Sunday, March 10, 2013

Wartawan Tempuh Pengalaman Mendebarkan Terserempak Pengganas Bersenjata


LAHAD DATU: Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini, Ahad.

Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu "dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.

Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.

Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.

Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung berhantu" kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.

"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.

"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu," katanya.

Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.

Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.

Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.

Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.

"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.

Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.

Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Februari lepas.

-Bernama

35 Ahli Pas Jabi, Terengganu Keluar Parti Dan Sertai UMNO

Ismail Samah (kiri) menerima borang kemasukkan ahli UMNO dari 35 bekas ahli Pas yang diketuai Ali Bakar (tiga, kanan) selepas Majlis Ceramah Selamat Tinggal Pembangkang (STP) di Kampung Tok Dor, Jabi, Besut malam tadi.

Seramai 35 anggota dan penyokong PAS dari Kampung Tok Dor dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu bertindak keluar parti dan menyertai UMNO malam tadi.

Ketua mereka, Ali Bakar, 69, berkata mereka sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan parti pembangkang itu lalu bertindak keluar secara beramai-ramai.

"Dulu mereka persoalkan dan beritahu bahawa ahli UMNO jadi kafir kerana bersama-sama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional, tetapi hari ini Pas pula berkawan dengan DAP, tidak pula dihukumnya," katanya kepada pemberita.

Ali yang menjadi anggota Pas selama lebih 20 tahun berkata, mereka kecewa dengan sikap pemimpin Pas yang sering berdolak-dalih terhadap pelbagai isu yang membabitkan kepentingan umat Islam termasuk penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

"Kami semua baru sedar tipu helah pemimpin Pas yang sering memutar belit isu agama sehingga ramai penyokong Pas terkeliru. Sebelum ini kami ahli Pas pernah bertanya kepada pemimpin kami mengenai kedudukan isu kafir-mengkafir, tetapi tiada seorang pun yang tampil memberi penjelasan menyebabkan kami kecewa dan sudah tidak percaya lagi dengan cakap-cakap mereka," katanya.

Majlis penyerahan borang keahlian UMNO didahului oleh Ali kepada Setiausaha UMNO bahagian Setiu, Ismail Samah.

-Bernama

Tembak Menembak Di Tanjung Labian, Penduduk Selamatkan Diri


Lahad Datu - Penduduk di Tanjung Labian, dekat sini bertindak melarikan diri secara beramai-ramai ke kawasan yang lebih selamat setelah mendengar beberapa das tembakan di kampung tersebut hari ini.

Diahamkan bahawa tembakan pada pagi ini dilepaskan oleh saki-baki kumpulan pengganas Sulu yang cuba masuk ke kawasan perkampungan tersebut.

Tindakan penceroboh itu telah menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk.
Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata sehingga kini seramai 85 orang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pengganas Sulu di negeri itu.

Menurutnya enam lagi suspek ditahan pada Sabtu.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Rang Undang-undang kesalahan keselamatan (langkah-langkah khas) 2012.

Hamza berkata demikian menerusi sidang media pada Ahad.

Antara senjata dan peralatan yang dirampas dalam operasi pembersihan oleh pihak keselamatan di Kampung Tanduo. foto ATM

Penulis Surat Rahsia Tentang Wan Azizah Buat Laporan Polis


Mohd Fareez Kamal Intidzam, penulis surat rahsia tentang perilaku pelik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur akerana bimbang ancaman keselamatan oleh pengikut-pengikut Presiden PKR terhadap keluarganya setelah tersebarnya surat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Isnin lalu.

Sambil mengakui dia merupakan penulis surat tersebut, Fareez berkata dia tahu ancaman keselamatan terhadap dirinya datang daripada pengikut setia Wan Azizah.

“Saya kenal mereka, sebab saya sudah lama dalam PKR,” katanya semalam.

Fareez turut mengulangi kata-kata yang terkandung dalam surat itu bahawa Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah cemburu kepadanya kerana dia rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam surat itu, Fareez turut mendakwa dia telah dilantik oleh Anwar sebagai Pegawai Diplomat Sulit Antarabangsa sejak dari tahun 2008.

Sebelum ini, Fareez, 24 tahun adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Lindung Pengganas: 44 Warga Asing Ditahan Di Semporna


Semporna - Op Daulat pasukan keselamatan yang masuk minggu kedua menahan 44 orang lagi dipercayai ada kaitan dengan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu.

Kesemua mereka berusia 18 tahun ke atas dan empat daripadanya adalah wanita.

Bagaimanapun, polis telah membebaskan 11 daripada mereka dalam operasi yang dibuat di Kampung Pinggir Bakau di sini, kira-kira dua kilometer dari Kampung Simunul, lokasi mengorbankan enam anggota polis Sabtu lalu.

2 Anggota PGA Cedera Bertempur Pengganas Sulu


Lahad Datu: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam kejadian tembak menembak dengan pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu kira-kira pukul 8 malam Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata dalam pertempuran selama enam jam itu itu, dua anggota dari PGA Miri cedera di bahagian betis dan peha.

Mereka dibawa ke Hospital Dutchess Of Kent, Sandakan.

Bagaimanapun menerusi sidang media pada Ahad, Hamza tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat musuh yang berjaya ditembak atau tidak dalam pertempuran tersebut.-Mstar

Che’GuBard - Bapa Saiful Kaki Judi, Cuba Lacur Bini?


Bila tidak menyebelahi diri….dikata kaki judi dan cuba melacurkan isteri…

Itulah antara bahan yang pernah terbit di blog che’GuBard (lihat printscreen)…

Kalau ditanya sekarang, selepas bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim mengatakan anaknya menjadi bahan konspirasi dalm isu Liwat II, yang menjadi poin yang menyebelahi pembangkang…apakah Chegu Bard masih akan kata Azlan kaki judi dan pernah cuba lacurkan arwah isterinya?

Walaupun dalam entri tu Chegu Bard kata ia adalah petikan email pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Dr.Hiadayah Jr, namun bila anda dah letak di blog anda atas kerelaan, maka anda bersetuju dengan kandungan email itu bukan.

Lagipun dia sendiri letak penafian;

Segala bahan dalam blog ini boleh dipetik oleh mana-mana media sebagai kenyataan dan pandangan che’GuBard.

Jadi…penulis ulang semula…apakah sekarang anda akan masih berpegang kepada kata-kata anda bahawa bapa Saiful kaki judi dan cuba melacurkan isteri?

Apa tagline blog anda...Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata…..hendak laksanakan kata-kata anda tak sekarang?

Masih berjuang mengatakan bapa Saiful kaki jual bini?

Masa pilihan raya inilah macam-macam benda mula timbul…


Yang menampakan belang pembangkang…pandai kritik dan kutuk orang dan pada masa sama berlakon diri sendiri sangat suci.

Namun, pendirian itu berubah mengikut keadaan….contohnya…sudah pasti bapa Saiful kini bukan lagi kaki judi dan kaki melacurkan bini kan…

Untuk rekod, Saiful tetap berpegang kepada kenyataan bahawa dirinya diliwat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak ada sesiapa pernah menuduh bapa Saiful kaki judi dan kaki jual bini melainkan pembangkang….sejak bapanya beralih pendirian pun…masih tidak ada sesiapa di pihak kerajaan yang tergamak sebut beliau pernah cuba melacurkan arwah isterinya…

Pengikut Jamalul Kiram Dijanji Upah AS$600 Dolar Seorang


Manila - Jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda berkata, pengikut Jamalul Kiram III yang menceroboh Sabah telah dipujuk untuk pergi ke Lahad Datu dengan janji akan menerima ganjaran sebanyak AS$600 dolar (RM1,800) seorang.

Menurut Lacierda, beberapa media turut melaporkan beberapa pengikut Kiram telah dibayar AS$600 (RM1,800), selain dijanjikan tanah dan jawatan.

Lacierda berkata, kerajaan Filipina juga telah meminta Kuala Lumpur mengakses penuh rakyat Filipina yang terjejas akibat krisis pencerobohan di Sabah.

Katanya, bilangan rakyat Filipina yang berada di Sabah dan menjadi pengikut Kiram hanyalah kecil, lapor philstar.com.

Tambahnya, Presiden Benigno Aquino III juga akan memaklumkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kewujudan beberapa ketua kumpulan dan mangsa yang tertipu dalam krisis pencerobohan itu.

Kerajaan Filipina sebelum ini memberi amaran bahawa Kiram dan pengikutnya akan berdepan penahanan atas beberapa kesalahan, termasuk menghasut perang dan memiliki senjata secara haram. - AGENSI

Anwar Ibrahim Kecewa Konvensyen Pakatan P. Pinang Hambar


Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang yang diadakan di Komtar hari ini dilihat agak suram berikutan ramai ahli yang hadir 'lenyap'.

Konvensyen yang dihadiri pemimpin tertinggi PR termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diserikan dengan ucapan aluan serta ulasan manifesto PR yang diumumkan baru-baru ini.

Antara pemimpin tertinggi yang hadir, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Salleh Man Mat Aji dan Ketua PKR negeri,Datuk Mansor Othman.

Pada mulanya kira-kira 300 hadirin yang hadir namun dilihat meninggalkan dewan dalam beberapa jam.

Selepas Anwar memberi ucapannya dan meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk bertemu ahli parti, hadirin juga dilihat meninggalkan dewan.

Guan Eng dalam sidang medianya selepas konvensyen itu berkata, keadaan itu berlaku berikutan ahli parti kepenatan kerana menghadiri program ulangtahun ke-5 PR di Padang Kota malam kelmarin.

"Dewan didapati kosong kerana jadual PR yang disusun padat bermula malam semalam(kelmarin) iaitu majlis ulangtahun PR 5 yang tamat agak lewat. Banyak ahli penat.

"Saya tidak anggap ia perkara luar biasa kerana jadual kita untuk dua hari ini amat padat," katanya.

Sementara itu,Setiausaha DAP negeri, Ng Wei Aik berkata, ia adalah 'keadaan biasa' dalam mana-mana konvensyen yang diadakan.-Antarapos

Tak payah nak berselindung lagi... Sudah terbukti kepimpinan Anwar Ibrahim ditolak oleh puak pembangkang sendiri.. malah lebih jelas lagi rakyat sudah muak dengan janji manis dan tipu muslihat pembangkang...

Lahad Datu: Pasukan Keselamatan Tiga Bot Yang Membawa 27 Penumpang Di Zon Merah


Pasukan keselamatan menahan 27 orang yang menaiki tiga buah bot ketika berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka yang mendakwa kononnya ingin menangkap ikan ditahan di atas bot masing-masing setelah pihak keselamatan mencurigai kehadiran mereka di kawasan larangan itu.

Tiga bot yang membawa 27 penumpang ditahan oleh pasukan keselamatan di Tanjung Batu. Mereka ditahan ketika bot yang dinaiki berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu

"Kita curigai kehadiran mereka berhampiran lokasi operasi, jadi kita serahkan kesemua mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut. "Walaupun tiada senjata ditemui, saya telah arahkan polis Daerah Lahad Datu untuk jalankan siasatan mendalam dan akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh berkenaan," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan dari Sulu meningkat kepada 106 orang, berbanding 79 orang semalam.

Berikutan operasi membersih dan membanteras musuh sedang dijalankan, Ismail menasihati orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan yang ditetapkan kerana boleh menjejaskan operasi selain membahayakan mereka yang tidak berkenaan.

Berhubung 53 mayat penceroboh yang belum dibawa keluar dari Zon Merah, beliau berkata semua militan yang ditembak itu belum diperiksa oleh unit Forensik berikutan kedudukannya berhampiran dengan lokasi di mana musuh berada dan keadaan itu boleh mengancam nyawa pasukan sekiranya dihampiri.

Ismail berkata walaupun terdapat beberapa mayat telah dibawa keluar, namun sejak unit Forensik diserang Rabu lepas pihaknya terpaksa mengambil langkah lebih berjaga-jaga.

Katanya sehingga kini unit Forensik hanya merakamkan gambar penjenayah yang terbunuh tetapi belum dapat menjalankan proses siasatan dan bedah siasat ke atas mayat-mayat terbabit bagi tujuan pendakwaan.

Selepas lima hari dilancarkan, Ops Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya membunuh 53 orang militan, manakala tiada anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau terkorban.

-Bernama