Monday, October 8, 2012

Perlekeh Satu Sama Lain Bukti Pakatan Pembangkang Pakatan Kosmetik


Tindakan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali memperlekehkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali menerusi laman twitter bukti betapa pemimpin pembangkang tidak mempunyai perasaan hormat antara satu sama lain.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata komen Azmin Ali itu adalah satu gambaran betapa pakatan pembangkang bukanlah satu pakatan yang ikhlas dan jujur sebaliknya penuh dengan perasan hasad serta saling tidak mempercayai .

Menurutnya isu yang tercetus sebelum itu juga berhubung Selangor akan mendapat Menteri Besar baru bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) juga adalah sesuatu yang cukup janggal.

“Kita nampak daripada luar nampak pelik sikit la….Sebelum pilihan raya seolah-olah boleh tentukan siapa yang boleh bertanding…siapa yang tidak boleh bertanding… saya pun difahamkan keputusan itu pun tidak dibuat Majlis Presiden parti-parti pembangkang.

“Walaupun kita tidak mahu campur rumahtangga orang lain tetapi nampak gaya macam-macam masalah dalam pakatan ini. Bukan sahaja Azmin dengan khalid tetapi dua hari lepas Azmin kata dalam twitter kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali komen salah dan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Benda-benda macam itu dalam Barisan Nasional (BN) kita tak cakap…. kita hormat komponen parti tak cakap macam tu..kita tak cakap dia dah tua, dia ni sombong, dia ni tokong, aragon. Rakyat nilailah kalau antara mereka dah boleh cakap macam itu dalam mesyuarat.. dalam twitter… Ini Azmin lepas dalam twitter..bukan dalam mesyuarat tertutup.. dalam twitter. Dia terlepas cakap,“ katanya.

Kata beliau lagi masalah antara mereka seolah-olah tidak dapat disembunyikan lagi dan itulah yang rakyat perlu membuat penilaian terbaik.

“Bagi saya beliau cakap pasal SUA parti lain. Takkan boleh cakap secara terbuka macam itu. Justeru rakyat kena tengok kalau sesama mereka pun tak boleh sembunyi lagi, tak boleh kongsi lagi apa kebencian terhadap parti-parti lain dalam pakatan macammana hendak memerintah. Macammana mereka nak pakat,“ katanya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali sebelum ini menegur kenyataan Azmin Ali berhubung isu pelantikan baru Menteri Besar Selangor.

Dalam jawapan kepada satu pertanyaan mengenai kritikan Mustapa itu, Azmin dalam nada menyindir berkata, “faktor usia menyebabkan beliau keliru dan cepat melatah,”.

Sebelum itu, seorang pengguna tweet dengan nama @hisomudin komen dengan berkata “Mustapha Ali ali dakwa YB akn mengelirukn rakyat behbg MB Selangor. Kenyataan beliau lagi mengelirukn! Just my opinion!” tulisnya.

Selain itu, Azmin juga RT tweet Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohamad Akin yang menyindir Setiausaha Politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin.

Kata Shamsul,”RT @shamsuliskandar: Faekah tdak perlu melatah; yg memilih kerajaan & Menteri Besar ialah rakyat ! Pemimpin bebas berikan pandangan. ”

Kenyataan tersebut mungkin merujuk kepada kenyataan Faekah yang disiarkan sebuah portal berita.

Faekah dilaporkan menyoal bidang kuasa Azmin Ali dalam pelantikan Menteri Besar Selangor.

“Siapa Azmin untuk membuat kesimpulan begitu? Saya tidak tahu dari mana dia dapat aspirasi begitu?” kata Faekah.

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata Khalid Ibrahim ‘sesuai’ memegang jawatan Menteri Persekutuan jika PR mengambil alih Putrajaya.

Kenyataan tersebut tidak disenangi Pas, berdasarkan komen terbuka yang dibuat Mustapa Ali dan disiarkan harakahdaily pada Selasa.

Dalam pada itu, Khalid Ibrahim sendiri dilaporkan berkata kenyataan Azmin itu adalah pendirian peribadi Timbalan Presiden PKR itu sendiri.

Menurut Khalid, kenyataan itu bukanlah dibuat secara bersama membabitkan PKR, DAP dan Pas.

Sumber: Umno-Online.com

Sunday, October 7, 2012

Rakyat Terus Desak Air Percuma Di Selangor!




Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menyifatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang tidak berhati perut.

Pengerusinya, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, sehingga kini beliau langsung tidak mempedulikan desakan rakyat berpendapatan rendah yang menduduki rumah flat dan pangsapuri untuk turut menikmati skim air percuma.

Apa yang dikesali, pemimpin kerajaan pakatan pembangkang itu langsung tidak mahu turun padang melihat sendiri tuntutan yang dibuat oleh rakyat dalam beberapa demonstrasi aman sebelum ini.

“Malah sehingga kini Abdul Khalid masih enggan mempertimbangkan untuk mengagihkan rebat RM11.40 yang tertunggak selama empat tahun kepada pemilik meter pukal.

Hari ini penghuni flat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Taman Medan Cahaya PJS 2, Taman Datuk Harun yang mengandungi lebih 3,000 unit rumah pula menyatakan tuntutan mereka kepada kerajaan negeri,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama penduduk flat SPNB Taman Medan Cahaya PJS 2, Taman Datuk Harun mengadakan demostrasi aman menuntut air percuma dari Menteri Besar Selangor, kerajaan negeri dan pihak SYABAS.



Sebelum ini empat demonstrasi secara aman dilakukan penghuni Apartmen Mentari Court, Petaling Jaya; Apartment Vista Lavender, Jalan Klang Lama; Apartment Angsana Bandar Mahkota Cheras dan Apartmen Putra Perdana, Puchong.

Malah penduduk juga bertindak memfailkan tuntutan mereka di mahkamah demi mendapatkan hak yang sengaja dinafikan oleh kerajaan negeri.

Mengikut kiraan, setiap isu rumah layak mendapat sebanyak RM570 iaitu tunggakan subsidi bernilai RM11.40 setiap bulan yang didarab selama 50 bulan (bagi tempoh dari Jun 2008 hingga kini).

Keseluruhan jumlah yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri ialah sebanyak RM405,270!



“Selepas ini tuntutan saman akan dibuat oleh penghuni flat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Taman Medan Cahaya PJS 2, Taman Datuk Harun bagi membuktikan tindakan mereka bukan main-main. Kerajaan negeri sepatutnya mencari mekanisme yang sesuai untuk mengagihkan subsidi 20 meter padu air kepada seluruh rakyat di negeri ini bukan memberi alasan yang dangkal yang jelas menipu rakyat.

Kenyataan Abdul Khalid bahawa manifesto pilihan raya bukan janji yang perlu ditunai mendedahkan belang sebenar kerajaan pakatan pembangkang yang sebenarnya tidak boleh dipercayai lagi.



GPRS percaya, selagi menteri besar masih menutup mata dan berpeluk tubuh, selagi itulah rakyat akan bangkit membuat tuntutan mereka kepada kerajaan negeri,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Tambahnya, tuntutan ini bukan digerakkan oleh GPRS tetapi atas kesedaran rakyat sendiri yang selama ini telah tertipu dengan permainan politik pakatan pembangkang yang bertopengkan slogan Kerajaan Prihatin.

Laporan: Sahabat Gunung

Anugerah Blockbuster: Malam Gemilang Bagi Syamsul Yusof


PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof menang besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk filem arahannya, KL Gangster merangkul kategori Filem Terhebat Anugerah Blockbuster, yang julung-julung kali diadakan, malam tadi.

Selain itu, filem Khurafat arahan Syamsul turut memenangi Anugerah Filem Takut Terhebat, KL Gangster menerusi Filem Aksi Terhebat, Anugerah Tuan Direktor Terhebat serta Anugerah Khas PFM daripada penganjur majlis anugerah ini iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Ketika ditanya mengenai kemenangan besarnya itu, Syamsul berkata, "syukur alhamdulillah, terima kasih kepada ibu bapa saya dan peminat-peminat yang mengundi kerana pengiktirafan ini menunjukkan bahawa hasil kerja saya dihargai oleh mereka."

"Anugerah yang saya terima ini bukan hanya untuk saya saja, sebaliknya penonton mengundi keseluruhan produksi KL Gangster dan bukannya atas nama saya saja," katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di Shah Alam, malam tadi.

Syamsul turut menambah bahawa dia sendiri sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi KL Gangster terbitan syarikat produksi ayahnya sendiri, Datuk Yusof Haslam akan memenangi anugerah utama itu sebaliknya dia merasakan filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa akan membolot kategori itu.

"Saya sendiri jangkakan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang akan menang kerana bagi saya KL Gangster tidaklah terhebat jika dibandingkan dengan filem Hikayat Merong Mahawangsa tetapi mungkin rezeki filem saya terpilih, alhamdulillah.

"Saya akan terus mengarah dengan lebih banyak lagi karya yang dekat dengan penonton seperti KL Gangster dan Khurafat dan mungkin lepas ini saya akan buat filem epik yang berbajet besar. Itu adalah angan-angan serta impian saya selepas ini," katanya.

Majlis anugerah yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut menobatkan pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak yang mengenepikan saingan hebat Bintang Paling Popular 2011, Aaron Aziz sebagai Hero Terhebat menerusi lakonannya dalam filem Hantu Bonceng dan Yana Shamsuddin sebagai Heroin Terhebat bagi filem Bini-biniku Gangster.

Sebanyak 15 anugerah yang dipertaruhkan dalam anugerah yang seakan-akan penganjuran People Choice' Award yang lazim dilakukan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, di mana pemenangnya seatus peratus ditentukan oleh peminat sendiri.

Anugerah bertemakan 'Letusan Blok Warna' (Colour Blocking) itu dihoskan oleh tiga pengacara iaitu Zizan Razak, Lisa Surihani dan Afdlin Shauki yang ternyata dapat memberikan kelainan selain wujud 'chemistry' yang cukup baik di antara mereka bertiga.

Selain itu, upacara permaidani merah telah diadakan setengah jam sebelum majlis anugerah bersiaran pada jam 9 malam, dihoskan oleh penyampai Era FM, Hanif, Scha Al-Yahya, Thanuja Ananthan serta Hafizul yang merupakan juara bagi rancangan realiti 'On Air'.

Berikut merupakan senarai pemenang bagi 15 anugerah yang dipertandingkan:

Anugerah Filem Terhebat: KL Gangster

Anugerah Hero Terhebat: Zizan Razak (Hantu Bonceng)

Anugerah Heroin Terhebat: Yana Shamsuddin (Bini-biniku Gangster)

Anugerah Hero Baru Terhebat: Shahir (Karak)

Anugerah Heroin Baru Terhebat: Tasha Shilla (Ratu The Movie)

Anugerah Filem Aksi Terhebat: KL Gangster

Anugerah Filem Drama Muzikal Terhebat: Nur Kasih The Movie

Anugerah Filem Kelakar Terhebat: Hantu Bonceng

Anugerah Filem Takut Terhebat: Khurafat

Anugerah Tuan Direktor Terhebat: Syamsul Yusof (KL Gangster)

Anugerah Tuan Direktor Baru Terhebat: M. Suryaa (Sumpahan Puaka)

Anugerah Lagu Filem Terhebat: Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan Adira

Anugerah Penyangak Terhebat: Fikrie Bakar (Klip 3GP)

Anugerah PFM: Syamsul Yusof

Anugerah Astro First Terhebat (filem yang paling banyak dilanggan sepanjang tahun lalu): Kongsi

-SH