Tuesday, June 11, 2013

Anwar Rancang Boikot Taklimat Dewan Rakyat


Sebelum ini mereka beria-ia nak jadi wakil rakyat. Bila bertanding dan dipilih rakyat, mereka pula tak mahu ke Dewan Rakyat.

Layakkah mereka bergelar wakil rakyat jika semua dibuat hanya menyusahkan rakyat dan timbulkan perasaan meluat?

Itulah karenah wakil rakyat atau ahli Parlimen pembangkang yang rancang nak boikot taklimat Parlimen pada Selasa dan pulau persidangan yang bermula dua minggu lagi .

Baguslah, kalau ke semua 89 ahli parlimen DAP, PKR dan PAS betul-betul nak boikot majlis yang dikira penting sebelum Dewan Rakyat bermula 24 Jun ini.

Namun, semua itu gempak saja kerana ada antara ahli parlimen pembangkang sudah jawab jemputan pihak Parlimen untuk hadir pada taklimat tersebut.

Mereka ini sebahagian besar adalah yang pertama kali bergelar wakil rakyat. Kalau tidak hadir pagi Selasa, mereka sendiri yang rugi kerana majlis itu bukan setakat taklimat sebaliknya hendak buat kad identiti untuk akses, isi semua borang yang berkaitan untuk urusan gaji, surat menyurat dan lain-lain.

Ini sebagai persediaan sebelum persidangan penuh nanti dan memudahkan urusan wakil rakyat itu sendiri sepanjang bergelar ahli parlimen.

Sumber Parlimen memberitahu Agendadaily, sehingga pagi Isnin, hanya 78 daripada 222 ahli parlimen sudah memberi jawapan akan hadir.

Ada antara mereka ahli parlimen pembangkang penggal pertama, kata sumber tersebut.

Bagi ahli parlimen penggal lalu yang kekal, mereka mungkin tidak hadir kerana maklumat peribadi bagi urusan gaji dan surat menyurat sudah dalam rekod pentadbiran Parlimen.

Mungkin sebab itulah Datuk Seri Anwar dan geng-gengnya rancang nak boikot majlis tersebut kerana maklumat peribadi beliau dan ahli
parlimen lain sudah ada.

Jadi Anwar sudah tahu semua perkara ini dan beliau mungkin tak perlu hadir esok.

Ikut ceritanya, Anwar yang terus kempunan jadi Perdana Menteri selepas PRU 13, bukan saja rancang boikot majlis taklimat tetapi persidangan yang akan bermula 24 Jun nanti.

Khabarnya, bukan sekadar untuk memulaukan persidangan, Anwar juga dikatakan tidak menghantar soalan-soalan seperti kebiasaan.

Namun, sekutunya dari DAP dan PAS buat keputusan sebaliknya untuk hadir ke sesi pertama Parlimen penggal baru ini.

Difahamkan, taklimat esok membabitkan Setiausaha Dewan dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam pilihan raya umum lalu, DAP memperoleh 38 kerusi, PKR 30 dan PAS sebanyak 21 kerusi.

Ekoran keputusan itu, pembangkang terus meroyan dan bikin macam-macam gempak termasuk tuduh SPR menipu, mengadakan perhimpunan 505,mengemukakan 25 petisyen, jumlah yang cukup untuk mereka bentuk kerajaan dengan majoriti mudah (89+25=114) dan terbaru bercadang memulau sidang Parlimen.-Agendadaily

Buang karen je pilih diaorang ni jadi Ahli Parlimen!!!

Wednesday, June 5, 2013

Lagi Kes Hina Agong Di Facebook


Lagi kenyataan biadap menghina Yang di-pertuan Agong hampir sama dengan kenyataan yang dibuat oleh melissa gooi.

Harap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial Facebook.

Tuesday, June 4, 2013

Empat Rakan Wanita Hina Yang di-Pertuan Agong Dicari


Susulan penahanan seorang wanita berusia 32 tahun, polis hari ini turut mencari empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, mereka ialah Weennee Tan, Shuh Chien Loo, Hun Keat Wong dan Carol Tay.

Katanya, keempat-empat individu itu dicari setelah memuat-naik komen yang didakwa mempunyai unsur menghina Yang di-Pertuan Agong pada salah satu status Facebook milik wanita terbabit.

Difahamkan, suspek wanita itu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada pukul 9.30 pagi ini di sekitar Ampang.

*Sendiri mau ingat la....

Suspek Hina Agong Ditahan


Hasil siasatan serta maklumat yang diterima daripada orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM hari ini telah berjaya mengesan dan menahan suspek yang menghina DYMM SPB Yang DiPertuan Agong di laman Facebook-nya.

Suspek yang merupakan seorang wanita telah ditahan untuk membantu siasatan. Beliau dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identitinya.

SKMM juga memohon rakan-rakan suspek turut tampil ke hadapan untuk membantu siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Suspek juga boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.

SKMM sangat memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan serta komen-komen yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia. – Bernama

Azmin Kena Mandi Bunga...


Nasib Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali sejak akhir-akhir ini tak ubah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Malah, ada pihak berpendapat 2013, tahun malang buat Timbalan Presiden PKR itu.

Walaupun berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada PRU 13, ianya tidak bawa apa-apa makna kepada Azmin.

Sudahlah tidak terpilih sebagai Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, kini kuasa dan pengaruh beliau yang pernah dilabel sebagai ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim, seolah-olah semakin menipis.

Bahkan, dalam senarai Exco yang diwakili PKR, mereka bukanlah tergolong ‘kumpulan’ yang menyokongnya.

Cuma Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang tersenarai, itupun sekadar jawatan timbalan Speaker.

Belum sempat, Azmin merawat kecewa dan luka, Anwar dan Tan Sri Khalid Ibrahim menambah duka dengan menyintuk limau di luka Azmin dengan pelantikan Saufuddin Nasution Ismail ke jawatan pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Pengumuman Anwar mengenai tugas baru Setiausaha Agung PKR itu dikatakan dibuat Ketua Umum tersebut selepas perbincangan dengan Khalid di atas pentas ketika Kongres parti itu baru-baru ini.

Tentu ramai pemimpin dan ahli tersentak dengan pengumuman tersebut apatah lagi Azmin dan pengikut-pengikutnya.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shaifie tidak perlu tunggu lama untuk mempertikai tindakan tersebut yang dibuat tanpa perbincangan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Shuhaimi yang diketahui memang rapat dengan Azmin menuntut Menteri Besar menjelaskan peranan Saifuddin di jawatan tersebut.

“MPN (majlis pimpinan negeri PKR) Selangor akan meminta penjelasan lanjut dari Tan Sri Abdul Khalid (Ibrahim) kerana timbul pertanyaan mengapa pula setiausaha agung PKR selaku ahli politik boleh dilantik ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Azmin sendiri akhirnya tidak dapat berdiam diri dalam kemelut ini.

Laporan Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang menyebut bahawa anggota parti berkenaan juga merasakan bahawa keputusan tersebut seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang lain.

“Kalangan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan tanpa perbincangan parti malah seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang berjaya memenangi hati rakyat serta menang dalam pilihan raya umum ke-13 lalu,” katanya.

Memang patutpun Azmin ‘angin’ kerana beliau mungkin sedar dirinya semakin kerap kena ‘main’.

Maklumlah, beliau bersusah payah beliau sebelum ini jawatan Pengerusi PKR Selangor beralih tangan daripada Khalid kepadanya.


Setelah dapat, dengan hasrat tinggi menggunung, Azmin diuar-uarkan oleh penyokong-penyokong sebagai pemimpin paling layak menggantikan Khalid.

Namun, manusia merancang tetapi kehendak Allah SWT lain pula.

Apa lagi Azmin boleh banggakan kerana beliau bukan sahaja terlepas jawatan Menteri Besar dan Exco, bahkan ambil kira keputusan melantik Saifudin dengan membelakangkannya, Azmin bukan sahaja kena main tetapi petanda bakal terpinggir daripada saf pimpinan PKR.

Tambahan pula, rentetan isu pelantikan Saifudin, PAS Selangor juga menuntut wakil mereka dilantik ke dalam pentadbiran Khalid.

Desakan sekutu PKR yang dapat kerusi melebihi PKR dalam PRU 13 lalu, mungkin digerakkan pemimpin PAS yang simpati kepada Azmin.

Barangkali dengan cara itu pelantikan Saifuddin akan dibatalkan kerana Khalid mahupun Anwar tentu tidak mahu memberi PAS ‘peha’ selepas dapat ‘betis’ dengan menambah bilangan Exco daripada tiga kepada empat orang.

Berbalik soal Azmin, mungkin segala musibah ini berpunca kritikan terbuka beliau kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berhubung pelantikan Khalid sebagai Menteri Besar penggal ke dua.

Umum mengetahui, Presiden PKR itu mengemukakan nama Khalid selepas dapat sokonga PAS dan DAP tanpa merujuk dengan Azmin selaku Pengerusi PKR negeri.

Ada sumber PKR mendakwa ini semua mungkin mainan Wan Azizah bagi memastikan pengaruh Azmin terus hilang dalam PKR manakala Anwar mengambil sikap berdiam diri kerana tidak mahu mengecewakan isterinya yang sudah banyak berkorban untuk beliau.

Kini, apa lagi pilihan yang ada di tangan Azmin?

Sanggupkah beliau berdepan kekecewaan demi kekecewaan atau berterusan kena ‘main’ oleh Anwar, Wan Azizah, Khalid dan pemimpin PKR yang bukan kalangan penyokong tegarnya?

Bagi orang politik, Azmin mungkin hanya ada dua pilihan.

Pertama, bersiap sedia menentang Wan Azizah bagi jawatan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.

Jika berjaya, kuasa penuh ditangan Azmin untuk mencorakkan PKR dan menentukan kedudukan Anwar sama ada kekal sebagai Ketua Umum – jawatan yang tiada dalam perlembagaan parti, atau membiarkan boss nya itu hanya ahli parlimen biasa tanpa jawatan dalam parti.

Dalam politik, percaturan ini bukan mustahil kerana cuma Azmin bukanlah pemimpin yang disenangi oleh PAS dan DAP.

Pilihan ke dua Azmin adalah keluar PKR bersama penyokong-penyokong setianya menjadi wakil rakyat Bebas yang boleh memberi tekanan kepada parti asalnya itu.

Andai benar desas desus ada lagi 13 ahli parlimen PKR yang menyokongnya, jumlah itu amat besar bahaya kepada Anwar.

Itupun jika Azmin berani dan beliau ‘anak jantan’ untuk berbuat demikian. Andai tidak, pilihan lain, Azmin terpaksa ‘mandi bunga’ membuang segala malang pada dirinya apatah lagi pernah dianggap tidak taat dan tidak menghormatinya ibunya.

-Agendadaily

Monday, June 3, 2013

Pemuda Umno Mahu SKMM Bertindak Tegas Individu Hina Agong


Pergerakan Pemuda Umno mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana ia melampaui batas.

"Pemuda Umno memandang serius beberapa 'posting' yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah 'posting' dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

"Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah cuba mendidik dan berhubung dengan pengamal media sosial sejak dahulu lagi, namun, masih terdapat di kalangan mereka yang tetap berdegil dengan terus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya undang-undang sedia ada di bawah SKMM dapat dikuatkuasakan tanpa rasa takut.

"Kita (Pemuda Umno) sudah melakukan banyak cara untuk mendidik mereka, cuba berhubung tetapi apabila mereka masih lagi degil dan keluarkan kenyataan yang jelas berbaur hasutan, maka SKMM mesti bertindak," katanya. - Bernama