Pages

Monday, October 10, 2011

BUDGET 2012 : KJ Bikin Pembangkang Panas Telinga!


Syor Had Gaji Minimum Skim Rumah Pertamaku Ditingkat

Seorang penyokong kerajaan Isnin mencadangkan supaya had gaji minimum RM3,000 untuk program Skim Rumah Pertamaku dinaikkan kepada RM6,000 selaras dengan peningkatan had maksimum harga rumah yang kini mencecah sehingga RM400,000.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata pindaan terhadap gaji minimum daripada RM3,000 pada masa kini perlu dipertimbangkan bagi memastikan golongan muda membeli rumah mengikut kemampuan mereka.

"Contohnya, kita melihat gaji yang diperoleh oleh golongan profesional seperti peguam mungkin hanya mendapat RM1,800 sahaja sebelum memperoleh (kenaikan) gaji RM3,000 selepas tiga tahun berikutnya.

"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh saya, komitmen bayaran bulanan bagi pinjaman RM400,000 tidak termasuk insurans ialah RM1,600 hingga RM1,800...ini tidak melayakkan mereka mendapat pinjaman kerana bebanan hutang terlalu tinggi," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan had maksimum harga rumah program Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000 serta perluasan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ke kawasan luar Lembah Klang.

Sementara itu, keadaan dalam Dewan sedikit kecoh berikutan pertikaman lidah antara Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Belanjawan 2012 yang menurut Anwar "tidak realisitik" dan "terlalu optimistik".

Menempelak dakwaan itu, Khairy berkata unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.0 peratus hingga 6.0 peratus adalah realistik untuk dicapai berdasarkan keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat pelabur antarabangsa untuk melabur di negara ini.

Katanya kepercayaan dan keyakinan pelaburan asing itu bersandarkan kepada program-program tranformasi yang dijayakan oleh Perdana Menteri dalam memastikan agenda pengukuhan ekonomi yang diterajui kerajaan.

Sebaliknya, katanya belanjawan bayangan yang dibentangkan oleh Anwar pada 4 Okt lepas lebih 'tidak realistik' dan boleh membuat negara menjadi bankrap kerana ia tidak menggambarkan kedudukan ekonomi negara yang sebenar.

Najib ketika membentangkan Belanjawan 2012 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus manakala pakatan pembangkang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi naik secara perlahan daripada 4.0 kepada 4.5 peratus, berbanding 5.0 kepada 5.5 peratus pada 2011.

Perbandingan Khairy itu membuatkan beberapa anggota Parlimen pembangkang 'panas telinga' dan bangun mencelah menyebabkan keadaan bertukar kecoh.

Meskipun diasak oleh beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Anwar, Khairy tetap bertegas dengan pendiriannya dan menyifatkan belanjawan pembangkang tidak jujur kepada rakyat.

Terdahulu Anwar ketika membahaskan rang undang-undang sama menyifatkan Belanjawan kerajaan tidak realistik kerana mendakwa ia berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.

Katanya unjuran pertumbuhan ekonomi terlalu tinggi berbanding analisis dari sumber-sumber ekonomi lain manakala unjuran defisit pada 4.7 peratus adalah tidak tepat.

Persidangan Dewan bersambung esok.

-Bernama

Intipati Cadangan YB Rembau Semasa Membahaskan Belanjawan 2012

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang boleh membuatkan anda didakwa di mahkamah. Segala komentar adalah tanggungjawab anda sendiri.