Thursday, February 7, 2013

PAS Hantar Surat Pecat Nasharudin Guna Pos Laju


Masyarakat semakin curiga sejak PAS berkawan baik dengan DAP parti itu sudah jauh menyimpang dan melupakan matlamat yang membentuk legasi politiknya sejak ditubuhkan pada tahun 1951.

Segala-galanya mungkin kerana “nothing impossible” bagi DAP.

Terkini: Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa akhirnya menerima surat penggugurannya daripada Majlis syura Ulama parti itu iaitu kira-kira 24 hari selepas beliau dipecat.

Bagaimanapun sebab khusus penggugurannya daripada majlis berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam surat bertarikh Januari 14 itu.

Mengesahkan bahawa beliau menerima surat itu pada Rabu, Nasharudin berkata tarikh yang dicop pada sampul surat Pos Laju berkenaan ialah 30 Januari.

"Surat bertarikh 14 Januari itu ditandatangani oleh Setiausaha Majlis Syura. Sebab (pemecatan) tidak dinyatakan dengan jelas," katanya.

Murysidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata Majlis syura Ulama memutuskan untuk memecat Nasharudin pada mesyuarat pada 13 Januari lalu kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut.

Nasharudin bagaimanapun masih ahli PAS.

Khalid Gagap Kebas RM 120 Juta Dari Kerajaan Pusat?


Kerajaan PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar, Khalid Ibrahim dalam kebanyakan kenyataan media seringkali menuding jari menyalahkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai punca berlakunya krisis air di Selangor.

SYABAS dituduh tidak berupaya menambah baik sistem bekalan air termasuk menukar ganti paip air lama yang menyebabkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) di negeri itu masih berada di paras yang tinggi.

Serentak dengan itu juga Khalid menjadikan alasan tersebut untuk menjustifikasikan pentingnya penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Walhal umum mengetahui sejak Selangor diambil alih oleh PKR, kerajaan negeri telah bertindak membekukan perbelanjaan modal (Capex), akibatnya pemegang konsesi air itu terpaksa menghentikan kerja pembaikan serta menaik taraf paip.

Bila mana naik taraf paip air dihentikan disebabkan Capex disekat, bermakna sasaran 19.98% NRW gagal dicapai.

Tanyalah sesiapa pun hatta kanak-kanak yang baru masuk sekolah rendah pun tahu, tanpa modal perbelanjaan tidak mungkin barang lama berganti baru.

Sedangkan ramai yang maklum sekiranya Capex tidak disekat, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai.

Sebagai contoh, dengan adanya Capex hasilnya pada tahun 2005 NRW yang ketika itu ialah 42.78% telah berjaya dikurangkan kepada 37.65 peratus.

Manakala bagi tahun 2008 37.28% NRW berjaya diturunkan kepada 33.17%.

Namun selepas Kerajaan PKR Selangor menyekat SYABAS menggunakan modal perbelanjaan Capex kesannya NRW kekal diparas 33%.

Jelas sekali tujuan Kerajaan PKR Selangor menyekat Capex tujuannya tak lain tak bukan untuk mensabotaj SYABAS supaya orang ramai akan memfokuskan kemarahan mereka kepada syarikat konsesi air itu selanjutnya menyokong saranan MB Selangor untuk penstrukturan semula bekalan air.

Menyedari masalah yang dihadapi SYABAS jika gagal ditangani segera kesan tempiasnya akan menyebabkan orang ramai berdepan risiko masalah bekalan air bersih akhirnya Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif memberi peruntukan tambahan RM120 juta.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang telah diberikan kepada Syabas sebelum ini bertujuan untuk menambah baik bekalan air sekaligus mampu mengurangkan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat Selangor.

Sepatutnya PKR dan rakan sepakatannya dalam PR yang memerintah Selangor tika ini yang sebetul-betulnya perlu memikul tanggungjawab membantu SYABAS apatah lagi Kerajaan Negeri sendiri memiliki kepentingan 30% dalam syarikat konsesi air itu.

Dengan kata lain bantuan kewangan RM120 juta mahupun RM606 juta itu patutnya adalah tanggungjawab Kerajaan PKR Selangor dan bukannya Kerajaan Pusat.

Tapi disebabkan MB yang paling lembap dalam sejarah negeri itu terlampau kemaruk mahu mengambil alih SYABAS demi kepentingan kroni sendiri akhirnya tanggungjawab tersebut gagal dilakukan.

Mujurlah Kerajaan Pusat cepat menyedari denyut nadi kebimbangan khalayak umum, lantaran itu tanpa mengira perbezaan politik maka bantuan kewangan tetap disalurkan demi memastikan keselesaan rakyat disamping mengekang kesan sampingan lain terhadap perkembangan ekonomi negeri.

Jika diharapkan Kerajaan PKR Selangor yang asyik mengutamakan kepentingan politik silap gaya saban minggu ada sahaja masalah bekalan air berlaku sebagaimana yang terjadi baru-baru ini.

Apapun, majoriti rakyat Selangor kini semakin faham permainan politik Kerajaan PKR Selangor yang ternyata mendahulukan perihal politik kepartian mengatasi kepentingan khalayak, bukannya satu model kepimpinan yang baik.

Cukuplah hampir 5 tahun rakyat Selangor dibuai retorik politik dan polemik yang tidak berkesudahan.

Justeru itu, eloklah PRU 13 kelak ditalkinkan sahaja Khalid Ibrahim dan kerajaannya itu.

Al-Fatihah: Pakar IT Azli Paat Meninggal Dunia


Salam perjuangan... Tak sangka sekali Azli Paat meninggal tanpa diduga... Namun semua ini ketentuan dari Allah... Pemergiannya amat dirasai... beliau merupakan sifu yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada aku dalam selok belok dunia maya IT.

Semoga roh arwah tenang bersemadi dan dicucuri rahmat Allah swt.

Usahawan dan Pakar IT Azli Paat meninggal dunia petang Rabu.

Allahyarham yang dikatakan mengalami demam sejak beberapa hari menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 6.45 petang dirumahnya di Segambut, disini.

Azli merupakan penggerak sistem pesanan ringkas (SMS) di negara ini dan juga merupakan individu yang memperkenalkan Kod DAPAT (32728) yang digunakan untuk menggerakan sistem Rakan Cop yang dibangunkan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga merupakan individu yang terbabit dalam pengwujudan sistem besepadu mySMS 15888 untuk kerajaan Malaysia yang membolehkan pesanan tanpa sempadan diantara pelbagai syarikat telekomunikasi untuk perkhidmatan awam di Malaysia.

Azli juga merupakan ahli lembaga dan presiden Persatuan Pembekal Pengisian Mudah Alih Malaysia.

Dikalangan rakan-rakanya, Azli merupakan seorang yang kurang tidur kerana sering ke udara melalui corong radio samaada di tengah malam, dinihari mahupun tengahari.

Beliau merupakan pakar rujuk bagi beberapa rancangan IT di radio dan televisyen termasuk di Astro Awani.
Kebolehannya untuk memberi ulasan dan penjelasan tentang IT dalam Bahasa Malaysia telah menjadikan beliau seorang pakar rujuk yang mempunyai ramai pengikut.

Azli mula dikenali ramai sebagai pakar rujuk bidang IT melalui pembabitannya dalam rancangan IT di KLFM sekitar tahun 90an.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Pedada Kuning, di Batu Pahat, hari Khamis.

Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Azli Paat... Semoga Allah Taala menempatkan arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.... amiiiinnn..

Hot : Mat Sabu Terkena Panggilan Hangit


Kami terus memburu mangsa baru.....

Rakaman panggilan hangit melalui telephone Mat Sabu ini dirakamkan pada tahun 1994/1995... Kualitinya kurang jelas. Sila dengar menggunakan ear/headphone.


Wednesday, February 6, 2013

Nasharudin Gesa PAS Keluar Dari Pakatan Haram!


PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang dan bergerak secara bersendirian bersandarkan kekuatannya jika ingin terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Ketika membuat desakan itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berkata walaupun PAS menjalin hubungan dengan DAP dan PKR berasaskan konsep tahaluf siyasi atau muafakat politik, pelanggaran beberapa syarat dalam ikatan itu jelas mengusik kesucian Islam.

Malah, katanya, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam hal ehwal dalaman dilihat mula melunturkan kekuatan PAS.

Berikutan itu, katanya, PAS perlu menjarakkan diri daripada anasir luar berkepentingan peribadi termasuk pihak yang memiliki ikatan tahaluf siyasi jika mahu mengekalkan asas perjuangannya.

PAS itu hebat bersendiri, PAS pernah bersendiri, saya rasa ramai juga orang menyokong PAS jika bersendiri, katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual eksklusif bersama BHOnline di sini, semalam.

Nasharudin menegaskan kelantangan DAP bersuara dalam isu membabitkan kepentingan Islam, terutama mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu menjadi kewajaran untuk PAS mengkaji semula tahaluf siyasi mereka.

Beliau berkata, ketika bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor menerajui parti itu, satu pertemuan dengan pemimpin gerakan Islam sedunia diadakan di Liecester, United Kingdom, menetapkan beberapa syarat untuk bertahaluf siyasi.

Antara syaratnya ialah kita jangan mudah lunturkan dasar Islam, jangan biarkan mereka yang bertahaluf mudah sangat mengusik Islam, hendak cubit Islam, tetapi saya lihat mutakhir ini ia berlaku.

Jadi bagi saya, jika benda itu berlaku, ia melanggar syarat walaupun ada tahaluf dan apabila sudah melanggar syarat ia harus dikaji semula.

Jika tidak ditulis dalam syarat tahaluf, tetapi secara umumnya jika orang lain itu menegur agama kita secara terbuka dalam bentuk cabaran, saya rasa tanpa tahaluf pun orang Islam kena bangkit nyatakan pendirian, katanya.

Nasharudin berkata, dalam isu kalimah Allah, PAS perlu bersuara dan menyatakan pendiriannya yang jelas kerana kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama kepemimpinan pakatan pembangkang lain jelas bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS.

Sementara itu, ketika sesi temu bual eksklusif secara online bersama pembaca BH, beliau turut menjawab beberapa persoalan membabitkan Anwar sama ada pemimpin pembangkang itu turut campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran PAS.

Beliau berkata, kemungkinan itu memang ada dan ia tidak sewajarnya berlaku dalam PAS.

Timbul beberapa isu berkaitan Anwar Ibrahim yang menimbulkan keraguan. Saya berpandangan sebagai ahli PAS, sudah tentu kepimpinan tertinggi parti saya adalah calon terbaik untuk memimpin, katanya – BH

Akhirnya Hadi Berjaya Dikambinghitam


Roslan Bian - Kasihan tengok Datuk Seri Abdul Hadi Awang terkial-kial nak lepaskan diri daripada kemelut kalimah Allah.Mutakhir ini Presiden PAS itu betul-betul tersepit antara menghormati sekutu dalam pembangkang iaitu DAP dan PKR atau patuh kepada Majlis Syura Ulama.

Maklumlah Anwar dan Karpal tetap mahu Hadi berpegang ketetapan PAS pada 8 Januari tetapi dalam masa sama keputusan mesyuarat Majlis Syura pada 13 Januari berpendapat sebaliknya.

Apabila Karpal Singh ‘mengaum’ mahu Hadi kekal dengan pendirian Pakatan Rakyat dan mengenepikan keputusan Majlis Syura, Hadi fikir Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat akan membelanya.

Namun, Nik Aziz hanya mampu cakap ‘ itu dia (Karpal) punya pasal’.

Menteri Besar Kelantan itu menyatakan Karpal tidak tahu pasal keputusan Majlis Syura kerana Pengerusi DAP itu bukan orang PAS.

Bagi Nik Aziz dan kebanyakkan pemimpin PAS, mereka anggap isu kalimah Allah sudah selesai.

Kumpulan Anwarinas yang sebelum ini sokong keputusan Hadi pada 8 Januari lalu pun sudah menikus.

Mana mereka berani lawan keputusan Majlis Syura sekarang ini kerana silap haribulan nama boleh ‘padam’ daripada senarai calon PRU 13.

Sekarang isu itu sudah jadi Hadi ‘punya pasal’.

Beliau kena selesai sendiri. Itulah pendirian terbaru Majlis Syura yang mahu Hadi membincangkan perkara itu dalam pakatan pembangkang.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh, apa lagi isu berbangkit pasal Kalimah Allah dan pendirian PAS dalam PR kena tanya Hadi.

“Keputusan Majlis Syura adalah keputusan muktamad yang selari dengan sikap umat Islam,” tegas beliau.

Ini betul-betul buat Hadi macam lagu ‘ikan di laut, asam di darat- dalam air badan berpeluh’ .

Dalam usaha melepaskan dirinya yang semakin tersepit, pada Sabtu Hadi menyalahkan UMNO dan pada Ahad, beliau mengalih senapangnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, isu mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible sepatutnya diperjelaskan oleh KDN dan bukannya oleh parti tersebut.

Katanya, KDN merupakan pihak yang bertanggungjawab memberikan lesen mencetak kitab itu.

“Sepatutnya soalan ini dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri, kerana hak membenarkan kalimah Allah dalam Bible ini hak Kementerian Dalam Negeri.

“Yang menentukan untuk dicetak dan seumpamanya bukannya kami, kami (belum) memerintah lagi (di peringkat persekutuan),” kata Hadi pada sidang media di Shah Alam, pagi Ahad.

Hadi berkata, PAS hanya “diheret” ke dalam polemik tersebut, sedangkan kuasa untuk menentukan penggunaannya berada bawah bidang kuasa KDN.

Memang betul pada 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa sebuah penerbitan Kristian berhak menggunakan kalimah Allah.

Tetapi KDN telah merayu keputusan itu dan setakat ini tidak ada tarikh perbicaraan ditetapkan.

Kesimpulannya Hadi tidak payah menunding jari pada orang lain.

Beliau kena berani tanggung kesan perakuannya pada 8 Januari lalu.

Lagipun, sudah ada pemimpin dan ahli-ahli PAS Terengganu mahu PAS Pusat menyatakan pendirian dalam isu itu.

Eloklah Hadi renung-renung kedudukannya sekarang dan di manakah pemimpin PAS geng Anwarinas yang menyokongnya sebelum ini.

Siapa lagi nak mempertahankan beliau? Jika dulu ada Nasharudin Mat Isa sebagai timbalannya, kini ahli parlimen Bachok itu hanya ahli biasa selepas Menteri Besar Kelantan yang kini popular dengan ‘itu dia punya pasal’ memecatnya daripada keahlian Majlis Syura.

Harap Hadi tidak menerima nasib sama seperti ustaz Nasha. -5/2/2013-OLEH ROSLAN BIAN

Hadi..Hadi!…Karpal yang mengamuk kenapa UMNO pulak kena tembak…

Gara-gara onar tidak sudah-sudah DAP khususnya Karpal Singh dalam isu Kalimah Allah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya menikus.

Sepatahpun Presiden PAS itu tidak sentuh rasa geram dan kesal Pengerusi DAP itu ekoran kenyataan beliau bahawa isu kalimah Allah sudah selesai selepas DAP mendengar penjelasan PAS berhubung keputusan Majlis Syura Ulama.

Sebaliknya satu dunia sudah dengar bagaimana Karpal Singh mengaum kata belum beres.

Kalau nak kira malu memang malu PAS kena sergah dengan otai DAP itu dalam isu yang begini penting.

Seperti orang yang gabra berdepan dengan perkembangan terbaru ini …kini Hadi menghala muncung senapang kepada UMNO menuduh isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian mutakhir ini adalah mainan politik UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-13..

“Ini kerja UMNO. Mengaku Islam… bawa isu kalimah Allah musim pilihan raya. Nak pancing undi guna kalimah Allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perdana Ummah bersama PAS di sebuah hotel dekat ibu negara, Ahad.

Jelas Hadi, keputusan dibuat Majlis Syura PAS berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sudah cukup jelas, namun ia dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu termasuk sesetengah media
sehingga ia menimbulkan kebimbangan rakyat.

“Allah tak boleh diterjemahkan. Dalam masa sama Allah digunakan bukan Islam ditempat dia, itu hak kamu. Salah gunakan, itu tak boleh.

“Ia ada beza dan kita kena faham. Majlis Syura Ulama buat keputusan perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Perkataan Allah tak boleh salah guna. Kalau kamu nak (kalimah) Allah dalam bangsa kamu, itu hak
kamu. Dipotong-potong kenyataan ini dan dilaga-lagakan,” tegasnya.

Alahai Hadi kenapa kena ding dong macam ni.

Kalau cakap macam tu, maknanya Hadi masih kekal dengan ketetapan yang dibuat PAS bersama DAP dan PKR dalam mesyuarat majlis pimpinan pekatan pembangkang pada 8 Januari lalu.

Sedangkan Majlis Syura Ulama yang mesyuarat pada 13 Januari memutuskan kalimah Allah hanya untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang lain.

Ini bermakna kalimah itu juga tidak boleh diterjemahkan dalam Bible Bahasa Melayu.

Mungkin sebab itulah Hadi tidak menjawab kecaman Karpal terhadapnya kerana pendiriannya masih sama seperti dituntut Karpal dan DAP.

Pasti ramai pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin masih berpendirian sama seperti Hadi walaupun mengaku akur keputusan Majlis Syura Ulama.

Justeru itu, wajar sangat Hadi minta disegerakan mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat supaya beliau dapat ulangi pendirian PAS yang pernah dibuat pada 8 Januari lalu.

Kenapa beliau nak kambing hitamkan UMNO dalam isu ini?

Tidak perlulah Hadi rasa takut untuk mengakui hakikat bahawa PAS memang perlu sokongan DAP dan sebab itu PAS perlu akur kehendak Karpal dan DAP.

Cukuplah isu Amanat Hadi ‘disenyapkan’ begitu sahaja, Jangan pula, isu Kalimah Allah ini Hadi nak berdolak dalih juga.

Biarlah PAS dan PR dengan persetujuan penggunaaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam yang dibuat sebelum ini.

Tak kisahlah kalau Karpal nak perlekeh Majlis Syura Ulama kerana bukan Hadi yang patut jawab tetapi Nik Aziz.

Siapa tahu Nik Aziz kalau nanti Nik Aziz juga mahu tuduh ini juga permainan UMNO.

Kini dikacamata ramai orang nampak sangat PAS yang mempolitikkan isu kalimah Allah untuk politik kerana takut undi penyokong dan ahli DAP terlepas dalam PRU 13.

Namun, elok juga diingatkan kepada Hadi dan Nik Aziz, jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran sudahlah.