Sunday, February 24, 2013

Datum Jelatek: Penduduk Akan Hantar Memorandum


KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 penduduk menyertai perhimpunan secara aman bagi membantah projek kondominium mewah Datum Jelatek bernilai RM1.2 bilion yang dijadual siap pada tahun 2016.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Salleh Samad demonstrasi bertujuan menolak projek ini daripada diteruskan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di atas tanah yang pernah didiami oleh orang Melayu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengumpul tandatangan penduduk kawasan itu untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Selangor sehingga projek tersebut dihentikan dengan kadar segera.

"Langkah seterusnya kita akan menghantar memorandum, sekarang ni kita sudah mula ambil tandatangan penduduk. Kita akan hantar kepada pihak PKNS, MPAJ, kerajaan negeri, dan juga tuanku Sultan Selangor."

Selain itu juga Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) yang diwakili oleh Datuk Shohaimi Shahdan juga akan turut membantu badan bertindak ini dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada penduduk.

"Kita di pihak GPRS akan edar risalah-risalah tentang maklumat sebenar Datum ini dan pembongkaran apa yang berlaku kepada penduduk taman Keramat ini," ujar beliau dalam sidang media selepas sesi bantahan di sini hari ini.

Datum Jelatek sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, selepas kesemua penduduk yang rata-ratanya orang Melayu telah dipindahkan dengan memberi pampasan yang kecil.

Namun kini difahamkan projek tersebut "bertukar" menjadi cadangan pembinaan empat bangunan eksklusif setinggi 45 tingkat yang merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Harga minima seunit rumah berkenaan bernilai RM700,000 dan ternyata ia tidak mampu dimiliki oleh penduduk kawasan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya sebelum ini mempertahankan tindakan pihaknya menjual kondominium mewah pada harga tinggi sebagai keperluan untuk menarik pelabur asing.

Beliau turut mengesahkan bahawa unit-unit kondominium dan ruang niaga di Datum Jelatek dibeli oleh pelabur Singapura.

"Semua orang nak bantah. Kalau nak buat cantik, nak beli murah, siapa nak buat?" kata beliau apabila ditanya pemberita tentang relevannya pembinaan kondominium berkenaan di kawasan kepadatan penduduk terdiri dari kaum Melayu.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin memberitahu pihaknya akan membantu Badan Bertindak Datum Jelatek dengan menyediakan perkhidmatan guaman untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang.

"Saya punya pandangan dari sudut undang-undang, kita mahukan laporan EIA dibuat. Laporan EIA ni berkenaan alam sekitar yang melibatkan penduduk.

"Saya difahamkan apabila projek ini dibangunkan, kiri kanan kondominium ini akan dibina jalan empat laluan dan tentunya rumah teres berdekatan tapak ini akan dirobohkan.

"Dari segi kaveat, saya punya pandangan bahawa penduduk sekitar mempunyai kepentingan dan saya fikir mereka boleh masukkan kaveat. Bukan sahaja kaveat tetapi kita boleh masukkan injuksi. Saya juga akan berunding dengan Salleh untuk kita melantik mana-mana syarikat guaman mewakili badan bertindak ini," ujar beliau.

Antara badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat yang turut serta dalam Bantahan Projek Datum Jelatek hari ini adalah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.

AntaraPos

Kerajaan Pas Kelantan Rampas Hak Pemandu Teksi

“Saksikan sendiri bagaimana kerajaan Pas Kelantan berusaha merampas hak pemandu teksi Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,”kata pengendali GelombangMerah ketika mengirimkan rakaman video bertajuk “Rampas Hak Rakyat” ke laman ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengotakan janji ditepati dengan membantu menyelesaikan permasalahan Persatuan Pemandu Teksi tersebut,”katanya lagi.

Video yang dihantar merakamkan detik-detik sukar yang dilalui oleh Persatuan Teksi Kereta Sewa Jajahan Pasir Puteh ketika berhadapan dengan cubaan anak syarikat kerajaan negeri mahu merampas tapak tanah tempat mereka mencari rezeki untuk dijual kepada pihak lain.

“Saya akan tetap duduk di sini. Soal berpindah, tidak sama sekali. Jadilah macam mana sekalipun, kita tidak akan lari (dari tempat ini).

“Kalau dia datang membawa jentolak pun, kita akan tetap letak (kereta) atas jalan raya. Kita tetap akan berkeras,”kata Mat Hassan Harun, bendahari Persatuan Pemandu Teksi, Jajahan Pasir Putih.

Saksikan sendiri rakaman video tersebut.

Video url: http://youtu.be/s3Xos7_yCEY



AIDC

BR1M : Rakyat Bukan Binatang, Bukan Bodoh


Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kepimpinan pakatan pembangkang dilihat semakin memusuhi rakyat setelah melihat sokongan yang diberikan terhadap proses transformasi ekonomi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat sambutan.

Tanpa segan silu pemimpin-pemimpin pembangkang melabel rakyat sebagai "binatang" dan "bodoh" apabila gagal bersaing dengan kerajaan BN memenuhi keperluan rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kedah semalam menyifatkan penerima BR1M sebagai bodoh.

Katanya bantuan tunai oleh kerajaan itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat namun hanya gula-gula pilihan raya.

"Bantuan tunai itu adalah idea yang bodoh dan rakyat yang menerimanya sama bodoh," katanya.

Dua hari lalu, ulama terulung PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penerima BR1M sebagai "lembu dan ayam".

Ketika kerajaan mula mengumumkan bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2011, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga kerajaan terpaksa menambah jumlah borang permohonan di sesetengah kawasan.

Contohnya di Parlimen Kubang Kerian, yang disandang oleh wakil rakyat PAS Salahuddin Ayub, 8,000 borang BR1M tambahan terpaksa dicetak untuk diagihkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, Binjai.

Setakat ini lebih daripada lima juta rakyat yang layak mendapat manfaat bantuan tunai melalui BR1M 2.0 yang diumumkan kerajaan selepas pembentangan belanjawan 2013, dengan jumlah RM250 seorang.

Golongan yang mendapat manfaat termasuk ahli PAS-PKR-DAP yang tanpa segan silu mengecam usaha kerajaan membantu rakyat tanpa mengambilkira fahaman politik.

Perbuatan ini disifatkan sebagai tidak mengenang budi umpama 'Si Tanggang Moden'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemberian BR1M sebagai usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara selain daripada subsidi terhadap petrol, barang keperluan harian dan makanan yang ditanggung kerajaan.

Pemimpin pembangkang berterusan menghasut rakyat untuk menolak kerajaan BN yang terbukti mampu melakukan perubahan melonjakkan ekonomi negara, namun jika dilihat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang, rakyat hidup serba kekurangan.

Justeru Najib menasihati kepimpinan pembangkang supaya berhenti memperkecilkan penerima-penerima bantuan kerajaan kerana golongan ini lebih menghargai sumbangan tersebut berbanding terus hidup menagih janji-janji pembangkang.

-AntaraPos