Wednesday, November 21, 2012

Zuraida Mengaku Miliki Beberapa Kereta Mewah!


Heboh di internet dua tiga hari ini mengenai seorang pemimpin politik yang memiliki kekayaan luar biasa selepas empat tahun bergelar MP, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengaku memiliki beberapa buah kenderaan tetapi tidak rasa bersalah apa-apa.
Sebelum ini, Zuraida didakwa memiliki empat buah kenderaan atas nama beliau antaranya SUV Volvo, Toyota Hilux dua buah dan terbaru sebuah Mercedes.

Bagaimanapun Zuraida dipetik dari sebuah portal pembangkang berkata tidak ada apa-apa unsur mencurigakan dalam pemilikan berkenaan serta mengalu-alukan jika mana-mana pihak mahu melakukan siasatan terhadap dirinya.

“Saya tidak ada masalah jika mana-mana pihak mahu lakukan siasatan.

“Kereta Volvo yang dipersoalkan itu saya beli dengan menggunakan pengecualian duti eksais diperolehi ahli parlimen.

“Toyota Hilux itu pula, saya ‘trade in’ dengan kereta Naza sebelum ini bagi memudahkan untuk turun ke kawasan, sebiji lagi Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran WTY 1547 dibeli oleh seorang anggota parti menggunakan nama saya kerana nama beliau sudah disenarai hitamkan,” kata Zuraida.

Ketua Wanita PKR itu juga menambah beliau sudah memiliki lebih daripada sebuah kenderaan sebelum menjadi wakil rakyat.

“Mereka mungkin tidak tahu, sebelum menjadi wakil rakyat lagi, Kak Zu (Zuraida) sudah miliki lebih daripada satu kenderaan.

“Tentang isu tidak membayar saman, negara kita kan ada undang-undang? Nanti bila nak hidupkan cukai jalan, saya perlu bayar semua saman sebelum dibenarkan berbuat demikian,” katanya.- Agendadaily

Tiada Gencatan Senjata, Israel Terus Bedil Gaza


GAZA CITY - Rundingan berhubung gencatan senjata untuk menamatkan konflik Gaza masih berterusan dan tiada lagi keputusan muktamad setakat ini walaupun laporan awal mendakwa sudah ada harapan ke arah itu.

Menurut pegawai dari Mesir, walaupun rundingan sedang diadakan, bedilan ke atas Gaza masih lagi berterusan dan hari ini masuk hari kelapan.

“Rundingan masih lagi diteruskan,” kata seorang pegawai Mesir yang enggan dikenali.

Beliau turut berkata yang Kaherah berharap agar perjanjian damai dan arahan gencatan senjata dapat direalisasikan.

Israel masih lagi tertekan dengan serangan roket dari Palestin oleh pihak Hamas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pula mengadakan lawatan ke Israel selepas menghadiri sidang kemuncak Asia lewat semalam.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual berbincang dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Presiden Mesir, Mohammed Morsi.

"Presiden Obama telah meminta saya datang ke Israel dengan mesej yang jelas.

"Komitmen Amerika ke atas keselamatan Israel kukuh dan tidak goyah. Itu sebabnya kami percaya bahawa sangat penting untuk mengatasi ketegangan di Gaza," kata beliau dipetik CNN.



Israel pula bertubi-tubi melakukan serangan ke atas Palestin dan menyasarkan serangan ke bandar-bandar utama di sekitar Gaza yang diperintah Hamas kerana tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

Pasukan perubatan di Gaza berkata, seramai 130 orang telah meninggal dunia akibat serangan Israel dan kebanyakannya orang awam terdiri daripada kanak-kanak.

Laporan CNN juga menyebut wujud situasi dan persekitaran seolah-olah serangan kemungkinan akan dihentikan.

Seorang pegawai Hamas memberitahu CNN bahawa "tempoh bertenang" akan diumumkan menjelang jam 9 malam tadi waktu tempatan (awal pagi ini, waktu Malaysia) tetapi tidak berlaku.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri kemudian memberitahu bahawa Israel tidak bersetuju dengan terma-terma yang akan membawa kepada usaha menghentikan pertempuran.

Begitu juga dikatakan oleh Presiden Mesir.

Menurut laporan malam tadi (waktu Malaysia), yang memetik Mohammed berkata, serangan Israel ke atas Gaza akan berakhir dalam "beberapa jam" lagi.

Beberapa jam kemudian, pejabat Presiden Mesir memberitahu CNN bahawa jangan mengharapkan apa-apa pengumuman sehingga lewat malam. Keadaan itu berterusan sehingga sekarang sementara tekanan antarabangsa semakin meningkat.

Jom Bantu Jayakan Tabung #SaveGaza di PWTC Esok


Semua di jemput ke
Majlis pelancaran tabung SAVE GAZA Aman Malaysia
Solat hajat serta promo centre (showcase keganasan Israel)
22 November 2012 (esok)
5.30 Petang
Bertempat di Ruang Legar Aras 2, PWTC

Sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun 
Pertubuhan Keamanan Rakyat Malaysia


Semoga usaha kecil ini dikira sebagai amal jariah. Mereka tidak lagi bersendirian, kerana kita turut berjuang bersama mereka.

Tuesday, November 20, 2012

Umno Kelantan Buat Laporan Polis Doa 'KO BN'


Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.

Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.

Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.

Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.

"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.

Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.

Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.

"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.

Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.

Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.

Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama

Video - Mari Tengok Anwar Joget Macam Mr Bean!


Mari tengok siapa yang kena!! Tok sah cakap pasal moral kalau tak kenal siapa dia Anwar!!

Malaysia Kecam Israel, Gesa PBB Tindak Segera


BERIKUT ketetapan Usul Mengecam Serangan Israel Ke Atas Wilayah Palestin di Gaza yang dibentangkan di Parlimen pagi ini:

1. Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua dan kemusnahan harta benda dan insfrastruktur serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

2. Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta merta gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasa gencatan.

3. Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas perhimpunan agung PBB- "Uniting For Peace- di bawah resolusi 377 A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.

4. Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel.

5. Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota-anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang.

6. Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Pelestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

7. Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

8. Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta merta.

9. Menggesa Majlis Keselamatan PBB menyiasat dan mengambil tindakan bagi maksud pendakwaan ke atas jenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

10. Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen, khasnya Kongres Amerika Syarikat (AS), Parlimen Britain dan Perlimen Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan PBB.-Sinar