langkah Tepat Kerajaan Utamakan Golongan Sederhana Dalam Bajet 2013


Rata-rata kedengaran rakyat mengucapkan syukur atas pembentangan Bajet oleh Dato’ Seri Najib yang menyeluruh, padat dan tepat. Nampaknya, tiada yang terpinggir dari mendapat perhatian kerajaan iaitu dari golongan miskin dan sederhana serta merangkumi semua golongan seperti pelajar, pekerja, petani sehinggalah OKU, menunjukkan yang ianya dirancang dengan penuh prihatin lagi terperinci.

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat luar bandar dan golongan miskin bandar adalah golongan yang paling ‘tercabar’ untuk bersaing dalam pembangunan yang begitu yang pesat dan ekonomi yang tidak menentu. Dengan itu, seperti kelaziman, kerajaan tidak pernah melupakan golongan ini dalam pembentangan Bajet tahunan. Rumah-rumah kos rendah dan berbagai program bantuan dan peningkatan pendapatan telah disusun khas untuk golongan ini bagi memastikan kesejahteraan mereka dalam jangka masa panjang.

Namun, hakikat hari ini ialah golongan berpendapatan sederhana iaitu dalam lingkungan RM3,000 – RM5,000 di bandar juga tidak terkecuali dari tekanan hebat peningkatan kos sara hidup. Golongan ini diwakili oleh mereka-mereka yang telah berkeluarga di mana pemilikan hartanah dan pendidikan anak-anak merupakan keutamaan.

Secara dasarnya, sebuah keluarga di bandar memerlukan sekurang-kurangnya dua buah kenderaan untuk memastikan segala-galanya ‘berfungsi’ dengan baik. Maka, kos bagi dua buah kenderaan dan sebuah rumah selalunya sudah menjangkau separuh dari pendapatan bulanan mereka. Itu belum lagi dikira kos pembantu rumah atau pengasuh, tadika, bas sekolah, kelas agama, tuisyen, keperluan harian serta kecemasan. Selain itu, kos sampingan yang perlu ditanggung mereka secara harian semata-mata untuk bekerja, seperti minyak, tol serta parkir yang tinggi di bandaraya Kuala Lumpur amatlah membebankan.

Dengan pendapatan sebegini, adalah sukar bagi sesebuah keluarga berpendapatan sederhana untuk membuat simpanan atau pelaburan untuk masa depan. Oleh itu, ramai yang memilih untuk berniaga sambilan bagi memastikan ekonomi rumahtangga mereka lebih ‘selesa’.

Akibatnya, masa berkualiti keluarga ini amat terhad, di mana masa ibu bapa banyak dihabiskan dalam kesesakan lalu-lintas, bekerja sambilan atau keletihan lalu menyebabkan anak-anak terabai sehingga menyumbang kepada masalah yang lain pula di dalam masyarakat, seterusnya, negara.

Alhamdulillah, nampaknya kerajaan cukup maklum dan sedar akan masalah yang membelenggu golongan ini sebagaimana terbukti dalam Bajet yang dibentangkan semalam. Antaranya, pengumuman mengenai rumah mampu milik sebanyak 123,000 unit di kawasan Sungai Buloh dan Seremban, iaitu kawasan di mana golongan ini tertumpu bagi mengelak kos sara hidup yang tinggi di bandar.

Selain itu, Skim Rumah Pertama yang sebelum ini dibuka kepada mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 kini ditingkatkan kepada RM5,000 dengan gabungan pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 bagi rumah di bawah harga RM400,000 juga pastinya mensasarkan kepada golongan ini.

Tidak cukup dengan itu, pengurangan cukai pendapatan sebanyak 1% bagi pendapatan RM2,500 – RM50,000 juga dilihat mampu mengurangkan beban golongan berpendapatan sederhana ini.

Perlu diingatkan bahawa golongan berpendapatan sederhana bukan sahaja melibatkan pekerja kerajaan atau kakitangan awam, tetapi juga pekerja-pekerja swasta. Seperti yang kita maklum, pekerja swasta tentunya tidak berpeluang menikmati kemudahan pinjaman perumahan sepertimana kakitangan kerajaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun Bajet yang dibentangkan kerajaan adalah menyeluruh iaitu melibatkan golongan petani, pelajar, kakitangan kerajaan, polis, perubatan, tentera sehinggalah kepada peniaga dan korporat, tetapi ramai yang terlepas pandang akan golongan pekerja swasta. Oleh itu, pekerja swasta telah biasa merasa terpinggir dalam pengumuman Bajet oleh kerajaan.

Namun, dengan skim atau program perumahan yang dibentangkan dalam Bajet semalam, pekerja swasta kini boleh sama-sama tersenyum dan berterima kasih kepada kerajaan kerana turut berpeluang menikmatinya.

Justeru, tidak salah jika dikatakan bahawa Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah bajet yang terbaik, tepat dan lengkap. Pembangkang boleh menuduhnya sebagai Bajet Pilihanraya atau apa saja, tetapi apakah salahnya Bajet Pilihanraya sekiranya ia berasaskan kemampuan sebenar setelah diambilkira maklumat kewangan yang tepat?

Bukannya seperti Bajet Alternatif yang disediakan dengan menggunakan imaginasi semata-mata di mana hasilnya ialah bajet khayalan yang tidak masuk akal dan mampu mengbankrapkan negara.

Jadi, bukankah seratus kali lebih baik bagi rakyat untuk memilih kerajaan yang membentangkan Bajet Pilihanraya daripada memilih pembangkang yang berkhayal sambil mencanangkan Bajet Imaginasi?