Sunday, August 18, 2013

Khairy umum pertahan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia


Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan pucuk pimpinan Umno Oktober depan.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata keputusan itu dibuat setelah beliau memikirkan semasak-masak dan mendapat restu daripada rakan-rakan akar umbi.

"Saya telah fikir panjang soal pemilihan parti ini dan setelah saya berbincang perkara ini dengan rakan-rakan di peringkat akar umbi dan minta pandangan daripada rakan-rakan exco Permuda Umno Malaysia, negeri, ketua pemuda bahagian termasuk juga perwakilan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

"Saya mohon diberikan sepenggal lagi sebab ada banyak perkara masih belum dapat diselesaikan dalam sepenggal sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kampung Gadong dekat sini.

"(Jawatan) ini memerlukan kesinambungan dan saya sudah meletakkan satu perancangan bermula daripada empat tahun yang lepas supaya Pemuda Umno dan BN menjadi lebih relevan kepada generasi muda dan citarasa mereka.

"Dengan pendekatan dan program yang kita jalankan lebih melambangkan keterbukaan dan membawa semangat kenegaraan yang dibawa oleh Perdana Menteri kita.

"Selepas dilantik menteri...saya merasakan ada lagi banyak kerja yang perlu dibuat, saya melihat dengan lebih jelas lagi cabaran yang dihadapi oleh generasi muda.

"Dan bagaimana kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan persekutuan harus menggubal program, dasar dan bertindak supaya lebih relevan dengan kehendak dan juga citarasa orang muda di negara ini," katanya.

Mengenai kemungkinan pertandingan bagi merebut jawatan itu, Khairy berkata beliau mengambil sikap terbuka dan beliau tidak mahu ada usaha-usaha untuk menghalang mereka yang ingin bertanding jawatan itu.

"Kita sebagai pemimpin parti mesti menghayati, mengamalkan dan mesti menjiwai pindaan kepada perlembagaan parti iaitu jawatan ini dibuka untuk dipertandingkan.

"Bagaimanapun, kita buat pengecualian kepada jawatan presiden dan timbalan presiden sebab itu soal kestabilan parti dan perpaduan tetapi (bagi) jawatan lain, kita tidak menghalang sesiapa nak bertanding (lawan)," ujar Khairy. -Bernama

Thursday, August 15, 2013

Pemuda UMNO Kutuk Kekejaman Tentera Mesir


Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk keganasan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir terhadap penyokong bekas Presiden negara itu yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO mengecam kegagalan pihak berkuasa sementara Mesir menangani masalah di negara itu hingga mengorbankan ramai nyawa sehingga hari ini.

“Ketika umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Aidilfitri yang baru melepasi minggu pertama Syawal, saudara-saudara kami di Mesir berada dalam ketidaktentuan akibat perbalahan politik sesama sendiri.

“Terbaharu, pihak berkuasa Mesir menggempur penyokong bekas Mursi dan mengakibatkan banyak kematian dalam kalangan orang awam. Operasi ini merupakan satu kekejaman yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihak berkuasa Mesir perlu sedar kekecohan di negara itu akibat rampasan kuasa yang dilakukan terhadap pemerintahan Morsi yang dipilih sebagai Presiden melalui proses pilihan raya yang sah.

Jelas beliau, apabila pihak tertentu melanggar prinsip demokrasi dengan menggulingkan Mursi, ia secara jelas mengkhianati amanah rakyat.

Justeru Pemuda UMNO menggesa pihak berkuasa Mesir menghentikan serta-merta tindakan membunuh penunjuk perasaan dan berharap perisytiharan darurat ditarik balik selari dengan semangat dan kemuliaan bulan Syawal.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda UMNO meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Liga Arab mengadakan mesyuarat segera dan menetapkan resolusi bagi membolehkan campur tangan kemanusiaan di Mesir.

“Pemuda UMNO juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia di Mesir terutama pelajar supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi mengetahui kenyataan rasmi negara dan Kementerian Luar,” katanya.

Monday, August 5, 2013

Faisal Anak Muda Malaysia Ambil Keputusan Berperang Di Syria!


Seorang pemuda warga Malaysia yang pada mulanya hanya pergi menghantar bantuan kemanusiaan di Syria mengambil keputusan untuk terus tinggal di sana dan mengangkat senjata menentang tentera rejim syiah Basyar Assad.

Faisal Hamdi, anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah namun menetap di Kuala Lumpur dikatakan berlepas bersama kumpulan team kemanusiaan ke Syria untuk berkhidmat membantu rakyat dan pelarian Syria pada 28 Julai lalu.

Namun tidak tahan melihat kekejaman berlaku di Syria dan dia sendiri sudah lama memendam hasrat untuk jihad fisabilillah, Faisal dikatakan menyertai mujahidin Free Syrian Army (FSA) untuk turut sama menggempur rejim Syiah Basyar Assad.

Keputusannya ini disokong oleh keluarga malah isterinya, dilihat turut memberikan kata-kata semangat.

Bagaimanapun dalam gambar yang memaparkan dirinya memegang senapang, Faisal meletakkan ‘disclaimer’ bahawa keputusan untuk bertempur dengan tentera rejim adalah keputusan peribadi dan tidak melibatkan kumpulan team kemanusiaan yang diwakilinya.

Sebagai persediaan sebelum berjihad di Syria, Faisal dikatakan sudah mempersiapkan diri termasuk dengan menyertai latihan keras rejimen askar wataniah di samping mendalami ilmu agama.

Jika dilihat pada laman Facebook Faisal, dia sentiasa memberikan update terkini keadaan di Syria termasuk kawasan tempatnya berada yang sering digempur rejim Basyar. – REM RAMZI


Keberanian Faisal amat dikagummi... marilah para sahabat kita mendoakan agar Faisal sentiasa dilindunggi Allah s.w.t... Allhuakbar!