Saturday, May 25, 2013

Panorama YBM Khairy Jamaluddin @ #FestivalBelia13



Panorama YB Khairy Jamaluddin Menteri Belia dan Sukan Malaysia semasa di 4D Stop Over by KJ http://youtu.be/urvjg8-U3AU

Khairy Gembira Festival Belia Putrajaya Dapat Sambutan Baik #FestivalBelia13


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa gembira terhadap sokongan dan penyertaan golongan belia sempena Festival Belia Putrajaya 2013, yang masuk hari kedua.

Beliau meminta golongan belia memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan pada festival itu.



"Masuk hari kedua ini, saya melihat sambutannya cukup baik. Belia kita begitu bertenaga. Kita mahu gunakan tenaga belia ini dengan cara yang baik untuk kepentingan dan pembangunan negara," katanya kepada pemberita Jumaat.

Khairy berkata pada tahun depan, festival itu akan diseimbang dengan program ilmu dan kerohanian kerana pengisiannya penting dalam usaha kerajaan membentuk modal insan yang tidak hanya leka dengan aktiviti bersifat duniawi serta kebendaan.


"Saya tidak mahu festival belia ini hanya menjurus ke arah hiburan sahaja. Hiburan itu ada, tapi kita seimbangkan program kita dengan acara yang memberi manfaat ilmu dan kerohanian," katanya.



Sementara itu, timbalannya, Datuk M.Saravanan yakin ramai belia dan orang ramai akan membanjiri festival berkenaan esok dan lusa, yang menjanjikan pelbagai program menarik untuk semua lapisan umur. -Bernama

Thursday, May 23, 2013

Tian Chua, Harris Ibrahim Ditahan Polis


Polis hari ini dilaporkan menahan Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan seorang aktivis Haris M Ibrahim dalam dua operasi berasingan.

Penahanan mereka dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini.

Tian Chua dalam tulisannya di Twitter dipetik sebagai berkata beliau ditahan sejurus sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang LCCT kira-kira tengahari.

"Sekarang saya dibawa dalam kenderaan polis (menuju) Balai Polis Jinjang," katanya.

Menurutnya lagi, polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dalam satu mesej di Facebook pula berkata Haris, yang mengetuai pertubuhan bukan kerajaan Asalkan Bukan Umno, ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Haris pagi ini hadir di bangunan kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan ke atas aktivis siswa Adam Adli yang dituduh mengikut Akta Hasutan sebentar tadi.