Wednesday, November 21, 2012

Zuraida Mengaku Miliki Beberapa Kereta Mewah!


Heboh di internet dua tiga hari ini mengenai seorang pemimpin politik yang memiliki kekayaan luar biasa selepas empat tahun bergelar MP, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengaku memiliki beberapa buah kenderaan tetapi tidak rasa bersalah apa-apa.
Sebelum ini, Zuraida didakwa memiliki empat buah kenderaan atas nama beliau antaranya SUV Volvo, Toyota Hilux dua buah dan terbaru sebuah Mercedes.

Bagaimanapun Zuraida dipetik dari sebuah portal pembangkang berkata tidak ada apa-apa unsur mencurigakan dalam pemilikan berkenaan serta mengalu-alukan jika mana-mana pihak mahu melakukan siasatan terhadap dirinya.

“Saya tidak ada masalah jika mana-mana pihak mahu lakukan siasatan.

“Kereta Volvo yang dipersoalkan itu saya beli dengan menggunakan pengecualian duti eksais diperolehi ahli parlimen.

“Toyota Hilux itu pula, saya ‘trade in’ dengan kereta Naza sebelum ini bagi memudahkan untuk turun ke kawasan, sebiji lagi Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran WTY 1547 dibeli oleh seorang anggota parti menggunakan nama saya kerana nama beliau sudah disenarai hitamkan,” kata Zuraida.

Ketua Wanita PKR itu juga menambah beliau sudah memiliki lebih daripada sebuah kenderaan sebelum menjadi wakil rakyat.

“Mereka mungkin tidak tahu, sebelum menjadi wakil rakyat lagi, Kak Zu (Zuraida) sudah miliki lebih daripada satu kenderaan.

“Tentang isu tidak membayar saman, negara kita kan ada undang-undang? Nanti bila nak hidupkan cukai jalan, saya perlu bayar semua saman sebelum dibenarkan berbuat demikian,” katanya.- Agendadaily

Tiada Gencatan Senjata, Israel Terus Bedil Gaza


GAZA CITY - Rundingan berhubung gencatan senjata untuk menamatkan konflik Gaza masih berterusan dan tiada lagi keputusan muktamad setakat ini walaupun laporan awal mendakwa sudah ada harapan ke arah itu.

Menurut pegawai dari Mesir, walaupun rundingan sedang diadakan, bedilan ke atas Gaza masih lagi berterusan dan hari ini masuk hari kelapan.

“Rundingan masih lagi diteruskan,” kata seorang pegawai Mesir yang enggan dikenali.

Beliau turut berkata yang Kaherah berharap agar perjanjian damai dan arahan gencatan senjata dapat direalisasikan.

Israel masih lagi tertekan dengan serangan roket dari Palestin oleh pihak Hamas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pula mengadakan lawatan ke Israel selepas menghadiri sidang kemuncak Asia lewat semalam.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual berbincang dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Presiden Mesir, Mohammed Morsi.

"Presiden Obama telah meminta saya datang ke Israel dengan mesej yang jelas.

"Komitmen Amerika ke atas keselamatan Israel kukuh dan tidak goyah. Itu sebabnya kami percaya bahawa sangat penting untuk mengatasi ketegangan di Gaza," kata beliau dipetik CNN.



Israel pula bertubi-tubi melakukan serangan ke atas Palestin dan menyasarkan serangan ke bandar-bandar utama di sekitar Gaza yang diperintah Hamas kerana tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

Pasukan perubatan di Gaza berkata, seramai 130 orang telah meninggal dunia akibat serangan Israel dan kebanyakannya orang awam terdiri daripada kanak-kanak.

Laporan CNN juga menyebut wujud situasi dan persekitaran seolah-olah serangan kemungkinan akan dihentikan.

Seorang pegawai Hamas memberitahu CNN bahawa "tempoh bertenang" akan diumumkan menjelang jam 9 malam tadi waktu tempatan (awal pagi ini, waktu Malaysia) tetapi tidak berlaku.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri kemudian memberitahu bahawa Israel tidak bersetuju dengan terma-terma yang akan membawa kepada usaha menghentikan pertempuran.

Begitu juga dikatakan oleh Presiden Mesir.

Menurut laporan malam tadi (waktu Malaysia), yang memetik Mohammed berkata, serangan Israel ke atas Gaza akan berakhir dalam "beberapa jam" lagi.

Beberapa jam kemudian, pejabat Presiden Mesir memberitahu CNN bahawa jangan mengharapkan apa-apa pengumuman sehingga lewat malam. Keadaan itu berterusan sehingga sekarang sementara tekanan antarabangsa semakin meningkat.

Jom Bantu Jayakan Tabung #SaveGaza di PWTC Esok


Semua di jemput ke
Majlis pelancaran tabung SAVE GAZA Aman Malaysia
Solat hajat serta promo centre (showcase keganasan Israel)
22 November 2012 (esok)
5.30 Petang
Bertempat di Ruang Legar Aras 2, PWTC

Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun 
Pertubuhan Keamanan Rakyat Malaysia


Semoga usaha kecil ini dikira sebagai amal jariah. Mereka tidak lagi bersendirian, kerana kita turut berjuang bersama mereka.

Tuesday, November 20, 2012

Umno Kelantan Buat Laporan Polis Doa 'KO BN'


Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.

Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.

Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.

Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.

"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.

Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.

Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.

"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.

Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.

Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.

Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama

Video - Mari Tengok Anwar Joget Macam Mr Bean!


Mari tengok siapa yang kena!! Tok sah cakap pasal moral kalau tak kenal siapa dia Anwar!!

Malaysia Kecam Israel, Gesa PBB Tindak Segera


BERIKUT ketetapan Usul Mengecam Serangan Israel Ke Atas Wilayah Palestin di Gaza yang dibentangkan di Parlimen pagi ini:

1. Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua dan kemusnahan harta benda dan insfrastruktur serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

2. Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta merta gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasa gencatan.

3. Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas perhimpunan agung PBB- "Uniting For Peace- di bawah resolusi 377 A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.

4. Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel.

5. Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota-anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang.

6. Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Pelestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

7. Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

8. Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta merta.

9. Menggesa Majlis Keselamatan PBB menyiasat dan mengambil tindakan bagi maksud pendakwaan ke atas jenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

10. Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen, khasnya Kongres Amerika Syarikat (AS), Parlimen Britain dan Perlimen Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan PBB.-Sinar

Diana Danielle Sah Hamil


Isteri Farid Kamil, Diana Danielle sah hamil dan berita gembira ini disampaikan sendiri oleh tuan empunya badan melalui akaun twitter peribadi miliknya.

Kata Diana Danielle di twitter,  “The most precious birthday present, thanks Allah SWT” dan di sertakan sekeping gambar alat uji kehamilan yang menandakan beliau sedang hamil.

Pasangan ini telah selamat bernikah pada 3 November lalu di Hotel Flamingo, Ampang.


Apa yang menariknya, berita gembira ini tiba tepat pada masanya memandangkan ulang tahun kelahiran selebriti tersebut yang jatuh pada 22 November ini. Tahniah diucapkan buat pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle atas perkhabaran gembira ini, meow harap rumah tangga yang dibina kekal bahagia sampai ke titisan darah yang terakhir.

Tahniah di ucapkan kepada Farid Kamil dan Diana Danielle, semoga bahagia ke anak cucu... Amin..

PAS Yang Akan KO... Menzalimi Rakyat Kelantan!


Para pemimpin PAS dalam reaksi mereka mempertahankan doa BN KO yang dibacakan Nik Razi Nik Mat, adik kepada MB Kelantan itu beralasan doa tersebut menepati senario negeri Kelantan yang kononnya tertindas dan dizalimi UMNO dan BN.

Siapakah sebenarnya yang sedang menzalimi rakyat? Dan siapakah yang sedang memerintah Kelantan tika ini?

Sejak 22 tahun lalu PAS adalah pemerintah di Kelantan dengan diketuai Nik Aziz sebagai MB, jika lojik menzalimi rakyat Kelantan mahu digunapakai, sewajarnya ia ditujukan pada Nik Aziz dan PAS.

Yang menyebabkan tanah negeri dan rakyat Kelantan seluas 716.8 ekar di Lembah Sireh dipindah milik tanpa mengikut peraturan bukannya disebabkan oleh Kerajaan Pusat pimpinan BN, sebaliknya dilakukan oleh pemimpin PAS yang menguasai Kerajaan Negeri.

Tidakkah ini jelas satu kezaliman dan pecah amanah. Tatkala rakyat memberi amanah menjaga harta negeri, tapi pemimpin PAS pula sesuka hati memindah hak milik tanah kepada syarikat swasta.

Yang terlibat menyerahkan hak pengurusan tanah seluas 80,000 ekar di Hulu Kelantan kepada syarikat Cina Singapura dan Cina DAP ialah pimpinan PAS negeri sehingga kesannya rakyat yang meneroka kawasan tersebut menderita manakala tanah adat Orang Asli pula semakin mengecil.

Apakah itu bukan satu kezaliman apabila hak rakyat dinafikan sedangkan syarikat swasta dan orang luar pula diberi perhatian sehingga mampu mengaut untung berjuta ringgit?

Yang mengakibatkan hampir 40% rakyat Kelantan masih dibelenggu dengan masalah bekalan air bersih semuanya disebabkan kegagalan urus tadbir pemimpin PAS, bukannya pemimpin BN.

Tidakkah ini menzalimi rakyat sedangkan tanggungjawab kerajaan negeri sepatutnya mengambil berat permasalahan rakyatnya?

Hatta kerugian hampir RM50 juta wang rakyat yang terpaksa dibayar pampasan kepada syarikat Thames Water dari England (KWSB) juga disebabkan kecuaian kerajaan negeri pimpinan PAS Kelantan.

Sia-sia saja hampir RM50 juta hangus begitu sahaja, sedangkan dengan wang tersebut jika bijak diuruskan boleh diguna pakai untuk menyediakan paip saluran air bersih yang panjangnya berpuluh kilometer dan mampu menyenangkan beribu buah keluarga yang sekarang ini menghadapi masalah bekalan air.

Demikian halnya dengan permasalahan pekerjaan sehingga memaksa ratusan ribu rakyat Kelantan terpaksa merantau ke negeri-negeri lain. 22 tahun PAS memerintah, jumlah perantau bukannya kian menurun sebaliknya saban tahun terus meningkat.

Bukankah ini zalim namanya apabila kerajaan negeri gagal membantu menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya?

Siang dan malam para pemimpin PAS cuma tahu berceramah sambil si petugas PAS mengusung uncang dan tin milo meminta rakyat menyumbang duit kepada parti. Apa rakyat dapat? Air liur saja.

Amanah yang rakyat berikan kepada PAS di Kelantan sengaja diabaikan dengan berselindung disebalik kopiah dan serban serta ceramah politik, tidak selamanya rakyat akan tertipu dengan permainan politik sebegitu.

Sebetulnya, yang sebenar-benarnya sedang menzalimi rakyat tika ini tidak lain dan tidak bukan ialah pemimpin PAS sendiri. PRU 13 kelak yang akan KO bukannya BN ataupun UMNO, sebaliknya PAS.

Muktamar Bukti PAS Tunduk Pada DAP, PKR


Kelemahan Pas sebagai sebuah parti serpihan Umno yang kononnya memperjuangkan prinsip Islam amat tersrlah sekali pada muktamar parti itu yang ke 58 yang berlangsung baru-baru ini.

Sememangnya dijangkakan semangat barisan pimpinan dan perwakilan Pas berkobar-kobar semasa ucapan dan sesi perdebatan.

Ini lumrah dalam mana-mana parti politik dan Pas sebagai sebuah organisasi siyasi yang bertopengkan Islam juga tidak terkecuali dalam menonjolkan imej 'kejantanannya', apatah lagu musim pilihan raya umum sudah tinggal beberapa bulan lagi.

Antara elemen 'kejantanan' Pas yang dipamerkan kepada ahli-ahli semasa persidangannya ialah desakan kuat supaya presiden Abdul Hadi Awang dilantik ke jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 kelak.

Ini sudah tentunya bertentangan dengan kehendak sekutu pas, Dap yang mahukan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menduduki jawatan itu.

Anwar pula secara sinis menjawab bahawa perkara tersebut boleh dibincangkan apabila sampai ketikanya kelak.

Jadi dalam pakatan pembangkang terdapat tiga pandangan yang berbeza mengenai isu siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

Di pihak Pas itulah kemahuan sebenar selama ia berjuang iaitu untuk merebut kerusi empuk di Putrajaya dan bukannya demi rakyat.

Konsep 'negara berkebajikan' versi Pas ialah untuk mendahulukan pimpanan parti itu untuk berlumba-lumba mendapatkan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan sebelum memikirkan mengenai rakyat.

Perdapat kedua pula berputar sekitar agenda Dap yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri oleh kerana parti itu telah berjaya membuat perkiraan dengan pemimpin utama PKR itu.

Sekiranya Anwar jadi Perdana Menteri semua kehendak liberal Dap mestilah dipenuhi.

Ini termasuk menghapuskan institusi raja-raja Melayu dan mana-mana agensi kerajaan yang mendokong agenda memartabatkan Melayu seperti UiTM, MARA, MRSM dan sebagainya.

Bagi Anwar institusi-institusi tersebut perlu dihapuskan sebagai persediaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik dengan bantuan Dap.

PKR sudah tentu menghargai sokongan yang diberikan oleh Dap dalam impiannya untuk meletakkan Anwar di Putrajaya dan akan sanggug bersekongkol dengan parti rasis Cina itu untuk merealisasikan agenda kotor mereka.

Ini akan meletakkan desakan Pas menuntut jawatan Perdana Menteri sebagai kera sumbang di dalam Pakatan Rakyat yang tentunya tidak disenangi oleh Dap dan PKR kerana gagal menunjukkan semangat setiakawan dan kerjasama sebagai satu pasukan.

Walaupun Abdul Hadi tidak menyentuh mengenai pelaksaaan hukum hudud di dalam ucapan perasmiannya, ini tidak bermakna parti itu telah melucutkan agenda tersebut.

Ini akan menjadi satu lagi isu yang akan merenggangkan ikatan yang sudahpun longgar di antara ketiga parti tersebut.

Apatah lagi apabila media arus perdana menyiarkan visual adik kepada Mursyidul Am, Nik Radzi yang mendoakan kemusnahan Umno dan BN di kala Israel ganas menyerang penduduk Palestin di Gaza.

Inikah gambaran yang ingin dicerminkan oleh Pas sebagai sebuah parti Islam apabila memohon kepada Allah supaya menghancurkan sebuah parti Melayu yang menjadi tunjang kerajaan sejak merdeka lagi serta menyokong perjuangan rakyat Palestin melawan Israel sejak 1957 lagi?

Di manakah letaknya asas moral dan jatidiri Pas sebagai parti politik Melayu apabila sanggup mengugurkan perjuangan hukum hudud demi menjaga hati Dap tetapi rela mendoakan kemusnahan Umno yang selama ini membela dan memberi bantuan dalam apa sahaja bentuk kepada rakyat Palestin?

Malah Pas amat takut sekali membangkitkan kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah yang secara jelas menggalakkan orang Melayu murtad daripada Islam.

Adakah Pas sudah tidak lagi sensitif kepada apa yang dikatakan oleh anak Anwar itu atau tidak mampu berbuat apa-apa yang mungkin akan menjejaskan peluangnya untuk merangkul jawatan Perdana Menteri?

Dengan menggunakan taktik 'tahaluf siyasi' atau kesepakatan politik, Pas tergamak mengorbankan prinsip dan maruahnya kerana tamakkan kuasa dan jawatan.

Hasil daripada muktamar itu telah berjaya memberi gambaran kepada rakyat bahawa parti itu tidak boleh diharapkan untuk melindungi Islam apatah lagi memimpin bangsa Melayu.

Malah bangsa Melayu akan dilemahkan oleh Pas dan akan bertukar menjadi satu bangsa yang mengemis dan tunduk di bawah telunjuk Dap dan PKR.

Kerakusan Pas untuk mendapatkan kuasa dengan membelakangkan kepentingan Melayu dan Islam akan menjadi liabiliti terbesar parti itu apabila berdepan dengan PRU13 nanti.

Rakyat akan membuat perbandingan antara apa yang dikatakan pada muktamar tahun ini dengan realiti yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat.

Di dalam parti sendiri, pemimpin Pas boleh menjadi hero dan gedebe tetapi apabila berdepan dengan Dap dan PKR, Pas menjadi setan bisu yang akur menurut perintah tuannya.

Monday, November 19, 2012

Lim Kit Siang Tak Restu Hadi Jadi PM!


Ramai pemerhati politik tersenyum sinis apabila Dewan Ulamak PAS serta para perwakilan di Muktamar PAS Ke 58 tempohari bersungguh-sungguh menyarankan Abdul Hadi Awang dilantik sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU 13.

Maka kembanglah hati seketika sebahagian ahli dan penyokong PAS yang hadir, tanpa menyedari saranan tersebut akhirnya hanya akan dibakul sampahkan oleh PR sama seperti nasib yang dialami oleh manifesto negara Islam dan hudud PAS.

Bagi yang celik akal pastinya tahu saranan sedemikian hanyalah sekadar propaganda untuk menyedapkan hati ahli dan penyokong PAS yang kian merasakan mereka sebenarnya telah dipergunakan untuk memenuhi cita-cita politik Anwar Ibrahim.

Namun bagi ahli dan penyokong PAS yang totok balaci setaraf keldai, mainan propaganda itu cukup untuk membuatkan mereka lebih teruja dan bersemangat dalam menempuh liku-liku PRU 13 kelak.

Selama ini umum mengetahui PR sejak lama dulu sudah muktamad mempotretkan Ketua Umum PKR adalah calon PM yang paling layak, kini bila tiba-tiba sahaja PAS tampil dengan saranan calon PM dari puaknya, tentulah menggelikan hati ramai.

Tambah menggelikan hati lagi bila mana ketika di Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran PR di Stadium Sultan muhammad ke IV Kota Bharu pada malamnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula secara terbuka mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim adalah calon muktamad PR sebagai PM.

"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," demikian kata Lim Kit Siang tanpa sedikitpun rasa segan dengan para pemimpin PAS yang menjadi tuan rumah bagi majlis himpunan itu beberapa malam lepas.

Tak perlu pemimpin BN bersuara mempersoalkan atau mempertikaikan kesungguhan PAS untuk menobatkan Presidennya sebagai calon PM, sebaliknya Pengerusi DAP sendiri yang dengan selambanya menolak hadi jatuh terduduk dan malu sendiri.

Hanya berselang beberapa puluh jam sahaja, tembelang propaganda PAS pecah. Lagi mengharukan pengumuman oleh Lim Kit Siang itu dibuat dihadapan ribuan penyokong PAS dan di kubu kuat PAS sendiri. Mana Hadi nak letak muka?

Betullah kata beberapa orang pemerhati politik yang menghadiri Muktamar PAS di PUTIK Pengkalan Chepa tempohari, katanya, saranan PAS untuk meletakkan Hadi sebagai calon PM seumpama menyuruh Hadi melangkah mayat Anwar.

Sebagaimana PAS tak berani untuk melangkah mayat Karpal Singh ketika kecoh isu negera Islam suatu ketika dulu, sama saja kini PAS mahupun Hadi tidak mungkin berani menonjolkan kejantanannya bila timbul isu calon PM yang sudah lama menjadi buruan peribadi Anwar Ibrahim.

Akhirnya, PAS sekali lagi membuktikan pada khalayak hakikatnya mereka hanyalah setakat layak menjadi pencacai dan balaci. Tidak lebih dan tidak kurang. Itulah nasib sang keldai dan lembu tunggangan, wajib taat pada tuannya.

Gambar Memalukan! PM Israel lari Ketakutan Kena Bom!




Hari ke 5 pertempuran antara Pejuang Palestin dengan Israel, di pihak palestin 52 orang meninggal dunia dan 550 cedera. Pejuang Palestin telah melepaskan lebih 900 roket ke Israel yang akhirnya membuat rakyat Israel ketakutan dan mereka pun berkata, jika pejuang palestin menghentikan serangan roket mereka juga sanggup mengehentikan serangan.. janji Israel biasa nya sering dimungkiri.

Ada pihak pula mendakwa Israel akan terus menyerang walaupun Hamas berhenti melancarkan roket.


TV Israel:
"Hamas mengejutkan kita kali ini dengan serangan terhdap Tel Aviv dan yang lebih jauh kemampuan mereka menyerang jajahan Israel di utara (Al-Quds)." Sumber dari Qassam Media

Dikhabarkan juga roket Al-Qassam ini telah sampai menghampiri parlimen Knesset. Roket HAMAS ini juga telah sampai ke rumah Menteri Luar Israel. Sementara Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak pula kini sedang bersembunyi apabila roket yang dilancarkan Briged Al-Qassam banyak mengenai sasaran di Tebing Barat.


Gambar Benjamin Netanyahu sedang lari tak cukup tanah menyelamatkan diri...


Panas: Khalid Ibrahim Jutawan MB


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui bahawa beliau membiayai sepenuhnya kos pembelian bas dua tingkat yang akan digunakan pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 tanpa melibatkan dana kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata beliau membayar sebanyak RM10,833 setiap bulan sebagai ansuran bulanan bas bernilai hampir RM650,000 yang dibuat melalui konsep sewa beli.

"Bas untuk kempen pilihan raya ini pembeliannya dibuat secara persendirian."

Bukankah Azmin Ali yang sepatutnya membeli bas ini untuk digunakan pada kempen PRU 13. Apa fungsi Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi PKR Selangor?



Banyak lagi maklumat di sini...

Video Terlampau - Nik Aziz Dakwa UMNO Murtad



Selepas adiknya mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN), Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula memberi gambaran bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu.

Beliau dalam nada tegas kemudiannya melontarkan persoalan sama ada parti itu kini menganut agama Kristian, Buddha atau pun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.

Sehubungan itu katanya, UMNO tidak perlu dimuliakan sebaliknya doa-doa yang memohon agar UMNO dan BN ditimpa bala tidak salah kerana ia sama dengan kisah Nabi Noh yang memohon kepada Allah untuk memusnahkan umatnya yang tidak patuh kepadanya.-Utusan

Sunday, November 18, 2012

MasyaAllah... Video Pas Doa Hancurkan UMNO, BN


Berikut ialah komen YB Khairy Jamaluddin ahli Parlimen Rembau ditwitter (@khairykj) berhubung solat hajat PAS yang mendoakan kehancuran terhadap UMNO.

"...... PAS mendoakan kehancuran UMNO. Tak Pa lah. Orang UMNO tetap mendoakan kesejahteraan ahli-ahli PAS walaupun beza politik."




Pas sekali lagi membuktikan parti itu sanggup memperalatkan agama demi politik apabila mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan syiar Islam di negara ini, ketika Maal Hijrah baru berlalu tiga hari.

Lebih menyedihkan, Pas meminta doa agar Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN sebagaimana Allah memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab selepas solat hajat, sempena muktamar parti itu di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Doa Pas yang meminta kehancuran UMNO dan BN itu berbeza sekali dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar umat Islam di negara ini menghayati sifat mulia kaum Muhajirin dan Ansar, demi membina perpaduan serta kekuatan ummah semasa beliau berucap pada sambutan Maal Hijrah, Khamis lalu.

Selain itu, doa yang diketuai Nik Razi Nik Mat, iaitu adik kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mendakwa UMNO dan BN telah bertindak zalim kepada agama Islam, rakyat serta negeri Kelantan meskipun Malaysia diiktiraf negara Islam paling maju dan komprehensif di bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

"Ya Allah...Mudahkanlah perjalanan kami ke Putrajaya, kuburkanlah UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini (diulang sebanyak tiga kali). Ya Allah...Hukumkanlah UMNO. Ya Allah...Hukumkanlah UMNO dan BN. K.O! BN, K.O! BN, BN K.O!, K.O! BN, BN K.O!, BN K.O! dalam PRU-13 ini Ya Allah.

"Kalau Kamu pernah tenggelamkan Firaun di dalam laut, Kamu izinkan bumi Mu telan Qarun. Ya Allah...Kamu telah laknat Namrud dan begitu juga Abu Lahab. Maka sungguh mudah untuk Kamu menjahanamkan UMNO dan BN dalam PRU-13," doa Nik Razi sebagaimana dipetik dari blog jinggo-fotopages.blogspot.com, hari ini.

Video doa yang berdurasi 4.26 minit itu dimuat naik sendiri oleh blog jinggo-fotopages dan penelitian Mingguan Malaysia ke atas rakaman video berkenaan mendapati hanya peringkat awal dan akhir doa sahaja Nik Razi membaca ayat al-Quran, manakala hampir keseluruhan kandungan doa pula adalah memburukkan UMNO serta BN.

Dalam pada itu, pengendali blog jinggo-fotopages yang membuat liputan semasa solat hajat tersebut memberitahu, ramai kalangan petugas media terkejut dengan doa yang dibaca Nik Razi, menyebabkan mereka berhenti mengaminkan doa kerana tidak sampai hati mahu mendoakan kehancuran saudara seagama.

"Inilah kali pertama kali dalam sejarah hidup saya yang dah pun mencecah 50 tahun mendengar doa sebegini. Terkejut dan tersedak saya dibuatnya. Saya yang tak berparti mempunyai ramai kenalan di sebelah pembangkang dan juga di sebelah pihak kerajaan yang memerintah. Tak sampai hati saya mengaminkan doa tersebut.

"Ramai juga kenalan media yang pada mula mengaminkan doa tersebut kemudian menurunkan tangan sebagai tanda 'protes' apabila terdengar jeritan imam (Nik Razi) mendoa K.O UMNO dan BN," katanya.-Utusan

Saturday, November 17, 2012

Perwakilan Dewan Ulama Mahu Hadi Jadi PM, Bukan Anwar!

Perbahasan perwakilan sempena Muktamar ke-58 PAS hari ini menyaksikan wakil daripada Dewan Ulama memberikan kejutan apabila mengemukakan cadangan memilih Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri ke-7, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang, sedangkan PR sebelum ini telah sepakat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon mereka.

Perwakilan Dewan Ulama, Hairun Nizam mencadang agar Abdul Hadi dilantik sebagai PM.

Hairun Nizam, dalam perbahasannya berkata Abdul Hadi adalah calon paling layak untuk menjadi perdana menteri, dan selaku ahli PAS tidak sepatutnya mereka berkempen untuk orang lain menjadi pemimpin.

"Saya ingin bertanya kepada perwakilan, siapa orang yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia kalau bukan Tuan Guru Presiden?" katanya dan disambut teriakan "Takbir!" daripada perwakilan yang hadir.

"... bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tapi beliau yang paling layak untuk menjadi perdana menteri akan datang ... dan kita sebagai anak didik kepada parti Islam tidak sepatutnya kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin," katanya.

Ketika ceramah Himpunan Merdeka Rakyat malam tadi di Stadium Sultan Mohamad IV, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan PR sepakat untuk melantik ketua pembangkang itu sebagai perdana menteri untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak sekiranya PR memerintah negara ini.

"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.

Lim berkata, pendirian itu dibuat untuk menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang semakin berleluasa.

Januari lalu, PR pernah menyatakan pendirian bahawa Anwar akan dilantik Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi PRU13 kerana beliau dianggap "paling bersih", dan tiada calon yang lebih layak di dalam PR untuk memegang jawatan eksekutif tertinggi negara itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, juga pernah berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan PAS yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh sekiranya pakatan mereka menang PRU akan datang.

Hairun turut berkata, untuk membentuk negara Islam, pemimpin yang tertinggi dalam mentadbir negara adalah orang yang paling arif berkenaan hukum Allah dan Islam.

"Apabila negara yang menjadi makmum kepada Allah, tunduk dan patuh kepada Allah, maka sepatutnya yang menjadi kepala tertinggi dalam negara tersebut ialah orang yang paling mengetahui hukum hakam Allah," kata Hairun dalam ucapan perbahasannya.

"Ia supaya kerajaan yang didasari dengan Islam ini akan terus ke hadapan tanpa disusuli dengan perkara-perkara yang mengundang penyalah gunaan kuasa atau bercanggah dengan hukum Allah."-TMI

Piiiisstttt: Ada telo ke?
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Friday, November 16, 2012

15,000 Hadir Di Karnival Kerjaya Pemuda BN 2012 Hari Ini #BNYJF2012


Syabas dan tahniah Pemuda BN kerana tiap-tiap tahun menganjurkan Karnival Kerjaya, inilah yang kita mahukan hidup lebih berjaya dengan kerjaya impian kita... Bukan seperti Ketua Pemuda PAS yang hanya mempunyai RM9000 dalam bank simpanannya...

Bernama: Seramai 15,000 orang telah mengunjungi hari pertama Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2012 peringkat Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 40,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan oleh 240 majikan dari seluruh negara pada pesta kerjaya selama tiga hari itu.

Selain kekosongan jawatan, katanya, sebanyak 5,000 peluang latihan termasuk keusahawanan dan latihan perindustrian ditawarkan kepada warganegara berusia bawah 40 tahun.

Karnival kedua anjuran Pemuda BN dengan tema ‘Kerjaya, Pencapaian, Pengajian dan Rumah’ dijangka dikunjungi kira-kira 100,000 orang sehingga Ahad ini, kata Khairy, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, ketika ditemui pada karnival tersebut.

Katanya karnival kerjaya yang sama akan dianjurkan di tiga buah negeri pada tahun depan.

Karnival tiga hari di PWTC itu bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam.

Muktamar PAS ke-58 Hambar



Muktamar PAS ke-58 yang bermula hari ini berlangsung dalam keadaan selesa dan tenang. Bagaimanapun, ianya kelihatan agak terlalu tenang bagi sebuah parti yang kononnya sedang bersiap sedia untuk ‘berperang’ dalam PRU yang akan datang.

Semua wakil-wakil Pemuda, Muslimah dan Ulama bagaikan terlalu berhati-hati dalam membentangkan usul. Ini tidak menghairankan memandangkan PAS berada dalam keadaan sukar atau serba tak kena akhir-akhir ini. Dilema PAS yang paling besar ialah untuk menjaga hati sekutu dan juga penyokong akar umbi mereka sekali gus, sedangkan kehendak kedua-dua pihak ini adalah bertentangan sama sekali.

Beberapa isu yang mampu merobek kepercayaan penyokong dan menghancurkan kerjasama PR ialah Hudud, Kebebasan memilih agama bagi Umat Islam, Halatuju kerjasama PAS-DAP-PKR, pembahagian kerusi Pilihanraya dan jawatan Perdana Menteri. Dua perkara yang paling menggerunkan PAS jika dibangkitkan oleh perwakilan pula ialah soal keikhlasan DAP dan soal ‘kesucian’ Anwar Ibrahim.

Sedangkan, perkara inilah yang menjadi masalah besar di peringkat akar umbi kerana ia memperlihatkan bagaimana PAS tersasar jauh dari landasan asal. Rata-rata mereka berharap yang Muktamar kali ini akan menjelaskan segala keraguan dan kembali membawa keyakinan kepada perjuangan PAS.

Menyedari hati budi akar umbi yang bimbang melihat PAS tersasar dari landasan asal, maka Muktamar kali ini telah menegaskan bahawa hukum hudud akan tetap dilaksana sekiranya PR menang dan parti itu mendapat majoriti di parlimen dan diluluskan.

Untuk itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata, "Dalam pakatan kita sudah bersetuju secara umumnya bahawa bukan sahaja hudud, tetapi syariat Islam itu akan dilaksanakan bila kita berjaya untuk mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin Malaysia, tapi syariat Islam itu akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi.”

Bagi akar umbi PAS yang masih kabur, penegasan ini samalah dengan berkata bahawa perlaksanaan hukum hudud dalam pemerintahan PR adalah bergantung kepada rakyat, DAP dan PKR, dan bukannya PAS. Dalam ertikata lain, tiada jaminan yang ianya akan dilaksanakan atau lebih tepat tidak mungkin akan dapat dilaksanakan berdasarkan sifat rakyat negara ini yang majmuk, serta sifat PAS yang akur kepada sistem demokrasi.

Justeru, jika penyokong PAS mengharapkan perubahan drastik atau ketara ke arah Islam jika PR memerintah, maka mereka wajar berhenti berharap.

Dalam memperkatakan hukum hudud, Harun Taib juga mengingatkan penyokong akan ‘kemungkinan mendapat majoriti di parlimen’ yang mana kemungkinan ini adalah tertakluk kepada majoriti kerusi yang ditandingi dalam pilihanraya serta jumlah kemenangan.

Apabila kita bercakap tentang ‘kemungkinan’ maka ia bermakna tidak mustahil keadaan akan menjadi sebaliknya.

Maka, tidak boleh tidak, bagi memastikan PAS mampu menjadi peneraju kalaupun tidak pendesak kepada perubahan-perubahan ke arah pemerintahan yang lebih Islamik, PAS perlu terlebih dahulu memastikan parti mereka bertanding dan seterusnya memenangi lebih banyak kerusi dari PKR dan DAP.

Inilah yang menjadi keraguan akar umbi PAS iaitu kemampuan PAS untuk bertanding dan menang lebih banyak kerusi dari sekutu mereka. Jika PAS gagal, maka senario pemerintahan PR pastinya membawa aspirasi Malaysian-Malaysia DAP dan juga liberal dan pluralis PKR di mana jangankan hudud mahupun Negara Islam PAS akan tinggal mimpi, tetapi Islam sebagai agama rasmi yang dijaga rapi oleh UMNO juga akan dikuburkan sekali.

Malangnya, kebimbangan akar umbi ini telah ditolak ke tepi oleh para Ulama, kepimpinan Pemuda dan Muslimah PAS. Maka, semestinya, ia juga ditolak ke tepi oleh kepimpinan tertinggi PAS. Walaupun para pemimpin kecil dan besar PAS di dalam Muktamar ini masih terus teruja untuk menghadapi PRU, namun mereka pasti sedar bahawa keterujaan itu tidak dikongsi oleh akar umbi.

Kerana itu, Muktamar ke-58 adalah muktamar yang membosankan kerana ia tidak membawa jiwa perjuangan seperti selalu, tetapi ia membawa jiwa kacau dan bercelaru. Segala keraguan terbuku di hati, tidak dapat diluahkan kerana bimbang menyinggung DAP.

Kesimpulannya, para penyokong PAS perlu menerima hakikat bahawa kepimpinan anda sedang memaksa anda menerima dua kemungkinan sekiranya PR menang dalam PRU kali ini, iaitu:

1. Jika PAS berjaya menjadi majoriti di Parlimen, parti itu tetap tidak mampu menjamin yang hudud akan dilaksanakan.

2. Jika PAS menjadi minoriti di Parlimen, hudud pasti tidak akan dilaksanakan kerana negara ini akan diisytihar sebagai Negara Sekular dan Islam bukan lagi agama rasmi

Ketua Pemuda PAS Isytihar Harta... Betul Ke?


Apa celop gaji Ketua Pemuda PAS standard cikgu Taska? Ke ada akaun lain lagi yang Nasruddin belum istiharkan?

Memang patutlah Nasruddin Hassan dihentam kromo oleh seorang perwakilan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS. Dah la layu... nak menipu pun tak pandai.. Hahaha :D

Dibawah ulasan dari blogger RBF:

Pertama, orang yang jujur dan tiada apa yang hendak diselindungkan dia akan mulakan pengisytiharan itu dengan membaca Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Pas kan parti islam dan KP Pas pun selalu pakai serban atas kepala, kenapa takut nak sebut tiga perkataan itu ?

Kedua, dia telah membuka rahsia Pas yang selama ini memberitahu orang ramai kononnya perjuangan mereka ikhlas dan tidak dibayar dengan wang ringgit apabila mengumumkan dia dibayar elaun RM 2500.00 sebulan sebagai Ketua Pemuda Pas. RM 2500 atau RM 250, hatta RM 25 sekali pun yang penting perjuangan dalam Pas dibayar. Selama ini mereka menuduh orang-orang Umno bergerak semuanya dengan duit dan perjuangan Umno adalah perjuangan duit. Nah ! Sekarang siapa yang berjuang dengan dibalas wang ringgit ? Ahli-ahli Pas dibawah dan pendengar-pendengar ceramah Pas diminta untuk berkorban serta menyumbang itu dan ini kononnya untuk perjuangan islam. Rupa-rupanya ada juga elaun untuk pemimpin atasan. Jika Ketua Pemuda menerima elaun RM 2500.00 sebulan, berapa pula elaun yang diterima mursyidul am, presiden, timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung ?

Ketiga, dia mengumumkan pendapatannya RM 2500 hasil dari elaun yang dibayar Pas dan RM 300 kutipan sewa rumah. Kenapa tidak diumumkan berapa bayaran yang diterimanya setiap kali turun berceramah atau pendapatannya bulanannya dari hasil ceramah ? Sudah menjadi kelaziman bagi orang-orang Pas mereka akan dibayar setiap kali turun berceramah hasil kutipan derma dari orang ramai di tempat ceramah.

Keempat, jumlah pendapatan bulanannya RM 2800, anak enam orang, bayaran ansuran kereta RM 1400 sebulan dan bayaran rumah RM 530 sebulan. Logikkah seorang bapa yang mempunyai enam anak mampu membayar ansuran keretanya separuh atau 50 peratus dari pendapatan bulanannya ? Gaji RM 2800, bayar kereta RM 1400 + bayar rumah RM 530 maka jumlahnya RM 1930, manakala baki pendapatannya RM 870 sebulan. Bolehkah seorang bapa memelihara enam anak dengan baki gajinya RM 870 sebulan ? Itu belum dikira lagi kos minyak kereta, penyelenggaraan kereta, turun demo sana-sini dan sebagainya. Ada ke bank yang boleh beri pinjaman kenderaan untuk bayaran ansuran bulanannya mencecah 50 peratus dari pendapatan peminjam yang hanya RM 2800 sebulan ?

Mungkin bank kohilal kot ?

Kita tak payah fikir panjang-panjang atau banyak-banyak, pengumuman KP Pas tentang jumlah bayaran ansuran bulanan kenderaannya (RM 1400) sudah cukup untuk kita anggarkan atau baca jumlah pendapatan dia.

Berdasarkan pengalaman saya, biasanya bank mengambil kira 1/3 daripada jumlah pendapatan kasar atau sesetengah bank ambil kira 1/3 dari jumlah pendapatan bersih bulanan seseorang pemimjam untuk bayaran ansuran bulanan.

Dalam kes KP Pas ini kita katakan bank mengambil kira pendapatan kasarnya. Jika dia katakan RM 1400 sebulan bayaran ansuran kenderaannya. Maka sudah tentu gajinya RM 4200 sebulan. Sedangkan dia umum gajinya RM 2800. Kalau saya salah dan ada rakan-rakan pembaca yang bekerja dalam industri bank boleh tolongkan betulkan saya dalam hal ini.

Mungkin penyokong-penyokong Pas akan berkata, ahhhhhh RM 1400 sahaja bezanya jika nak dibandingkan dengan apa yang pemimpin-pemimpin Umno rembat......

Baca lagi...

Muktamar PAS ke-58: Nasruddin Kena Hentam Teruk


Entah kat mana lagi Nasruddin Hassan nak letak mukanya sebagai Ketua Dewan pemuda PAS Pusat setelah dihentam tanpa berlapik oleh seorang perwakilan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS berikutan kelesuan sayap parti itu.

Teguran keras itu datangnya dari perwakilan Pemuda PAS Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh yang mengkritik ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS yang disifatkannya tidak mempunyai idea baru dalam membantu menambah sokongan generasi muda kepada PAS.

Perwakilan itu juga menemplak sikap berdiam diri Nasruddin yang membisu dengan kelemahan urus tadbir Kerajaan Negeri yang diperintah PR seolah-olah kesemua pemimpin PR di negeri-negeri itu maksum dan terkecuali dari melakukan kesilapan.

Malu dan terkedu jadinya para pemimpin Pemuda PAS yang lain melihat ketua mereka dihentam sedemikian rupa sehingga menarik perhatian pelbagai media.

Sebelumnya sudah beberapa kali pimpinan tertinggi PAS memberi arahan terbuka melarang para perwakilan daripada menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kepimpinan parti.

Kita harap perwakilan PAS yang masih mempunyai telur ini tidak akan mengalami nasib buruk sama seperti bekas Naib Presiden PAS, Hasan Ali yang dipecat hanya kerana membuat teguran terbuka.

Imbas kembali satu peristiwa yang berlaku beberapa bulan lepas yang melibatkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu, beliau juga pernah termalu sendiri apabila didapati menipu dan memesongkan fakta semasa berdebat dengan Ustaz Fathul Bari berhubung isu hudud PAS.

Dalam perdebatan itu, Nasruddin telah menipu khalayak umum dengan mendakwa pemimpin utama DAP, Karpal Singh telah bersetuju untuk berkompromi dalam isu perlaksanaan hudud PAS.

Karpal yang berang dengan pembohongan Ketua Dewan Pemuda PAS itu kemudiannya tampil menafikan dakwaan Nasruddin sebaliknya tetap tegas dengan pendiriannya menolak hudud PAS mahupun Negara Islam ala PAS.

Akibatnya, PAS menanggung aib yang tidak sedikit disebabkan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin kanan partinya.

Imej PAS makin merudum bukan sahaja dikalangan ramai pengundi Melayu Islam malah pengikut PAS sendiri pun semakin malu-malu kucing untuk mengaku Nasruddin itu adalah pemimpin mereka.

Dari dua peristiwa di atas, mengukuhkan andaian ramai pemerhati politik yang melihat Nasruddin tidak memiliki kredibiliti untuk menjadi pemimpin masa depan untuk PAS.

Beliau tidak berupaya untuk menerajui dan mengangkat martabat sayap pemuda PAS itu untuk pergi jauh ke hadapan.

Tapi kalau setakat untuk meningkat imej ahli PAS sebagai pak turut merangkap balaci untuk tujuan demonstrasi jalanan serta penjaga parking di ceramah-ceramah PR, rasanya Nasruddin telah berjaya melakukannya melalui Unit Amal PAS.