Pages

Sunday, January 11, 2009

Khairy: PAS parti ‘dok rok cetong’

Bro Jinggo kini berada di Kuala Terengganu, menjalankan tanggungjawab bagi membantu jentera Pemuda BN menghadapi Pilihan Raya Kecil kali ini. Untuk maklumat semasa mengenai pergerakan Pemuda BN sila layari http://www.prokhairy.com/


Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan PAS sebuah parti "keluk-kelek" atau tanpa pendirian apabila tidak bersedia melaksanakan hudud selepas didesak oleh rakan kongsinya DAP.

"PAS mudah menarik balik cadangan hendak melaksanakan hukum hudud apabila digertak DAP," katanya, mengulas sikap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berhubung pelaksanaan hudud dalam satu forum di Kota Bharu yang turut disertai calon ketua Pemuda Umno itu bulan lepas.

"Adakah kita nak pilih parti yang tidak bermaruah, tidak berpendirian dan keluk-kelek itu?"

Sambil mengkritik PAS, beliau juga menyelitkan bahasa loghat dengan telor Terengganu dengan disambut hilaian hampir 200 pendengar yang terhibur dengan gayanya itu.

"Orang Terengganu kata PAS parti 'dok rok cetong' (sangat lemah)," katanya ketika berucap dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu di Kampung Gelugor Raja dalam DUN Wakaf Mempelam malam tadi.

Ahli parlimen Rembau menambah, pilihanraya kecil itu tidak sama dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu.

Kawasan parlimen itu, katanya, merupakan kubu kuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi Kuala Terengganu adalah kerusi kita, BN menang kita semua akan untung.

"Kuala Terengganu kawasan yang cukup istimewa kerana ada dua timbalan menteri yang tidak pernah ada di kawasan lain," katanya.

Beliau merujuk jawatan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebelum ini sebagai timbalan menteri dalam negeri dan bekas penyandangnya allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai timbalan menteri pelajaran.

"Kalau kerja dengan sungguh-sungguh, Wan Ahmad Farid ada peluang jadi timbalan menteri pusat (semula)," katanya.

Tambahnya, beliau mengenali bekas setiausaha Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu seorang tokoh politik muda.

Ayah Wan Ahmad Farid merupakan bekas pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, manakala ibunya pula seorang ustazah, kata Khairy yang dikenali sebagai teman dekat calon BN itu.

Menurutnya, jika BN kalah dalam pilihanraya kecil kali ini, maka tiadalah pembangunan daripada kerajaan pusat kerana kerana tiada perwakilan di peringkat pusat.

"Tetapi kalau (calon PAS) Abdul Wahid kalah pun, beliau tidak rugi apa-apa kerana beliau sudah ada jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam," katanya.

Wan Ahmad Farid berdepan dengan Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam dalam pilihanraya kecil pada 17 Januari ini.

1 comment:

  1. Salam brojinggo,
    Selamat berkempen.
    Di blog saya terdapat satu poll di mana saya menjalankan kajian mengenai PBB Dalam Hubungan Antarabangsa dalam subjek Pengajian Malaysia.
    Saya minta tolong supaya sahabat2 lain mengundi poll tersebut berdasarkan jawapan yang di sediakan.

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.