Saturday, May 4, 2013

#PRU13 Peluang Pengundi Betulkan Kesilapan 2008 di Lembah Pantai


Bagi kebanyakan rakyat Malaysia Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berlangsung dianggap sebagai ibu kepada segala pilihan raya.

Namun bagi pengundi di Parlimen Lembah Pantai, pilihan raya umum yang akan berlangsung esok dianggap peluang untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan pada PRU Ke-12 (PRU-12).

Menurut Pengerusi Gerakan Madrasah Tarbiah Putra Ria, Rokiah Kasim, kesilapan besar berlaku pada 2008 apabila pengundi memilih Nurul Izzah Anwar sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai.

"Besok adalah penentu segalanya, sebab kesilapan besar berlaku pada 2008, satu pengajaran bagi penduduk Putra Ria, Abdullah Hukum dan keseluruhan Lembah Pantai.

"Seolah-olah kita mengundi batang kayu, tak berfungsi apa-apa. Sekadar nak datang rumah orang kahwin, menziarah orang meninggal, itu semua orang boleh buat," kata beliau.

Menurut Rokiah, Nurul Izzah sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat.

"Dia tidak semestinya berkhidmat untuk orang-orang PKR sahaja, orang-orang Barisan Nasional pun dia kena berkhidmat juga, sebab dia dah menang jadi wakil kita dan menyebabkan kami terabai, tak dipedulikan.

"Dia jadi wakil rakyat Lembah Pantai seolah-olah hanya untuk mempertahan bapa dia, apa tujuan dia jadi wakil rakyat di sini, dia bukan orang sini?

"Apabila dia menang kita rasakan tak apalah bagi dia berkhidmat selama lima tahun, sepatutnya dia menunjukkan kecemerlangan. Nurul Izzah muda dan terpelajar, beliau perlu menunjukkan prestasi, tapi apa yang dia buat?" kata Rokiah kesal.

Sementara itu pemangku Ketua Cawangan UMNO Putra Ria, Mohd. Syarif Sapdin berkata, selama Nurul Izzah menjadi wakil rakyat, penduduk seolah-olah rasa terjajah.

"Tiada apa yang dilakukan beliau, berbanding Datuk Raja (Nong Chik Raja Zainal Abidin) mengerakkan tenaga mengecat bangunan, surau, taman permainan dan lif dibaik pulih. Itu yang kita nak. Sebagai wakil rakyat, Nurul Izzah sepatutnya peka, sebaliknya Datuk Raja banyak menolong kami di Putra Ria ini.

"Pilihan raya kali ini kami akan membetulkan keadaan dengan memilih Datuk Raja sebagai wakil kami, dia banyak buat kerja di sini dan dia mudah berkerjasama dengan DBKL," katanya.

Pada PRU-12, anak sulung ketua pembangkang, Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat menewaskan penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan kelebihan 2,895 undi.

Pada PRU-13 yang akan berlangsung esok, Nurul Izzah sebagai penyandang akan ditentang oleh Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

P121 Lembah Pantai mempunyai 72,396 pengundi berdaftar dengan 54.56 peratus pengundi Melayu, 27.04 peratus (Cina), 18.21 peratus (India) dan 0.26 peratus (kaum-kaum lain). - UTUSAN ONLINE

#PRU13 Timbalan Ketua Wanita PKR Batu Keluar Parti


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Batu menerima tamparan hebat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini apabila Timbalan Ketua Wanitanya, G. Sara Lili bersama 120 ahli parti itu bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu diumumkan beliau pada majlis bersama rakyat di Dewan Komuniti Bandar Baru Sentul di sini malam tadi, yang turut dihadiri calon BN Parlimen itu, Prof. Madya Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Serentak dengan itu beliau menyerahkan borang keahlian parti Gerakan kepada Dominic sambil mendapat tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penduduk yang hadir.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Sara berkata, mereka kecewa dengan sikap Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Naib Presidennya, Tian Chua yang tidak pernah turun padang menyelesaikan masalah penduduk setempat.

"Tindakan keluar PKR diambil sebulat suara oleh saya ahli-ahli PKR Parlimen Batu sebagai bantahan secara terbuka kepada Tian Chua. Kami berjanji akan memberi sokongan padu kepada calon BN yang sentiasa menjaga nasib orang India di kawasan Parlimen Batu

"Kami menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada kerajaan BN," katanya.

Sara berkata, Tian Chua yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu itu tidak pernah turun padang untuk berkhidmat atau berjumpa para pengundi India di kawasan itu.

Katanya, janji-janji untuk menyelesaikan isu kebajikan masyarakat India sejak pilihan raya umum 2008 tidak pernah ditunaikan sehingga hari ini. - UTUSAN ONLINE

#PRU13 Anwar Mula Tertekan di Permatang Pauh


Setelah 13 hari berkempen, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail, kini dikatakan semakin tertekan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Pertemuan ibarat 'buku bertemu ruas' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad ini, dapat dirasai apabila ceramah Anwar di Permatang Pauh tidak lagi 'berapi' seperti sebelumnya, dan tidak ramai lagi pengikut setia di Permatang Pauh yang meminati ceramahnya.

Tinjauan Bernama mendapati lebih ramai anak-anak muda berada di kedai-kedai mamak menonton siaran langsung bola sepak pada waktu malam berbanding mereka yang pergi mendengar ceramah.

Seorang anak muda Permatang Pauh, Ahmad Azwan Bakhtiar, 25, ketika ditemui bersama rakan-rakanya di sebuah restoran nasi kandar di Seberang Jaya, menyifatkan ceramah Anwar hanya seronok didengar tetapi isi kandungan ceramah itu hanya mengulangi perkara yang sama.

"Anwar ini dok cakap benda-benda yang sama, kami pun dah tak larat dengar dah sebab tu kami lepak kedai mamak, tengok bola lagi bagus...tunggu la hari mengundi nanti, kami buat keputusan," katanya.

Sememangnya Anwar telah ketandusan modal dan terpaksa menggunakan isu-isu lapuk seperti mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang lemah, mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selain membuat janji-janji luar biasa.

Dalam siri-siri ceramahnya, Anwar juga dengan bangga memberitahu rakyat bahawa dia bakal menjadi perdana menteri, dan meminta rakyat menyokong untuk memenuhi cita-cita peribadinya itu.

"Hari ini kita menang, esok kita tubuh kerajaan, saya jadi perdana menteri kita turunkan harga barang, harga minyak" itulah antara dialog Anwar di mana sahaja beliau pergi berceramah.

Bagi pencabarnya Mazlan, pengalaman berada dalam PAS selama lebih 20 tahun di Pulau Pinang, dan pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri (2001-2005) serta Ketua Dewan Pemuda PAS negeri (1986-2000), memberikannya 'nilai tambah'.

Bekas naib presiden Telekom Malaysia itu dilihat mampu menyaingi Anwar kerana disokong oleh rakan-rakan lamanya, malah mengetahui sikap Anwar yang sebenar.

Timbalan presiden Jalur Tiga (Jati) yang juga sahabat karib Anwar, Datuk Aidit Ghazali, berkata berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian yang dilakukannya, Mazlan boleh mengalahkan Anwar berdasarkan faktor akhlak, akidah dan syariah.

Katanya jika dibandingkan dari segi moral, Mazlan lebih disegani kerana tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal, dan beliau juga orang yang dihormati kerana sikap merendah diri walaupun berpelajaran tinggi serta memegang jawatan yang tinggi dalam syarikat korporat.

"Pengundi Permatang Pauh haruslah membuat perbandingan antara Dr Mazlan dengan Anwar... siapakah yang lebih layak menjadi wakil rakyat mereka, ketepikan segala sentimen peribadi dan fikirkanlah masa depan negara," katanya.

Begitu juga dengan pendapat bekas sahabat baik Anwar semasa dalam Abim, Dr Sidek Baba, yang membongkar siapakah Anwar sebenarnya setelah beliau membuat siasatan selama tiga tahun.

Katanya antara faktor beliau meninggalkan Anwar ialah isu moral, dan Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.