Dari Meja Ketua Pemuda UMNO Malaysia
Sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tawau pagi tadi, saya telah mengumumkan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) berhubung isu lesen pertaruhan atau judi sukan bolasepak.
Walaupun pendirian ini telahpun disampaikan kepada pucuk pimpinan melalui saluran dalaman sebelum ini, kini saya rasa terpanggil untuk menyatakan pendirian Pemuda UMNO secara terbuka kerana masih ada tekanan dari pihak-pihak tertentu untuk menjayakan permohonan Ascot Sports. Syarikat itu juga telah memberi gambaran kononnya mereka telah menerima kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi dengan menawarkan pertaruhan bagi perlawanan bolasepak.
Memandangkan YAB Perdana Menteri masih memberi ruang untuk maklum balas umum mengenai perkara ini, maka Pemuda UMNO mengambil kesempatan ini untuk melahirkan pendirian kami berdasarkan kepada kebimbangan generasi muda.
Pendirian Pemuda UMNO mengambil kira beberapa perkara, antaranya:
1) Lesen pertaruhan ini tidak diterima dengan baik oleh majoriti rakyat Malaysia tidak kira agama. Sudah tentunya umat Islam membantah sebarang cadangan sebegini kerana ia bertentangan dengan ajaran agama disamping tidak yakin dengan jaminan bahawa orang beragama Islam tidak akan terlibat dengan gejala judi ini, walaupun dikendalikan oleh pengusaha berlesen.
Bukan sekadar itu, ramai orang bukan Islam juga tidak bersetuju dengan cadangan pemberian lesen ini, lebih-lebih lagi apabila ada suara yang menyatakan bahawa judi itu adalah sebahagian dari budaya mereka.
2) Hujah bahawa judi sudahpun menjadi perkara yang lazim melalui pasaran pertaruhan haram yang berleluasa juga dapat disanggah apabila kita melihat penguatkuasaan yang berkesan dalam dua minggu yang lepas ini. Isunya bukan sama ada judi itu adalah sebahagian daripada realiti lantas wajar dihalalkan, tetapi yang penting adalah iltizam untuk menguatkuasa undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan jenayah ini. Mutakhir ini kita membaca laporan mengenai serbuan dan operasi pihak polis membanteras gejala judi habis-habisan. Ini membuktikan bahawa jika ada komitmen dan iltizam, maka masalah judi haram boleh ditangani. Pemuda UMNO di sini juga menggesa agar penguatkuasaan yang kita saksikan akhir-akhir ini bukan bermusim dek kerana isu lesen pertaruhan ini hangat atau musim Piala Dunia, sebaliknya penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan.
3) Persoalan juga timbul mengapa Ascot Sports telah membuat kenyataan mengenai lesen yang kononnya bakal diberi kepadanya tanpa sebarang kelulusan dari Kementerian Kewangan? Bukankah sepatutnya lesen ini ditawarkan secara tender terbuka? Alasan bahawa lesen yang diberi ini kononnya adalah untuk memperbaharui lesen yang pernah diberi dahulu tidak boleh diterima sama sekali kerana lesen tersebut telah pun luput. Maka, Ascot Sports tidak lagi mempunyai hak penafian pertama atau first right of refusal.
Oleh sebab-sebab di atas, Pemuda UMNO membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan pemberian lesen judi atau pertaruhan sukan bolasepak dan berharap bahawa Kerajaan akan mengumumkan keputusan muktamad mengenai perkara ini dalam masa terdekat, setelah mengambilkira sentimen dan maklum balas dari rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.