Pages

Thursday, February 26, 2009

KJ - Pemuda UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Karpal Singh

Kenyataan Akhbar Saudara Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Dan Ahli Parlimen Rembau Pada 26 Februari 2009 Di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan yang dibuat oleh YB Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Pengerusi DAP, dalam Dewan Rakyat semalam.

Tuduhan beliau bahawa Pemuda UMNO bertanggungjawab atas kiriman peluru pistol padanya adalah satu tuduhan liar, gila dan berniat jahat serta telah menimbulkan kemarahan seluruh 700,000 ahli Pemuda UMNO Malaysia.

Perkataan celupar, kesat dan “unparliamentary” yang diguna dan dilontarkan kepada Pemuda UMNO juga membuktikan beliau seorang wakil rakyat yang tidak bertamaddun, tiada adab, kesopanan, kelas dan
kualiti.

DAP sering membangkitkan isu “Parlimen kelas atau tahap dunia pertama”. Namun, tindakan Pengerusinya itu jelas menunjukkan perangai dan sikap Ahli Parlimen yang langsung tiada kelas.

Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda UMNO, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam. Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan.

Kami tidak akan membuangkan masa dengan meminta beliau memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal.

Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan bahawa tindakan ahli-ahli kita yang telah membuat laporan polis terhadap Karpal yang berjumlah lebih dari 100 laporan, mencerminkan perasaan majoriti rakyat, terutamanya masyarakat Melayu yang masih marah dengan ugutan Karpal untuk mengheret Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak ke mahkamah.

Sebagai seorang peguam terkenal, Karpal patut sedar bahawa tindakan Pemuda UMNO ini mengikut undang-undang dan berlandaskan hak setiap rakyat Malaysia. Pemuda UMNO juga mendesak pihak Peguam Negara untuk bertindak cepat atas syor-syor Polis Diraja Malaysia, berdasarkan segala laporan polis berkenaan yang dibuat sebelum ini.

Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda UMNO yang main-main. Sebenarnya Karpal yang main-main dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat. Pemuda UMNO tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kemaslahatan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sumber : REMBAU.NET

2 comments:

  1. http://pkrpasdap.blogspot.com

    dah nyanyuk dah orang tua tua..

    dap pun tak hormat dia lagi

    ReplyDelete

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.