Pages

Friday, January 8, 2010

Pemuda Umno mengecam perbuatan bakar gereja


Pemuda Barisan Nasional (BN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur tengah malam semalam. Ada berita mengatakan beberapa gereja lain turut 'diserang' tetapi berita tersebut belum dapat disahkan pada waktu ini.

Apapun perasaan mana-mana pihak mengenai isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh pihak majalah Herald, perbuatan memusnahkan tempat ibadat seperti yang berlaku semalam langsung tidak boleh dipertahankan. Jika ada orang Islam yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, mereka sepatutnya malu dan insaf dengan perbuatan mereka kerana Islam sendiri jelas menuntut umatnya menghormati kebebasan beragama orang bukan Islam.

Malaysia adalah sebuah negara majmuk; sudah pasti dari semasa ke semasa akan berlaku perselisihan faham dalam isu yang mempunyai dimensi perkauman atau keagamaan. Apa yang penting adalah sebuah rakyat yang bersatu mesti matang dalam menyelesaikan sebarang masalah dengan cara berhikmah serta sentiasa menghormati hak dan sensitiviti satu sama lain.

Pemuda BN berharap semua pihak akan berhati-hati dalam kenyataan dan perbuatan selepas ini serta menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan jenayah ini, demi keselamatan dan keharmonian negara.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.