Thursday, August 15, 2013

Pemuda UMNO Kutuk Kekejaman Tentera Mesir


Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk keganasan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir terhadap penyokong bekas Presiden negara itu yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO mengecam kegagalan pihak berkuasa sementara Mesir menangani masalah di negara itu hingga mengorbankan ramai nyawa sehingga hari ini.

“Ketika umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Aidilfitri yang baru melepasi minggu pertama Syawal, saudara-saudara kami di Mesir berada dalam ketidaktentuan akibat perbalahan politik sesama sendiri.

“Terbaharu, pihak berkuasa Mesir menggempur penyokong bekas Mursi dan mengakibatkan banyak kematian dalam kalangan orang awam. Operasi ini merupakan satu kekejaman yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihak berkuasa Mesir perlu sedar kekecohan di negara itu akibat rampasan kuasa yang dilakukan terhadap pemerintahan Morsi yang dipilih sebagai Presiden melalui proses pilihan raya yang sah.

Jelas beliau, apabila pihak tertentu melanggar prinsip demokrasi dengan menggulingkan Mursi, ia secara jelas mengkhianati amanah rakyat.

Justeru Pemuda UMNO menggesa pihak berkuasa Mesir menghentikan serta-merta tindakan membunuh penunjuk perasaan dan berharap perisytiharan darurat ditarik balik selari dengan semangat dan kemuliaan bulan Syawal.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda UMNO meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Liga Arab mengadakan mesyuarat segera dan menetapkan resolusi bagi membolehkan campur tangan kemanusiaan di Mesir.

“Pemuda UMNO juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia di Mesir terutama pelajar supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi mengetahui kenyataan rasmi negara dan Kementerian Luar,” katanya.

Monday, August 5, 2013

Faisal Anak Muda Malaysia Ambil Keputusan Berperang Di Syria!


Seorang pemuda warga Malaysia yang pada mulanya hanya pergi menghantar bantuan kemanusiaan di Syria mengambil keputusan untuk terus tinggal di sana dan mengangkat senjata menentang tentera rejim syiah Basyar Assad.

Faisal Hamdi, anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah namun menetap di Kuala Lumpur dikatakan berlepas bersama kumpulan team kemanusiaan ke Syria untuk berkhidmat membantu rakyat dan pelarian Syria pada 28 Julai lalu.

Namun tidak tahan melihat kekejaman berlaku di Syria dan dia sendiri sudah lama memendam hasrat untuk jihad fisabilillah, Faisal dikatakan menyertai mujahidin Free Syrian Army (FSA) untuk turut sama menggempur rejim Syiah Basyar Assad.

Keputusannya ini disokong oleh keluarga malah isterinya, dilihat turut memberikan kata-kata semangat.

Bagaimanapun dalam gambar yang memaparkan dirinya memegang senapang, Faisal meletakkan ‘disclaimer’ bahawa keputusan untuk bertempur dengan tentera rejim adalah keputusan peribadi dan tidak melibatkan kumpulan team kemanusiaan yang diwakilinya.

Sebagai persediaan sebelum berjihad di Syria, Faisal dikatakan sudah mempersiapkan diri termasuk dengan menyertai latihan keras rejimen askar wataniah di samping mendalami ilmu agama.

Jika dilihat pada laman Facebook Faisal, dia sentiasa memberikan update terkini keadaan di Syria termasuk kawasan tempatnya berada yang sering digempur rejim Basyar. – REM RAMZI


Keberanian Faisal amat dikagummi... marilah para sahabat kita mendoakan agar Faisal sentiasa dilindunggi Allah s.w.t... Allhuakbar!





Thursday, August 1, 2013

Khairy Tekad Atasi Kemelut Politik Dalam Sukan


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berusaha mengatasi kemelut politik dan kepimpinan dalam beberapa persatuan sukan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau memberi jaminan isu itu akan diatasi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak terus menjejaskan prestasi sukan negara.

"Melalui Pesuruhjaya Sukan yang dibekalkan dengan kuasa Akta Pembangunan Sukan, kita (KBS) akan sentiasa melibatkan diri dan mengenal pasti apa saja masalah dalam persatuan sukan.

"Kita akui ada beberapa persatuan sukan yang ada politiking, perebutan jawatan dan pelbagai isu lagi.

"Ada yang pendaftarannya dibatalkan dan kita terpaksa wujudkan semula persatuan baharu, ini semua kami akan ambil berat untuk diselesaikan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Boon bertanya mengenai langkah kerajaan dalam menyelesaikan kemelut kepimpinan dan politik dalam persatuan sukan negara hingga menjejaskan prestasi sukan.

Khairy berkata, Pesuruhjaya Sukan juga akan diingatkan supaya tidak menunggu berlakunya kemelut dalam persatuan sukan untuk mengambil tindakan.

"Kita tidak campur tangan, tapi kita akan sentiasa memberi nasihat dan panduan dalam mencari penyelesaian.

"Kita tidak mahu dalam persatuan hanya ada mereka yang pentingkan jawatan, tetapi okjektif membangunkan mutu sukan negara itu lebih penting," katanya.

Menjawab soalan asal senator Roslin Abdul Rahman mengenai langkah KBS membangunkan prestasi atlet negara, Khairy berkata kementerian menjalankan pelbagai program untuk mencari pelapis atlet di peringkat kebangsaan dan serantau.

Melalui program itu, seramai 5,582 atlet sedang dilatih melibatkan 44 jurulatih luar negara dan 112 jurulatih tempatan di 252 pusat latihan seluruh negara.

"Daripada jumlah itu seramai 47 atlet elit telah diserap bagi dilatih untuk program Olimpik Rio 2016 bagi mencapai misi emas pertama negara dalam Sukan Olimpik," katanya.

Selain itu, KBS juga menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui program Talent Indentification Program (TIP) yang menjalankan ujian saringan murid-murid tahap 1 seluruh negara bagi mengenal pasti prestasi mereka.

Ujian itu dijalankan berdasarkan 11 jenis sukan dan sejak Januari hingga Jun tahun ini, seramai 12,551 telah diuji dari segi mengukur saiz badan dan kepantasan dan daripada jumlah itu 2,511 murid dikenal pasti berpotensi untuk dilatih sebagai atlet pelapis negara.

"Selain itu, kementerian juga melaksanakan usaha melahirkan jurulatih melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan sehingga kini seramai 1,078 jurulatih tahap satu sedang dilatih," katanya. -Bernama