Pages

Wednesday, August 17, 2011

Pemuda Umno Lancar Ekspedisi Desa

Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan Ekpedisi Desa 1Malaysia (ED1M), program kembara melihat pertumbuhan dan kemajuan industri desa di negara ini pada 4 Oktober depan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata program itu dengan kerjasama Dewan Usahawan Industri Desa akan dibahagikan kepada zon utara, zon selatan, zon timur dan zon Sabah serta Sarawak.

"Kita sasarkan antara 150 dan 200 peserta dalam setiap zon," katanya pada sidang media sempena program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijadual melepaskan peserta pada pelancaran program itu di PWTC.

Khairy berkata, program itu dimulakan dengan zon utara pada 4 hingga 8 Oktober di mana peserta akan meninjau industri desa di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Selatan Thailand.

Antara lokasi industri desa yang dikenal pasti untuk dilawati ialah projek yang berjaya dalam bidang industri asas tani, kraftangan, jahitan dan inap desa.

Khairy menambah, peserta akan didedahkan dengan amalan terbaik dalam industri desa bagi membolehkan mereka mengaplikasikannya dalam projek masing-masing.

"Bagi peserta yang mempunyai pelan perniagaan yang bagus selepas menghadiri program ini, kita akan bantu mereka dapatkan geran daripada pihak yang terlibat untuk projek mereka," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan golongan usahawan muda dan pelajar menyertai program itu dengan mendaftar di laman sesawang www.ekspedisidesa.com.my atau menghubungi talian 03-40423892.

Stesen televisyen berbayar Astro juga akan menjadikan ED1M sebagai program realiti 13 episod, katanya. - BERNAMA

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.