Pages

Saturday, March 20, 2010

Pemuda Turun Padang, Dahulukan Kepentingan Rakyat Sabak Bernam


Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur, 17 Mac – Suara rakyat didengari, realiti hidup rakyat ditinjau sendiri pemimpin Pemuda UMNO dan BN dari semasa ke semasa tanpa kenal perit jerih, panas atau hujan yang perlu didepani.

Barisan kepimpinan Pemuda UMNO-BN menyahut cabaran dan amanah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk sentiasa mendahulukan kepentingan dan faedah hidup rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bersama rakan barisan kepimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabak Bernam akan turun padang bertemu mesra penduduk di kawasan berkenaan Sabtu ini.

Program tersebut adalah kesinambungan program Pemuda Prihatin yang telah berjalan di beberapa kawasan seluruh negara beberapa bulan lalu. Tumpuan utama kepada aspek kegiatan bersama masyarakat selain membantu mereka yang memerlukan.

Pada program sehari itu, pelbagai aturcara bersama penduduk telah dirangka yang antara lain program Jom Bersihkan Kampung, Kenduri Rakyat, perasmian mesyuarat PIBG Sek, Men Keb, Seri Bedena, Autoshow Pemuda BN Sabak Bernam dan Makan Malam Bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Program Jom Bersihkan Kampung akan diadakan di Kampung Parit 10 yang akan turut dibantu oleh pelajar-pelajar Kolej Tekat seramai 200 orang dan tumpuan lokasi gotong-royong adalah surau, masjid, kawasan perkuburan, parit serta semak samun.

Manakala untuk kenduri rakyat, ianya akan diadakan di rumah Naib Ketua UMNO Sabak Bernam, Abd Halim Din dan dijangka lebih 1,000 penduduk akan hadir dan perasmian mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena pula akan berlangsung di dewan sekolah terbabit.

Program Autoshow Pemuda BN Sabak Bernam pula melibatkan pelbagai acara sukaneka seperti futsal dan acara sukan yang lain. Selain itu, turut diadakan pameran kereta serta gerai-gerai yang dijangka akan menarik 2,000 pengunjung.

Dan akhir sekali, makan malam Ketua Pemuda UMNO bersama Pemuda BN Sabak Bernam akan berlangsung di Dewan Sepaktakraw Bagan Nakhoda Omar (BNO).

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.