Saturday, May 18, 2013

Adam Adli ditahan di bawah Akta Hasutan

Polis hari ini menahan mahasiswa pro-pakatan pembangkang, Adam Adli Abd. Halim di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata, Adam Adli ditangkap di kawasan Bangsar sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang pada pukul 3.15 petang.

"Bekas pelajar itu ditahan di lokap Balai Polis Jinjang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," kata Mohmad.

Kah! Kah kah! Padan Muka Adam Adli! Lain kali buatlah lagi!

Tunggu Tindakan Tegas - Zahid Hamidi


Kerajaan tidak akan memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang mahu mencetuskan huru-hara sebaliknya akan terus bertindak secara tegas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang kompromi dengan pihak tertentu khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan bagi mencetus rusuhan sekali gus menjayakan hasrat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas," katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas tindakan yang bakal diambil ke atas pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mencetuskan huru-hara.

Isnin lalu, pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa dan Tian Chua ketika berceramah dalam Perhimpunan Tragedi 13 Mei secara terbuka menghasut rakyat ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan BN melalui kaedah rusuhan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui kepimpinan baharu bersedia sepenuhnya memastikan kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara kekal terpelihara dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

"Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal itu lebih murah 'harganya' berbanding penyelesaian masalah. Saya akan guna pendekatan itu agar pihak kerajaan tidak disanggah dan mereka (pembangkang) juga tidak melakukan penyanggahan," jelasnya.

Sementara itu, mengulas kecaman pembangkang selepas beliau meminta pihak tidak setuju dengan sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara republik jika menjadikan isu undi popular sebagai alasan, Ahmad Zahid berkata, pembangkang melenting kerana mereka cuba menipu rakyat.

"Orang yang makan cili memang akan terasa pedasnya, sebab itu pemimpin seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng melenting dengan kenyataan saya, tetapi apa yang dinyatakan adalah hakikat dan sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Friday, May 17, 2013

Khairy Jamaluddin: Saya Menteri Untuk Semua Rakyat


Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengajak semua pihak untuk melihat kehadapan dan berhenti mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bagi mengalas mandat yang telah diberi rakyat.

Beliau yang melapor diri hari pertama sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) hari ini turut berkata, semua pemimpin yang dipilihan jangan ada rasa untuk membalas dendam dan mengalas tanggungjawab tanpa prejudis.

"Saya juga harap pembangkang akan terima keputusan PRU13, kerana rakyat dan negara perlu bergerak kehadapan, kalau ada perkara yang tidak dipersetujui bawa ke mahkamah.

"Jangan heret rakyat ke dalam fasa memecah belahkan rakyat untuk tujuan politik, sudah tiba masanya untuk lihat ke hadapan dan lakukan transformasi," katanya pada sidang media selepas beramah mesra bersama kakitangan KBS.

Beliau berkata, pemilihannya sebagai menteri bukan hanya untuk berkhidmat kepada satu pihak sahaja tetapi untuk semua rakyat tanpa mengira ideologi.

"Saya jemput semua badan belia yang berdaftar secara langsung dibawah KBS, atau tidak untuk bersama-sama saya berkongsi idea dan pandangan.

"Saya juga tidak ada masalah untuk berdialog dengan mana-mana belia yang menyertai politik, saya akan tulis surat kepada mereka bahawa saya sedia dengar suara mereka.

"Saya bukan Menteri Belia Barisan Nasional, saya Menteri Belia dan Sukan Malaysia, menteri untuk semua," katanya yang turut menegaskan bahawa beliau menteri untuk semua sukan dan tidak hanya tertumpu pada satu sukan sahaja.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menyifatkan perancangan yang dibuat kerajaan dan menteri KBS sebelum ini masih relevan untuk diteruskan.

"Untuk jangka masa panjang kebanyakan dasar yang ada sudah baik, namum perlu diperbaiki dan diberi nilai tambah berdasarkan keadaan semasa dan impak keputusan PRU13.

"Beri saya masa dan Timbalan Menteri (Datuk M.Saravanan) untuk selesaikan lawatan dan sesi dialog bersama agensi KBS dan persatuan-persatuan belia dan sukan bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka sebelum melakukan sebarang perubahan," katanya

Menurutnya, proses kerukunan nasional yang perdana menteri tekankan adalah penting dalam menarik golongan muda mendekati kerjaan.

"Ini cabaran untuk saya, terutamanya mereka yang tidak sokong parti saya. Saya akan turun mendekati kumpulan ini untuk mengenalpasti citarasa belia masa kini.

"Saya akan ketepi protokol sedia ada untuk turut sama bekerja dengan kumpulan yang tidak menyokong kami (BN), kami sedia membuka pintu kepada mereka," katanya yang tetap memberi keutamaan kepada persatuan belia tradisional. -SH

Khalid Bantah Azmin Jadi Exco, Pengumuman Batal


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menolak desakan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya timbalan presiden parti Azmin Ali dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri Selangor, menurut sumber-sumber parti itu.

Kemelut itu memaksa Khalid membatalkan pengumuman senarai exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung hari ini.

ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar memberitahu Antarapos bahawa Khalid hanya dijangka mengumumkan exco kerajaan negeri minggu depan.

Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengesahkan Khalid hanya akan membuat pengumuman minggu depan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Menurut sumber-sumber parti, pada satu mesyuarat malam tadi, ramai di kalangan ahli MPP mahu Azmin di lantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri, sesuai dengan bakti dan kedudukkannya dalam parti.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah oleh Khalid “yang mahu mengekalkan wakil-wakil PKR yang sedia ada kerana merasakan mereka berjaya menjalankan kerja dengan baik,” kata sumber itu.

Selain menjadi Timbalan Presiden PKR, Azmin adalah juga pengarah pilihan raya parti itu dan telah memimpin PKR Selangor sejak tiga tahun lalu.

“Ahli-ahli MPP bersetuju bahawa Azmin telah memainkan sumbangan amat besar memastikan PKR memenangi 30 kerusi Parlimen selain mengekalkan Selangor dengan majoriti dua pertiga,’ kata sumber itu.

“Beliau juga berundur secara baik untuk memberi laluan kepada Khalid menjadi MB demi menjaga perpaduan dan kestabilan parti. Justeru ahli MPP berpendapat Azmin patut di lantik menjadi Exco kanan,” kata sumber itu.

Ditanya mengenai pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat itu, sumber itu berkata Ketua Umum PKR itu mengambil sikap tidak mahu terheret dalam perbahasan itu.

“Beliau menyerahkan kepada presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) untuk membuat keputusan. Presiden pula tidak dapat mengambil keputusan yang jelas dan perkara itu tergantung macam itu sahaja,” tambah sumber itu.

Menurut beliau, Azizah bagaimanapun “membayangkan” beliau turut bersependapat dengan Khalid untuk meminggirkan Azmin daripada Exco kerajaan negeri.

Sumber itu berkata penolakkan Azmin oleh Khalid dan Wan Azizah untuk jawatan itu mengejutkan ahli MPP yang yakin parti itu akan memberikan pengiktirafan sesuai kepada Azmin.

Lebih mengejutkan adalah apabila mesyuarat itu dimaklumkan bahawa Khalid akan mengekalkan semua pegawai kanan di pejabatnya termasuk Setiausaha Politik Faekah Husin dan Setiausaha akhbarnya Arfa'eza Aziz.

Adalah difahamkan MPP parti sebelum ini menegaskan dua pegawai itu di pindahkan berikutan rungutan Khalid terlalu bergantung kepada mereka untuk membuat keputusan yang membabitkan kepentingan PKR.

Azmin sendiri sebelum ini, menekankan bahawa Menteri Besar Selangor tidak boleh merelakan dirinya dicucuk hidung oleh mana-mana pihak dalam menggalas tanggungjawabnya.

Selain Xavier, tiga Exco kerajaan negeri daripada PKR adalah Elizabeth Wong, Yaakob Sapari dan Rodziah Ismail.

Pada pilihan raya umum lalu, PKR memenangi 14 kerusi DUN berbanding 15 masing-masing oleh PAS dan DAP.

Perhimpunan Haram: Nik Nazmi Dihadapkan Ke Mahkamah


Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia (Adun) Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa bawah Akta Perhimpunan Aman kerana kegagalan menyerahkan notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan haram di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Nik Nazmi selaku penganjur untuk Pakatan Rakyat (PR) dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam di Stadium Kelana Jaya.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Rohana Ayub dan dibebaskan tanpa ikat jamin.

Nik Nazmi dituduh bawah seksyen 9(1) yang kita sabit kesalahan boleh tidak lebih daripada 10,000.

Menurut undang-undang, beliau akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya jumlah denda ditetapkan lebih RM2,000.

Himpunan pada 8 Mei membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Hari Pertama Khairy Jamaluddin Di Kementerian Belia dan Sukan


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertempat di Dewan Serbaguna, Podium B, Menara KBS.


Ketibaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M.Saravanan A/L Murugan disambut gembira oleh warga KBS.


Taklimat eksekutif kepada YB Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan di Aras 17, Menara KBS.


KJ menyampaikan amanatnya kepada seluruh warga KBS di Dewan Serbaguna, Podium B, Menara KBS.


Sidang media Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin diadakan selepas berakhirnya perjumpaan mesra bersama warga KBS.