Wednesday, March 20, 2013

Keadaan Tidak Mengizinkan... Nik Aziz Dimasukkan Ke Hospital...


Nik Aziz mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, kini beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Beliau mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik. Pada akhir tahun 2004, beliau dimasukkan ke hospital setelah mendapat serangan sakit jantung.

Pada tahun 2007, beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana keletihan. Beliau sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu sejak akhir-akhir ini.

Tempoh lebih 23 tahun sebagai Menteri Besar adalah satu tempoh perkhidmatan yang agak lama disandang oleh TG Nik Aziz...

Hari ini kita dengar lagi Tok guru Nik Aziz sakit... Walaupun berbeza bendera dan pendapat... namun aku turut simpati dengan Nik Aziz yang sering dijadikan sebagai alat politik untuk kepentingan individu tertentu dalam PAS.

Mungkin tidak ramai yang ambil peduli tentang hal ini namun, inilah rialitinya...

Sudah tiba masanya Tok Guru menyerahkan khidmatnya kepada pemimpin pelapis yang lain...

Laman portal AntaraPos hari ini melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu 'sakit perut'.

Malah, beliau yang dijadual mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini gagal berbuat demikian berikutan keadaan kesihatannya itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini hari ini enggan menjelaskan di mana Nik Abdul Aziz dirawat dengan alasan tidak mahu beliau diganggu.

"Semalam beliau masuk hospital, ada sakit perut sikit, saya tidak pasti (jika Nik Abdul Aziz sudah keluar hospital), semalam itu ya, saya tidak pastilah sekarang," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ashmad Yacob.

Nik Aziz sebelum ini dilaporkan sering mengalami masalah kesihatan berikutan umurnya yang sudah mencecah 82 tahun.

Walaupun banyak pihak meminta Nik Aziz supaya berundur daripada terus terlibat dalam arena politik, beliau tetap tidak mengendahkan permintaan tersebut.

Nik Aziz sebaliknya dalam kenyataannya sebelum ini berkeras akan terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana berpendapat ahli-ahli PAS masih memerlukan khidmatnya.

Beliau pernah menyatakan akan bersara daripada politik jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut melakukannya, namun setelah Dr. Mahathir berbuat demikian sejak 10 tahun lalu, Nik Abdul Aziz masih kekal di tampuk kepemimpinannya.

BN Tak Gentar Anwar Tanding Di Perak


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak hairan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak kerana pakatan pembangkang sememangnya dianggotai pemimpin politik 'touch n go'.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, pemimpin pembangkang termasuk Anwar dan Lim Kit Siang berhak bertanding di mana sahaja mereka suka kerana itu dibenarkan dalam sistem demokrasi.

"Kalau rasa mereka adalah pemimpin 'touch n go', mereka buatlah apa yang disukai. Tidak mendatangkan kehairanan kepada saya kalau itu keputusan yang mereka buat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Perak atau Selangor.

Menurut Anwar, beliau belum membuat keputusan muktamad tentang kerusi Parlimen di negeri mana yang akan ditandingi tetapi sedang menimbang untuk bertanding di Perak.

Ditanya sama ada peluang BN untuk menang di Perak akan terjejas jika Anwar bertanding di sini, Zambry berkata, pihaknya tidak gentar langsung.

Katanya, tiada istilah gentar dalam dunia politik, apatah lagi apabila berada dalam suasana pilihan raya.

"Sepatutnya soalan gentar itu tidak ditanyakan kepada saya tetapi ditujukan kepada Anwar. Kenapa beliau tidak kekal di kawasannya di Permatang Pauh. Apakah beliau gentar?," soalnya.

Zambry berkata, tindakan Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin menjadi pengakhiran kepada perjalanan karier politik Penasihat DAP itu.

"Mereka rasa tidak akan alami masa surut. Mereka perlu faham, apabila tiba masanya, air pasang akan surut juga dan ada sebab musababnya.

"Kamu pernah menamatkan karier politik orang lain dan siapa tahu karier politik kamu juga akan ditamatkan dengan cara sama," katanya.

-Utusan

Azmin Serang Wan Azizah… Perang Dalaman Yang Memalukan PKR


Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli berkata kenyataan berupa serangan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd Fareez Kamal Intidzam terhadap Presiden Parti PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail boleh dilihat sebagai satu konspirasi terancang yang mahu memberi laluan kepada Azmin Ali di dalam parti tersebut.

Sambil menyifat serangan itu satu perang dalaman yang memalukan PKR, beliau seterusnya berpendapat sekiranya Fareez mahu menyatakan kebenaran bahawa Wan Azizah memang tidak layak memimpin parti PKR, dia tidak perlu mengangkat Azmin sebagai orang yang paling layak memegang tampok pimpinan parti.

“Saya tidak katakan memang wujud agenda terancang ini namun apa yang dinyatakan oleh Fareez di dalam surat yang dikirimkan kepada Presiden Pas boleh diragui dan ianya seakan telah dirancang tambah-tambah lagi menjelang pilihan raya ini. Mengapa dia perlu menyatakan bahawa Azmin adalah individu paling layak memimpin parti.

“Di sini mula timbul keraguan. Tambahan pula ramai yang telah mengetahui bahawa Wan Azizah dan Azmin memang tidak sebulu. Secara nyatanya, Azmin memang tidak merasakan Wan Azizah adalah satu saingan kepada dirinya kerana bagi Azmin, Wan Azizah tidak ada ‘value’.

“Namun bagi Wan Azizah, Azmin adalah saingannya untuk berada dekat di samping Anwar. Ini kerana, Anwar lebih mempercayai dan mendengar kata-kata Azmin berbanding Wan Azizah,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Nazmi, sepanjang beliau bersama parti PKR, beliau memang menyedari bahawa wujudnya dua puak di dalam parti PKR iaitu puak yang menyokong Wan Azizah dan puak yang menyokong Azmin.

Bagi Wan Azizah menurut Nazmi, Anwar lebih memberikan perhatian kepada Azmin berbanding Wan Azizah sebagai isterinya. Hubungan yang terlalu istimewa inilah yang menyebabkan Wan Azizah tidak menyukai Azmin.

Khabarnya, Wan Azizah bakal bertanding kerusi DUN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 adalah kerana mahu memecahkan monopoli Azmin yang disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya PKR masih kekal di Selangor selepas PRU nanti.

“Apa yang pasti, isu ini sebenarnya sudah lama. Mereka memang tidak sebulu dari dulu dan sekiranya perkara ini tidak mampu diselesaikan bagaimana mereka mahu memimpin negara. Parti sendiripun kucar kacir,” ujarnya lagi.

PRU 13 - Anwar Lari... Tak Bertanding di Permatang Pauh


Menyedari akan kekalahan di Permatang Pauh Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dipercaya telah mengambil keputusan untuk tukar kerusi bertanding di Perak atau Selangor. Anwar kini sudah kehilangan sokongan dari orang melayu dan India hanya mengharapkan sokongan dari pengundi Cina sahaja.

Laporan Malaysiakini menyatakan Anwar mungkin tak pertahan Permatang Pauh.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mungkin tidak mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini ekoran beliau turut diminta bertanding di Perak atau Selangor, katanya.

Beliau bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad setakat ini.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Anwar berkata, terdapat banyak calon yang boleh diketengahkan di kubu kuatnya itu.

Bagaimanapun, tambahnya, anak sulungnya Nurul Izzah bukanlah salah seorang daripadanya.

"Dia sibuk di Lembah Pantai, kenapa hendak kacau dia?" kata Anwar.

8 Suspek Rakyat Filipina Didakwa Lancar Perang Terhadap Yang di-Pertuan Agong


Lahad Datu - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas tuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua lelaki itu yang berusia lingkungan 17 hinggga 66 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan Seksyen 121 kanun yang sama kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya daripada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mohd. Dusuki memberitahu pemberita, kes itu diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Yang turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kawasan sekitar ibu pejabat polis tersebut dikawal ketat oleh anggota keselamatan bersenjata.

-Bernama

Pasukan Keselamatan Temui 1 Mayat Pengganas


Lahad Datu - Pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas Kiram yang dipercayai mati ketika operasi penggeledahan di kawasan perumahan Kampung Tanjung Batu pada 6 Mac lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd. Zin berkata, mayat pengganas itu akan dibawa keluar hari ini tetapi bergantung pada keadaan sekeliling.

-Utusan