Pages

Thursday, January 28, 2010

Pemuda BN Mengutuk dan Mengecam Sekeras - Kerasnya Tindakan Provokasi Kepala Babi

Petaling Jaya -- Pemuda Barisan Nasional (BN) mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang meletakkan kepala babi di perkarangan dua masjid, Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa dan Masjid Jumkuriah Taman Dato' Haron, awal pagi hari ini.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin, berkata pesalah laku terbabit amat tidak sensitif, buruk dari segi budaya dan tidak bermoral dari segi agama Islam termasuk agama-agama lain.
Menurut beliau pencerobohan di masjid hari ini adalah kesinambungan daripada sentimen serangan ke atas rumah ibadat sebelum ini seperti serangan ke atas surau, gereja dan rumah ibadat sikh.

"Kami Pemuda BN menyeru kepada rakyat Malaysia khususnya golongan muda supaya bertenang dan biarlah pihak berkuasa meneruskan siasatan. Ini merupakan tanggungjawab kita semua rakyat Malaysia, tidak kira parti politik perlu bersatu untuk mengecam apa yang berlaku hari ini.

"Jangan ada mana-mana pihak yang mempolitikkan isu ini, yang menyalahkan mana-mana pihak, yang membuat macam-macam andaian bahawa kumpulan ini yang bertanggungjawab dan sebagainya.

"Sebab kalau kita buat andaian maka tersebar bermacam khabar angin dan apabila tersebar khabar angin tentang isu sensitif seperti ini, ia boleh merebak kepada suatu yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas meninjau dua buah masjid di Petaling Jaya yang menjadi sasaran awal pagi tadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab meletakkan kepala babi di perkarangan masjid.

Turut hadir, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan serta pimpinan Pemuda BN dan Pemuda UMNO setempat yang lain.


Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia seterusnya mengingatkan semua pihak agar bertenang dan tidak mencetuskan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Jadi saya betul-betul merayu kepada semua untuk bertenang, memang kita memahami bahawa perasaan marah itu cukup meluas di kalangan umat Islam, sama seperti serangan yang berlaku ke atas gereja baru-baru ini.

"Tetapi saya harap kita semua dapat bertenang dan bertindak secara rasional dan matang sebab saya tidak mahu insiden ini, sikap segelintir ini akan merosakkan perpaduan negara dan memporak-porandakan negara kita," ujarnya.

Beliau seterusnya melahirkan kebimbangan dengan perkara itu kerana di Kampung Medan pernah tercetus peristiwa hitam pada awal alaf 2000.


"Kita tahu di Kampung Medan ini ada sedikit sejarah hitam dulu, jadi saya bersama dengan pemimpin Pemuda BN pelbagai peringkat telah minta Pemuda mainkan peranan untuk jelaskan isu ini kepada golongan muda.

"Kita tidak mahu merebak, kita tidak mahu kejadian ini dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan dengan apa-apa tindakan. Itu kebimbangan saya dan kebimbangan utama saya apa berlaku selepas ini.

"Hari ini jangan kita fikir pasal politik, kita fikir pasal negara kita fikir pasal apa yang boleh kita buat untuk sama-sama tenangkan keadaan. Biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.