Friday, March 1, 2013

Pertempuran Berlaku Di Lahad Datu



Media Filipina melaporkan bahawa beberapa orang telah terbunuh ketika penceroboh dari kesultanan Sulu berbalas tembak dengan tentera Malaysia di Lahad Datu.

Bagaimanapun ia tidak diketahui anggota dari pihak mana yang terbunuh dalam kejadian tersebut.
Akhbar Philippine Star melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia memulakan serangan ke atas kubu pihak penceroboh tersebut hari ini.

Akhbar itu memetik laporan radio yang menemubual beberapa saudara-mara Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram, termasuk adiknya Azzimudie Kiram yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu, sebagai berkata terdapat beberapa kematian dalam kejadian tersebut.


Perbualan telefon dengan ketua pemberontak terputus.

Adik Sultan Sulu, Jamalul Kiram III iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram mendakwa pasukan keselamatan Malaysia pada Jumaat mula melepaskan tembakan ke arah kumpulan bersenjata dari Filipina yang menceroboh masuk ke sebuah kampung di Sabah.

Dalam satu temu bual bersama radio dzBB kira-kira pukul 10 pagi Jumaat, Agbimuddin Kiram yang juga ketua kumpulan tersebut berkata, mereka telah ditembak dan terpaksa mempertahankan diri.

“Biglang pumasok sa amin (Mereka datang dengan tiba-tiba), kami perlu mempertahanakan diri sendiri,” kata Raja Muda Agbimuddin Kiram.

Ketika ditanya masa pasukan keselamatan Malaysia bertindak, dia berkata: “Oras na ito (pada waktu ini).”
Bunyi tembakan kedengaran ketika temu bual itu diadakan.

Temu bual itu kemudiannya terputus.

Dalam temu bual kedua dengan stesen radio, Agbimuddin Kiram berkata, dia menerima laporan bahawa beberapa anggotanya cedera dan memberitahu mereka tidak akan ada berundur atau melakukan gencatan senjata.

“Meron na (Terdapat anggota yang cedera),” katanya dalam temu bual itu apabila ditanya jika ada anggotanya yang cedera, beberapa saat selepas temu bual pertama itu terputus.

Ketika ditanya sama ada terdapat polis Malaysia yang cedera, dia berkata:”Ewan ko (Saya tidak tahu).”


Mynewshub

Fakta Sebenar Kes Altantuya Disembunyikan Balasubramaniam A/l Perumal


Seorang pelawat yang tidak mahu namanya disiarkan di sini mengirimkan fakta sebenar kes Altantuya yang bersifat sumber maklumat dalaman melibatkan keterangan penyiasat persendirian Balasubramaniam A/L Perumal (Bala), dan keterangan dua pembantunya, Suresh A/L Subramaniam dan Suras Kumar yang dibuat sekitar tahun 2008.

Selain itu, turut didedahkan tentang Perjumpaan di The Curve dan cubaan memfitnah kematian wanita Mongolia itu dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Berikut adalah pendedahan fakta sebenar tersebut :

Kenyataan Balasubramaniam A/L Perumal (Bala) dalam siasatan kes kematian Altantuya

i) Telah beri percakapan kepada pihak polis. Polis tidak memasukkan ceritanya berkenaan Datuk Seri Najib. Percakapannya kepada polis tidak nyatakan apa-apa berkenaan Najib.

ii) Percakapan telah dibaca semula dan diterangkan. Beliau diberitahu hak untuk membuat pindaan atau tambahan. Beliau telah mengakui benar dan menandatangani pernyataan tersebut. (Sebagai bekas anggota polis, beliau tahu hak beliau untuk menyatakan segala keterangan dengan benar dan mengubah percakapan jika ada)

iii) Balasubramaniam telah memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beliau tidak langsung memberi keterangan berkaitan penglibatan Najib. Beliau telah disoal balas oleh peguambela dan tidak terdapat sebarang keterangan berkaitan perkara tersebut.

iv) Dalam keterangan Bala di mahkamah dalam kes pembunuhan Altantuya, isu USD500,000.00 diminta oleh Altantuya bersama 3 tiket kapal terbang ke Mongolia sebagai syarat Altantuya tidak membuat laporan polis terhadap Razak Baginda.

v) Timbalan pendakwa raya (DPP) tidak bertanya sebab sebab kepada Bala kerana beliau tidak sebut apa-apa perkaitan tentang Najib. Bala telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 17 tahun dan jawatan terakhir adalah di Cawangan Khas.

Perakuan Bersumpah (SD) Balasubramaniam.

i) SD1 dibuat pada 3/7/2008.

ii) SD2 dibuat pada 4/7/2008.

2. Kenyataan Suresh A/L Subramaniam

i) Pada bulan Mei 2008, beliau berjumpa dengan Bala di sebuah Pub Bulldog di Hartamas. Di sana beliau telah diperkenalkan dengan beberapa orang termasuk Ahli Parlimen, Sivarasa Rasiah dan peguam Amrick Singh Sidhu. Mereka membincangkan kes Altantuya dan bertanya sama ada beliau tahu tentang kes tersebut. Suresh menyatakan beliau tidak terlibat dalam kes itu. Mereka meminta Suresh untuk membuat Pernyataan Bersumpah (SD) untuk mengaitkan Timbalan Perdana Menteri (Najib) dengan Razak Baginda dalam kes Altantuya. Suresh menyatakan beliau tidak berminat dengan cadangan mereka.

ii) Pada 2/7/2008, Bala meminta bantuan Suresh untuk menghantarnya ke Corus Hotel di hadapan KLCC. Dalam perjalanan telah singgah di DUO Residency yang mana Bala mengambil satu envelope yang ditinggalkan oleh peguam Amrick Singh. Bala memaklumkan “something big is going on tomorrow”. Suresh telah menonton berita dan mendapati Balasubramaniam telah membuat pengakuan bersumpah melibatkan Timbalan Perdana Menteri yang mana semasa itu Dato Seri Anwar Ibrahim berada di sebelah Bala.

iii) Selepas itu, Bala menghubungi Suresh menyatakan beliau takut dan telah pergi bersama ke pejabat Amrick Singh di Ampang. Amrick Singh memujuk Bala agar jangan takut dan meminta pembantu Bala bernama Suras Kumar juga membuat Penyataan Bersumpah bagi mengaitkan TPM dengan Altantuya dan Razak Baginda. Suras enggan walaupun Amrick Singh menyatakan akan membincangkan bayaran kepada Suras kemudiannya.

iv) Bala telah memaklumkan kepada Suresh bahawa pihak Amrick Singh dan PKR telah menjanjikan RM700,000.00 dan peluang perniagaan kepada Balasubramaniam bagi membuat Penyataan Bersumpah tersebut. Bala juga menyatakan beliau bersetuju memberi Penyataan Bersumpah tersebut kerana marahkan pihak polis yang telah menangkap beliau semasa siasatan kes Altantuya dan menyebabkan pendapatannya hilang.

v) Berkaitan USD500,000.00, Suresh dimaklumkan oleh Bala bahawa Altantuya mengugut untuk mendapatkan jumlah wang tersebut, jika tidak Altantuya akan mencolek anak Razak Baginda.

Kenyataan Suras Kumar (Pembantu Bala dalam tugas sebagai penyiasat persendirian)

i) USD500,000.00 – Altantuya sendiri memaklumkan kepada beliau bahawa Altantuya memerlukan wang itu untuk merawat anak dan emaknya serta membayar hutang.

ii) Sepanjang bertugas dengan Bala, beliau tidak pernah dimaklumkan apa–apa tentang penglibatan Najib.

Kenyataan Abdul Razak bin Abdullah (Razak Baginda)

Dalam penyataannya kepada pihak polis, beliau menafikan dan menyatakan tidak memberitahu Bala sepertimana dalam SD1nya mengenai penglibatan Najib.

Penyataan Bersumpah Kedua

i) Menurut Bala, dalam siasatan peguam Arulampalam yang menyediakan Penyataan Bersumpah (SD2) tetapi disangkal oleh peguam tersebut. Bala menyatakan bahawa dia bertemu dengan peguam Arulampalam pada 3/7/2008 di Lotus dan peguam tersebut yang membawa ke Hotel Prince pada 4/7/2008.

Manakala peguam tersebut menyatakan dia bertemu kali pertama dengan Bala di Prince Hotel atas permintaan Bala dan di situ, Bala menunjukkan SD2 tersebut dan Bala memberitahu dia bahawa dia membuat atas paksaan (duress), oleh kerana itu Bala hendak menarik balik SD1.

ii) Menurut Bala lagi, beliau membuat SD2 kerana marahkan pihak PKR mengadakan kenyataan akhbar sepanjang penyataan SD1 bagi mempolitikkan perkara tersebut. Sebaliknya Peguam Amrick Singh Sindhu dan peguam Sivarasa menyatakan bahawa Bala sendiri bersetuju membuat kenyataan akhbar tersebut.

Perjumpaan di The Curve

i) Dalam kenyaaan Bala, beliau menyatakan terdapat 6 orang hadir dalam perjumpaan tersebut iaitu Bala, Suresh, Deepak, Dhanesh, Datuk Nazim dan isteri Datuk Nazim.

ii) Suresh menafikan ada perjumpaan di The Curve pada malam 3/7/2008.

iii) Dhanesh Jaikishan A/L Jaikishan Rewathand menafikan ada hadir perjumpaan tersebut.

iv) Deepak menafikan ada perjumpaan tersebut.

v) Datuk Nazim juga menafikan berlakunya perjumpaan tersebut.

Keterangan Pegawai–pegawai polis yang menjalankan soal siasat ke atas Bala dalam kes Pembunuhan Altantuya.

Mereka menafikan bahawa Bala ada menyatakan penglibatan Datuk Seri Najib dalam kes berkaitan Altantuya.

AIDC - Fakta-fakta ini boleh juga dibaca di sini

Akhbar Filipina Dakwa Nur Misuari Pengaruhi ‘Sultan Sulu’…


Akhbar berpengaruh Filipina The Philippine Star melaporkan pemimpin utama Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari (gambar kanan) dan beberapa orang lagi sebagai ‘dalang’ yang mempengaruhi ‘Sultan Sulu’ Jamalul Karim.

Akhbar tersebut memetik sumber pejabat Presiden Filipina yang mengatakan selain Nur Misuari, turut terlibat dengan komplot tersebut adalah bekas penasihat keselamatan, Noberto Gonzales; bekas wakil rakyat Tarlac, Jose Cojuangco dan calon senator, Margarita Cojuangco.

Pada 14 Febuari lalu sekumpulan individu asing mendakwa kerabat diraja Sultan Sulu bersenjata memasuki Lahad Datu dan mengemukakan tuntutan mereka terhadap kerajaan Malaysia.

Ketua kumpulan tersebut dipercayai adik kepada lelaki yang dikenali sebagai Jamalul Karim yang mendakwa beliau merupakan ‘Sultan Sulu’.

Nur Misuari merupakan seorang bekas pensyarah memimpin MNLF yang semakin tidak relavan di Selatan Filipina yang kini dikuasai oleh kumpulan MILF pimpinan Murad Ibrahim.

MNLF pernah terlibat dengan rundingan damai pada tahun era 90-an sebelum ia gagal berikutan kelompok besar keluar dari kumpulan itu dan menubuhkan MILF.

Nur Misuari pernah menjadi gaboner Selatan Filipina sebelum dipecat kerana penyelewengan kuasa dan rasuah.

Sementara itu seorang pegawai kanan MNLF menafikan laporan anggotanya bersedia menawan Sabah bagi menyokong pengikut Sultan Sulu yang kini berada di Lahad Datu.

Anggota kanan Jawatankuasa Pusat MNLF, Habib Mujahab Hashim, berkata anggota pertubuhan itu juga tidak diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kami cuma menyokong cadangan penyelesaian secara aman daripada Sultan Jamalul Kiram melalui rundingan bagi menamatkan kebuntuan di Lahad Datu,” katanya dipetik The Philippine Star.

Kenyataan Habib Mujahab itu dibuat bagi menafikan kenyataan terdahulu oleh Pengarah Politik MNLF mengenai keadaan di Sabah.

Dalam kenyataan itu, Gapul Hadjirul berkata, MNLF diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran kemelut di Lahad Datu belum menampakkan penyelesaian.

Habib Mujahab berkata, pemimpin tertinggi MNLF juga tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada anggotanya untuk bersiap sedia.

“Selain menyokong cadangan penyelesaian melalui rundingan dibuat Jamalul Kiram, MNLF menafikan kenyataan sebelum ini,” katanya.

Menurut Habib Mujahib, mengarahkan anggota MNLF ke Sabah hanya akan merumitkan keadaan - Agendadaily

Thursday, February 28, 2013

Konspirasi Jahat Terancang Antara PI Bala Dan Deepak


Setelah hampir lima tahun menyepi kerana melarikan diri ke Chennai India, bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam atau lebih dikenali dengan panggilan PI Bala, tampil buat julung kalinya di sebuah program ceramah pakatan pembangkang anjuran Chegu Bard. Dia sebelum ini telah menarik perhatian masyarakat di negara ini dengan kenyataan bersumpahnya (SD1) pada 1 July 2008.

SD1 antara lainnya cuba untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan bekas model Monggolia Altantuyya. Namun 3 hari selepas itu, Bala sekali lagi menarik perhatian umum, apabila tampil membuat kenyataan bersumpah (SD2) bagi menafikan tuduhan yang dilakukan sebelum ini di dalam SD1 pada 4 Julai 2008.

Sejurus selepas kenyataan tersebut, dia akhirnya ‘hilang’ dari pengetahuan umum serta gagal untuk di kesan, dipercayai telah melarikan diri ke luar negara. Seperti yang telah diduga ketika negara sedang berada di ambang pilihanraya umum, Bala akhirnya muncul semula bersama pimpinan pakatan pembangkang.

Kehadirannya bukan sahaja untuk mengatakan kononnya SD1 adalah benar namun turut mengatakan objektif utamanya adalah untuk memastikan kerajaan BN/Umno tumbang sekaligus meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ekoran dari itu, maka satu program ceramah telah diadakan oleh Chegu Bard dan konco-konconya di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor semalam. Namun apa yang peliknya program tersebut hanya mampu mengumpul sekitar 800 – 1000 orang sahaja, walaupun pihak penganjur berhempas pulas mempromosikan program tersebut dan mengangarkan kehadiran sekitar 5 – 10 ribu.

Ia secara tidak langsung membuktikan rakyat secara keseluruhan tidak merasakan pertuduhan Bala mempunyai hujah yang kuat dan boleh dijadikan sebagai sandaran. Maka walaupun pihak penganjur cuba mengumpan masyarakat untuk hadir dengan mengatakan Bala akan membuat pendedahan terbaru, ia tetap gagal menarik perhatian masyarakat.

Tambahan pula tindakannya yang ‘flip flop’ sebelum ini, membuatkan rakyat kembali berfikir dan menilai semula kredibiliti Bala yang jelas meragukan dan mempunyai agenda tersembunyi.

Bala juga ketika ditanya mengenai pendirian beliau mengenai kerajaan, mengatakan sejak dari kecil lagi telah wujud perasaan benci terhadap kerajaan BN/Umno. Dan tanpa berselindung mengatakan dia adalah merupakan antara tenaga pengerak kepada gerakan Hindraf suatu ketika dahulu.

Maka atas sebab itu, Chegu Bard berusaha untuk menyucikan kembali imej Bala dengan mengatakan wujud ancaman sehingga membahayakan nyawa beliau yang telah menyebabkan Bala bertindak mengeluarkan SD2 dan melarikan diri ke luar negara.

Dan ketika seisi pendedahan yang diadakan itu, acapkali juga Chegu Bard terpaksa memainkan peranan dalam menentukan hala tuju percakapan Bala agar dapat dikaitkan dengan pimpinan negara. Dan lebih menghairankan percakapan beliau juga tersekat-sekat dan sering terlupa dengan fakta yang terkandung di dalam SD1. Percakapan Bala pada malam semalam seolah-olah bercakap dengan mengunakan skrip pihak tertentu dan bukannya berdasarkan pengalaman sendiri seperti yang di dakwa.

Sedangkan Bala sebelum ini mendakwa SD1 satu adalah merupakan kenyataan beliau sendiri berdasarkan fakta sebenar sepanjang berkhidmat dengan Razak Baginda. Sekiranya pertuduhan tersebut mempunyai asas dan kebenaran, masakan Bala boleh terlupa ‘poin-point’ penting pertuduhan? Melainkan SD1 adalah merupakan hasil ciptaan dan rekaan semata-mata yang direka khusus untuk merosakkan imej Datuk Seri Najib dan isteri beliau.

Bagi menyelamatkan keadaan, Chegu Bard terpaksa mengunakan alasan, ekoran telah berada dalam tempoh yang lama di luar negara, maka Bala sudah tidak lagi fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sedangkan isu terlupa fakta dengan tidak fasih bercakap adalah dua fakta yang jauh berbeza.

Dan yang paling mengejutkan, Bala juga secara tidak sengaja mendedahkan bahawa dia telah dibayar oleh Deepak sebanyak RM100 ribu tunai dan diberi sebuah kondomiun di Berjaya Times Square. Wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bini Bala beserta dokumen perjanjian hakmilik kondominium tersebut.

Ia secara tidak langsung membuktikan wujud konspirasi dan jenayah terancang diantara Bala dan Deepak. Dan yang paling penting ialah, Bala gagal megemukan sebarang bukti yang kukuh dalam pertuduhan beliau.

Kesimpulannya isu yang cuba dibawa ini adalah merupakan sandiwara terbaru pakatan pembangkang dalam mempegaruhi rakyat sebagai satu strategi untuk merampas kerajaan. Jenayah terancang ini juga jelas membuktikan terdapatnya dalang sebenar di sebalik sandiwara yang sengaja diada-adakan ini.

Anwar Ibrahim Dakwa Hadi Menipu Dalam Isu Kalimah Allah



Tika ini ramai ahli dan penyokong PAS yang belum kebas dari demam terkejut dan masih lagi dalam kebingungan gara-gara pendirian rasmi PR yang telah muktamad menggugurkan agenda perlaksanaan hukum hudud dari Manifesto PR.

Tambah mengeruhkan keadaan bila mana Manifesto PR tanpa agenda hudud itu turut disepakati dan diperakui oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Lebih parah lagi, tiga hari selepas Manifesto PR bertemakan "Pakatan Harapan Rakyat" dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di SACC Shah Alam, Selangor pada 25 Februari 2013 lepas, tak semena-mena Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil menyalahkan Hadi Awang berhubung kontroversi isu kalimah Allah.

Ketua Umum PKR itu mendakwa ketetapan bersama PR pada 8 Januari 2013 lalu untuk membenarkan kalimah Allah s.w.t diguna pakai oleh orang bukan Islam termasuklah untuk kegunaan kitab Bible versi Bahasa Melayu hanya dimuktamadkan selepas mendapat penerangan dan persetujuan Presiden PAS.

Maksudnya, PR tidak akan mengambil ketetapan sedemikian jika Hadi menerangkan perkara benar. Tapi disebabkan Hadi telah menyembunyikan kebenaran, akhirnya PR terjerumus ke kancah kontroversi. Ini dakwaan serius, ia seperti menuduh Hadi telah menipu Anwar dan PR.

Anwar juga menegaskan kenyataan rasmi yang diiktiraf sebagai dasar PR yang disepakati bersama berhubung isu itu juga dibaca dan ditandatangani sendiri oleh Hadi Awang sebagai mewakili PAS. Gayanya seperti Anwar mahu memberitahu khalayak yang kesilapan yang dilakukan oleh PR disebabkan Hadi.

PAS patut tampil ke depan mempertahankan maruah Presidennya, itu pun kalau terasa masih ada sekelumit keberanian untuk berdepan dengan Anwar. Tapi jika berdiam diri atau sekadar sepintas lalu sahaja menjawab dakwaan Anwar, bermakna betullah dakwaan itu.

Anwar memang akan sedaya upaya melepaskan dirinya dari dikaitkan dengan kesilapan pendirian PR dalam isu kesucian kalimah Allah s.w.t, dengan cara mengalihkan beban ke bahu Hadi. Itu kehebatan Anwar dalam bab spin sana sini. Hadi dan pemimpin PAS sahaja yang masih belum sedar.

Pun begitu, sama ada Anwar, Hadi mahupun PR dan PAS, kesemua mereka telah melakukan telah memilih pendirian dalam isu sensitif ini. Suka atau tidak, kenalah terima hakikat selagi PR kekal dengan pendirian 8 Januari 2013, selagi itulah amarah umat Islam akan terus menghantui PAS dan PR.

Doa PAS 'Hancur BN/UMNO' Makan Diri, Perjuangan Tegak Islam Semakin Tersasar



Perjuangan PAS sebagai parti yang menegakkan Islam di negara ini semakin tersasar apabila PAS lebih sanggup untuk mengetepikan matlamat perjuangan demi menjaga hubungannya dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus cuba untuk menang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Prinsip Islam yang cuba ditegak PAS seperti hudud dan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi apabila ia bersama DAP.

Pengerusi Pembangunan Parlimen Marang Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata apa yang PAS buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN/UMNO dan yang terbaharu menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.

"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlakunya perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah. Ini semua hasil kerjasama PAS dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.

Beliau berkata perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini juga dilupakan dengan menukar daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat PAS sebelum itu.

Katanya, pemimpin PAS iaitu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga Mursyidul Am PAS sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

Bercakap tentang sokongan rakyat kepada PAS, Abdul Rahman berkata kini semakin ramai pengikut PAS yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar PAS untuk menegakkan negara Islam.

Katanya, PAS akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).

Pada PRU-12, Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.

"Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik rakyat untuk menolak PAS yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Menurutnya, kerjasama PAS bersama DAP dan PKR langsung tidak memberi apa-apa keuntungan kepada PAS malah penyokongnya melihat parti Islam itu hanya menjadi kuda tunggang DAP dan PKR untuk mencapai matlamat menumbangkan BN dan UMNO.

Katanya, PAS pernah diberi peluang memerintah Terengganu untuk tempoh sepenggal, namun hakikatnya tidak ada apa-apapun yang PAS buat sepanjang tempoh pemerintahan selain hanya mengaut kekayaan daripada hasil balak untuk kepentingan pemimpin parti itu sahaja.

"Apa yang PAS buat, tiada, di kawasan Marang sendiri, kawasan Abdul Hadi hanya satu masjid yang PAS buat berbanding 54 yang kerajaan BN buat," katanya.

Abdul Rahman berkata rakyat hari ini sudah tahu permainan politik PAS yang hanya lantang bersuara untuk menegakkan Islam dan menuduh BN dan UMNO parti yang menolak Islam sedangkan apabila bersama DAP, isu tersebut langsung tidak ditimbulkan PAS.

Bekas anggota PAS (Cikgu) Zainon Ismail atau juga dikenali dengan nama CN AL-Afghani mendakwa PAS ada menandatangani perjanjian rahsia dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan terus perjuangan berkaitan hudud dan negara Islam.

Beliau berkata perjanjian yang dipersetujui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi dan Penasihat DAP Lim Kit Siang itu ditandatangani pada Disember 2009.

"Hudud tidak akan dilaksana jika pakatan pembangkang menawan Putrajaya sebaliknya mereka kata, memadailah guna undang-undang persekutuan sedia ada," katanya dalam ceramah umum di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Rabu malam.

Zainon berkata PAS hari ini sudah jauh melencong daripada perjuangan asal mereka dan parti itu lebih rela tunduk kepada pemimpin bukan Islam berbanding berhadapan dengan kekalahan kerana mahu menegakkan kerajaan Islam.

"Jangan kata kerajaan BN/UMNO itu tidak menegak Islam, sejak merdeka Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia pertama) telah meletakkan asas Islam di peringkat paling tinggi iaitu sebagai agama Persekutuan," katanya.

Katanya, selepas rakyat Terengganu menolak PAS pada 2004, kini giliran rakyat di Kedah pula yang bangkit dan kecewa dengan pemerintahan PAS yang gagal membawa perubahan di negeri itu sejak sepenggal lalu.

- Bernama

Azizan Enggan Jawab RM3 Bilion Hutang Kerajaan Kedah...


Inilah padahnya bila PR memerintah, negara boleh bankrap dengan sekelip mata saja....

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak enggan mengulas mengenai hutang kerajaan negeri yang didakwa telah mencecah sehingga RM3 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu di bawah pimpinan kerajaan negeri PAS.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, sekadar berkata kerajaan negeri telah berusaha keras untuk meningkatkan hasil selama ini.

Beliau semalam diminta mengulas mengenai isu hutang yang telah sekali lagi diketengahkan oleh Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Tan mendakwa bahawa hutang kerajaan negeri berjumlah RM2 bilion sebelum tahun 2008 tetapi telah meningkat kepada RM3 bilion termasuk pinjaman RM330 juta untuk pembinaan Kolej Universiti Insaiah (Kuin) di Kuala Ketil.

"Pinjaman tersebut telah diambil oleh sebuah syarikat negeri berkaitan kerajaan untuk membiayai projek Kuin," katanya kepada sidang akhbar di pejabat Gerakan negeri semalam.

Tan mula-mula membangkitkan isu hutang berkenaan pada Rabu lepas dan kemudian menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Azizan, yang telah diterima oleh pegawai khasnya Mohd Rosli Azmi.

Beliau memetik Laporan Ketua Audit 2011 menyatakan bahawa kerajaan negeri hanya memperoleh RM193.22 juta dalam bentuk wang tunai.

Beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa tiada kerja dilakukan ke atas kedua-dua projek perumahan kos rendah di Bandar Darulaman di Jitra dan Pokok Sena, di mana Azizan menjawab bahawa kelewatan itu adalah disebabkan isu-isu teknikal.

Buku Jingga Punya Pasal Penyokong Pembangkang Serang Salih Yaakob Salih


Panas terbakar penyokong pakatan pembangkang apabila Salih Yaakob dan Nabil Raja Lawak melakonkan watak sebagai pemimpin politik yang gemar menabur janji.

Penyampai radio, pelawak serta pengacara terkenal, Salih Yaacob, 52, mengambil keputusan untuk menarik diri daripada dunia hiburan ekoran penyebaran cereka pendek di laman YouTube berjudul Bangkang dari Longkang .

Cereka pendek berdurasi kira-kira tiga minit yang memaparkan situasi di sebuah ceramah parti politik itu turut disertai seorang lagi rakan pelawaknya, Nabil Ahmad.

Kesannya, Salih mendapat kritikan meluas daripada pihak penyokong parti pembangkang, bahkan stesen radio Sinar FM turut diugut untuk diboikot.

"Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada peminat.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat di dalam bidang hiburan selepas ini. Soal kerjaya sebagai penyampai radio pula saya serah semuanya kepada pihak pengurusan," katanya.

Nampak jelas ketidakmatangan sepertinya sudah sebati dalam jiwa ramai penyokong PR. Emosi tidak stabil barangkali. Mereka langsung tidak dapat menerima hasil seni yang dirasakan mengkritik atau menyindir mereka, kalau boleh mereka mahu sentiasa dipuji seperti yang dilakukan oleh Abby Abadi.


Video url: http://youtu.be/rUWRGQD5C6k



Harap Salih Yaakob jangan cepat patah semangat...

Bak kata Wulan Guritno "keep up the good work" :D

100 Penyokong Tegar PAS Sertai UMNO


Kira-kira 100 ahli PAS dari Kampung Pening Lalat, Gual Tokdeh bertindak drastik menyertai Umno selepas kecewa dengan sikap pemimpin parti itu yang disifatkan semakin bongkak.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim dalam Majlis Selamat Tinggal PAS di kampung tersebut malam tadi.

Ahli PAS, Yaacob Mahmood, 78, berkata, dia mengambil keputusan menyertai Umno kerana berasa terhina dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan bantuan Kerajaan Pusat seperti memberi makan ayam dan lembu.

"Nik Abdul Aziz sendiri pernah mengajar supaya terima apa sahaja yang diberikan Umno. Tapi sekarang lain pula. Itu tidak mengapa, tetapi kalau sampai tahap menghina begini, saya tidak boleh terima. Kami ini manusia bukan haiwan.

"Sejak 22 tahun PAS memerintah juga, tidak ada sebarang hasil pun yang kami dapat. Tapi Umno tidak pernah abaikan kami meskipun tahu kami penyokong tegar PAS," katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.

Seorang lagi penyokong PAS, Rosanah Yaacob, 47, memberitahu, dia tidak pernah mengundi Umno kerana menganggap PAS sebagai parti Islam mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat di dunia dan akhirat.

Namun, katanya, tanggapan itu meleset kerana prinsip PAS semakin berubah sejak bersekutu dengan DAP dan PKR sehingga sanggup menggadai akidah orang Islam terutamanya dalam isu kalimah Allah.

"Sekarang mereka nampak sangat angkuh. Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menghina terhadap sesama manusia apatah lagi beliau sendiri tidak memberi apa-apa bantuan kepada rakyat," katanya.

Artis Pun Sindir Anwar Ibrahim Jadi PM?


Memang melatop! Video ini menceritakan hal sebenar yang berlaku dalam pakatan pembangkang... Terbaik bangkang dari longkang!

Isu nak lantik siapa jadi Perdana Menteri pembangkang pun tidak boleh selesai, macam mana mereka nak satu padukan rakyat. Luaran sahaja mereka nampak bersatu tetapi sebenarnya berlaku pertembungan pendapat antara mereka di peringkat dalaman.

Ketidaksepakatan pakatan pembangkang untuk melantik Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) menunjukkan kerapuhan pakatan pembangkang yang umpama 'retak menanti belah'.

Amat memalukan selama empat tahun bersama masih gagal lagi nak tentukan siapa calon PM, rakyat sebagai pengundi pastinya nak tahu siapa bakal perdana menteri!

Sebaiknya pakatan pembangkang tukar slogan 'Pakatan Harapan Rakyat' kepada 'Pakatan Penipu Rakyat'....

Video url: http://youtu.be/UftAr8H7Zc8