Thursday, March 14, 2013

Budaya Balas Dendam Mungkin Tragedi Berdarah Lahad Datu Berulang Lagi...


Budaya membalas dendam yang terpupuk dalam diri masyarakat di selatan Filipina sejak ratusan tahun dahulu memungkinkan tragedi berdarah di Lahad Datu berulang kembali pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau berkata pihak keselamatan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan negara dan inisiatif Kawasan Keselamatan Khas (ESSCOM) sepanjang kira-kira 1,400km di pantai timur Sabah merupakan antara langkah terbaik mengelakkan tragedi berdarah itu berulang kembali.

"Saya meletakkan keyakinan penuh kepada pasukan tentera dan polis kita dalam memastikan tragedi ini tidak berulang kembali, namun kebimbangan itu tetap ada kerana budaya membalas dendam ada dalam diri mereka (masyarakat itu).

"Budaya ini melibatkan keturunan juga masa ratusan tahun. Umpamanya bapa saya bergaduh dengan bapa seorang individu, kalau saya tak dapat balas dendam, cucu saya akan balas dendam kepada cucu individu itu," katanya kepada Bernama.

Anggota keselamatan Malaysia sehingga kini menembak mati 56 pengganas. Tragedi itu juga mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata budaya membalas dendam itu sehingga kini masih berlaku di selatan Filipina seperti pembakaran rumah berlaku setiap bulan dan tidak mustahil tragedi berdarah di Lahad Datu itu menyebabkan pengganas Sulu bertindak membalas dendam kepada Malaysia pada masa hadapan.

"Kalau itu berlaku di kalangan mereka tidak mustahil berlaku di negara kita. Bagaimana jaminan (tragedi itu tidak berulang) dapat dilakukan sedangkan mereka punyai budaya balas dendam.

Kerana itu pentingnya kita wujudkan ESSCOM bagi memastikan ini tidak berlaku," katanya.

Ditanya tentang rasional Malaysia bekerjasama dengan Filipina bagi mengambil tindakan ketenteraan di selatan Filipina bagi menghapuskan ancaman itu secara terus di puncanya, beliau berkata tindakan ketenteraan bukan penyelesaian kepada masalah itu.

"Pertama kalau kita masuk ke Filipina ke kawasan mereka, kita tidak hormati kedaulatan Filipina, begitu juga sebaliknya dengan kita di Malaysia. Jadi kedaulatan kedua-dua negara ini perlu dihormati.

"Kedua kita berbalik kepada budaya membalas dendam itu sendiri. Jika kita minta kerajaan Filipina bersama kita bersihkan kawasan itu, oleh kerana budaya dendam itu sentiasa ada, masalah tidak dapat diselesaikan dengan tindakan ketenteraan," katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Filipina kerana sentiasa bekerjasama erat dengan Malaysia dalam menyelesaikan tragedi itu serta memastikannya tidak berulang kembali seperti usaha menyekat pengganas Sulu daripada memasuki Malaysia.

Terdapat cadangan di kalangan rakyat Malaysia supaya pemimpin pengganas itu Jamalul Kiram diekstradisi ke Malaysia bagi didakwa di mahkamah negara ini, dan mengulas cadangan itu beliau berkata atas nama kebersamaan negara Asean, Malaysia boleh meminta Filipina untuk berbuat demikian.

"Kita pernah hantar Nur Misuari (pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) ke Filipina atas semangat Asean. Oleh demikian kalau Jamalul Kiram boleh ditahan dan diambil tindakan itulah sebaiknya.

"Jamalul Kiram rakyat Filipina tetapi jenayah dilakukan di Malaysia, jadi atas nama kebersamaan sebagai negara Asean kita boleh meminta Filipina bawa beliau bagi didakwa di Malaysia. Namun itu bukan atas kuasa Kementerian Pertahanan, Jabatan Peguam Negara kendalikan," katanya.

Beliau berkata ada kewajaran terdapat cadangan daripada Pergerakan Pemuda Umno bagi mendakwa Jamalul Kiram dan pengikutnya mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Mungkin akta dan seksyen itu sesuai tetapi kita serahkan kepada Peguam Negara akta mana paling sesuai digunakan. Apapun saya tegaskan pengganas yang kita tahan di Malaysia itu akan diambil tindakan perundangan sewajarnya.

"Kesalahan mereka itu dilakukan di negara kita jadi tindakan mahkamah dan perundangan mesti dilakukan di negara kita. Ia akan tertakluk kepada undang-undang di sini, kita menggangap mereka adalah penceroboh," kata Ahmad Zahid.

Sehingga kini 156 orang ditahan kerana berada di zon merah operasi manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan.

Beliau turut ditanya tentang golongan tegar pembangkang yang hanya mempercayai fitnah dan tohmahan dilempar pemimpin pembangkang dan langsung tidak mempercayai maklumat disalurkan kerajaan tentang insiden itu.

Ahmad Zahid menegaskan masalah yang dihadapi di Lahad Datu sekarang bukan masalah politik sebaliknya masalah keselamatan negara dan seharusnya isu pertahanan negara tidak dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.

"Ini merupakan hasil proses mentaksubkan pengikut yang hebat dilakukan pembangkang, budaya kebencian disemai di kalangan penyokong tegar mereka. Apa sahaja dibuat oleh kerajaan satu pun tidak positif.

"Saya harap mereka hormati profesionalisme Polis Diraja malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalau mereka kata ATM atau PDRM tak sekuat mana, silakan ke Lahad Datu lihat sendiri. Saya bawa jika benar mereka ada semangat patriotik. Sehingga sekarang tiada seorang pun (ingin ke Lahad Datu)," katanya.

Pembangkang Rancang Wujud Keadaan Porak-Peranda Pada PRU-13


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mendedahkan rancangan pakatan pembangkang untuk menggagalkan pilihan raya umum ke-13 akan datang dengan mewujudkan keadaan porak-peranda di negara ini.

Beliau berkata daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk berbuat demikian kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang sudah mula meningkat.

“Macam (penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebut, kalau dalam pilihan raya ini dia kalah maka tentulah kekalahan itu (mengikut dakwaannya) disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat kerja kotor, tipu rakyat.

“Bila dia menang, dia tak pernah kata SPR tipu rakyat, tapi bila nak kalah, nampak-nampak nak tumbang dan impian untuk jadi perdana menteri tak akan menjadi, maka dia dah mula buat telahan,” katanya ketika berucap pada majlis sepetang bersama masyarakat di kawasan Parlimen Hulu Selangor, di Bandar Bukit Sentosa dekat sini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar.

Muhyiddin percaya kenyataan itu dibuat pihak pembangkang kerana sedar bahawa mereka tidak mampu membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya berikan ini sebagai satu peringatan kepada kawan-kawan dalam Barisan Nasional, inilah yang akan kita akan hadapi, tapi saya yakin atas semangat kita yang kuat dan kerja keras yang kita lakukan kita akan dapat atasinya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin BN mampu mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak kira siapa.. calon hitam, putih, biru kita akan pilih sahaja…dan saya pergi ke tempat-tempat lain…gelombang biru menandakan sikongan rakyat sudah mula meningkat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Selangor yang diterajui pakatan pembangkang telah menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat negeri ini dengan pelbagai janji manifesto yang tidak ditunaikan yang sehingga kini tidak dijawab oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita tak nak mengulang banyak cerita yang sudah berlaku di sini…saya bukan orang Selangor, tetapi saya tahu apa yang berlaku di negeri Selangor ini…Rakyat Selangor sudah pun marah dengan kerajaan (negeri yang diterajui pembangkang).

“Ramai yang bawa kes ke mahkamah, ibu tunggal dan orang-orang yang berhak mendapat pembelaan atas janji yang dibuat pada manifesto PRU yang lepas juga tuntut supaya kerajaan Selangor tunaikan janji, sampai hari ini saya tak dengar pun jawapan dari Menteri Besar Selangor apa yang nak dilakukan tentang apa yang telah dijanjikan itu,” katanya.

Justeru, Muhyiddin mencadangkan agar rakyat Selangor tidak lagi terpedaya dengan manifesto PRU-13 yang dilancarkan pakatan pembangkang baru-baru ini yang menurutnya menjanjikan pelbagai perkara yang mustahil untuk dilaksanakan tanpa penerangan yang kukuh.

Sebaliknya, beliau berkata manifesto yang akan dibentangkan BN kemungkinan selepas pembubaran Parlimen akan memberikan gambaran menyeluruh mengenai perkara-perkara yang akan dilaksanakan supaya difahami dan diyakini rakyat bahawa kerajaan BN mampu melaksanakannya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan sumbangan dana RM200,000 kepada masjid dan RM100,000 kepada kuil di kawasan itu untuk tujuan penambahbaikan.

Beliau turut melancarkan empat bas henti-henti syarikat Setara Jaya menambah kepada 12 buah bas sedia ada untuk kegunaan 22,000 penduduk di kawasan Hulu Selangor.

Penafian Zuraida Mengelirukan


Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin akan menggunakan pelbagai helah untuk melindungi diri beliau daripada isu berkaitan kepimpinannya termasuk dalam hal membabitkan Mohd. Fareez Kamal Intidzam.

Menurut bekas Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi, tindakan Zuraida menafikan Mohd. Fareez sebagai setiausaha politiknya memang sudah dijangka.

Sehubungan itu, beliau meminta wakil rakyat Parlimen Ampang itu menyatakan siapakah yang melaksanakan tugas-tugas menguruskan beliau selama ini jika bukan Mohd. Fareez.

"Mohd. Fareez memang setiausahanya dan memang tidak dinafikan lelaki itu juga yang membantu beliau membuat kerja-kerja membabitkan urusan Parlimen.

"Tetapi mengenali Zuraida, beliau memang suka membuat penafian terutama jika berdepan masalah," katanya memetik laporan akhbar tempatan.

Sementara itu Mohd Fareez yang menjawab dakwaan Zuraida itu berkata beliau masih ahli PKR dan tidak pernah meletakkan jawatan dari parti itu. Beliau menyifatkan tindakan Zuraida itu telah dijangka dan beliau tetap komited dengan partinya.

"Saya masih ahli Keadilan. Tanggungjawab saya untuk bersuara dan berkata benar.

"Saya berharap Puan Presiden, Datin Seri Wan Azizah tidak memecat saya kerana adalah tanggungjawab buat saya untuk bercakap benar bahawa Wan Azizah tidak layak untuk memimpin Keadilan menjelang pilihan raya akan datang kerana beliau sendiri tidak boleh bertanding kerusi Parlimen," memetik kenyataan beliau.

Namun Mohd Fareez menyifatkan bahawa beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang tindakan daripada parti selain mengugut untuk membongkar perihal sejak bila wujud perasaan cemburu dan hasad dengki Wan Azizah terhadap dirinya.

-AntaraPos

Empat Pertuduhan Keatas Tian Chua Berkaitan Isu Lahad Datu


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Batu Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini dengan empat pertuduhan berhubung isu Lahad Datu.

Empat pertuduhan itu berkaitan dengan empat kenyataan Tian Chua iaitu :

1. Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

2. Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno.

3. Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah. Kejadian pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; dan

4. Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Tian Chua Bakal Dipenjara Selama 3 Tahun?


Tian Chua mengaku tidak bersalah dakwa pencerobohan sandiwara UMNO


Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berhubung kenyataannya yang mendakwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO.

Dia yang juga Naib Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park off Metro Pudu, Jalan Yew di sini.

Dia didkawa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Mahkamah menetapkan 12 April ini bagi sebutan semula kes itu.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Semoga ianya menjadi pengajaran kepada individu lain supaya bercakap menggunakan akal bukan ikut sedap mulut saja!

Azmin Tak Tahu Khalid Ada Tarikh Bubar DUN


Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Azmin Ali belum mendapat sebarang maklumbalas daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa mempunyai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau yang ditemui berkata PKR akan membincangkan mengenai perkata itu dalam mesyuarat biro politik.

“Mungkin malam ini (semalam), ada satu mesyuarat biro politik dan kita akan bincangkan perkara ini,” jawabnya ringkas.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei yang dihubungi Antarapos semalam walau bagaimanapun mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat Selangor telah membuat ketetapan tentang tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri dan mandat diserahkan kepada Khalid untuk mengumumkan tarikh berkenaan.

"Sekarang ini, mandat itu terletak dalam tangan MB Selangor untuk umumkan, tetapi pastinya sebarang tindakan atau pembubaran itu pastinya dalam pengetahuan pimpinan tertinggi dan ia akan diumumkan oleh MB bila waktu, masa dan ketika itu sampai," kata beliau.

Khalid pada Isnin lalu berkata pihaknya sudah mendapat tarikh untuk membubar DUN Selangor.

Bagaimanapun tarikh itu akan diumumkan pada masa yang sesuai, katanya.

"Sudah tapi belum diumumkan. Dalam bulan ini, kalau tiada apa halangan, kita mungkin (bubar)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di SUK kelmarin.

Untuk rekod, ini adalah pengumuman kali ketiga Khalid berhubung pembubaran DUN lebih awal daripada kerajaan Persekutuan.

Namun sehingga kini ADUN Ijok itu masih bermain tarik tali dan enggan mengumumkan tarikh itu.

Pada awal tahun lalu, Khalid mengumumkan akan membubarkan DUN lebih awal dan mengugut akan membuat pilihan raya secara berasingan jika kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen pada 2012.

Namun beberapa hari sebelum sambutan Chap Goh Meh, Khalid sekali lagi mengumumkan akan membubarkan DUN lebih awal walaupun tanpa persetujuan Putrajaya.

Pengumuman itu dilihat sebagai gertakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Najib dalam reaksinya berkata, beliau tahu masa yang sesuai untuk berjumpa Yang Di-Pertuan Agong untuk meminta perkenan baginda sultan.