Sunday, February 24, 2013

Laporan Polis Terhadap Nurul Izzah Kerana Cetus Provokasi


Kemaruk sangat, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dilihat cuba mencetus provokasi apabila berdegil untuk meneruskan program “Debat Perdana” walaupun Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah pun menolak pelawaan tersebut.

Menurut Setiausaha Penyelaras BN Lembah Pantai, Datuk Haji Mohamad Sazali Kamilan, walaupun berkali-kali Raja Nong Chik telah menjawabnya secara terbuka kepada media beliau tidak menerima jemputan tersebut, pihak pembangkang masih lagi menggantung kain rentang dan poster program tersebut.

“Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah beberapa kali menjawab pertanyaan media berhubung debat ini.

“Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai masih berdegil dan terus memperbesar-besarkan perkara ini dengan menggantung banner dan poster mengajak rakyat hadir sedangkan majlis debat ini tidak pun mendapat persetujuan secara bertulis,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Sazali juga mempertikaikan samada program tersebut mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa.

“Seperkara lagi, adakah pihak penganjur mendapat permit kelulusan mengadakan majlis debat ini tanpa persetujuan sebelah pihak termasuk permit menggantung poster atau banner program tersebut?” tambah beliau.

Dalam kenyataan media itu juga, lampiran laporan polis bertarikh 22 Februari disertakan dimana Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai Datuk Ibrahim Tambi Chik dalam laporannya mengatakan: “Saya yang melaporkan ini berpendapat Nurul Izzah telah dengan sengaja melakukan provokasi dan fitnah yang merosakkan nama baik, maruah dan reputasi Datuk Raja Nong Chik sebagai seorang yang mungkir janji.

“Sedangkan Datuk Raja Nong Chik tidak pernah bersetuju dengannya.”

Pada 13 Februari lalu, Nurul Izzah menyerahkan jemputan rasmi debat kepada Raja Nong Chik tentang program debat yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Namun pada 9 Februari Raja Nong Chik menolak jemputan tersebut kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Inilah taktik kotor yang sering diguna pakai oleh puak pembangkang...

PAS Rakus - Lagi Balak Ditebang Di Kedah


JITRA: Belum pun reda isu pembalakan berhampiran Tasik Pedu di Padang Terap dan Gunung Inas di Baling, kini satu lagi kawasan seluas 925 hektar di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu ditebang licin, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau mendakwa operasi penebangan balak membabitkan seluas 145 hektar dalam kompartmen tujuh di Wang Perah dikesan bermula awal tahun ini manakala penebangan seluas 780 hektar lagi dalam kompartmen lapan telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Mohd Johari mendakwa tanah 145 hektar itu dipecah kepada 63 lot dan diberi kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan Kedah manakala 780 hektar lagi hutan dalam kompartmen lapan telah diluluskan kepada pegawai-pegawai tadbir negeri Kedah (KCS).

"Saya tidak pertikai kerajaan negeri hendak beri tanah itu kepada siapapun asalkan ia di kawasan sesuai, tidak menjejaskan ekosistem dan mencemarkan alam sekitar tetapi pemberian tanah ini nampak macam ada mainan politik.

"Pemberian tanah adalah hak kerajaan negeri namun kepentingan penduduk berhampiran mesti diambil kira walaupun ia bukan kawasan tadahan air," kata Mohd Johari kepada pemberita semasa meninjau kawasan pembalakan di Wang Perah, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan kerajaan PAS Kedah tidak bertanggungjawab dalam meluluskan kawasan pembalakan.

Beliau berkata garis panduan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pembalakan membabitkan kawasan melebihi 50 hektar perlu mendapat kelulusan kesan terhadap alam sekitar (EIA).

"Saya difahamkan kawasan yang telah ditebang licin ini tidak langsung ada laporan EIA. Kalau dirujuk pun kepada kementerian pasti laporan yang dikemukakan tidak betul.

"Bila musim hujan pasti akan berlaku hakisan tanah yang teruk dan tanah yang dihakis memasuki Sungai Kecil dan Sungai Temin. Keadaan ini akan menyebabkan sumber air kedua-dua sungai itu terjejas.

"Akibatnya loji air Bukit Temin dan Jeragan serta bekalan air yang diperoleh dari kedua-dua sungai itu untuk pertanian kepada lebih 10 kampung juga terjejas," katanya.

Mohd Johari berkata beliau akan membuat surat bantahan rasmi kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih efisien dalam mengambil tindakan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Wang Perah, Abu Bakar Saleh, 43, berkata penduduk kampung sangat sedih kerana kerajaan negeri membelakangkan kepentingan mereka.

"Kerajaan negeri sewajarnya menilai kerosakan akibat penerokaan kawasan ini. Kebun dan dusun kami di sini tentu akan terjejas dalam masa beberapa tahun sahaja," katanya dan memberitahu akan mendesak menteri besar mengarahkan aktiviti pembalakan di Wang Perah dihentikan segera.

Che Tom Musa, 62, pula meminta kerajaan PAS Kedah tidak terlalu rakus meneroka kawasan balak.

"Kami penduduk asal di sini tidak langsung dipandang. Sepatutnya kalau nak bagi tanah bagilah kepada kami dan penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sini," katanya.

AntaraPos

Pakatan Pembangkang Menggelabah Menjelang PRU 13


Pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat nampaknya semakin resah bak cacing kepanasan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Mereka seolah-olah hilang pedoman bagaimana mahu meyakinkan rakyat supaya memilih pakatan itu sebagai pemerintah.

Ada kalanya gelagat mereka seolah-olah “berdendam” dengan rakyat yang nampaknya semakin mesra dan selesa dengan pelbagai skim yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu yang mereka yang berpendapatan rendah.

Ada di antara pemimpin Pakatan Rakyat yang tergamak mengatakan bahawa rakyat bodoh jika menerima bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan pusat sementara ada yang menyamakan taraf rakyat golongan ini sebagai “ayam dan lembu”.

Sementara itu ada juga pemimpin Pakatan Rakyat yang hilang ikhtiar untuk menyekat peningkatan kecekapan pengurusan bantuan kerajaan pusat kepada rakyat ini dengan menyalahgunakan kuasa kerajaan negeri di tangan mereka untuk menggagalkan pelbagai projek pembangunan yang telah diatur oleh kerajaan pusat.

Yang peliknya sebelum ini rakyat memang digalakkan supaya mengambil dan menerima pelbagai “hadiah” berupa kemudahan awam, barangan keperluan harian dan juga bantuan wang ringgit daripada kerajaan Pusat.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, misalnya, pernah satu ketika dahulu menasihatkan rakyat supaya mengambil sahaja apa-apa habuan yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, tindakan itu halal jika rakyat tidak pula terdorong untuk memberi undi kepada parti memerintah dalam pilihan raya, tidak kira pilihanraya kecil ataupun umum.

Beliau berkata, tindakan itu bukanlah perbuatan menerima rasuah kerana apa yang cuba “disogok” oleh parti kerajaan sebenarnya adalah bersumber daripada wang negara. Maka apa yang mereka ambil ialah hak mereka sendiri.

Bagaimanapun apabila pilihanraya umum semakin dekat dan kerajaan pusat nampaknya semakin konsisten dalam program transformasinya untuk mengagihkan kembali laba negara kepada rakyat, Nik Aziz mula menukar tingkah.

Melalui pelbagai skim yang berstruktur dan telus, kerajaan mula memperkenalkan cara menzahirkan skim bantuan dalam bentuk tersirat seperti subsidi petrol, gula, beras dan sebagainya secara berkala dan terbuka kepada skim bantuan kewangan bagi mengurangkan beban ekonomi rakyat, Pakatan Rakyat semakin cemas.

Rakyat ternyata dapat mengesan bahawa permohonan maaf terbuka pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kesilapan, keangkuhan dan kelemahan BN masa silam ada keikhlasannya.

PM minta maaf, rakyat sedia beri peluang

Maka rakyat pun mula menunjukkan kesediaan memberi peluang kepada BN dan beliau memperbaiki prestasi. Apatah lagi sejak mengambil alih teraju pemerintahan negara sejak April 2009 Najib tidak pernah jenuh mendekati rakyat.

Apabila rakyat menunjukkan reaksi dengan menzahirkan rasa syukur dan semakin yakin dengan corak pengurusan Najib yang bertransformasi ini, keyakinan diri pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat semakin goyah.

Namun yang menyedihkan ialah apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan rakyat yang menerima bantuan tunai daripada kerajaan adalah golongan bodoh.

Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan membantu rakyat melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M berniat memperbodohkan rakyat kerana matlamat sebenar kerajaan ialah untuk memancing undi menjelang PRU13 tidak lama lagi.

Beliau juga menganggap skim seperti itu BR1M itu tidak mampu untuk meningkatkan ekonomi rakyat. Namun beliau seolah-olah menutup mata bahawa skim kifalah membantu rakyat usia emas oleh kerajaan PAS Kelantan serta pelbagai janji PKR Selangor juga bertolak daripada konsep membantu rakyat sama dengan yang diusahakan oleh kerajaan BN.

Yang membezakan pendekatan Najib yang bersedia menyelusuri pelosok negara untuk mewar-warkan transformasi kerajaannya yang lebih berkebajikan dengan cara Pakatan Rakyat ialah, Najib mengotakan janji.

Di Selangor, misalnya, agak berbeza kerana banyak daripada skim yang ditawarkan sebelum pilihan raya umum 2008 masih belum ditunaikan.

Kegelabahan Pakatan Rakyat semakin memuncak apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang rimas dengan kebangkitan rakyat negeri itu menuntut beliau menunaikan janji pilihanrayanya, bertindak untuk mengkaji dengan tujuan menghentikan pelbagai projek pembangunan kerajaan pusat bernilai RM5.6 bilion untuk warga Selangor.

Sementara di medan kempen pula Pakatan Rakyat mula terbabit dengan fitnah tahap raksasa. Antaranya ialah menggunakan surat palsu untuk mempertikaikan ke mana pergi pampasan RM207 bilion kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk rakyat yang dijadikan buruh paksa membina landasan keretapi maut dalam Perang Dunia Kedua.

Ia juga mengedarkan dokumen palsu kononnya Jabatan Pendaftaran Negara mengarahkan semua pejabatnya di Semenanjung supaya menghantar kad pengenalan yang tidak dipungut oleh pemohon ke pejabat pendaftaran Keningau Sabah kononnya untuk digunakan bagi menambah bilangan pengundi hantu dalam pilihan raya umum.

Jika inilah citra hodoh pakatan pembangkang yang beria-ia mahu menggantikan kerajaan sedia ada, amatlah dibimbangi apakah fitnah dan pembohongan yang lebih besar yang akan dilakukan untuk mengekalkan kuasa jika ia dipilih untuk memerintah kelak.

AntaraPos

Datum Jelatek: Penduduk Akan Hantar Memorandum


KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 penduduk menyertai perhimpunan secara aman bagi membantah projek kondominium mewah Datum Jelatek bernilai RM1.2 bilion yang dijadual siap pada tahun 2016.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Salleh Samad demonstrasi bertujuan menolak projek ini daripada diteruskan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di atas tanah yang pernah didiami oleh orang Melayu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengumpul tandatangan penduduk kawasan itu untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Selangor sehingga projek tersebut dihentikan dengan kadar segera.

"Langkah seterusnya kita akan menghantar memorandum, sekarang ni kita sudah mula ambil tandatangan penduduk. Kita akan hantar kepada pihak PKNS, MPAJ, kerajaan negeri, dan juga tuanku Sultan Selangor."

Selain itu juga Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) yang diwakili oleh Datuk Shohaimi Shahdan juga akan turut membantu badan bertindak ini dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada penduduk.

"Kita di pihak GPRS akan edar risalah-risalah tentang maklumat sebenar Datum ini dan pembongkaran apa yang berlaku kepada penduduk taman Keramat ini," ujar beliau dalam sidang media selepas sesi bantahan di sini hari ini.

Datum Jelatek sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, selepas kesemua penduduk yang rata-ratanya orang Melayu telah dipindahkan dengan memberi pampasan yang kecil.

Namun kini difahamkan projek tersebut "bertukar" menjadi cadangan pembinaan empat bangunan eksklusif setinggi 45 tingkat yang merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Harga minima seunit rumah berkenaan bernilai RM700,000 dan ternyata ia tidak mampu dimiliki oleh penduduk kawasan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya sebelum ini mempertahankan tindakan pihaknya menjual kondominium mewah pada harga tinggi sebagai keperluan untuk menarik pelabur asing.

Beliau turut mengesahkan bahawa unit-unit kondominium dan ruang niaga di Datum Jelatek dibeli oleh pelabur Singapura.

"Semua orang nak bantah. Kalau nak buat cantik, nak beli murah, siapa nak buat?" kata beliau apabila ditanya pemberita tentang relevannya pembinaan kondominium berkenaan di kawasan kepadatan penduduk terdiri dari kaum Melayu.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin memberitahu pihaknya akan membantu Badan Bertindak Datum Jelatek dengan menyediakan perkhidmatan guaman untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang.

"Saya punya pandangan dari sudut undang-undang, kita mahukan laporan EIA dibuat. Laporan EIA ni berkenaan alam sekitar yang melibatkan penduduk.

"Saya difahamkan apabila projek ini dibangunkan, kiri kanan kondominium ini akan dibina jalan empat laluan dan tentunya rumah teres berdekatan tapak ini akan dirobohkan.

"Dari segi kaveat, saya punya pandangan bahawa penduduk sekitar mempunyai kepentingan dan saya fikir mereka boleh masukkan kaveat. Bukan sahaja kaveat tetapi kita boleh masukkan injuksi. Saya juga akan berunding dengan Salleh untuk kita melantik mana-mana syarikat guaman mewakili badan bertindak ini," ujar beliau.

Antara badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat yang turut serta dalam Bantahan Projek Datum Jelatek hari ini adalah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.

AntaraPos

Kerajaan Pas Kelantan Rampas Hak Pemandu Teksi

“Saksikan sendiri bagaimana kerajaan Pas Kelantan berusaha merampas hak pemandu teksi Jajahan Pasir Puteh, Kelantan,”kata pengendali GelombangMerah ketika mengirimkan rakaman video bertajuk “Rampas Hak Rakyat” ke laman ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengotakan janji ditepati dengan membantu menyelesaikan permasalahan Persatuan Pemandu Teksi tersebut,”katanya lagi.

Video yang dihantar merakamkan detik-detik sukar yang dilalui oleh Persatuan Teksi Kereta Sewa Jajahan Pasir Puteh ketika berhadapan dengan cubaan anak syarikat kerajaan negeri mahu merampas tapak tanah tempat mereka mencari rezeki untuk dijual kepada pihak lain.

“Saya akan tetap duduk di sini. Soal berpindah, tidak sama sekali. Jadilah macam mana sekalipun, kita tidak akan lari (dari tempat ini).

“Kalau dia datang membawa jentolak pun, kita akan tetap letak (kereta) atas jalan raya. Kita tetap akan berkeras,”kata Mat Hassan Harun, bendahari Persatuan Pemandu Teksi, Jajahan Pasir Putih.

Saksikan sendiri rakaman video tersebut.

Video url: http://youtu.be/s3Xos7_yCEY



AIDC

BR1M : Rakyat Bukan Binatang, Bukan Bodoh


Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kepimpinan pakatan pembangkang dilihat semakin memusuhi rakyat setelah melihat sokongan yang diberikan terhadap proses transformasi ekonomi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat sambutan.

Tanpa segan silu pemimpin-pemimpin pembangkang melabel rakyat sebagai "binatang" dan "bodoh" apabila gagal bersaing dengan kerajaan BN memenuhi keperluan rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kedah semalam menyifatkan penerima BR1M sebagai bodoh.

Katanya bantuan tunai oleh kerajaan itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat namun hanya gula-gula pilihan raya.

"Bantuan tunai itu adalah idea yang bodoh dan rakyat yang menerimanya sama bodoh," katanya.

Dua hari lalu, ulama terulung PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penerima BR1M sebagai "lembu dan ayam".

Ketika kerajaan mula mengumumkan bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2011, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga kerajaan terpaksa menambah jumlah borang permohonan di sesetengah kawasan.

Contohnya di Parlimen Kubang Kerian, yang disandang oleh wakil rakyat PAS Salahuddin Ayub, 8,000 borang BR1M tambahan terpaksa dicetak untuk diagihkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, Binjai.

Setakat ini lebih daripada lima juta rakyat yang layak mendapat manfaat bantuan tunai melalui BR1M 2.0 yang diumumkan kerajaan selepas pembentangan belanjawan 2013, dengan jumlah RM250 seorang.

Golongan yang mendapat manfaat termasuk ahli PAS-PKR-DAP yang tanpa segan silu mengecam usaha kerajaan membantu rakyat tanpa mengambilkira fahaman politik.

Perbuatan ini disifatkan sebagai tidak mengenang budi umpama 'Si Tanggang Moden'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemberian BR1M sebagai usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara selain daripada subsidi terhadap petrol, barang keperluan harian dan makanan yang ditanggung kerajaan.

Pemimpin pembangkang berterusan menghasut rakyat untuk menolak kerajaan BN yang terbukti mampu melakukan perubahan melonjakkan ekonomi negara, namun jika dilihat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang, rakyat hidup serba kekurangan.

Justeru Najib menasihati kepimpinan pembangkang supaya berhenti memperkecilkan penerima-penerima bantuan kerajaan kerana golongan ini lebih menghargai sumbangan tersebut berbanding terus hidup menagih janji-janji pembangkang.

-AntaraPos