Friday, July 26, 2013

Pemilihan MT 5 Oktober, Perhimpunan Agung UMNO 2 – 7 Disember


Pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan berlangsung pada 5 Oktober depan dengan Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan bermula 2 hingga 7 Disember 2013, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Tahun ini adalah tahun pertama perlembagaan baru UMNO akan dikuatkuasakan, justeru kaedah pemilihan jawatan-jawatan dalam parti adalah berdasarkan kepada Perlembagaan baru,” katanya.

Ujar beliau, pendaftaran calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat ahli MT, peringkat Bahagian dan peringkat pergerakan sayap-sayap akan diadakan pada 7 September (Sabtu) di Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Berikutan dengan itu, persidangan sayap pergerakan dan pemilihan serentak sayap pergerakan akan berlangsung pada 28 September (Sabtu).

“Melalui Perlembagan ini, ia akan jadikan UMNO lebih demokratik dan lebih inklusif kerana jumlah yang memilih pimpinan tertinggi parti lebih besar jumlahnya iaitu dalam lingkungan 150,000 berbanding dengan sebelum ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.

Jelas beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia, penglibatan ahli yang lebih besar akan mencerminkan semangat dan hasrat kita untuk jadikan UMNO lebih terbuka.

“Dengan kita membuka ruang yang lebih luas, kemungkinan berlaku muka-muka baru adalah lebih tinggi yang akan terpilih.

“Dengan kedudukan berasaskan Perlembagaan baru, saya yakin ahli-ahli UMNO akan dapat memilih pemimpin yang boleh meletakkan asas lebih kukuh dan dengan kepimpinan mereka itu juga boleh diterima oleh parti dan rakyat. Kita bukan saja mahu pemimpin yang berjaya dalam UMNO tetapi yang penting adalah yang berjaya dalam pilihan raya nanti.

“Kita harap UMNO sebagai parti yang dapat diterima oleh rakyat jadi UMNO mesti mengetengahkan pemimpin yang disenangi oleh rakyat. Proses pemilihan parti diharap dapat melontarkan mereka yang kesudahannya dapat mencerminkan imej yang positif dikalangan rakyat.”

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan keputusan MT yang bersetuju dengan cadangan daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berhubung pengurusan pentadbiran UMNO Bahagian Sungai Petani dan UMNO Bahagian Padang Serai yang pentadbirannya dikembalikan sepenuhnya kepada pentadbiran UMNO bahagian masing-masing.

Najib turut memaklumkan berkaitan kedudukan keahlian UMNO bermula 1 Januari hingga 22 Julai 2013 yang bertambah sebanyak 113,959 menjadikan jumlahnya keseluruhan ahli UMNO adalah 3,441,946. (UMNO-Online)

Firdaus Abdullah: Melayu Pasti Disegani Jika Umno, PAS Bergabung


Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berpandangan penggabungan tenaga politik Melayu yang diwakili Umno dan PAS akan disegani semua pihak termasuk petualang-petualang politik setiap kaum di negara ini.

Beliau berkata, hakikat itu terbukti pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Menurut beliau, Umno sewajarnya bersedia melihat dalam diri secara jujur dan menginsafi kesilapan sendiri manakala PAS pula seharusnya bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan.

"Tenaga politik Melayu yang terdiri daripada pelbagai komponen itu perlulah bersinergi, perlu disatukan dan digembleng secara teratur dan bersungguh-sungguh.

"Itulah mesej yang hendak disampaikan kepada UMNO dan Pas sebagai dua wadah perjuangan orang Melayu yang sepatutnya wujud untuk saling melengkapi dan tidak saling memusuhi," katanya ketika membaca surat terbuka khas kepada Umno dan PAS dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, semalam.

Tambah Firdaus, orang Melayu kini berada dalam keadaan sangat kritikal dari pelbagai segi termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Beliau memberitahu, jika keadaan kritikal itu tidak dapat diatasi tidak mustahil kemajuan yang dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang akan pupus begitu sahaja.

"Kalau orang Melayu kehilangan kuasa politik seperti yang pernah dibayangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka amat sukar malah mungkin mustahil untuk menebus atau memperoleh kembali kuasa politik itu," katanya.

Walau bagaimanapun, Firdaus berpandangan, setakat ini, Umno dan PAS masih gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama sekali gus gagal dalam menggembleng tenaga politik Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa.

Beliau turut menyarankan Umno dan PAS menghayati pesanan Imam Masjidilharam, Sheikh Idris Ismail al-Hafiz yang mengingatkan umat Islam memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap mereka.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam wajar dijadikan sebagai permulaan untuk hubungan baharu antara Umno dan PAS yang lebih produktif dan dimulakan dengan kesediaan untuk saling bermaafan dan besar hati," katanya.

Firdaus juga mencadangkan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim diberi peranan sebagai pemantau dasar-dasar kerajaan berkaitan pembangunan sosial dan negara khususnya yang melibatkan bahasa kebangsaan, Rukun Negara dan Wawasan 2020.

Thursday, July 25, 2013

Analisa : Kemenangan Tengku Zihan Seperti Diramal


Seperti yang telah diramalkan sebelum ini, Barisan Naisonal (BN) pasti tidak akan berdepan dengan laluan sukar, dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Ditambah dengan gerak kerja yang mantap dan menyeluruh, faktor calon yang merupakan orang muda, golongan professional dan datang dari keluarga yang berlatarbelakang agama dilihat antara faktor yang menyumbangkan kepada kemenangan tersebut.

Malah pendekatan BN dengan mengadakan program kemasyarakatan dan bertemu pengundi secara peribadi, lawatan dari rumah ke rumah juga dilihat berjaya mengukuhkan lagi sokongan pengundi terhadap calon BN yang mesra dipanggil 'Abe Ku'.

Berbanding dengan calon Pas selain mempunyai pelbagai isu, gerak kerja kempen yang dilakukan agak hambar dan kurang mendapat sambutan. Malah pendekatan Pas yang mengunakan kaedah lama melalui program ceramah yang diadakan pada setiap malam juga antara faktor kekalahan mereka. Ini kerana majoriti masyarakat Islam-Melayu lebih berminat untuk memberikan tumpuan dengan melakukan aktiviti berbentuk keagamaan.

Ditambah dengan faktor masalah dalaman yang dihadapi oleh parti itu dengan kumpulan ulama dan jentera muslimah, jentera dan para petugas mereka dilihat gagal menarik minat pengundi khususnya kumpulan atas pagar disebabkan gerak kerja yang tidak teratur dan lesu sepanjang tempoh berkempen yang dijalankan.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, dan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa. Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41 kilometer persegi, kebanyakan terdiri daripada golongan nelayan.

Selain nelayan faktor kakitangan awam juga turut menyumbang kepada kemenangan calon BN. Walauapun Kuala Besut bukan merupakan pusat bandar utama untuk daerah Besut, namun hampir kesemua pejabat kerajaan negeri dan pusat untuk daerah Besut terletak di Kampung Raja iaitu pekan utama yang berada di bawah UN Kuala Besut.

Ini bermakna, pengundi utama yang ada di Kuala Besut adalah golongan nelayan, pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dengan industri pelancongan. Pada PRK ini, BN menetapkan slogan ‘Kuala Besut bertambah Biru’ untuk kempen manakala Pas tampil dengan moto ‘16-16’. Ia merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu sekiranya parti itu berjaya merampas DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil ini.

Hakikatnya, ramai dikalangan pengundi akur isu DUN 'tergantung' kerusi 16:16 bukanlah suatu idea yang bijak. Dengan Kuala Besut sendiri di bawah Parlimen yang diketuai Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, pengundi cukup maklum undi yang diberikan kepada Tengku Zaihan nanti tentu akan dapat merangsang ekonomi Kuala Besut.

Kalau BN menang, manfaatnya lebih banyak berbanding 'carca marba' DUN di bawah pakatan pembangkang,

Pada PRU yang lalu, BN berjaya mengekalkan penguasaanya di Terengganu apabila berjaya memenangi 17 kerusi berbanding pakatan pembangkang yang hanya mempu menguasai 15 kerusi, iaitu 14 daripada Pas dan satu kerusi yang diwakili oleh PKR.

Ketika pilihanraya umum yang lalu, BN meletakkan calonnya Datuk A Rahman Mokhtar yang berjaya memenangi kerusi Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi sekaligus menewaskan calon Pas Napisah Ismail. Allahyarham Rahman mendapat 8,809 undi berbanding Napisah yang terpaksa berpuas hati dengan 6,375 undi.

Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu, Rabu. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah itu termasuk 13,188 pengundi biasa, 911 pengundi awal dan sembilan orang pengundi pos.

Lapan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang kecuali pusat pengundian Pulau Perhentian ditutup lebih awal pada pukul 3 petang dengan 635 pengundi atau 86.6 peratus penduduk pulau itu telah keluar mengundi.

Perangkaan itu menepati jangkaan SPR yang menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil itu mencapai lingkungan 75 hingga 80 peratus. Pengundian berjalan lancar dengan jumlah yang keluar mengundi sejam selepas dibuka sebanyak 15 peratus dan meningkat sekali ganda pada pukul 10 pagi. Ia melebihi 50 peratus pada tengah hari.

Keadaan cuaca cerah antara faktor yang menyumbang kepada peratus keluar mengundi yang tinggi walaupun ia berlangsung pada hari bekerja. Walaupun berlaku sedikit pengurangan dari bilangan peratusan yang keluar mengundi, namun ia adalah merupakan satu perkara yang memang telah dijangkakan. Ini kerana tempoh masa yang pendek antara pilihanraya umum yang lalu telah menyebabkan pengundi luar merasa sedikit keberatan untuk pulang bagi mengundi buat kali yang kedua.

Ditambah dengan faktor sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan tidak lama lagi, ia turut menyumbangkan kepada penurunan ini. Ia kerana ramai dikalangan mereka ingin menyimpan cuti yang ada bagi digunakan untuk pulang ke kampung ketika Hari Raya nanti.

Ramai menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai sangat tenang dan perkara itu turut diakui oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengatakan PRK ini adalah yang paling tenang sejak beliau berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Pihak polis juga mengesahkan tiada laporan mengenai insiden yang tidak diingini kecuali satu laporan mengenai dakwaan 'pengundi hantu' yang menurut polis individu tersebut adalah seorang lelaki yang tidak siuman. Kira-kira 3,000 anggota polis termasuk 200 pegawai terlibat dalam PRK Kuala Besut bagi mengawal perjalanan kempen dan hari mengundi, sejak 12 Julai lalu.