Pages

Monday, September 19, 2011

MB N9 Ajak Bersatu Untuk Terus Berjaya

Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin (kiri) menyenduk hidangan untuk orang ramai pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Tuanku Ja'afar, kelmarin.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak rakyat di semua peringkat di negeri ini bersatu padu dan menghentikan pertelingkahan.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan negeri itu dan negara mencapai kejayaan dan membawa pembangunan dalam semua aspek yang lebih hebat dan tinggi pada masa depan.

“Yakinlah di atas asas semangat perpaduan ini sahajalah yang akan menjamin masa depan kita hidup dalam keadaan aman, damai dan sejahtera pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kemerdekaan ke-54 bersama penduduk Taman Tuanku Ja‘afar kemarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris; ADUN Kota, Datuk Dr. Awaludin Said; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai, Datuk Abdul Halim Abdul Latiff dan Setiausaha UMNO Bahagian Rembau, Datuk Azman Hasan.

Mohamad berkata, perpaduan antara rakyat amat penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda pembangunan dan membasmi kemiskinan serta membina masyarakat majmuk yang maju, progresif dan saling bergantung antara satu sama lain.

Katanya, rakyat juga perlu bersatu menghalang orang yang cuba memecah-belahkan masyarakat dengan menyebarkan hasutan dan fitnah yang keterlaluan dalam percubaan mereka untuk melihat rakyat bercakaran sesama mereka.

“Ia termasuk pihak yang sengaja menimbulkan polemik dalam percubaan mereka untuk mengiktiraf pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Ia adalah fitnah yang besar kerana mana mungkin pejuang yang mempertahankan tanah air serta pasukan keselamatan tiba-tiba dinafikan jasa dan pengorbanan mereka hanya disebabkan tamak dan haloba pihak yang berkenaan mahukan kuasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.