Pages

Thursday, May 30, 2013

Pembelian Tanah Di Bukit Kiara: Raja Nong Chik Buat Laporan Polis Terhadap Nurul Izzah


Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membuat laporan polis berhubung tindakan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengaitkan beliau dalam urusan pembelian 4.856 hektar tanah di Bukit Kiara.

Beliau berkata ia bagi membolehkan pihak polis menyiasat kenyataan yang dilemparkan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, sehari sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan itu berunsur fitnah.

"Saya serahkan perkara ini kepada polis untuk jalankan siasatan. Saya akan mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen (pilihan raya) dan saman terhadap beliau (Nurul Izzah)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai pada kira-kira 3 petang ini.

Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik, yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, pada PRU13 5 Mei lepas dengan majoriti 1,847 undi.

-Bernama

Tuesday, May 28, 2013

Pengumuman Exco Selangor : Khalid Sailang Kuncu-Kuncu Azmin


Pengumuman barisan exco kerajaan negeri Selangor yang akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang Khamis ini bakal menyaksikan penyingkiran ADUN PKR yang menyokong timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat menteri besar, selain Azmin selaku Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang tidak mendapat tempat, tiga lagi penyokong kuatnya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia), Mat Shuhaimi Shafiei (ADUN Sri Muda) dan Amirudin Shari (ADUN Batu Caves) juga tidak disenaraikan.

Ketiga-tiga mereka memasuki penggal kedua sebagai wakil rakyat tetapi terus dipinggir.

"Mustahil bagi (Tan Sri) Khalid Ibrahim mahu membawa orang-orang Azmin ke dalam exconya. Ini ibarat membunuh diri. Jadi lebih baik mereka diketepikan sahaja," kata sumber itu kepada Antarapos.

Selain itu, sumber berkenaan juga memberitahu seorang lagi pemimpin yang dilaporkan agak rapat dengan Azmin, iaitu Haniza Mohamed Talha (ADUN Taman Medan) juga tidak dicalonkan.

Malah kedudukan Haniza selaku Timbalan Speaker DUN Selangor juga menjadi tanda tanya. Ada kemungkinan kerusi berkenaan akan diserahkan kepada calon dari PAS.

Sebaliknya, hanya dua exco yang sebelum ini menyokong kuat Khalid, iaitu Elizabeth Wong (ADUN Bukit Lanjan) dan Rodziah Ismail (ADUN Batu Tiga) akan dikekalkan.

"Khalid sudah tentu akan mengekalkan exco yang tidak banyak mempersoalkan cara beliau mentadbir. Jadi dalam hal ini, kedudukan Rodziah dan Elizabeth memang selamat.

"Lagipun mereka ini senang bekerja dengan Setiausaha Politik Khalid Faekah (Husin)," kata sumber itu.

Dua lagi exco, iaitu ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari dan ADUN Seri Andalas Xavier Jayakumar digugurkan kerana dipercayai berkaitan dengan prestasi buruk terutamanya membabitkan isu pasir dan air yang gagal ditangani mereka dengan baik.

"Ini peluang bagi Khalid melepaskan dirinya daripada tuduhan tidak cekap mentadbir Selangor. Isu pasir umpamanya, hasil kerajaan negeri tidak mencapai sasaran manakala kes kecurian terus menjadi-jadi.

"Isu air pula menjadi duri dalam daging. Bagi Khalid, Xavier sebagai exco yang bertanggungjawab gagal menangani masalah air dengan baik," kata sumber itu lagi.

Perseteruan di antara Azmin dan Khalid sebenarnya bukan perkara baru. Khalayak mengetahui bahawa Azmin sejak dulu lagi bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.

Monday, May 27, 2013

Anwar Tikam Belakang PAS dan DAP - Khairy


Satu demi satu sikap buruk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak hormati dan tunai apa yang beliau sendiri kata terdedah.Sebelum PRU 13, Anwar kata nak bersara dari politik kalau kalah tetapi tak juga berbuat demikian atas alasan pembangkang yang menang undi popular.

Padahal sudah empat atau lima kali ahli parlimen Permatang Pauh itu bertanding, peliknya hanya kali ini beliau boleh terfikir sesiapa yang dapat undi popular menang bukannya parti yang dapat kerusi lebih.

Justeru itu, tidak hairanlah ada pihak mengelar Anwar ‘sesumpah politik’ – sekejap begitu, sekejap begini.

Terbaru, apabila Naib Presiden Indonesia mendedahkan kepada akhbar The Wall Street Journal mengenai perjanjian sulit Anwar dan Datuk Seri Najib, Ketua Umum PKR itu ‘mainkan’ Jusuf Kalla kononnya bukan beliau yang mahu perjanjian itu diatur.

Bila perjanjian supaya mana-mana pihak terima keputusan PRU 13 ditandatangani, Anwar juga tidak patuh sebaliknya terus ajak penyokong-penyokong berhimpun untuk jatuhkan kerajaan BN yang menang 133 kerusi berbanding 89 oleh pembangkang.

Sebab itu Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan Anwar sebagai manusia yang tidak ada pendirian malah sanggup tikam belakang DAP serta PAS dengan membuat perjanjian sulit itu tanpa pengetahuan kedua-dua parti sekutunya itu.

Bagi Menteri Belia dan Sukan iu, inilah masanya rakyat negara ini melihat sikap sebenar Anwar yang tidak hormati apa beliau sendiri cakap malah tidak mengotakan janji-janjinya.

“Pendedahan Jusuf dalam Wall Street Journal mengejutkan. Saya harap rakyat Malaysia melihat pendedahan ini satu bukti Anwar orang yang tak ada pendirian. Janji dengan Najib untuk patuhi PRU tetapi tak
tunaikan,” katanya kepada Agendadaily.

Tambahnya, “Apa lagi Anwar boleh cakap? Dia tak boleh kata ini konspirasi UMNO, ini kenyataan Utusan Malaysia tetapi (pendedahan) oleh kawan rapatnya sendiri dan disiarkan media antarabangsa,”.

Khairy juga mahu PAS melihat tindakan Anwar ini sebagai wajah sebenar pemimpin yang mereka sanggup terima sebagai ketua dan Perdana Menteri.

“PAS harus sedar siapa Anwar. Sudah berkali-kali pendedahan sikap beliau. Kalau yang ini mereka tak sedar juga, saya pun tak faham,”katanya yang ditemui di perasmian Festival Belia 2013 di Putrajaya.

Menurut beliau, tindakan Anwar membuat perjanjian sulit dengan Najib juga membelakangkan PAS dan DAP.

“Ini seperti tikam belakang PAS dan DAP. Saya percaya perjanjian itu tanpa pengetahuan rakan-rakan penting beliau,” ujarnya.

Sunday, May 26, 2013

Sambutan Meriah di Perasmian Pelancaran Festival Belia Putrajaya 2013







Barisan Nasional (BN) tidak pernah mencuri kemenangan daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti termaktub dalam perlembagaan negara dan BN memenangi pilihan raya berdasarkan kelebihan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan dan bukan berdasarkan undi popular seperti sistem presiden yang diamalkan di Amerika Syarikat.

"Dakwaan kita mencuri kemenangan parti pembangkang adalah satu kepalsuan sebab kita tidak melakukan penipuan dalam PRU13.

"Tunjukkan kepada saya di mana mat Bangla yang menjadi pengundi? Mereka (pembangkang) mendakwa 40,000 mat Bangla turun lapangan terbang, tunjukkan lapangan terbang mana? Jangan heret orang kerana rupa gelap sikit itu mat Bangla," katanya pada majlis pelancaran Festival Belia 2013 di sini hari Sabtu.

Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata keluhuran dan ketinggian perlembagaan adalah tiang seri negara namun begitu rakyat mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat masing-masing selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

"Apa sahaja yang kita nak suarakan mesti berpaksikan kepada perlembagaan dan tidak boleh pilih di tepi jalan dengan mendesak dan membuat huru-hara sehingga menimbulkan keadaan tidak tenteram yang tidak selaras dengan perlembagaan.

"Sebagai generasi muda, kita mesti faham tuntutan perubahan mesti berpandukan kepada perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Kalau tidak akan berlaku undang-undang rimba dalam negara kita," katanya.

Najib menyarankan generasi muda agar berfikiran waras dan rasional serta tidak termakan hasutan dan penipuan khususnya dalam ruang siber.

Beliau berkata keutamaan dalam membina sebuah negara dan masa depan mesti berdasarkan kepada akal fikiran, yakni memilih yang kebenaran atas kepalsuan serta memilih hak daripada batil.

"Kalau ini dapat disemai, kalau ini dapat dipupuk di kalangan belia, Insya-Allah masa depan kita, masa depan belia dan negara yang tercinta akan terus bersinar dengan harapan untuk masa depan kita," katanya.

Najib juga memberi jaminan kerajaan mampu melakukan segala perubahan bukan sahaja untuk golongan belia bahkan masa depan negara.

"Percayalah kalau nakkan perubahan kepada negara kita tidak semestinya terlibat dalam himpunan jalanan atau pun meruntuhkan apa yang ada hari ini.

"Yang penting kita mesti faham apa kehendak belia dan suara belia itu dan kita menyediakan kaedah pentadbiran negara yang sesuai kepada golongan belia," katanya.