Friday, June 28, 2013

Ketua Wanita Umno: Azalina Cabar Shahrizat


Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menurut akhbar The Star, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang ketika dihubungi, berkata: "Ya, saya berminat untuk bertanding. Saya telah membuat keputusan."

Akhbar itu melaporkan Shahrizat juga mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita yang dimenangi beliau pada tahun 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat, dengan kerjaya politiknya yang terjejas oleh skandal Pusat Fidlot Nasional atau NFC tahun lalu, berkata keputusan beliau berdasarkan galakan dan sokongan daripada sayap wanita.

Persaingan antara kedua-dua wanita itu mungkin akan diberikan perhatian dalam pemilihan parti berikutan ia melibatkan dua personaliti besar dan berkepentingan.

Shahrizat berada dalam Kabinet selama 11 tahun dan merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum didesak untuk meletak jawatan pada Mac tahun lalu.

Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum dan walaupun masalah melanda beliau, sayap wanita itu terus berdiri di bawah pimpinan beliau seperti yang dibuktikan semasa perhimpunan secara besar-besaran di peringkat akar umbi Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika kemuncak skandal itu.

Ditanya sama ada beliau mempunyai pesaing yang akan bertanding dalam jawatan itu, beliau berkata, beliau akan berbincang dengan penyokong beliau.

Beliau juga berkata, beliau belum lagi bertemu dengan Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Azalina, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen wanita menawarkan dirinya sebagai ejen perubahan untuk Wanita Umno.

Beliau berkata, generasi baru wanita Melayu telah muncul dalam Umno dan mereka boleh membantu membuatkan sayap wanita itu lebih menarik dan relevan dengan landskap politik baru.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil:

Tarikh lahir: 15 Ogos 1953

Pada masa ini merupakan Ketua Wanita Umno, dan merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari 1995 sehingga 2008. Senator dari 2008 sehingga 2012.

Pernah terbabit dalam kontroversi yang melanda ahli keluarganya yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dalam skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Isteri kepada Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan memperoleh tiga anak.

Datuk Seri Azalina Othman Said:

Tarikh lahir: 31 Disember 1963

Merupakan Ketua Puteri Umno dari 2002 sehingga 2004.

Ahli Parlimen Pengerang dari 2004.

Merupakan pemegang tali pinggang hitam taekwondo.

22 Pengganas Lahad Datu Berdepan Hukuman Mati


MO,KOTA KINABALU – Seramai 22 orang termasuk komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat ‘Jeneral’, Datu Amirbahar Hushin Kiram berhadapan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan semasa prosiding sebutan semula bagi merekodkan pengakuan mereka di Mahkamah Tinggi di sini,semalam.

Sebelum ini, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Tawau serta Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tanpa merekodkan pengakuan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 19 April lalu di Kampung Tanduo, Ladang Atlas 2, Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; Kampung Muanad Beluran; Kampung Perigi, Simunul, Bakau, Jalan Lihak-Lihak, Semporna dan Kampung Madai, Kunak.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Datu Amirbahar, Basad H. Manuel, Salib Akhmad Emali, Mohamad Ali Ahmad, Pabblo Alie, Abd. Hadi Mawan, Atik Hussin Abu Bakar, Dani Ismail, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Basil Samiul, Rizman Gulan, Abdul Majil Jubin, Rijmal Salleh, Julham Rashid, Tani Lahad Dahi, Al Wazir Osman@Abdul, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Ismail Yasin dan Binhar Salib Akhmad.

Kesemua mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan antara tarikh dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan denda.

Salib Akhmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas baharu dan melindungi kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 9 Februari dan 25 Februari lalu di Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku, Lahad Datu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 130E dan Seksyen 130K kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan keempat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di hadapan Hakim, P. Ravinthran.

Jumlah kesemua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah hari ini ialah 29 orang termasuk seorang wanita dan seorang lelaki yang berkerusi roda, manakala seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili tidak hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Mereka dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak dengan kawalan ketat pihak polis, iaitu setiap seorang daripada mereka diiringi anggota Unit Tindakan Khas lengkap bersenjata.

Daripada 29 tertuduh itu, 12 daripadanya dipakaikan jaket strip sebagai langkah keselamatan, malah terdapat juga sebahagian daripada mereka dipakaikan penutup kepala semasa dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi dituduh melindungi kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukannya antara 9 Februari dan 22 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Sementara Kadir Uyung dan Lating Tiong dikatakan turut melakukan kesalahan sama pada 4 Mac lalu, pukul 4.30 petang di hadapan Pos Pasukan Gerakan Am Tanjung Labian.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130K kanun sama, tetapi bagi dua lelaki itu hukumannya dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Norhaida boleh dipenjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sementara Kadir dan Lating jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan denda.

Bagi tiga lagi tertuduh, Timhar Hadir, Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh, mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan mereka antara 9 Februari dan 4 Mac lalu di Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 12 Julai ini di Mahkamah Tinggi Tawau untuk merekodkan pengakuan tertuduh yang tidak hadir hari ini, Habil dan 15 Julai ini untuk pengurusan kes bagi menentukan lokasi dan tarikh bersesuaian untuk perbicaraan kesemua tertuduh yang akan dijalankan secara bersama. – Utusan

KBS Anjur Program Belia Lebih Segar, Terkini - Khairy


Kementerian Belia dan Sukan menjalankan kajian bagi memperkemas dan menjadikan program belia anjuran kementerian itu lebih segar dan terkini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata antara yang akan diberi tumpuan ialah program berkaitan perkembangan kerohanian dan minda seperti akvititi debat dan perbincangan isu semasa.

"Begitu juga dengan golongan belia yang meminati ceramah agama terutamanya membabitkan golongan ustaz selebriti, jadi kita akan bekerjasama dengan pendakwah berkenaan," katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Belia dan Sukan Selangor di Kompleks Rakan Muda Klang di Sementa dekat Klang.

Khairy berkata kajian yang juga membabitkan penjenamaan semula program belia itu akan berlangsung sehinga 2015 dan pelaksanaan program baharu dijangka bermula secara berperingkat, menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, kajian membabitkan penilaian semula selain menerapkan latihan kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan remaja.

"Selain itu, program yang dijalankan bersama persatuan belia akan diteruskan seperti futsal, seni mempertahankan diri, sembang belia dan sembang mahasiswa kerana mendapat sambutan yang amat baik," katanya.

Mengulas aktiviti dan program belia di Selangor, Khairy berkata beberapa program akan diberikan nafas baharu dan tumpuan memandangkan negeri itu mempunyai pasaran besar untuk para belia terutamanya dalam bidang keusahawanan.-Bernama