Pages

Friday, February 5, 2010

Najib Mahu Umat Islam Negara Ini Hormati Penganut Agama Lain


MELAKA, Feb 4 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di negara ini menghormati penganut agama lain sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad.

Beliau berkata ajaran Islam amat mementingkan hubungan baik sesama manusia sama ada antara sesama Islam mahupun dengan bukan beragama Islam sambil memberikan contoh kemuliaan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa menghormati kaum dan penganut agama lain.

“Dalam Al-Quran ada ayat yang melarang secara khusus tindakan mencaci, mencerca ataupun mengkhianati agama lain termasuk tempat ibadah agama lain.

“Maknaya kalau kita (orang Islam) membakar tempat ibadah agama lain misalnya, orang (penganut agama) lain juga akan melakukan (perkara sama) terhadap tempat ibadat umat Islam,” katanya ketika merasmikan Masjid Asy-Syuja'ah Merlimau Utara di Jasin, di sini hari ini.

Najib (gambar) berkata apabila seseorang itu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya dengan menghormati penganut agama lain, secara tidak langsung penganut lain akan menghormati mereka.

Perdana Menteri berkata gagasan 1 Malaysia juga bersandarkan kepada prinsip agama selain daripada prinsip keadilan sosial.

Masjid Asy-Syuja'ah yang dibina dengan kos RM4.6 juta, mampu menampung 3,000 jemaah pada satu masa.

Sementara itu, pada sidang media selepas melawat perkampungan nelayan di Pantai Siring di Merlimau, Najib berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan projek menaik taraf kemudahan di perkampungan itu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh antaranya meliputi pembinaan tiga jeti dan pemecah ombak.

“Bukan serta merta tapi boleh katakan awal 2011 kita boleh buat projek ini,” katanya.

Terdahulu anggota Parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah yang mengiringi Najib pada lawatan itu telah memohon kepada Perdana Menteri peruntukan kira-kira RM31 juta untuk membina kemudahan tambahan di perkampungan itu.

Katanya peruntukan itu untuk menaik taraf muara Sungai Umbai, Pantai Siring, Sungai Serkam dan Sungai Sempang serta pembinaan tiga jeti baru dan projek pemecah ombak. — Bernama

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.