Pages
▼
Friday, November 6, 2009
Pemuda Mahu JAIS Ambil Tindakan Terhadap ADUN Sri Andalas Cemar Masjid
Oleh Adnil Mohd
Shah Alam -- Pemuda UMNO Kota Raja mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap Jawatankuasa Masjid Ar-Rahimiah Taman Sri Andalas Klang kerana membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menggunakan dewan solat masjid untuk berucap.
Gesaan itu dinyatakan dalam satu meorandum bantahan Pemuda bahagian terbabit kepada JAIS semalam yang diketuai wakil Ketua Pemuda Kota Raja, Misnan Ahmad.
Menurut Misnan, pihak berkuasa terutamanya JAIS perlu menghentikan perbuatan tersebut supaya ianya tidak menimbulkan rasa keliru serta curiga dalam kalangan umat Islam.
"Kita sememangnya sudah lama menunggu tindakan dan penjelasan daripada ahli kariah masjid berkenaan terlebih dahulu, tetapi setelah sekian lama, tiada sebarang laporan atau apa-apa daripada kariah masjid.
"Masjid adalah tempat suci kita, tempat penyatuan sesama kita yang tidak menggunakan batas politik tetapi bila ADUN yang bukan beragama Islam ini dibawa masuk ke dewan solat, kita bangkang.
"Pemuda tidak tidak kisah jika mereka menyampaikan sumbangan, tetapi apa yang kita pertikaikan ADUN bukan Islam masuk ke dewan utama solat di bulan Ramadan. Sebab di masjid ada kawasan luar, iaitu di pekarangan boleh dipasangkan khemah dan sebagainya. Jadi tidak ada keperluan untuk dia masuk," katanya.
Misnan bersama 20 Pemuda UMNO menyerahkan memorandum tersebut kepada Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan, Mohd Hidayat Abd Rani yang mewakili Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi petang semalam.
Tegas Misnan, pihaknya tidak mendakwa Dr Xavier berceramah tetapi mempertikaikan mengapa beliau dibawa masuk ke dalam masjid.
"Tidak mungkin ADUN ini datang suka-suka masuk bagi ucapan tanpa jemputan. Sebab sebelum ini pun ADUN Sri Andalas adalah wakil rakyat yang bukan beragama Islam tetapi beliau faham," katanya.
Misnan berkata, kesalahan Dr Xavier pula kerana beliau gagal memahami sensitiviti agama Islam.
"Beliau sepatutnya menolak untuk masuk juga walaupun dijemput oleh ahli jawatankuasa.
"Jadi sebagai ADUN yang memahami aspirasi rakyat yang kononnya diperjuangkan sepatutnya beliau faham itu sensitif dengan apa yang dikatakan tidak dibenarkan dan tidak boleh", ujarnya.
Sumber: http://www.pemuda.com.my